Google Ads

Wednesday 16 September 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 40

MENARIK DI DALAM
o   Sudahkah merancang?
o   Jom kuasai masa
o   Tentang Ummu Salamah
o    Minta Izin Dahulu
o   Jawablah sendiri.
o   Sikap Negatif pengurusan Harta


Assalamualaikum
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Sahabatku
sudahkah kita membuat perancangan untuk tahun hadapan? Rasa macam lama lagi bukan? kalau macam tu, bagaimana dengan perancangan kita untuk minggu depan dan bulan depan? ataupun yang paling dekat dengan kita, hari esok? sudahkah kita merancangnya? ada sesetangah orang langsung tidak merancang, mereka hanya hidup mengikut arus sahaja. Hari esok, biarlah hari, keadaan, dan masa yang menentukan. Takdir sudah pun tertulis, konon!

Sahabatku
Golongan ini amat rugi. bukan sahaja di dunia, malah di akhirat. mereka kadangkala tak kisah apa yang berlaku pada diri mereka esok, lusa, minggu depan, bulan depan dan tahun-tahun yang berikutnya. mereka langsung tidak kisah, sekadar ‘dapat makan dan minum itu sudah okey’ bisik mereka. ruginya. sedangkan manusia ini Allah jadikan sebagai Khalifah di bumi ini. untuk mentadbir bumi ini dengan sebaik-baiknyanya. tidak semestinya menjadi pemimpin atau seorang ahli politik,  baru kita boleh mentadbir, itu andaian yang silap. jadi lah diri kita yang sebenarnya. bermulalah dengan mentadbir diri kita sendiri dulu dan berikutnya cuba mentadbir dan mengurus keluarga. Amacam? Ada berani?

Sahabatku
‘Uruskanlah hidupmu seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya’ dan ‘Beramallah (Beribadatlah)  dengan kebaikan seolah-olah  kita akan Mati esok’ itulah kata-kata yang selalu kita dengar tetapi sangat besar nilai dan penegertiannya.

Editor

TRIVIA (SOALAN KUIZ AGAMA)
1. Di rumah siapakah Rasulullah saw  mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar? 
2. Jumlah berhala yang terdapat di dalam dan berdekatan rumah Allah sebelum Rasulullah memerintah agar dihapuskan.
3. Apakah perkataan dalam Kamus Dewan terpanjang yang asalnya daripada perkataan arab?
Jawapan di akhir edisi ini


MENGUASAI MASA ANDA

Masa sentiasa bergerak dan berlalu, kata pepatah arab, masa itu ibarat pedang, jika anda tidak menggunakannya untuk memotong, ia akan memotong anda.  satu kajian di Britain pada tahun 1996 oleh Allied Dunbar menunjukkan kebanyakan daripada tiga juta orang yang bekerja dalam bidang professional dan bidang pengurusan menderita kerana stres. Manakala 25% daripada mereka yang menghadapi tekanan akibat tarikh akhir dan 10% pula mengalami masalah kerana bekerja lebih masa dan bebanan kerja yang berlebihan.

Adakah anda juga sebahagian daripada kategori ini? Mengapa ia berlaku? antara masalah utama yang menyebabkan berlakunya masalah ini kerana sebahagian daripada mereka gagal menguruskan masa secara efisien dan efektif. Mereka hanya mengikut fitrah dan rutin tanpa meluangkan sedikit masa merancang dan mengurus masa. Apabila ini berlaku, anda hanya melakukan aktiviti-aktiviti yang menjadi batu penghalang kepada kejayaan dan keinginan anda.

Sewaktu masa masih ada, anda suka buang masa. Bila sudah kesuntukan masa, ketika itu baru anda tahu hargai masa. Jadi hargai ia sekarang dan tentukan prioriti tugasan anda. Gunakan petua ABC.

 Tugasan A

Mesti dibuat secepat mungkin. Selepas selesai perlaksanaannya, ia dapat memberikan keuntungan yang besar. Sebaliknya apabila ditinggalkan, maka ia boleh membawa kepada kesusahan atau kerugian. Kesegeraan adalah penting diberi perhatian dalam tugasan A.

 

 Tugasan B

Perlu dilakukan tetapi bukan dengan kadar yang segera. Ia penting tetapi tidak sepenting tugasan A. ia boleh ditangguhkan tetapi tidak terlalu lama. Bahkan dalam beberapa waktu tugasan B akan menjadi tugasan A.

 

 Tugasan C

Boleh diketepikan sementara tanpa memberikan kesan yang begitu besar. Anda boleh ‘bertolak ansur’ dengan kesan dan akibat jika terpaksa mengabaikannya. Anda juga boleh melambatkan tugasan ini kerana ia tidak mempunyai tarikh akhir. Kalau ada yang mempunyai tarikh akhir, jaraknya jauh lagi. Namun tugasan C boleh bertukar kepada Tugasan B dan Tugasan A apabila tarikh akhir semakin hampir

 

MASA TIDAK PERNAH REHAT

Masa sentiasa bergerak dan berlalu. Masa tidak pernah berehat atau berhenti. Masa tidak pernah cuti atau penat. Yang rehat, cuti atau penat adalah manusia. Jadi uruskanlah masa sebaik mungkin. 

 

Sumber: Mahir(Fadzli Yusof)


UMMU SALAMAH
Isteri Rasulullah, Seorang Wanita yang terhormat , Berhijab dan suci. Beliau merupakan sepupu kepada Khalid al-Walid dan antara wanita yg pertama berhijrah.


MINTA IZIN DAHULU
Tiga waktu yang diwajibkan oleh syariat seorang anak perlu meminta izin jika ingin masuk ke bilik ibu bapa : 
 Sebelum Subuh.
Merupakan waktu persendirian ibu bapa.
Inilah masa peribadi mereka berdua dan kurang bersedia untuk bersama anak-anak.

 Sebelum Waktu Zuhur.
Disebut juga sebagai waktu ‘qailulah’.
Waktu ini mungkin ibubapa sedang berehat dan tidur  sebentar atau sedang bersiap-siap untuk solat zohor.
Dan Pada waktu ini kemungkinan pakaian ibubapa ringkas kerana kepanasan tengahari di dalam bilik.

 Selepas Isya’.
Biasanya waktu ini ibu bapa sedang bersiap untuk tidur atau sedang bersantai.


PUISI
JAWABLAH  SENDIRI
Mengapa apabila diminta mengajak kebaikan
Kita malu dan segan ?
Takut dikata macam bagus?
Tetapi apabila diasak dengan keburukan
Kita menambah tanpa dipinta
Supaya nampak sangat setia kawan.

Kenapa ketika diseru kepada kebaikan
Cepat-cepat kita terfikir ini betul atau tidak?
Tetapi waktu kita disogok dengan keburukan
Tanpa berfikir kita menyahut.

Adakah apabila kita diajak ke tempat yang baik
Banyak sungguh urusan yang belum selesai?
Namun apabila diajak ke tempat yang buruk
Cepat-cepat  urusan lain ditangguhkan.

Apakah juga ketika kita ditimpa ujian
Cepat-cepat  kt melatah?
Tetapi apabila kita memperoleh kurnia
Lambat sekali kita mengucap syukur

Begitulah soalan mudah untuk di jawab
Tidak perlu dijawab di atas kertas
Tidak perlu diumumkan kepada khalayak
Cukuplah sekadar, jawab sendiri
Sumber : `Ummu Hannan



SIKAP-SIKAP NEGATIF BERHUBUNG PENGURUSAN PUSAKA
 Suka bertangguh dan berlengah-lengah
Terdapat anggapan masyarakat menggunakan istilah ‘tanah kubur masih merah’, menyebabkan harta simati tidak dibuat tuntutan segera untuk urusan pembahagian. Mereka beranggapan, tidak sopan dan beradab jika dalam waktu berkabung ada pihak yang ingin menguruskan harta pusaka si mati. Jika yang ingin berbuat demikian, akan dipandang serong oleh ahli keluarga dan dianggap tamak dan tidak berhati perut. Hal ini jika ditangguh terlalu lama akan merumitkan lagi pembahagian harta pusaka terutama jika berlaku kematian berlapis.

 Sikap ambil mudah
Sesetengah ahli waris terlalu mengambil mudah dan bersikap endah tak endah terhadap urusan menyelesaikan pembahagian harta pusaka khususnya harta tak alih.

 Perbalahan dan Pertelagahan
Akibatnya, pihak-pihak  yang terlibat dengan pertelagahan tidak memberikan kerjasama yang baik kepada pihak yang ingin melaksanakan urusan. Ada waris-waris yang berhak tetapi enggan menghadiri perbicaraan.

 Bergantung harap kepada pihak-pihak tertentu
Apabila berlaku kematian, ada dikalangan ahli waris yang bergantung harap pada pihak-pihak tertentu, contohnya meletakkan urusan itu dibahu abang sulung mereka, sedangkan mungkin abang sulung itu mempunyai kekangan dari segi masa dan pengetahuan.

 Sikap Tamak
Ada dikalangan ahli waris yang bersikap tamak dan ingin membolot lebih harta pusaka dan lebih malang lagi dengan menggunakan cara yang kotor.

 Sikap cuai ahli Waris
Antara sikap tersebut ialah ahli waris gagal mengemukakan bukti kematian si mati disebabkan surat mati telah hilang ataupun mati diluar Malaysia.

 Sikap Tidak Mementingkan Pengurusan Harta Pusaka selepas Kematian
Sikap ini menyebabkan harta-harta  yang diperoleh semasa hidup , hilang atau terpendam begitu sahaja.

 Sikap tidak Mahu Mempelajari atau mengambil Tahu Undang-undang Islam
Kebanyakan ahli waris tidak mempunyai pengetahuan tentang pembahagian harta pusaka.Masing-masing mempunyai cara perkiraan mereka sendiri,
Sumber: Ustaz Mohd Yazid




JAWAPAN TRIVIA
1. Rumah Anas Bin Malik
2. 360 Patung Berhala
3. Amirulmukminin yang bermaksud pemimpin umat islam





No comments:

Post a Comment