MENARIK DI DALAM
·
Bercerita Kepada Anak-Anak
·
Terhantuk
·
Mutiara Kata
·
Cara Allah
memakbulkan doa
·
Benar
BERCERITA KEPADA ANAK-ANAK
Apa yang boleh kita bacakan dalam cerita-cerita
itu?
Kisah-Kisah Terdahulu Yang Benar-Benar Berlaku
Kisah-kisah para Nabi dan para sahabat sangat
menarik dan sarat dengan pengajaran tentang akhlak dan hikmah yang mengagumkan.
Tambahan pula, kisah-kisah ini juga tidak membosankan walau diulang-ulang.
Kisah Yang Tiada Unsur Khurafat
Kisah yang dibawa oleh Rasulullah saw tiada
unsur-unsur khurafat dan mitos. Tetapi apa yang berlaku kini, anak-anak kita
lebih ditonjolkan dengan kuasa power rangers , Ultraman, Naruto dan sebagainya.
Akhirnya anak-anak kita lebih mengenali Naruto Sayidina Umar. Anak-anak lebih
mengenali Barbie berbanding Sayidatina Fatimah dan sebagainya. Sedangkan orang
yang bernama Naruto dan Barbie tidak pernah wujud pada realitinya.
Kisah Fiksyen dan Benar
Anak-anak juga memerlukan kisah fiksyen demi
mengembangkan daya imaginasi mereka seluas mungkin. Misalnya pengetahuan
tentang perjalanan planet-planet termasuk bumi yang akur dengan peraturan Allah
swt. Mereka juga perlu belajar daripada alam misalnya sifat-sifat dan kandungan
laut dan sungai, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.
Kisah Ajaib dan Fanatik
Banyak perkara ajaib yang berlaku pada para nabi
dan Rasul. Begitu juga kepada para sahabat yang kuat keyakinannya kepada Allah.
Nabi dan Rasul dikurniakan mukjizat yang banyak. Terdapat ibubapa yang menganggap
kisah silam atau motivasi keagamaan ini boleh didapati di sekolah-sekolah
agama, lalu diserahkan kepada guru. Sebenarnya sekadar itu tidak mencukupi.
Apatah lagi cara penyampaiannya kebanyakan lebih formal, sekadar pengetahuan
bukan kepada tahap penghayatan.
Sumber
: Didiklah Dari Hati
TERHANTUK
Seorang Ustaz menegur seorang
pelajarnya yang berlilit kepala dengan kain pembalut. ‘Masya Allah, kenapa
dengan kepala kamu , Zubair?’ ‘Berjahit sedikit sahaja ustaz’. Jawabnya
tersengih malu-malu. ‘macam ada cerita sahaja’. Si ustaz cuba untuk memancing.
‘semalam, semasa berjalan, saya ternampak seorang pelajar perempuan bertudung
labuh, sopan cara jalannya. Jadi dua tiga kali saya ulang melihatnya.
Sedar-sedar, sudah jatuh terduduk. Berdarah. Saya terlanggar ampaian baju’.
‘Alhamdulillah’. Respons pantas si ustaz. ‘ya lah ustaz. Ustaz gelakkan saya’.
‘tidak, ustaz tumpang gembira kerana Allah sayang kepada kamu. Ingat lagi hadis
yang ustaz ajar ‘Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, dia akan
mengenakannya musibah’.
(Riwayat al Bukhari)
Pengajaran
Kebaikan datang dalam pelbagai
bentuk termasuk musibah.
Sumber : Angguk
Geleng
,
MUTIARA
KATA
UJUD
JANGAN SEKALI (2)
‘Kalaulah
ucapan anak Adam itu semuanya benar dan perbuatannya semuanya baik, hampir
sahaja dia pasti celaka!...kerana dia akan berasa ujud dengan dirinya’.
(Hassan
al-Basri)
Berapa
banyak hati yang terfitnah dengan pujian manusia dan tertipu dengan sitrullah
dan nikmat Allah yang dimustadraj untuknya. Semua itu hukuman dan penghinaan
yang disangka si jahil sebagai kemuliaan.
(Ibn al
Qayyim)
Sitrullah :
Tutupan Allah, yakni Allah menyembunyikan keburukan dirinya daripada
pengetahuan manusia
Istidraj/Mustadraj
: Yakni nikmat Allah yang diberikan kepada hambaNya yang membuatnya semakin
bermaksiat kepadaNya justeru semakin besarlah azab yang bakal menantinya.
CARA ALLAH MEMAKBULKAN DOA
¤ Doa Itu Dikabulkan Serta Merta
Kebanyakan doa yang diajukan oleh para rasul dan
nabi dikabulkan serta merta. Doa Rasulullah saw menjelang perang Badar
misalnya, dikabulkan oleh Allah serta merta. Begitu juga doa Ibn Abbas ketika
meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat
Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan terus turun mencurah-curah.
begitu juga dengan cerita tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal
masing-masing apabila terperangkap di dalam gua.
¤ Dikabulkan Pada Waktu Lain
Acap kali juga sesuatu doa walaupun baik, datang
daripada orang yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke
waktu lain. Hal ini demikian kerana Allah sayangkan hambaNya itu. Allah sengaja
berbuat demikian untuk menguji hambaNya , sehingga seorang hamba itu telah
bersedia untuk menerima nikmat-nikmat daripada Allah. Misalnya Allah kurniakan
kekayaan setelah ada dalam hati seorang hamba itu rasa syukur, supaya tidak
akan menjadikannya kufur dengan kekayaan. Allah kurniakan kekuasaan setelah
dalam hati seseorang itu ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi
pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.
¤ Dihindarkan Daripada Bahaya
Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan
cara dhindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa yang
bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita
ditimpa penyakit kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnahkan atau
sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan
kita sebagai ganti apa yang didoakan. Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana
ditunaikan tanpa sedar. Mengapa? Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah
berikan sesuatu yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya
berbanding apa yang kita minta. Misalnya kita meminta kejayaan dalam
perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik.
Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?
¤ Allah Berikan Sesuatu Yang Lebih
Baik Di Akhirat
Hidup di dunia Cuma sementara. Akhirat itu yang
lebih baik dan lebih kekal.
Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di
akhirat berbanding kurnia Allah di dunia. Sebagai perbandingan, sehelai rumput
di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Hal ini
demikian kerana rumput di syurga itu lebih kekal malah lebih bernilai daripada
sebutir mutiara di dunia. Orang yang berdoa akan doanya tidak dikabulkan di
akhirat kelak, insyaAllah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya itu
lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia.
¤ Kifarat Kepada Dosa-dosa
Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang
disengajakan atau tidak disengajakan. Dosa ialah pendinding daripada mendapat
bantuan , keampunan, dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu
diampunkan dengan taubat. Malah untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas
dosa-dosa yang kita sedari. Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun
telah menempuh syarat-syaratnya? Bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa
kita sedari? Itu lebih sukar untuk diatasi.
Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak
melakukannya? Maka di sinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah
swt. Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun
bukan itu yang kita pohon daripada Allah swt.
Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangiNya. Tanda Allah
sayang kepadanya adalah dengan mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia
tidak meminta ampun.
Sumber
: Pesan Hati untuk Hati
BENAR
Mungkin yang
kita rasakan benar itu salah dan apa yang kita rasakan salah itu sebenarnya
kebenaran. Carilah kebenaran hingga akhirnya yang benar terzahir. Betapa ramai
orang yang tahu kebenaran namun tidak semua berani untuk menyebarkannya.
Kebenaran akan kekal benar walaupun beribu-ribu orang menolaknya. Namun hakikatnya
yang salah lebih cepat tersebar daripada kebenaran. Alangkah malangnya apabila
kita mengetahui suatu kebenaran dan menyembunyikannya. Walaupun kadangkala
kebenaran itu menyakitkan, lebih baik demikian daripada sepanjang hidup
menanggung rasa salah menyembunyikan kebenaran. Cakaplah yang benar-benar.
tulis yang benar-benar. Dengar yang benar-benar. semoga kita semua berada atas
kebenaran. Selalulah bertanya kepada diri, adakah yang sedang aku lakukan ini
betul dan benar?
Sumber : viceversa