Google Ads

Tuesday 23 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 233


MENARIK DI DALAM
·        Amaran Makruf Nahi Mungkar
·        Kalau Benar Kita Membaca al Quran
·        Mutiara Kata
·        Jumpa
·        Buaya Boleh Makan?
·        Ciri-ciri Buku Yang Sesuai Dibeli
·        Atas
·        Kemuliaan
·        Mencegah kemungkaran Dengan Kemungkaran

AMARAN  MAKRUF NAHI MUNGKAR
Jika maksiat berleluasa, impak buruknya akan turut terkena tempias kepada orang soleh. Jika bencana melanda dek Allah murka, orang soleh juga tidak akan terkecuali. Bencilah kemungkaran, tetapi jangan membenci pelakunya. Jika itu dapat dilakukan, insyaAllah, dakwah dan tarbiah akan lebih berkesan. Namun, bukan mudah untuk mempraktikkannya. Hanya insan yang mempunyai hati yang benar-benar bersih mampu melakukannya. Inilah rahsia kejayaan dalam misi amar makruf nahi mungkar. Justeru, sebesar mana sekalipun kemungkaran, jangan dilupakan doa dan harapan agar pelakunya mendapat hidayah Allah SWT. Dengan hati yang begitulah Rasulullah saw menghadapi penentangan penduduk Taif. Walaupun diejek dan dilontar dengan batu. namun Rasulullah saw tetap mengharapkan kebaikan. Ketika malaikat menawarkan untuk menghantar azab kepada penduduk Taif, Rasulullah menolaknya.  Tindakan ini sebagai bukti tiada kebencian di hati Baginda walaupun hati dan fizikal Baginda sendiri disakiti. Doa Rasulullah untuk Umat yang disayanginya ‘Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui’. (Riwayat al Baihaqi). Lihatlah, Baginda tidak marah, malah bersabda yang bermaksud ‘Bahkan aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan daripada sulbi (zuriat) mereka orang yang menyembah Allah dengan keesaanNya, tidak menyekutukanNya dengan sesuatu (Riwayat al Bukhari dan Muslim). Ketahuilah bahawa, doa seumpama ini tidak akan tercetus dalam hati yang dipenuhi dengan kebencian. Sewajarnya, semakin kita benci kepada kemungkaran, maka semakin meningkat rasa kasih dan kasihan kita kepada pelakunya. Kemungkaran itu umpama api yang sedang membakar pelakunya. Ayuh, selamatkan mereka dengan kasih sayang. Sesungguhnya tidak sempurna iman kepada Allah tanpa kasih sayang sesama manusia!.
Sumber ; Pesan Hati Untuk Hati




Kalau Benar Kita Membaca al Quran

Suatu ketika Abdullah bin Urwah bin al Zubair bertanya neneknya: Asma’ Binti Abu Bakar ‘Bagaimanakah keadaan sahabat Rasulullah ketika diperdengarkan al Quran?’. Neneknya menjawab ‘mereka menjadi sepertimana yang disifatkan Allah; bercucuran air mata dan meremang kulit mereka. (Ibn Al Mubarak). Allah sendiri menyenaraikan beberapa petanda seorang hamba jika benar dia sedang membaca al Quran. Sila semak diri. Alhamdulillah, jika salah satu tanda tersebut ada pada kita. Maknanya kita benar-benar membaca al Quran. Apa lagi jika lebih. Bagaimanapun jika tiada, bersyukurlah juga kepada Allah. Kerana pada saat ini Allah sudi bukakan kesedaran dan berikan kesempatan untuk kita mengusahakannya.

 

7 tanda kita tadabbur al Quran.

1. Bertambah ilmu dan iman setiap kali membaca.

2. Mudah hendak menangis.

3. Terdorong untuk berdoa tidak semena-mena.

4. Meremang badan apabila membaca ayat-ayat berkaitan. Contoh, ayat tentang Neraka dan azab kaum terdahulu.

5. Rasa seronok apabila membaca ayat-ayat berkaitan kisah kemenangan, nikmat syurga dan lain-lain.

6. Selepas membaca, hati menjadi lembut justeru terus teringat Allah.

7. Terdorong untuk sujud        

Sumber : Jom Amal




MUTIARA KATA
Hanya apabila Islam dilihat indah, barulah ada dorongan untuk menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Dan pada ketika itu barulah ada rasa cinta dan sanggup mati kerana Islam. Rasailah keindahan Islam dengan memperjuangkannya.


JUMPA
Terasa resah lama tidak berjumpa. Adakah rasa yang sama apabila lama tidak ‘berjumpa’ Allah? Atau tidak rasa apa-apa?. Orang yang pernah merasakan kehilangan mengerti manisnya perjumpaan semula. Kita akan peluk dia erat-erat jika lama tidak berjumpa. Demikian sesama manusia. Apakah pula reaksi kita saat ditemukan dengan rahmat Allah? Beruntungnya kita termasuk dikalangan penerima hidayah. Ingat, hidayah bukan seperti barang hilang yang senang kita jumpa. Allah yang memberikan hidayah kepada hambaNya. Untuk bertemu hidayah, sepenuh usaha harus dikerah. Bukan hanya menyerah. Setelah berjumpa hidayah, gengam, dan hargainya. Takut hidayah hilang daripada diri, terkapai-kapai di dunia, menyesal di akhirat.
Sumber : viceversa



BUAYA BOLEH MAKAN?
            Satu hari seorang ustaz bertanya kepada 3 orang pelajarnya. ’Buaya boleh makan tak?’ ’Tidak boleh!’ wajab pelajar pertama. ’Boleh!’ jawab pelajar kedua. ’apa hujah kamu berdua?’ ’Tidak boleh kerana ada hadis Nabi melarang memakan daging binatang pemangsa yang memburu dengan taringnya seperti buaya (Riwayat al Bukhari)’. Pelajar pertama berhujah.  ‘boleh, kerana terdapat hadis Nabi ‘airnya suci lagi menyucikan manakala binatangnya halal dimakan. Buaya termasuk binatang di air. Demikian mazhab Maliki dan lain-lain.‘ Hujah pelajar yang kedua penuh yakin. Tiba-tiba pelajar ketiga bersuara ‘tentulah buaya boleh makan, jika tak boleh makan, mati kebulurlah buaya! Ustaz bukan bertanya, buaya boleh dimakan atau tidak?’.

Pengajaran
Lain sudut berfikir lain pula pandangan yang diberi. Demikian lumrah manusia yang diciptakan Allah dengan tahap intelektual dan pengalaman yang beragam. Maka, uruskan perbezaan dengan memahami sudut pandangan pihak berlainan terlebih dahulu.
Sumber : Angguk Geleng



,


CIRI-CIRI BUKU YANG SESUAI DIBELI

¤ NILAI-NILAI TAUHID
Misalnya berkaitan sifat-sifat Allah—Allah Maha Melihat, Allah Maha Indah dan lain-lain.

¤ CINTA JIHAD SERTA KEBERANIAN
Bacakan kepada anak-anak kisah-kisah keberanian Nabi dan para sahabatnya.

¤ BENCI KEPADA MAKSIAT
Anak-anak perlu tahu, apakah perkara yang Allah larang mereka buat, bukan sahaja tidak melakukannya, malah membenci setiap kemungkaran.

¤ AKHLAK DAN NILAI-NILAI MULIA
Anak-anak perlu membaca buku-buku yang boleh menerapkan nilai-nilai murni sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam. Kebanyakan boleh didapati daripada buku-buku cerita bermotivasi.
Sumber : DIDIKLAH DARI HATI


ATAS
Berada di atas bukan lesen untuk bermegah. Semakin berada di atas, semakin banyak ujian menimpa. Semakin banyak cabaran yang perlu diharungi. Semakin banyak tanggungjawab yang tergalas di bahu. Sering dipesankan kepada kita, apabila berada di atas, jangan dilupakan orang yang bersama-sama kita semasa kita berada di bawah. Tiada orang yang selamanya berada di atas. Berada di atas, mesti ingat yang paling atas, Allah. Hanya dengan ingat kepadaNya akan menjadi benteng daripada melakukan sesuatu yang dilarang. Jika berada di kedudukan lebih atas daripada orang lain, berdoalah agar diberi ketetapan hati dan kekuatan agar terus bergantung dengan Tuhan. Semoga kedudukan tidak membinasakan, malah mendekatkan diri dengan Tuhan.
Sumber : viceversa



KEMULIAAN
‘kita dahulu kaum yang paling hina, kemuliaan Allah muliakan kita dengan Islam. Lalu bila mana kita mencari kemuliaan dengan selain yang Allah pernah muliakan kita dengannya, maka Allah akan menghina kita’.
(Umar al Khattab)





MENCEGAH KEMUNGKARAN DENGAN KEMUNGKARAN
Kejahatan akan bermaharajalela apabila orang baik membisu dan kaku ketika berdepan dengan kemungkaran. Sebenarnya, mereka bukanlah orang yang baik. Oleh sebab itu, hukama menegaskan bahawa orang yang berdiam diri atas kemungkaran umpama syaitan yang bisu. Orang baik dalam erti kata sebenar ialah orang yang ‘soleh dan musleh’ - baik dan membaikkan. Ya, tidak cukup hanya dengan baik, seorang muslim mesti berusaha membaiki orang lain. Hal ini demikian kerana kebaikan seseorang individu muslim dengan muslim yang lain sangat berkait rapat. Mereka laksana satu jasad iaitu rosak satu bahagian jasad akan mengakibatkan kerosakan di bahagian lain. Oleh sebab itu, seseorang muslim dituntut untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar . Jika tidak, kerosakan itu bukan sahaja menyusahkan pelakunya, tetapi seluruh umat Islam akan menanggung akibatnya. 
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati




No comments:

Post a Comment