Google Ads

Friday 26 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 234


MENARIK DI DALAM
·        114  Surat Cinta Yang Dipersia
·        Tanda Lidah Kotor
·        Bila Islam Tidak Dilihat Indah
·        Kiraan Nafas

114 SURAT CINTA YANG DIPERSIA
            Hampir 3/4 daripada keseluruhan peserta tidak mengetahui makna bacaan solat. Bacaan yang paling asas yakni surah al Fatihah pun gagal di fahami maknanya. Surah al fatihah dijadikan ujian wajib untuk mengetahui sejauh mana para peserta mengambil berat tentang solat. Malangnya, keputusan ujian yang dijalankan secara santai itu sangat mengejutkan. Apa tidaknya, ada dalam kalangan peserta yang telah berusia setengah abad tidak mengetahui makna surah al Fatihah. Ertinya mereka lebih 30 atau 40 tahun solat tanpa mengetahui makna al Fatihah. Bayangkan 30 tahun, tempoh yang cukup lama. Jika benar-benar serius dan fokus, jangka masa itu bukan sahaja cukup untuk memahami bacaan al Fatihah, bahkan tafsirannya sekali. Malah lebih daripada cukup untuk menjadi seorang hafiz!
‘Bagus ustaz buat ujian macam ini’, kata seorang peserta. ‘sekurang-kurangnya kita tahu apa yang kita tidak tahu’, tambahnya lagi.
‘betul-betul ke kita tidak tahu yang kita tidak tahu?’ujar saya perlahan.
‘apa maksud ustaz?’

Rasa Tidak Penting
Saya senyum, bukan untuk menempelak tetapi sekadar menimbulkan perasaan ingin tahu dalam usaha mencari punca sebenar kelemahan itu.
‘saya rasa selama inipun kita sudah tahu yang kita tidak tahu makna tunggu’ dan ‘nantilah’ maka kejahilan itu terbiar. Sedar tidak sedar sikap sambil lewa kita berlarutan hingga puluhan tahun’. Ujar saya lagi. bacaan al Fatihah. Tetapi oleh sebab bersikap ‘tak apa’ ‘
‘benar ustaz. Kita tidak serius dengan solat . Sebab itu makna al fatihah, bacaan wajib di dalamnya pun kita tidak serius untuk memahaminya’. ‘mengapa kita tidak serius?’ tanyalah lagi.
‘puncanya kerana kita rasa solat ini tidak penting. Kita tahu kepentingannya tetapi tidak merasai kepentingannya’. Tambah saya.
‘tahu tidak sama dengan merasai?’ dia meneruskan pertanyaan.
‘ya, tahu dan sedar berbeza. Tahu di akal, rasa di hati. Merasai lebih besar impaknya daripada sekadar mengetahui’.
‘buktinya ustaz?’
‘tertinggal solat tidak rasa rugi, tidak rasa bersalah atau tidak ada rasa kesal. Tetapi kalau hilang duit? terbakar rumah? Harga barang naik? ‘
‘wah, itu terasa betullah, ustaz!’
Kami sama-sama tersenyum. Saling mengakui betapa lemahnya diri dan umat ini.

Mereka mementingkan solat
‘siapakah yang rasa solat betul-betul penting?’ tanya saya mengalih sedikit arah perbualan.
‘Rasulullah’
‘kemudian?’
‘para sahabat baginda’
Ketika itu saya teringat kisah bagaimana kaki Rasulullah bengkak-bengkak akibat terlalu lama berdiri dalam solat. Terbayang pula bagaimana Sayidina Abdul Rahman bin ‘Auf tega menginfakkan seluruh kafilah yakni unta-unta dan segala isinya kerana ingin menebus kelewatannya takbiratulihram dalam solat berjemaah pimpinan Rasulullah. 
‘mengapakah Rasul dan sahabatnya begitu pentingkan solat?’ tanyanya.
‘mengapakah kita berbeza dengan mereka?’ detik hati saya, juga tertanya-tanya. semalam ketika terhimpit dicelah kesesakan lalulintas sempat saya melihat ramainya orang Melayu masih berbondong-bondong di pasar malam untuk membelibelah, dikedai-kedai makan sambil berbual-bual kosong, walaupun ketika itu telah masuk waktu maghrib.
‘sebab kita tidak terasa Allah penting dalam kehidupan kita’. Akhirnya saya bersuara bersama sebuah keluhan.

Sebab Kita Rasa Penting
‘kita hanya akan berhubung dengan seseorang apabila kita rasakan dia penting atau diperlukan. Bayangkan betapa resahnya jika kita tidak dapat berhubung dengan ibu bapa, anak isteri, majikan, saudara dan teman rapat kita’.
‘saya ada pengalaman begitu, ustaz. Pada satu ketika saya berkursus di sebuah lokasi yang berada ’di luar kawasan liputan’. Telefon bimbit tidak dapat digunakan langsung. Saya resah, betul-betul resah, 3 hari tidak dapat berhubung dengan orang penting dalam hidup saya sepanjang tempoh di situ’. Ceritanya.
‘kalaulah rasa semacam itu dapat kita miliki ketika terlambat lebih-lebih terluput waktu solat, maka alangkah baiknya’. Detik saya dalam hati.
‘Allah lebih penting dalam segala-galanya. Sebab Dialah yang mengadakan segala-galanya untuk kita. Kita dilimpahi jutaan nikmat. Tetapi kita melupakan Pemberi nikmat. Sepatutnya kita hitung kesyukuran bukan kesukaran. Kita bimbangkan apa yang tiada sehingga lupa menghargai apa yang ada’. Dialog hati ini menerjah silih berganti.

Jangan Seperti Burung Kakak Tua
‘bayangkan, kita umpama burung kakak tua yang berkata-kata tanpa memahami makna kata-katanya. Justeru, tidak hairanlah kalau hati kita terus lalai dalam solat. Jika memahaminya pun tidak, apalagi menghayatinta? Kita sujud, tetapi hati tidak sujud. Kita ucapkan subhanallah tetapi tidak terasa sedang bertasbih kepadaNya. Itu baru kalimat-kalimat yang mudah. Belum lagi doa iftitah, al fatihah, tahiyat, Qunut dan lain-lain. Sudah hafal tetapi tidak faham maknanya’
 ‘itu pun dah kira baik, kerana ramai juga yang masih tidak hafal langsung bacaan solat’ tambahnya.
‘itu yang solat. Yang tak solat? Justeru tidak hairanlah jika kemungkaran terus berleluasa di tengah-tengah masyarakat. Apabila tidak solat, masakan ada kemampuan dalam diri untuk tidak melakukan kejahatan dan kemungkaran?’.
‘ya, solat itu mencegah perbuatan jahat dan mungkar!’
‘cukuplah dengan hal masyarakat . Sekarang kita lihat diri kita dulu. Mari kita semak semula makna tersurat dan tersirat pada rukun qawli dan qalbi dan fi’li. Solat 1 amal ibadah yang penuh makna tersurat dan tersirat. Ada falsafah di sebalik berdiri betul, rukuk, sujud dan salam?

Sudahkah Kita Memahami?
‘ustaz, ini baru sedikit. Hanya beberapa kerat ayat al Quran, selawat, tasbih dan lain-lain. Bagaimana agaknya dengan 6236 ayat-ayat dalam al Quran itu ya?’ ’
Saya terdiaam. Terasa benar agama ini kita anuti tanpa erti, kita amalkan tanpa penghayatan, kita perjuangkan tanpa kefahaman. Ya, seperti seorang pelajar yang membaca buku pelajarannya tanpa faham, bagaimana dia mampu lulus dengan cemerlang dalam peperiksaannya? Tanpa memahami buku teks pelajaran, kita gagal dalam peperiksaan. Dan tanpa memahami al Quran, kita gagal dalam beragama.  Ya, bayangkan bagaimanakah agaknya rasa kita kalau menerima sepucuk surat daripada seorang kekasih, tetapi tidak faham apa yang ditulisnya. Allah ’kekasih’ orang beriman telah mengutus 114 surahnya, 114 surat cinta. Berapa surah yang telah kita tahu maknanya, faham tafsirannya, amal kehendaknya dan perjuangkan tuntutannya? Justeru, apakah benar kita cinta  akan Allah? Jika benar , mengapa kalimah cintaNya (al Quran) tidak kita usahakan untuk membaca, memahami dan menghayatinya? Love is a verb, cinta itu tindakan, bukan hanya perkataan. Cinta itu pengorbanan, bukan ketaasuban. Mengaku cinta tetapi tidak memahami tuntutannya dan tidak ada pengorbanan adalah satu kepura-puraan dan kebatilan. Justeru tidak hairanlah sekiranya 114 surat cintaNya terus kita persiakan. Mengapa? Kerana kita tidak cinta.! Ya Allah, ampuni kami yang jauh daripada solat, jauh daripada al Quran , justeru, terlalu jauh denganMu , Astagfirullah al a’zim. Bukan Kau ya Allah yang jauh, tapi kami yang menjauh’.
Sumber : Imam Global



TANDA LIDAH KOTOR MENURUT IMAM AL GHAZALI
à Berlebihan ketika bercakap
à Suka bercakap perkara yang batil atau tidak berfaedah
à Banyak memaki hamun
à Bergurau secara berlebihan
à Suka mengumpat
à Suka mencari kesalahan orang lain
à Suka bertengkar
à Suka menghina dan mengejek



BILA ISLAM TIDAK DILIHAT INDAH

Apa yang indahnya tentang Islam?. Bagaimana kalau soalan ini ditanyakan secara spontan kepada kita? Kelu lidah, tergamam dan tergagap-gagap juga hendak menjawabnya. Kalau menjawabpun, jawapannya lebih bersifat skema, bukannya datang dari jiwa. Islam sesungguhnya agama yang indah kerana dicipta oleh Allah yang Maha Indah. Sekiranya islam dilihat dan dirasakan tidak indah, bukan Islam yang tidak indah tetapi hati dan fikiran orang yang melihatnya itulah yang tidak indah. Umpama kelawar yang tidak dapat melihat pada siang hari, bukan kerana siang tidak terang tetapi mata kelawar itulah yang tidak mampu melihat cahaya siang yang terang benderang. Keindahan sebenar Islam hanya dilihat oleh orang yang mempunyai akal yang tajam serta jiwa yang bersih. Keindahan Islam yang begitu menyerlah, tidak akan dapat dirasai oleh mereka yang menganutnya tanpa ilmu dan ikut-ikutan. Golongan yang jahil membuat andaian dan tanggapan berdasarkan pemerhatian yang sempit dan singkat tentang Islam. Mereka berdasarkan emosi, bukan bertitik tolak kepada hujah, fakta dan ilmu. Mereka inilah yang boleh disifatkan sebagai ‘kelawar’ yang buta daripada melihat cahaya keindahan Islam yang terang benderang. Justeru, kerana kejahilan juga mereka gagal melihat Islam secara holistik. Mereka hanya melihat Islam di satu sudut, dengan meminggirkan sudut-sudut yang lain. Mungkin yang dilihat dan dikaji hanya aspek ekonomi dan jihad , tetapi mereka tidak melihat bagaimana Islam mengatur sistem pendidikan, keadilan, perundangan, sosial dan lain-lain. Betapa ramai orang yang berada dalam Islam telah keluar daripada Islam kerana kedunguannya. Sebaliknya ramai pola orang bukan Islam yang berbondong-bondong masuk Islam kerana kebijaksaannya. Inilah yang berlaku di Negara barat sekarang. Islam adalah agama yang berkembang paling cepat di Eropah dan Amerika kerana ramai dikalangan mereka yang  menggunakan kebijaksaan akal untuk mengenal Islam. Hanya apabila Islam dilihat indah, barulah ada dorongan untuk menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Dan pada ketika itu barulah ada rasa cinta dan sanggup mati kerana Islam.

Sumber : Pena  Pengarang  Solusi

 


KIRAAN NAFAS
Hassan al Basri memberikan nasihat ‘bersegeralah! Bersegeralah! Nafas yang tersisa akan dihitung. Ketika tidak boleh bernafas lagi, tidak mampu lagi berbuat amal yang mendekatkan diri kepada Allah. Semoga Allah mengasihi hamba-hambaNya yang melihat diri mereka dan menangisi dosa-dosa mereka.’ . Kemudian dia membaca sepotong ayat al Quran yang bermaksud ‘Kami akan menghitung untuk mereka dengan hitungan yang teliti’. (surah Maryam 19 : 84)
Lalu dia menangis tersedu-sedu dan berkata ‘Akhir daripada hitungan itu adalah nafas terakhir yang keluar. Akhir daripada hitungan adalah perpisahan daripada keluarga, dan akhir daripada hitungan adalah memasuki kubur’. 








Tuesday 23 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 233


MENARIK DI DALAM
·        Amaran Makruf Nahi Mungkar
·        Kalau Benar Kita Membaca al Quran
·        Mutiara Kata
·        Jumpa
·        Buaya Boleh Makan?
·        Ciri-ciri Buku Yang Sesuai Dibeli
·        Atas
·        Kemuliaan
·        Mencegah kemungkaran Dengan Kemungkaran

AMARAN  MAKRUF NAHI MUNGKAR
Jika maksiat berleluasa, impak buruknya akan turut terkena tempias kepada orang soleh. Jika bencana melanda dek Allah murka, orang soleh juga tidak akan terkecuali. Bencilah kemungkaran, tetapi jangan membenci pelakunya. Jika itu dapat dilakukan, insyaAllah, dakwah dan tarbiah akan lebih berkesan. Namun, bukan mudah untuk mempraktikkannya. Hanya insan yang mempunyai hati yang benar-benar bersih mampu melakukannya. Inilah rahsia kejayaan dalam misi amar makruf nahi mungkar. Justeru, sebesar mana sekalipun kemungkaran, jangan dilupakan doa dan harapan agar pelakunya mendapat hidayah Allah SWT. Dengan hati yang begitulah Rasulullah saw menghadapi penentangan penduduk Taif. Walaupun diejek dan dilontar dengan batu. namun Rasulullah saw tetap mengharapkan kebaikan. Ketika malaikat menawarkan untuk menghantar azab kepada penduduk Taif, Rasulullah menolaknya.  Tindakan ini sebagai bukti tiada kebencian di hati Baginda walaupun hati dan fizikal Baginda sendiri disakiti. Doa Rasulullah untuk Umat yang disayanginya ‘Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui’. (Riwayat al Baihaqi). Lihatlah, Baginda tidak marah, malah bersabda yang bermaksud ‘Bahkan aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan daripada sulbi (zuriat) mereka orang yang menyembah Allah dengan keesaanNya, tidak menyekutukanNya dengan sesuatu (Riwayat al Bukhari dan Muslim). Ketahuilah bahawa, doa seumpama ini tidak akan tercetus dalam hati yang dipenuhi dengan kebencian. Sewajarnya, semakin kita benci kepada kemungkaran, maka semakin meningkat rasa kasih dan kasihan kita kepada pelakunya. Kemungkaran itu umpama api yang sedang membakar pelakunya. Ayuh, selamatkan mereka dengan kasih sayang. Sesungguhnya tidak sempurna iman kepada Allah tanpa kasih sayang sesama manusia!.
Sumber ; Pesan Hati Untuk Hati




Kalau Benar Kita Membaca al Quran

Suatu ketika Abdullah bin Urwah bin al Zubair bertanya neneknya: Asma’ Binti Abu Bakar ‘Bagaimanakah keadaan sahabat Rasulullah ketika diperdengarkan al Quran?’. Neneknya menjawab ‘mereka menjadi sepertimana yang disifatkan Allah; bercucuran air mata dan meremang kulit mereka. (Ibn Al Mubarak). Allah sendiri menyenaraikan beberapa petanda seorang hamba jika benar dia sedang membaca al Quran. Sila semak diri. Alhamdulillah, jika salah satu tanda tersebut ada pada kita. Maknanya kita benar-benar membaca al Quran. Apa lagi jika lebih. Bagaimanapun jika tiada, bersyukurlah juga kepada Allah. Kerana pada saat ini Allah sudi bukakan kesedaran dan berikan kesempatan untuk kita mengusahakannya.

 

7 tanda kita tadabbur al Quran.

1. Bertambah ilmu dan iman setiap kali membaca.

2. Mudah hendak menangis.

3. Terdorong untuk berdoa tidak semena-mena.

4. Meremang badan apabila membaca ayat-ayat berkaitan. Contoh, ayat tentang Neraka dan azab kaum terdahulu.

5. Rasa seronok apabila membaca ayat-ayat berkaitan kisah kemenangan, nikmat syurga dan lain-lain.

6. Selepas membaca, hati menjadi lembut justeru terus teringat Allah.

7. Terdorong untuk sujud        

Sumber : Jom Amal




MUTIARA KATA
Hanya apabila Islam dilihat indah, barulah ada dorongan untuk menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Dan pada ketika itu barulah ada rasa cinta dan sanggup mati kerana Islam. Rasailah keindahan Islam dengan memperjuangkannya.


JUMPA
Terasa resah lama tidak berjumpa. Adakah rasa yang sama apabila lama tidak ‘berjumpa’ Allah? Atau tidak rasa apa-apa?. Orang yang pernah merasakan kehilangan mengerti manisnya perjumpaan semula. Kita akan peluk dia erat-erat jika lama tidak berjumpa. Demikian sesama manusia. Apakah pula reaksi kita saat ditemukan dengan rahmat Allah? Beruntungnya kita termasuk dikalangan penerima hidayah. Ingat, hidayah bukan seperti barang hilang yang senang kita jumpa. Allah yang memberikan hidayah kepada hambaNya. Untuk bertemu hidayah, sepenuh usaha harus dikerah. Bukan hanya menyerah. Setelah berjumpa hidayah, gengam, dan hargainya. Takut hidayah hilang daripada diri, terkapai-kapai di dunia, menyesal di akhirat.
Sumber : viceversa



BUAYA BOLEH MAKAN?
            Satu hari seorang ustaz bertanya kepada 3 orang pelajarnya. ’Buaya boleh makan tak?’ ’Tidak boleh!’ wajab pelajar pertama. ’Boleh!’ jawab pelajar kedua. ’apa hujah kamu berdua?’ ’Tidak boleh kerana ada hadis Nabi melarang memakan daging binatang pemangsa yang memburu dengan taringnya seperti buaya (Riwayat al Bukhari)’. Pelajar pertama berhujah.  ‘boleh, kerana terdapat hadis Nabi ‘airnya suci lagi menyucikan manakala binatangnya halal dimakan. Buaya termasuk binatang di air. Demikian mazhab Maliki dan lain-lain.‘ Hujah pelajar yang kedua penuh yakin. Tiba-tiba pelajar ketiga bersuara ‘tentulah buaya boleh makan, jika tak boleh makan, mati kebulurlah buaya! Ustaz bukan bertanya, buaya boleh dimakan atau tidak?’.

Pengajaran
Lain sudut berfikir lain pula pandangan yang diberi. Demikian lumrah manusia yang diciptakan Allah dengan tahap intelektual dan pengalaman yang beragam. Maka, uruskan perbezaan dengan memahami sudut pandangan pihak berlainan terlebih dahulu.
Sumber : Angguk Geleng



,


CIRI-CIRI BUKU YANG SESUAI DIBELI

¤ NILAI-NILAI TAUHID
Misalnya berkaitan sifat-sifat Allah—Allah Maha Melihat, Allah Maha Indah dan lain-lain.

¤ CINTA JIHAD SERTA KEBERANIAN
Bacakan kepada anak-anak kisah-kisah keberanian Nabi dan para sahabatnya.

¤ BENCI KEPADA MAKSIAT
Anak-anak perlu tahu, apakah perkara yang Allah larang mereka buat, bukan sahaja tidak melakukannya, malah membenci setiap kemungkaran.

¤ AKHLAK DAN NILAI-NILAI MULIA
Anak-anak perlu membaca buku-buku yang boleh menerapkan nilai-nilai murni sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam. Kebanyakan boleh didapati daripada buku-buku cerita bermotivasi.
Sumber : DIDIKLAH DARI HATI


ATAS
Berada di atas bukan lesen untuk bermegah. Semakin berada di atas, semakin banyak ujian menimpa. Semakin banyak cabaran yang perlu diharungi. Semakin banyak tanggungjawab yang tergalas di bahu. Sering dipesankan kepada kita, apabila berada di atas, jangan dilupakan orang yang bersama-sama kita semasa kita berada di bawah. Tiada orang yang selamanya berada di atas. Berada di atas, mesti ingat yang paling atas, Allah. Hanya dengan ingat kepadaNya akan menjadi benteng daripada melakukan sesuatu yang dilarang. Jika berada di kedudukan lebih atas daripada orang lain, berdoalah agar diberi ketetapan hati dan kekuatan agar terus bergantung dengan Tuhan. Semoga kedudukan tidak membinasakan, malah mendekatkan diri dengan Tuhan.
Sumber : viceversa



KEMULIAAN
‘kita dahulu kaum yang paling hina, kemuliaan Allah muliakan kita dengan Islam. Lalu bila mana kita mencari kemuliaan dengan selain yang Allah pernah muliakan kita dengannya, maka Allah akan menghina kita’.
(Umar al Khattab)





MENCEGAH KEMUNGKARAN DENGAN KEMUNGKARAN
Kejahatan akan bermaharajalela apabila orang baik membisu dan kaku ketika berdepan dengan kemungkaran. Sebenarnya, mereka bukanlah orang yang baik. Oleh sebab itu, hukama menegaskan bahawa orang yang berdiam diri atas kemungkaran umpama syaitan yang bisu. Orang baik dalam erti kata sebenar ialah orang yang ‘soleh dan musleh’ - baik dan membaikkan. Ya, tidak cukup hanya dengan baik, seorang muslim mesti berusaha membaiki orang lain. Hal ini demikian kerana kebaikan seseorang individu muslim dengan muslim yang lain sangat berkait rapat. Mereka laksana satu jasad iaitu rosak satu bahagian jasad akan mengakibatkan kerosakan di bahagian lain. Oleh sebab itu, seseorang muslim dituntut untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar . Jika tidak, kerosakan itu bukan sahaja menyusahkan pelakunya, tetapi seluruh umat Islam akan menanggung akibatnya. 
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati




Wednesday 17 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 232

MENARIK DI DALAM
·        Wanita Tercantik Di dunia
·        Hilang  
·        Wanita oh wanita
·        Kata Salafussoleh
·        Seindah Kata
·        Cantik oh cantik
·        Jenguklah Isteri Saya!
·        Malu Pada Semut
·        10 Sahabat Yang Harus Dihargai
·        Kisah Seorang Anak Gadis Dan Ibu Penjual Susu
·        Menutup Aib Orang Lain
·        Tunjukkan Kebaikan
·         5 Makanan Ringan Penyebab Kanser



WANITA TERCANTIK DI DUNIA
Siapakah wanita yang paling cantik di dunia? Wanita solehah itulah yang cantik kerana kecantikan itu terletak pada budi, bukannya body. Salah satu ciri penting wanita yang solehah ialah menutup aurat! Merekalah bayangan bidadari syurga di dunia. Dengan menutup aurat, wanita solehah telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih sebaik ‘pakaian’ iaitu pakaian takwa. Allah berfirman ‘wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat’. (Surah al A’raf 7:26)
Bagi wanita muslimah, berbanggalah dengan identiti yang ditentukan oleh Allah SWT untukmu. Buktikan rasa bangga tersebut dengan tampil yakin menutup aurat, insyaAllah dunia dan akhirat selamat.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati



HILANG
Sedih menghadapi kehilangan orang yang tersayang, lagi sedih hilang iman dan hidayah daripada Yang Maha Penyayang. Allah yang berikan kita hidayah dan Allah boleh tarik dengan sekelip mata hidayah yg diberikan itu. Hilang hidayah kita sesat jalan. Teraba-raba mencarinya semula. Lumrah sedih kerana suatu kehilangan, tetapi jangan sampai kehilangan itu buat kita hilang iman. Ubati rasa hilang dengan sabar dan solat. Demikian Allah berfirman dalam al Quran. Sebenarnya kehilangan mengajar diri menghargai keberadaan.  Apabila hilang sesuatu barulah terasa kepentingannya. Belajarlah menghargai sesuatu yang ada di depan mata sebelum semuanya hanya tinggal kenangan. Lumrah kita menangis kerana kehilangan insan, tetapi adakah kita menangis kerana lemahnya iman?


WANITA OH WANITA
Agak ramai yang tidak berpuas hati dengan wajahnya sendiri. Ada yang mengutuk di dalam hati, kurang yakin sehingga menjadi wajib untuk ber ‘make up’. Namun, kalaulah kita lebih positif dan qanaah (merasa syukur dan cukup dengan kurniaan Allah), sebenarnya wajah kita kelihatan lebih elok dari apa yang kita fikirkan. You are more beautiful than you think. Bersyukurlah dan jagalah kesihatan. Semuanya adalah sementara didunia, akhirat itu yang lebih kekal.
Sumber : Dr. Zaharuddin
 






KATA SALAFUSSOLEH

Nafsu Syahwat pendorong kepada kejahatan di dalam hati dan ia tidak akan mampu ditanggalkan kecuali dengan ketakutan yang merobek rasa (akan hukuman Allah) atau kerinduan yang menggelegak di dalam jiwa (untuk bertemu Allah dan RasulNya)

 

 


SEINDAH KATA
Sahabatku...
Sehebat manapun perbuatan yang dilakukan oleh seseorang, akan sia-sia jika tidak diniatkan kerana Allah swt . Namun sebaliknya, sehalus dan sekecil apapun perbuatan, jika diniatkan kerana Allah pasti akan bernilai besar di sisi Allah. Apa yang penting dan menjadi fokus kita dalam ibadah adalah mengejar redha Allah. Apalah erti amal yang hebat jika Allah tidak redha.

Sahabatku…
Hanya dengan niat kerana Allah dan mengharapkan redhanya, setiap amalan kita akan bernilai ibadah dan setiap apa sahaja yang menimpa kita pasti akan berbuah kebaikan dan kemuliaan.

.
 






CANTIK OH CANTIK!
Tanpa iman, kecantikan  akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang akhirnya akan memusnahkan pemiliknya dan orang lain. Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikan itulah yang salah.

 






JENGUKLAH ISTERI SAYA!
Seorang perompak memasuki sebuah rumah. Kejadian itu disedari oleh tuan punya rumah yang tidur di tingkat atas. Walaupun begitu dia tidak berani melawan kerana perompak itu bersenjata.  Cuma sebelum perompak itu keluar dengan barang-barang rompakannya, tuan rumah berkata ‘sebelum kamu pergi, jenguklah isteri saya yang berada di tingkat atas. Dia telah menunggu kamu sela 15 tahun’. Sebenarnya selama 15 tahun isterinya dalam keadaan bimbang, takut dan sentiasa bersangka buruk yang rumah mereka akan dirompak. Dan kali ini sangkaanya benar-benar terjadi.

Pengajaran
Sangka buruk meresahkan hati. Ada orang yang sering mengeluh, malah mengutuk nasib diri yang malang. ‘mangapa yang buruk-buruk, sedih, gagal dan malang sering menimpa hidupku?’ lalu sibuklah dia menyalahkan si polan dan si polan, itu dan ini semuanya tidak kena. Padahal, yang tidak kena itu acapkali dirinya sendiri. Dia yang memandang gelap, busuk dan buruk dalam hidup, lalu dia terpaksa menuai apa yang disemai!
Sumber : Angguk Geleng


MALU PADA SEMUT
‘Hingga apabila mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut; ‘Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu sedang mereka tidak menyedari’. (Al Naml 27 :18)

Sekalipun di ambang maut, betapa semut tetap bersangka baik terhadap bakal pembunuhnya.
.
 






10 SAHABAT YANG HARUS DIHARGAI
 Sahabat yang ceria dan menceriakan
 Sahabat yang memberi ketenangan
 Sahabat yang berbaik sangka
 Sahabat yang tidak suka mengata
 Sahabat yang ikhlas
 Sahabat yang jujur
 Sahabat yang baik tutur katanya
 Sahabat yang berfikiran positif
 Sahabat yang baik hati
 Pendengar yang baik



KISAH SEORANG ANAK GADIS DAN IBU PENJUAL SUSU
Pada suatu hari, si ibu ingin mencampurkan susu dengan air untuk mendapat untung yang lebih. Lantas si anak mengingatkan tentang larangan Amirul Mukminin Umar Al Khattab agar para penjual tidak mencampurkan air ke dalam susu. Lantas si ibu memberikan alasan ‘Ah! Kalau kita campur pun, mana Amirul Mukminin boleh tahu’. Maka si anak memberikan jawapan yang sangat bermakna ‘jika Amirul mukminin tidak melihat kita tetapi Tuhan (Allah) tetap melihat kita!’.


MENUTUP AIB ORG LAIN
‘Tidaklah seseorang hamba menutup  aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutup aibnya di hari kiamat kelak’.
(Hadis Riwayat Muslim)

Subhanallah..
Berhati-hati di zaman teknologi ini. aib orang sangat mudah di dedah dengan share di wasap dan di fb dan lain-lain. Sangat bahaya dan berhati-hatilah sebelum share sesuatu yang melibatkan aib orang lain.



TUNJUKKAN KEBAIKAN
‘sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, dia akan akan mendapat ganjaran pahala seumpama pahala orang yang mengikutnya’.
(Riwayat Muslim)

Sahabatku..
Mudahnya mendapat pahala kan? Cuma, tunjukkan kebaikan, walaupun belum tentu ada yang sudi menerimanya.
 






5 MAKANAN RINGAN PENYEBAB KANSER
1. Minuman Berkarbonat
2. Kentang Goreng
3. Donut
4. Sosej
5. Daging Burger/Cincang Bakar
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia