Google Ads

Tuesday 2 February 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 228

MENARIK DI DALAM
·        Aurat dan Syariat
·        Kehidupan dan kematian
·        Berhenti
·        Doa Ummu Salamah
·        Penceramah Ganti
·        Tip Menghadapi Pemergian Orang Tersayang


AURAT DAN SYARIAT
Bagi mengukur sama ada solat seseorang itu betul-betul mampu mencegah kemungkaran atau tidak, maka ukurlah kehidupan seseorang di luar solatnya. Jika kebersihan diri dan tempat semasa solat dijaga, maka amalan menjaga kebersihan juga akan terpancar dalam kehidupannya di luar solat. Maka begitulah rasionalnya, bagaimana seorang wanita yang tidak menutup aurat di luar solat, tetapi mampu solat dengan menutup aurat? Pasti ada yang tidak sempurna atau tidak kena di mana-mana. Ya, masih ramai lagi yang keliru dalam menilai erti ibadah yang sebenar. Ibadah tidak terhad kepada rukun Islam yang lima sahaja, bahkan setiap saat, setiap perbuatan dan tidak kira di mana-mana sahaja kita boleh beribadah. Semuanya semudah ini: Tutup Aurat melalui niat yang ikhlas kerana Allah, Pelaksanaan yang betul, natijah yang baik, tidak meninggalkan ibadah asas akan menjadi IBADAH.  Sedar atau tidak, setiap wanita muslimah sudah dilatih menutup aurat dengan sempurna lima kali sehari menerusi solat fardhu. Ingat, solat bukan sahaja ‘ditunaikan’ malah perlu ‘didirikan’ dalam setiap aktiviti hidup kita. Dalam konteks ini ‘dirikanlah’ solat bermkana kita mampu menutup aurat dalam dan luar solat.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


KEHIDUPAN DAN KEMATIAN
’kalaulah hidup ini tidak susah, nescaya kita tidak keluar daripada perut ibu dengan menangis’.

’indahnya hidup in, kita boleh menangis sambil tersenyum di bibir dan boleh ketawa sambil berair mata’.

’sesiapa yang mencintai Allah, dia pasti melihat segala sesuatu adalah cantik’.

                   


BERHENTI
Sekiranya kita menghentikan perjalanan atas alasan untuk mencari yang sempurna, itulah pemusnah sebuah kehidupan. Terus berjalan untuk menyempurnakan yang tidak sempurna. Jangan sesekali berhenti. Berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan itu perlu. Mengecas tenaga sebelum meneruskan perjalanan. Berhenti terus menamatkan perjalanan yang sedang diharungi. Kita tidak boleh berhenti berusaha untuk memperbaiki diri. Sebagaimana Allah tidak pernah jemu mencurahkan rahmatNya kepada kita. Kita hanya boleh berhenti selepas nafas terhenti. Tetapi pahala tetap berjalan jika selama kehidupan dipenuhi oleh persediaan bekalan. Hidup bukan untuk mencari perhentian namun untuk melakukan perjalanan.
Sumber : viceversa


DOA UMMU SALAMAH  

Ketika itu Ummu Salamah bersedih atas kematian suami tercinta yang syahid dalam Perang Badar. Rasulullah mengajarkan Ummu Salamah akan doa ini.

‘sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Ya Allah ganjarilah aku pada musibahku ini dan gantikan untukku dengan yang lebih baik daripadanya’.
(Riwayat Muslim)

Ummu Salamah membacakan doa ini selalu. Tapi dalam hatinya tertanya-tanya siapakah lagi yang lebih baik berbanding suaminya Abu Salamah yang sangat penyayang dan baik. Tetapi, selepas itu Rasulullah masuk meminangnya. Benar sekali doa itu dan dia dijodohkan dengan lelaki yang terbaik di kalangan lelaki. 




PENCERAMAH GANTI
Ramadhan tiba lagi. Seperti biasa, surau dan masjid meriah dengan solat berjemaah dan tazkirah. Untuk tahun ini, surau Al Ikhlas menyusun turutan berikut, solat Isyak berjemaah dan disusuli dengan tazkirah Ramadhan. Selepas itu barulah diikuti dengan solat terawih berjemaah. AJK surau tidak ingin ada lagi jemaah yang tidak mendengar tazkirah seperti tahun lepas. Namun suatu malam, pentazkirah yang dijadualkan tidak dapat hadir. Kalutlah AJK. Orang ini tolak orang itu. Melihat kekalutan yang tiada kesudahan, bilal mula bangkit. ‘Malam ini biarlah saya yang memberi tazkirah’. Selepas memberi salam, doa dan mukadimah panjang, dia bertanya ‘saya ingin bawakan 1 isu penting. Tuan-tuan tahu tak isu apa yang hendak saya sampaikan?’
‘Tidak’
‘Kalau begitu tidak bolehlah diteruskan, kerana apa yang hendak saya sampaikan ini memerlukan pengetahuan asas. Lebih baik kita solat terawih terus. Aqimussolah!’ Malam esoknya, ustaz yang dijaduakan juga tidak dapat hadir. Sekali lagi tolak menolak berlaku. Bilal muda itu bangkit. ‘tuan-tuan tahu apa yang saya akan sampaikan pada malam ini?’
‘tahu, tahu’,
‘Baiklah kalu begitu. Tidak perlulah saya sampaikan. Kita terus solat sahaja!’. Entah macam mana, malam berikutnya juga ketiadaan Ustaz, Bilal muda terus bertindak lagi sebelum adegan kalut tolak menolak berulang. ‘Tuan-tuan tahu apa yang saya nak sampaikan malam ini?’ ‘Tahu!’ ‘Tidak tahu!’. Jemaah berpecah kepada dua kumpulan. ‘Alhamdulillah. kalau begitu kita terus solat sahaja,. Nanti masing-masing orang yang tahu sampaikan kepada orang yang tak tahu!’

Pengajaran
Kisah ini rekaan sahaja namun wajar meningatkan kita kepada suatu hakikat. Tazkirah adalah tazkirah. Tazkirah itu adalah peringatan. Tidak perlu lama-lama bagaikan kuliah pengajian. Tidak semestinya ustaz, baru boleh berjalan. Membacakan sepotong dua hadis pun sudah dikira memberi tazkirah.
Sumber : Angguk Geleng



TIP MENGHADAPI PEMERGIAN YG TERSAYANG

Yakin, ada Yang Terbaik Menanti
Tiada sesiapa pun yang suka dengan pemergian orang tersayang. Bagaimanapun Allah sudah mengatakan ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan hal itu lebih baik untuk kamu’. (Al Baqarah 2:216). Maka jangan berhenti mengharapkan kebaikan daripada Allah. Hanya dengan hati yang bergantung pada Allah, kita akan dapat mengharungi saat paling sedih itu. Semoga kita dipertemukan kembali di syurga.

Bandingkan Musibah Orang Lain Lebih Dahsyat
Kita bukannya satu-satunya manusia yang mengalami musibah itu. Rasulullah, manusia paling dikasihi Allah pun mengalaminya bahkan lebih dahsyat.

Jadi Insan Yang Membanggakan
Jika kita ada banyak masa untuk melayan kenangan,maka gunakannya untuk merancang masa depan. Apa kata menjadi insan yang dibanggakan pasangan. Sibukkan diri dengan aktiviti membantu keluarga dan masyarakat. Yakinlah, kita tidak pernah keseorangan.

Istighfar Apabila Terkenang
Akan ada ketikanya, kenangan silam menjelma tiba-tiba, lalu perasaan hiba tidak dapat dihalang. Biasanya pada yang pertama, hari raya ,hari jadi, pada hari ulangtahun, serta hari jadi anak-anak  yang pertama tanpanya. Maka, setiap kali saat sebegitu tiba, perbanyakkan istighfar buatnya. Mohon yang terbaik buatnya.

Jaga Baik-baik Orang Yang Paling Disayanginya
Siapa lagi jika bukan diri kita sendiri? Adalah normal kita berasa letih dan tidak bermaya pada peringkat awal, namun jangan diturutkan perasaan sampai enggan makan, minum dan hidup.  Bayangkan jika dia masih hidup, tentu dia tidak mahu kita dalam keadaan demikian. Maka jangn lupa makan dan minum. Makanlah makanan kegemaran. Tidur biar cukup. Usah berasa bersalah untuk gembira. Pergilah bercuti dan bergembiralah bersama-sama anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Sayangi diri sebagaimana dia menyayangi kita.

Sumber : SOLUSI ISU 80






No comments:

Post a Comment