Google Ads

Thursday 4 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 229

MENARIK DI DALAM
·        Aurat dan Akhlak
·        Kehidupan dan kematian
·        Usah Begini, ketika menghadapi orang tersayang
·        Apabila Orang Jahil Bercakap
·        Tanda-tanda Lidah yang kotor menurut Imam al Ghazali



AURAT DAN AKHLAK
Jangan sekali-kali mengatakan bahawa menutup aurat tiada kaitan dengan akhlak seseorang, seperti pernyataan sebegini ‘walaupun saya tidak menutup aurat tetapi hati saya baik’. Hal ini demikian kerana akhlak mulia sesebuah masyarakat mampu dinilai menerusi pakaian dan penampilan warga masyarakat tersebut. Pelik. Ramai Muslimah kini bergaya mengikut telunjuk barat. Pakaian mereka tidak terselit sedikit pun nilai akhlak mulia. Kesannya, kita menjadi pengguna kepada produk busana yang dicedok bulat-bulat daripada Barat yang telah memisahkan agama daripada kehidupan seharian. Penyair Arab, Ahmad Syauqi ada mengatakan ‘Tegaknya suatu bangsa bergantung pada akhlak mereka. Jika akhlak hancur, maka runtuhlah negara’. Benarlah, jika diteliti dengan mata hati, pakaian yang mendedahkan aurat sama seperti pakaian orang kuno dan primitif.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


KEHIDUPAN DAN KEMATIAN
 ’hidup ini seperti minum kopi, semakin pahit semakin mengasyikkan’.

’bukanlah orang bahagia orang yang tiada masalah langsung. Orang bahagia sebenar ialah ialah orang yang boleh hidup dengan masalah’.

’jika semalam sudah terlepas, kita masih ada hari ini. Jika hari ini akan berlalu kita masih ada hari esok. Akhirat itulah esok sebenarnya’.

’Seindah manapun hari-hari semalam, ia tidak akan kembali. Seindah manapun hari ini, ia akan berlalu jua. Seindah manapun hari esok , belum lagi tiba. Bahkan, secantik-cantik apapun dunia, ingat di sana ada kematian.’

                   

USAH BEGINI…

Ketika Menghadapi Pemergian Orang Tersayang...

 Memendam Kesedihan

Menangislah. Kita tidak perlu malu untuk bersedih, bahkan kongsi kesedihan tersebut kalau boleh. Kerana Rasulullah juga berbuat begitu. Tatkala Ibrahim menghembuskan nafas yang terakhir di hadapan Nabi , baginda menangis kemudian bersabda ‘Sesungguhnya air mata mengalir dan hati bersedih, namun kami tidak akan mengucapkan melainkan apa yang diredhai Allah sahaja. Sesungguhnya perpisahan denganmu amat menyedihkan kami’ (Riwayat al Bukhari)

 

 Meratap

Meskipun boleh menangis meluahkan perasaan namun tidak sekali-kali dengan cara meratap. Meratap bukan sahaja meraung-raung, sebaliknya meluahkan rasa tidak puas hati dan kesal seolah-olah tidak meredai ketentuan Ilahi.

 

 Memadam Kenangan

Kerana tidak ingin bersedih, kita cuba untuk tidak ingin mengingati. Salah begitu! Rasulullah sendiri sering menyebut-nyebut tentang arwah isteri Baginda. Dengan itu ringanlah sedikit bebanan rasa rindu. Kenangan ialah peninggalan si dia yang paling bermakna. Maka manfaatkannya. Kenangkan kebaikannya semoga kita dapat meneruskan kebaikannya.

 

 Melemahkan Orang Lain

Kerana bukan kita seorang yang bersedih, ibubapa dan anak-anaknya juga jangan lupa. Maka bantulah mereka melalui saat itu. Mereka lebih lemah dan rapuh, maka kita jadi tunjangnya. Tidak mengapa untuk sama-sama bersedih, namun tunjukkan juga semangat untuk bangkit.

 

 Menyendiri

Rasa menyendiri itu biasa. Maka biarkan namun bukan selama-lamanya. Hidup mesti diteruskan dan kita sangat lemah untuk hidup bersendirian. Maka jika perlukan bantuan, minta. Jangan buruk sangka kepada orang lain keberatan utuk menolong kita. Mereka tidak tahu apa yang kita perlukan.

 

 Menyalahkan Diri

Kita redha dengan pemergiannya bukan bermakna suka, tetapi menerima ketentuan Allah. Allah sudah menentukan saat ini, jauh sebelum kita mengenalinya lagi. Maka jangan diperdayakan oleh peraasan ralat dan kesal tidak berkhidmat untuknya itu dan ini sewaktu hidupnya. Jangan pula tertipu dengan mainan perasaan seperti rasa melupakan pasangan, khianat dan tidak setia kononnya.

Sumber : Solusi Isu 80

 

       

 


APABILA ORANG JAHIL BERCAKAP
SEJAK DULU
Seorang anak muda mendapati seorang pakcik tua berzikir selepas solat; suba, suba, suba, suba sambil mengira dengan tasbih. Anak muda bertanya ‘zikir apa yg pakcik baca?’ ‘isy, anak muda, banyak benda yang kamu kena belajar lagi. Semua orang amalkan begini!’

LEMAH
Seorang lelaki tua bersembang lalu berhujahkan satu hadis lemah yang tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Kemudian pelajar berkata ‘Maaf pak cik, itu hadis lemah’. Lantas pak cik itu berkata ‘Astagfirullahal’azim. Bagaimana kamu yang bersekolah agama boleh kata hadis Nabi lemah? Kalau kata-kata nabi Lemah, kata-kata siapa lagi yang kuat?

TUTUP KEPALA
Pada hari kursus haji. Seorang bertanya ‘kalau perempuan hendak tutup kepala juga semasa haji berdosakah? Adakah dia perlu bayar fidyah seperti orang lelaki juga?

Catatan 
Hukum haram menutup kepala hanya bagi lelaki. Perempuan dalam keadaan mana sekalipun wajib menutup kepalanya kerana aurat.

YANG LEBIH MUDAH
‘Ayah, cikgu kata tidak boleh minum dengan tangan kiri’. ‘Betul, tak baik. Tapi dalam keadaan tertentu jadi sunnah. Sebab kita beramal dengan hadis ‘Rasulullah tidak diberi pilihan antara dua perkara melainkan baginda akan memilih yang paling mudah’. Bukankah semasa makan, tangan kanan kotor. Nak pegang gelas akan kotor pula. Nak pergi basuh tangan, menyusahkan. Jadi yang paling mudah, minum dengan tangan kiri’.

Catatan 
Sambungan  hadis tersebut: ‘selagi mana tidak berdosa. Jika sesuatu perkara itu berdosa, maka bagindalah orang yang paling menjauhinya’. (Riwayat al Bukhari).

NABI LA
‘kisah ini berlaku di negeri di Negara Arab. Seorang lelaki bernama La. Dengan yakin dan berani dia mendakwa dirinya Nabi terakhir. ‘saya ialah Nabi. Kerana Rasulullah pernah berkata ‘La Nabiyya ba’di’. Nama aku La, Bukankah Rasulullah saw sendiri yang memberitahu? Jadi akulah Nabi yang ditunggu itu’.

Catatan 
La dalam bahasa arab bermaksud tiada. Jadi maksud sebenar hadis adalah ‘Tiada Nabi lagi sesudah aku’.
 (Riwayat al Bukhari)

HARI AHAD
Di Barat. Seorang Muslim mencadangkan, ‘apa kata kita tukar solat Jumaat kepada hari Ahad. Bukankah menurut ulama ijtihad mengikut berubah mengikut zaman dan tempat? Hari Jumaat ialah hari bekerja sedangkan ahad pula cuti. Bukankah matlamat disebalik solat Jumaat ialah perhimpunan dan perayaan mingguan umat Islam?’

Catatan 
Dalam syariat ada hukum yang jelas sabit pula dengan kesepakatan ulama (ijmak) seperti solat Jumaat. Hukum ini tidak boleh diubah.

Pengajaran
Bercakap tentang agama tanpa ilmu termasuk dosa besar. Dalam al Quran Allah meletakkannya setaraf dengan dosa syirik. Katakanlah ‘sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti serta memperkatakan tentang Allah dengan sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya’. (Al A’raf 7:33). Bagaimanapun ramai orang berani memberi pendapat berkaitan agama secara melulu dan tidak berdasarkan ilmu. Semuanya berdasarkan logik kepala sendiri tanpa memastikan dengan ahli ilmu terlebih dahulu.
Sumber : Angguk Geleng



TANDA-TANDA LIDAH YANG KOTOR MENURUT IMAM AL GHAZALI
1. Berkata-kata yang tidak berfaedah
2. Berlebih-lebihan apabila bercakap
3. Suka bercakap yang batil
4. Banyak memaki hamun
5. Suka bertengkar atau bertikam lidah
6. Mencari-cari kesalahan orang lain
7. Suka mengumpat
8. Bergurau secara berlebihan
9. Suka mengejek dan menghina serta membuka aib orang
10. Bersumpah palsu
11. Memuji bukan pada tempatnya atau mengampu.
         


           




No comments:

Post a Comment