MENARIK DI DALAM
·
Jangan Kedekut mendoakan ibubapa
·
Allah suka
ganjil
·
Bak Raja Tak
Berbaju
·
Hadis
·
Adab Bersama
al Quran
·
Ujud Jangan
Sekali
JANGAN KEDEKUT MENDOAKAN IBUBAPA
Ibu melahirkan kita di dunia. Menyusukan dan Membesarkan
kita. Ayah pula memastikan kelangsungan hidup seorang anak dan keperluan kita
dipenuhi tanpa ada kekurangan walau sedikit. Ibubapa tidak pernah inginkan
apa-apa pun sebagai balasan. Apatah lagi mereka tidak meminta apa-apa melainkan
untuk melihat anak-anak bahagia. Hakikatnya tiada harta dunia ini yang
mencukupi untuk membalas kembali jasa mereka. Malang sungguh, berapa ramai
anak-anak kini yang konsisten mendoakan kedua-dua orang tua mereka? Amalkan
selepas solat fardhu waktu doa memohon kesejahteraan mereka. Tidak kira sama
ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan,
setiap doa pasti Allah akan beri perhatian. ‘Berdoalah kepadaKu nescaya Aku
(Allah) akan perkenankan’. (Surah Ghafir
40:60). Lihat betapa hebatnya sifat Pemurah dan Pengasihnya Allah, Dia bukan
sahaja memerintahkan kita berdoa, malah dia mengajar apa yang patut kita doakan
dan bagaimanakah cara kita harus berdoa. Tidak cukup sekadar itu, Allah
berjanji akan mempertimbangkan doa-doa itu. Berdoa juga ialah satu langkah yang
produktif. Bahkan menurut pandangan ulama tasawuf, apabila Allah telah
ringankan lidah seseorang hambaNya untuk berdoa, itu petanda Allah telah
memberi lampu hijau untuk memperkenankan doa itu. Yakinlah bahawa apabila Allah
mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan
memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak untuk
memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati
kita ke arah itu. Bukan mudah bagi seorang hamba Allah menggerakkan hati dan
lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati
dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah berasa kefakirannya di
hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-besar berhajat kepadNaya, maka Alah
pasti tidak akan mengecewakan hajat kita.
Sumber
: Pesan Hati untuk Hati
ALLAH SUKA GANJIL
Talhah antara pelajar melayu yang baru tiba di bumi Syria demi menuntut ilmu.
Musim sibuk tiba. Dia memang tidak tahan sejuk. Maka dia memakai pakaian
berlapis-lapis dan mukanya tenggelam. Rakan-rakan sering mentertawakannya.
Suatu hari dalam kelas, gurunya perasan dia kelihatan tidak selesa. ‘kenapa
kamu wahai Talhah?’ ‘Saya sejuk ustaz?’ ‘berapa lapis baju yang kamu pakai
sekarang?’ ‘lima ustaz’. ‘kami paling banyak pun pakai 3 atau 4 lapis sahaja!’
seorang rakannya menyampuk. Rakan-rakan lain ada yang tersenyum dan ketawa.
‘oh, saya boleh sahaja pakai 4, Cuma saya teringat hadis Nabi ’Sesungguhnya
Allah itu tunggal. Dia menyukai bilangan ganjil’. (Riwayat Muslim) sebab itu
saya pakai lima. ‘ jawab Talhah membela diri sambil menggigil-gigil.
Pengajaran
Menariknya kehidupan jika setiap
aspeknya berteraskan nas walaupun secara tidak langsung. .
Sumber : Angguk Geleng
,
BAK RAJA TAK BERBAJU
Apabila kita mula terasa terlalu ingin dipuji.
Apabila yang kita mahu dengar hanyalah kata yang sedap-sedap sahaja,
lebih-lebih lagi atas kedudukan kita sebagai pemimpin atau ketua dalam sesuatu
organisasi atau masyarakat, dan ditambah pula kehadiran pembantu yang kaki
ampu, maka ambillah ikhtibar daripada kisah raja tanpa baju.
HADIS
Rasulullah saw
bersabda ‘Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat seperti peniaga
minyak wangi dan tukang besi. Adapun peniaga minyak wangi, sama ada dia
menghadiahkan kamu wangiannya atau kamu membelinya, kamu akan mendapat kesan
wangian tersebut. Tukang besi pula sama ada bajumu akan terbakar atau kamu
terpalit bau yang busuk’.
(Riwayat Muslim)
ADAB BERSAMA AL QURAN
◊ PILIH WAKTU YANG SESUAI
Sebaik-baik waktu membaca al Quran
adalah pada sepertiga malam, iaitu waktu sahur. Jika tidak mampu, pilihlah
untuk membacanya pada bila-bila waktu berkelapangan.
◊ PILIH TEMPAT YANG SESUAI
Sebaik-baik tempat membaca al Quran
adalah rumah Allah, surau atau masjid. Jika tidak mampu, carilah tempat yang
jauh dari gangguan seperti di taman, sungai dan lain-lain. Namun tidak salah
jika membaca al Quran ketika menunggu bas dan lain-lain
◊ PILIH POSISI YANG SESUAI
Posisi terbaik ketika membaca al
Quran ialah duduk antara dua sujud dan menghadap kiblat. Kedudukan sebegini
menzahirkan kesopanan dan kelemahan seorang hamba berhadapan dengan kalam
Penciptanya dan membantu lebih khusyuk ketika membaca al Quran.
◊ JAGA KEBERSIHAN DALAMAN
Sebaik-baiknya tidak berada dalam
keadaan berbahas atau berjunud. Bacalah al Quran dengan berwuduk walaupun harus
membaca al Quran tanpa wuduk. Seorang yang sentiasa mengulang hafalannya turut
digalakkan berwuduk semasa mengulang bacaan.
◊ BERSIHKAN ANGGOTA
Membersihkan setiap anggota seperti
mulut, mata, telinga dan hati. Demi mendapat hidayah daripada bacaan al Quran yang
bakal kita alunkan, kita perlu membersihkan anggota dengan mengamalkan
bersiwak, berwuduk dan beristighfar sebelum memulakan bacaan al Quran.
◊ BERNIAT IKHLAS
Meletakkan niat perbuatan membaca
al Quran di tempat yang sepatutnya iaitu niat yang ikhlas kerana Allah. Hidayah
al Quran tidak masuk ke dalam hati yang sentiasa bercampur dengan niat-niat
jahat daripada bisikan syaitan.
◊ MENYERAHKAN DIRI KEPADA ALLAH
Serahkan diri anda kepada Allah yang
Maha Mengetahui segala pergolakan di hati hambaNya. Dan yakin bahawa tidak ada
manfaat pada bacaan itu melainkan dengan kurniaan dan izin daripada Allah.
◊ JAUHKAN DIRI DARIPADA SEBARANG GANGGUAN
Jauhkan diri daripada gangguan atau
hilangkan gangguan tersebut sebelum memulakan bacaan. Kadang-kadang urusan yang
belum selesai boleh mengganggu proses penghayatan bacaan.
◊ BACA ISTI’AZAH DAN BASMALAH
Memulakan bacaan al Quran dengan
bacaan isti’azah suatu amalan yang sangat digalakkan dalam Islam. Begitu juga
basmalah. Namun pada surah al Tawbah tidak dibolehkan memulakannya dengan lafaz
basmalah. Selain itu, amalan memulakan bacaan al Quran dengan basmalah juga
adalah untuk mendapat keberkatan dengan nama Allah.
◊ FOKUSKAN FIKIRAN KETIKA BACAAN
Tingkatkan fokus ketika ingin
memulakan bacaan al Quran. Buang segala khayalan-khayalan yang tidak
sepatutnya. Yang tinggal hanyalah kita dengan al Quran . Fikiran-fikiran lain
menyebabkan susah untuk menghayati al Quran kerana tidak fokus.
◊ MENANGIS
Menangis ketika membaca ayat-ayat
tertentu. Sayidina Umar pernah mengungkap berkenaan hal ini. ‘sekiranya kamu tidak
mampu menangis kerana ayat-ayat Allah, maka menangislah kerana kamu tidak mampu
menangis’.
◊ MENGAGUNGKAN KALAM ALLAH
Menghadirkan dalam hati rasa
keagungan Allah sekali gus menimbulkan rasa gerun dan rendah diri ketika
menutur kalamNya.
◊ TADABBUR
Berusaha memahami sesuatu ayat yang
dibaca melalui makna yang tersurat dan yang tersirat di samping memahami kaitan
satu ayat dengan yang seterusnya.
Sumber
: HamalatulQuran
MUTIARA
KATA
UJUD
JANGAN SEKALI (1)
Ujud ialah
kamu melihat padadirimu ada sesuatu yang tiada pada org lain .
(Abdullah
bin al Mubarak)
Ujud ialah
kamu melihat amalanmu banyak manakala amalan org lain sedikit.
(Bisy bin
al-Harith)
Cukuplah
ilmu untuk seseorang apabila dia dapat rasa takut akan Allah . Dan cukuplah
kebodohan baginya apabila dia berasa ujud dengan ilmunya.
(Masruq,
Musannaf Ibn Abi Syaibah)