Google Ads

Friday 26 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 234


MENARIK DI DALAM
·        114  Surat Cinta Yang Dipersia
·        Tanda Lidah Kotor
·        Bila Islam Tidak Dilihat Indah
·        Kiraan Nafas

114 SURAT CINTA YANG DIPERSIA
            Hampir 3/4 daripada keseluruhan peserta tidak mengetahui makna bacaan solat. Bacaan yang paling asas yakni surah al Fatihah pun gagal di fahami maknanya. Surah al fatihah dijadikan ujian wajib untuk mengetahui sejauh mana para peserta mengambil berat tentang solat. Malangnya, keputusan ujian yang dijalankan secara santai itu sangat mengejutkan. Apa tidaknya, ada dalam kalangan peserta yang telah berusia setengah abad tidak mengetahui makna surah al Fatihah. Ertinya mereka lebih 30 atau 40 tahun solat tanpa mengetahui makna al Fatihah. Bayangkan 30 tahun, tempoh yang cukup lama. Jika benar-benar serius dan fokus, jangka masa itu bukan sahaja cukup untuk memahami bacaan al Fatihah, bahkan tafsirannya sekali. Malah lebih daripada cukup untuk menjadi seorang hafiz!
‘Bagus ustaz buat ujian macam ini’, kata seorang peserta. ‘sekurang-kurangnya kita tahu apa yang kita tidak tahu’, tambahnya lagi.
‘betul-betul ke kita tidak tahu yang kita tidak tahu?’ujar saya perlahan.
‘apa maksud ustaz?’

Rasa Tidak Penting
Saya senyum, bukan untuk menempelak tetapi sekadar menimbulkan perasaan ingin tahu dalam usaha mencari punca sebenar kelemahan itu.
‘saya rasa selama inipun kita sudah tahu yang kita tidak tahu makna tunggu’ dan ‘nantilah’ maka kejahilan itu terbiar. Sedar tidak sedar sikap sambil lewa kita berlarutan hingga puluhan tahun’. Ujar saya lagi. bacaan al Fatihah. Tetapi oleh sebab bersikap ‘tak apa’ ‘
‘benar ustaz. Kita tidak serius dengan solat . Sebab itu makna al fatihah, bacaan wajib di dalamnya pun kita tidak serius untuk memahaminya’. ‘mengapa kita tidak serius?’ tanyalah lagi.
‘puncanya kerana kita rasa solat ini tidak penting. Kita tahu kepentingannya tetapi tidak merasai kepentingannya’. Tambah saya.
‘tahu tidak sama dengan merasai?’ dia meneruskan pertanyaan.
‘ya, tahu dan sedar berbeza. Tahu di akal, rasa di hati. Merasai lebih besar impaknya daripada sekadar mengetahui’.
‘buktinya ustaz?’
‘tertinggal solat tidak rasa rugi, tidak rasa bersalah atau tidak ada rasa kesal. Tetapi kalau hilang duit? terbakar rumah? Harga barang naik? ‘
‘wah, itu terasa betullah, ustaz!’
Kami sama-sama tersenyum. Saling mengakui betapa lemahnya diri dan umat ini.

Mereka mementingkan solat
‘siapakah yang rasa solat betul-betul penting?’ tanya saya mengalih sedikit arah perbualan.
‘Rasulullah’
‘kemudian?’
‘para sahabat baginda’
Ketika itu saya teringat kisah bagaimana kaki Rasulullah bengkak-bengkak akibat terlalu lama berdiri dalam solat. Terbayang pula bagaimana Sayidina Abdul Rahman bin ‘Auf tega menginfakkan seluruh kafilah yakni unta-unta dan segala isinya kerana ingin menebus kelewatannya takbiratulihram dalam solat berjemaah pimpinan Rasulullah. 
‘mengapakah Rasul dan sahabatnya begitu pentingkan solat?’ tanyanya.
‘mengapakah kita berbeza dengan mereka?’ detik hati saya, juga tertanya-tanya. semalam ketika terhimpit dicelah kesesakan lalulintas sempat saya melihat ramainya orang Melayu masih berbondong-bondong di pasar malam untuk membelibelah, dikedai-kedai makan sambil berbual-bual kosong, walaupun ketika itu telah masuk waktu maghrib.
‘sebab kita tidak terasa Allah penting dalam kehidupan kita’. Akhirnya saya bersuara bersama sebuah keluhan.

Sebab Kita Rasa Penting
‘kita hanya akan berhubung dengan seseorang apabila kita rasakan dia penting atau diperlukan. Bayangkan betapa resahnya jika kita tidak dapat berhubung dengan ibu bapa, anak isteri, majikan, saudara dan teman rapat kita’.
‘saya ada pengalaman begitu, ustaz. Pada satu ketika saya berkursus di sebuah lokasi yang berada ’di luar kawasan liputan’. Telefon bimbit tidak dapat digunakan langsung. Saya resah, betul-betul resah, 3 hari tidak dapat berhubung dengan orang penting dalam hidup saya sepanjang tempoh di situ’. Ceritanya.
‘kalaulah rasa semacam itu dapat kita miliki ketika terlambat lebih-lebih terluput waktu solat, maka alangkah baiknya’. Detik saya dalam hati.
‘Allah lebih penting dalam segala-galanya. Sebab Dialah yang mengadakan segala-galanya untuk kita. Kita dilimpahi jutaan nikmat. Tetapi kita melupakan Pemberi nikmat. Sepatutnya kita hitung kesyukuran bukan kesukaran. Kita bimbangkan apa yang tiada sehingga lupa menghargai apa yang ada’. Dialog hati ini menerjah silih berganti.

Jangan Seperti Burung Kakak Tua
‘bayangkan, kita umpama burung kakak tua yang berkata-kata tanpa memahami makna kata-katanya. Justeru, tidak hairanlah kalau hati kita terus lalai dalam solat. Jika memahaminya pun tidak, apalagi menghayatinta? Kita sujud, tetapi hati tidak sujud. Kita ucapkan subhanallah tetapi tidak terasa sedang bertasbih kepadaNya. Itu baru kalimat-kalimat yang mudah. Belum lagi doa iftitah, al fatihah, tahiyat, Qunut dan lain-lain. Sudah hafal tetapi tidak faham maknanya’
 ‘itu pun dah kira baik, kerana ramai juga yang masih tidak hafal langsung bacaan solat’ tambahnya.
‘itu yang solat. Yang tak solat? Justeru tidak hairanlah jika kemungkaran terus berleluasa di tengah-tengah masyarakat. Apabila tidak solat, masakan ada kemampuan dalam diri untuk tidak melakukan kejahatan dan kemungkaran?’.
‘ya, solat itu mencegah perbuatan jahat dan mungkar!’
‘cukuplah dengan hal masyarakat . Sekarang kita lihat diri kita dulu. Mari kita semak semula makna tersurat dan tersirat pada rukun qawli dan qalbi dan fi’li. Solat 1 amal ibadah yang penuh makna tersurat dan tersirat. Ada falsafah di sebalik berdiri betul, rukuk, sujud dan salam?

Sudahkah Kita Memahami?
‘ustaz, ini baru sedikit. Hanya beberapa kerat ayat al Quran, selawat, tasbih dan lain-lain. Bagaimana agaknya dengan 6236 ayat-ayat dalam al Quran itu ya?’ ’
Saya terdiaam. Terasa benar agama ini kita anuti tanpa erti, kita amalkan tanpa penghayatan, kita perjuangkan tanpa kefahaman. Ya, seperti seorang pelajar yang membaca buku pelajarannya tanpa faham, bagaimana dia mampu lulus dengan cemerlang dalam peperiksaannya? Tanpa memahami buku teks pelajaran, kita gagal dalam peperiksaan. Dan tanpa memahami al Quran, kita gagal dalam beragama.  Ya, bayangkan bagaimanakah agaknya rasa kita kalau menerima sepucuk surat daripada seorang kekasih, tetapi tidak faham apa yang ditulisnya. Allah ’kekasih’ orang beriman telah mengutus 114 surahnya, 114 surat cinta. Berapa surah yang telah kita tahu maknanya, faham tafsirannya, amal kehendaknya dan perjuangkan tuntutannya? Justeru, apakah benar kita cinta  akan Allah? Jika benar , mengapa kalimah cintaNya (al Quran) tidak kita usahakan untuk membaca, memahami dan menghayatinya? Love is a verb, cinta itu tindakan, bukan hanya perkataan. Cinta itu pengorbanan, bukan ketaasuban. Mengaku cinta tetapi tidak memahami tuntutannya dan tidak ada pengorbanan adalah satu kepura-puraan dan kebatilan. Justeru tidak hairanlah sekiranya 114 surat cintaNya terus kita persiakan. Mengapa? Kerana kita tidak cinta.! Ya Allah, ampuni kami yang jauh daripada solat, jauh daripada al Quran , justeru, terlalu jauh denganMu , Astagfirullah al a’zim. Bukan Kau ya Allah yang jauh, tapi kami yang menjauh’.
Sumber : Imam Global



TANDA LIDAH KOTOR MENURUT IMAM AL GHAZALI
à Berlebihan ketika bercakap
à Suka bercakap perkara yang batil atau tidak berfaedah
à Banyak memaki hamun
à Bergurau secara berlebihan
à Suka mengumpat
à Suka mencari kesalahan orang lain
à Suka bertengkar
à Suka menghina dan mengejek



BILA ISLAM TIDAK DILIHAT INDAH

Apa yang indahnya tentang Islam?. Bagaimana kalau soalan ini ditanyakan secara spontan kepada kita? Kelu lidah, tergamam dan tergagap-gagap juga hendak menjawabnya. Kalau menjawabpun, jawapannya lebih bersifat skema, bukannya datang dari jiwa. Islam sesungguhnya agama yang indah kerana dicipta oleh Allah yang Maha Indah. Sekiranya islam dilihat dan dirasakan tidak indah, bukan Islam yang tidak indah tetapi hati dan fikiran orang yang melihatnya itulah yang tidak indah. Umpama kelawar yang tidak dapat melihat pada siang hari, bukan kerana siang tidak terang tetapi mata kelawar itulah yang tidak mampu melihat cahaya siang yang terang benderang. Keindahan sebenar Islam hanya dilihat oleh orang yang mempunyai akal yang tajam serta jiwa yang bersih. Keindahan Islam yang begitu menyerlah, tidak akan dapat dirasai oleh mereka yang menganutnya tanpa ilmu dan ikut-ikutan. Golongan yang jahil membuat andaian dan tanggapan berdasarkan pemerhatian yang sempit dan singkat tentang Islam. Mereka berdasarkan emosi, bukan bertitik tolak kepada hujah, fakta dan ilmu. Mereka inilah yang boleh disifatkan sebagai ‘kelawar’ yang buta daripada melihat cahaya keindahan Islam yang terang benderang. Justeru, kerana kejahilan juga mereka gagal melihat Islam secara holistik. Mereka hanya melihat Islam di satu sudut, dengan meminggirkan sudut-sudut yang lain. Mungkin yang dilihat dan dikaji hanya aspek ekonomi dan jihad , tetapi mereka tidak melihat bagaimana Islam mengatur sistem pendidikan, keadilan, perundangan, sosial dan lain-lain. Betapa ramai orang yang berada dalam Islam telah keluar daripada Islam kerana kedunguannya. Sebaliknya ramai pola orang bukan Islam yang berbondong-bondong masuk Islam kerana kebijaksaannya. Inilah yang berlaku di Negara barat sekarang. Islam adalah agama yang berkembang paling cepat di Eropah dan Amerika kerana ramai dikalangan mereka yang  menggunakan kebijaksaan akal untuk mengenal Islam. Hanya apabila Islam dilihat indah, barulah ada dorongan untuk menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Dan pada ketika itu barulah ada rasa cinta dan sanggup mati kerana Islam.

Sumber : Pena  Pengarang  Solusi

 


KIRAAN NAFAS
Hassan al Basri memberikan nasihat ‘bersegeralah! Bersegeralah! Nafas yang tersisa akan dihitung. Ketika tidak boleh bernafas lagi, tidak mampu lagi berbuat amal yang mendekatkan diri kepada Allah. Semoga Allah mengasihi hamba-hambaNya yang melihat diri mereka dan menangisi dosa-dosa mereka.’ . Kemudian dia membaca sepotong ayat al Quran yang bermaksud ‘Kami akan menghitung untuk mereka dengan hitungan yang teliti’. (surah Maryam 19 : 84)
Lalu dia menangis tersedu-sedu dan berkata ‘Akhir daripada hitungan itu adalah nafas terakhir yang keluar. Akhir daripada hitungan adalah perpisahan daripada keluarga, dan akhir daripada hitungan adalah memasuki kubur’. 








No comments:

Post a Comment