Google Ads

Sunday 31 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 227

MENARIK DI DALAM
·        Manifestasi Tauhid
·        Fenomena Hutang Atau Riba
·        Baguslah Tiada Gigi
·        Kehidupan dan Kematian
·        Berjalan
·        The Power of Sedekah

MANIFESTASI TAUHID
 Beriman Kepada Allah
Jika mengaku beriman kepada Allah, patuhi perintah menutup aurat dan jauhi larangan mendedahkan aurat.

 Beriman Kepada Rasul
Jika mengaku beriman kepada Rasul (Muhammad saw), maka patuhilah sunnah menutup aurat yang telah diterapkan oleh Rasulullah saw. Modelnya telah wujud sekian lama dan telah dipraktikkan oleh isteri–isteri baginda.

 Beriman Kepada Kitab
Jika mengaku beriman kepada kitab (al Quran), semestinya kita perlu memahami dan mengamalkan anjuran menutup aurat yang telah termaktub dalam al Quran.

 Beriman Kepada Malaikat 
Jika mengaku beriman kepada malaikat, pasti kita akan sedar bahawa malaikat Raqib dan Atid sentiasa ada di sisi merekodkan dalam buku amalan sama ada seseorang itu (lelaki dan wanita) menutup aurat atau tidak.

 Beriman Kepada Hari Akhirat
Jika mengaku beriman kepada Hari Akhirat, adakah masih berani melanggar arahan yang akan menghumbankan diri ke dalam neraka jahannam? Begitulah juga sebaliknya, mematuhi arahan pula akan menjadi asbab mampu menikmati  rahmat Allah di dalam syurga nan indah.

 Beriman Kepada Qadak Dan Qadar
Jangan di sangka jika ditakdirkan lahir dalam keluarga atau berada dalam suasana yang tidak Islamik menjadi alasan untuk tidak menutup aurat. Fahamilah sebenarnya di balik tabir qadak dan qadar, setiap manusia ada potensi untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


FENOMENA HUTANG ATAU RIBA
Gaya Hidup Dan Budaya Masyarakat
 Budaya menunjuk-nunjuk
sebahagian besar masyarakat hari ini mengukur kejayaan seseorang berlandaskan  kekayaan dan kebendaan (ataupun materialistik) dan bukannya budi pekerti serta iman semata-mata. oleh itu kebanyakan kita ingin hidup senang serta suka bersikap menunjuk-nunjuk sehinggakan hutang menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan sehari-hari tanpa mempedulikan implikasinya pada masa hadapan.

 Biar papa asal bergaya.
Majoriti golongan muda tidak tahu membezakan antara keperluan kewangan dengan kehendak sehinggakan mereka yang alpa sanggup menjalani gaya kehidupan di luar kemampuan kewangan sebenar mereka.

 Fenomena ’konsumerisme’.
Ramai antara kita yang berbelanja mengikut nafsu semata-mata, yang didorong oleh fenomena ’konsumerisme’. Iaitu mempunyai barangan banyak adalah bagus.

 Kurang faham konsep Hutang dan Riba
oleh sebab tidak mempunyai ilmu agama yang mendalam, majoriti daripada kita yang menganggap fenomena hutang serta riba merupkan perkara-perkara biasa dalam kehidupan dan sesetengahnya menganggap pinjaman yang diperoleh adalah haknya, hakikatnya bukan.

 Eksplotasi Pembiayaan Peribadi
Bagi golongan kaya, produk kewangan hutang telah menjadi instrumen utama mereka menjana pendapatan pasif yang lumayan dengan modal yang paling minimum.

 Tawaran Pembiayaan Peribadi
Sikap sesetengah institusi perbankan yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk berupa pembiayaan peribadi turut menyumbang kepada gejala gaya hidup berhutang.

 Kurang pendedahan terhadap pengurusan kewangan
kurangnya ilmu pengetahuan mengenai pengurusan kewangan terutama dalam kalangan golongan belia sehingga berbelanja di luar kemampuan kewangan sebenar.
         


BAGUSLAH TIADA GIGI
Ustaz Muawiyah menyampaikan kuliah bulanannya. Kali ini menyentuh mengenai hukum hakam perceraian. Pada sesi soal jawab , sesorang bertanya’ kalau saya berkahwin, kemudian selepas berkahwin baru saya tahu yang isteri saya tiada gigi, bolehkah saya fasakh perkahwinan saya?’ ’kenapa kamu nak ceraikan dia. Sedangkan dia perempuan yang baik, mana mungkin dia akan menggigit kamu?’ustaz berseloroh sementara memberikan penerangan yang sebenar. 

Pengajaran
Gurauan ini patut mengingatkan kita akan saranan Allah swt  dalam menguruskan konflik rumah tangga. Firman Allah ‘Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri) dengan cara yang baik. Jika kamu benci mereka, boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan sesuatu yang kamu benci itu adalah kebaikan yang banyak.’ (surah Al Nisa’ 4:19). usah terburu-buru untuk berpisah setelah sekian lama bersama. Benar ada sikapnya  yang tidak berkenan di hati, namun mustahillah tiada langsung kebaikan dirinya. fokus kepada kelebihan dan keistimewaan pasangan.  
Angguk Geleng






KEHIDUPAN DAN KEMATIAN
‘Di dunia ini hanya ada 3 hari. Hari semalam dan ianya sudah berlalu. Hari esok, yang mungkin kamu tidak akan bertemu. Hari ini, inilah harimu, maka manfaatkanlah’.

‘Membazir masa lebih dahsyat daripada mati kerana membazir masa menjauhkan kamu daripada Allah dan akhirat, sedangkan mati memisahkan kamu daripada kehidupan dan manusia sahaja’.

‘Apabila manusia menyelami kesempitan hidup, barulah dia menyedari keluasan rahmat Tuhan’.

‘Kamu bukanlah satu-satunya orang yang bersedih pada saat ini dan bukan semua orang sebahagian yang kamu sangka’

Dunia ini memang medan air mata. Yang paling indah ialah pertemuan, yang paling sukar ialah perpisahan. Walau bagaimanapun kita boleh mengikat kedua-duanya dengan kenangan.



BERJALAN
Yang paling payah adalah untuk memulakan suatu perjalanan. Kembara sebagai khalifah di muka bumi bermula saat kita dilahirkan. Berjalan, bergerak di bumi Allah demi menjalankan perintah dan mematuhi laranganNya. Sepanjang perjalanan ini ini, jangan berhenti sebelum mati. Perjalanan mesti diteruskan walau berkali-kali terhenti disebabkan suatu halangan. Terus dan terus berjalan walau apa sekalipun yang terentang di tengah-tengah perjalanan. Meski sepayah mana laluan yang terentang di hadapan. Hakikatnya, dengan berjalan kita akan menambah pengalaman , kenalan dan pengetahuan. Matlamat motivasi terbaik untuk terus berjalan. Matlamat seorang Muslim adalah untuk sentiasa berada di atas jalan kebenaran. Teruskan perjalanan untuk menyempurnakan persediaan bekalan.
Sumber : viceversa




           


THE POWER OF SEDEKAH
Sedekah membentuk minda ‘kaya’ walaupun anda belum bergelar jutawan.

Kata orang, ada 2 parameter kekayaan. Pertama bergantung kepada berapa banyak wang yang dimiliki. Kedua, berapa banyak wang yang boleh beri. Saya lebih sukakan parameter kedua kerana ia lebih dekat dengan definasi yang Rasul ajarkan. Rasul mengajar, kekayaan manusia dilihat kepada berapa banyak dia bersedekah. Ada manusia kaya tetapi sedekahnya seringgit sahaja, sama dengan jumlah sedekah orang miskin. Bagi Tuhan mereka dianggap miskin walaupun wangnya melimpah. Ada orang miskin tetapi kaya di sisi Tuhan kerana ia tidak lokek bersedekah. Sebagai contoh, gajinya seribu sahaja tetapi dia mampu bersedekah 200 ringgit sebulan, sama dengan jumlah yang dikeluarkan oleh orang yang bergaji 10 ribu sebulan. Manusia sebegini digelar OKS..Orang Kaya Sentiasa. Dia kaya hati. Mindanya positif dengan berfikir’saya ada banyak perkara untuk dikongsi’. Dia mendefinasikan kekayaan dengan seberapa banyak anda boleh memberi. Dia juga kaya akhirat, kerana setiap sedekah yang dihulurkan akan Tuhan tukarkan dengan pahala berganda. Itulah ‘wang’ sebenar kita di akhirat.  Di sana, matawang yang laku hanyalah pahala. Bagi yang sudah ‘akhirat oriented’ ,mereka akan ghairah menyimpan wang dalam bentuk ini kerana sedar, faedah ‘fix deposit’nya amat lumayan.

Sumber : Formula Hidup Luar Biasa





Friday 29 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 226

MENARIK DI DALAM
·        Aurat hati
·        Bukankah Kita Mahu?
·        Syaitan Belanja
·        Tip : Proses Pembersihan Hati
·        Apa Yang Hendak Dihairankan
·        Mukmin Profesional


AURAT HATI
Ingatlah ‘aurat di hati’ juga patut ditutup sama seperti menutup aurat pada tubuh badan. Malah, aurat di hati ini jauh lebih penting dijaga daripada aurat di badan. Maksudnya, hati jangan liar, hendaklah dijaga selalu. Jika hati masih liar walaupun sudah bertudung, maka tingkah laku akan menjadi liar juga, pergaulan bebas, pandangan mata tidak dikawal, keluar hingga jauh-jauh malam, berada di tempat-tempat maksiat, maka ketika itu tudung pun tidak akan mampu menjaga maruah dan akhlak diri. Tegasnya, tudung mampu  menjadi perisai pada akhlak dan tingkah laku, jika soal hati, elemen dalaman seperti iman, keyakinan dan yang seumpamanya dijaga. Pelaksanaan syariat mesti dibuat berdasarkan iman, barulah membuahkan akhlak. Maksudnya, menutup aurat (syariat) mestilah dilaksanakan atas dasar takut dan cinta akan Allah. Hanya dengan itu, barulah akhlak yang baik akan terpancar pada diri yang melaksanakannya (Wanita yang menutup aurat). Namun harus diingat, menjaga elemen dalaman bukan alasan untuk membuang tudung. Kononnya, yang penting hati. Bukan begitu maksudnya. Seumpama memakai topi keledar juga, wajib dipakai. Sekalipun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang dan sebagainya, namun kadang-kadang kemalangan berlaku juga. Bukan disebabkan kecuaian kita, tetapi kecuaian orang lain. Pada waktu itu, sesiapa yang memakai topi keledar akan kurang sedikit riskonya menghadapi cedera parah atau maut. Maka begitulah juga dengan seorang wanita. Walau bagaimana baiknya dia menjaga hati, tutur kata, perangai dan tingkah laku, dia tetap diwajibkan bertudung. Syariat lahir (menutup aurat) dan syariat batin (menjaga hati) perlu digabungkan secara bersepadu untuk memberikan keselamatan yang paling optimum kepada seorang wanita.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


BUKANKAH KITA MAHU?

Tawaran ganjaran daripada Allah cukup banyak. Kerjanya mudah, pulangannya mewah malah tiada risikko kerugian. Satu-satunya kerugian ialah kerugian tidak mengambil tawaran tersebut sebanyak-banyaknya.

 

 Bukankah kita mahu dekat dengan Allah?

saat yang paling hampir seorang hamba dgn Tuhannya, iaitu ketika dia bersujud. Maka perbanyakkan doa (ketika itu)’. (Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu berada dekat dengan Allah?

‘sesiapa yang solat subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah’

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu dosa diampunkan?

‘sesiapa yang mengucapkan ‘subhanallah wa bihamdihi’ setiap hari 100kali, gugurlah segala kesalahannya sekalipun sebanyak buih di lautan’.

(Riwayat al Bukhari)

 

 Bukankah kita mahu doa dikabulkan?

‘Tiada seorang pun Muslim yang berdoa buat saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya, melainkan malaikat turut berdoa ‘dan semoga bagimu yang seumpamanya’.

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu jalan mudah ke syurga?

‘sesiapa yang merentasi jalan demi menuntut ilmu. Maka Allah akan mempermudah untuknya jalan menuju ke syurga’.

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu pahala qiamullail sepanjang malam ?

‘sesiapa yang solat Isyak berjemaah, seolah-olah dia telah berqiamullai separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seolah-olah dia beqiamullai sepanjang malam’

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu pahala berpuasa, berqiamullai dan berjihad sekali gus?

‘orang yang menanggung keperluan wanita janda dan orang miskin seperti seorang yang berjihad di jalan Allah, berqiamullai tidak henti-henti dan berpuasa tidak berbuka-buka’. (Riwayat al Bukhari)

 

 Bukankah kita mahu agar tetap mendapat pahala walaupun setelah meninggal dunia?

—> sedekah

—>Ilmu yang bermanfaat

—>Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya

((Riwayat Muslim)

         


SYAITAN BELANJA
Al kisah, seorang wanita tua di sebuah Negara kafir. Dia menjadi Muslimah sejak 20 tahun lalu. Beliau bukan sahaja Istiqamah bahkan berbangga beragama Islam. Kepada sesiapa sahaja rakan dan jiran, dia akan bercakap tentang Allah. Ucapan ‘Alhamdulillah, all praises to Allah’. Tidak lekang disebutnya. Barangkali sudah panas telinga, seorang jiran menengkingnya ‘Mana ada Tuhan!’. Suatu hari si jiran ateis terdengar wanita tua itu berdoa ‘Ya Allah, aku dalam kesempitan. Barangan keperluan harianku sudah kehabisan. Ya Allah , bantulah hambaMu yang lemah ini’. Si ateis mendapat satu akal. Keesokan harinya, sewaktu hendak keluar rumah, wanita tua mendapati satu beg plastik di hadapan pintu rumahnya berisi barangan harian, roti, sayur, biskut, minyak dan sebagainya.  ‘Alhamdulillah, All prasise to Allah !’ kuat sekali sebutannya. Lantas jirannya keluar dari balik pokok. ‘Haha! Kan saya dah kata, mana ada tuhan. Saya yang belikan semua itu. Bukan Tuhan!’ ‘Alhamdulillah. Ya Allah, Engkau bukan setakat penuhi hajatku, malah membuatkan syaitan bayarkan!’

Pengajaran
Apabila hati sentiasa mengagumi kasih sayangNya, tiada apa-apa yang mampu  mengugat keimanan lagi.
Sumber : Angguk Geleng
  



TIP:PROSES PEMBERSIHAN HATI
% TAKHALLI
Peringkat pengosongan. Kosongkan sifat mazmumah (sifat buruk) yang diharapkan. 
Cth: sifat cepat marah

% TAHALLI
Peringkat perhiasan. Ganti dan hiaskan dengan sifat mahmudah yang dikehendaki.
Cth: Sifat mudah memaafkan

% TAJALLI
Peringkat penonjolan. Pada peringkat ini, sifat mahmudah yang diinginkan menjadi sebati dan sinonim dengan diri.




APA YANG HENDAK DIHAIRANKAN
Hairan bukan? RM10 untuk didermakan terasa banyak, namun RM100 untuk baju baru seakan tidak luak.
Hairan bukan,? 2 minit solat Duha terasa mengambil masa, namun 20 minit bersenam seakan tidak cukup masa.
Hairan bukan? Dua mukasurat al Quran lamanya terasa untuk  habis , namun 200 muka surat novel tidak puas-puas.
Hairan bukan? 30 minit mendengar tazkirah sudah memadai, namun 3 jam menonton filem belum cukup lagi.
Hairan bukan? Sehari dalam seminggu membaca al Quran pun jarang-jarang, setiap hari menonton drama jarang berselang.
Hairan bukan? 5 minit berada di masjid sudah terasa lama, 50 minit di kafe tidak terasa. 
Hairan bukan? Menunggu solat sekejap berasa lama, menunggu pancing disambar ikan berjam-jam pun masih teruja.
Hairan bukan? Kita sudah tahu bahawa kita perlu berubah, namun tidak ubah-ubah jua.
Apa yg nak dihairankan. Begitulah keadaannya jika diri semakin dikotori dosa! Sedikit demi sedikit dosa menghilangkan rasa lazat untuk beramal. 

Sumber : KataDua



MUKMIN PROFESIONAL
Umat Islam yang sedang mengalami kemunduran dan kelemahan dari sudut rohani dan material perlukan satu proses ‘rebranding’ dari segi imej dalaman dan luarannya. Usaha penjenamaan semula ini perlu bermula daripada pengupayaan modal insan. Manusia Muslim itulah faktor pemula yang akan mencorakkan imej Islam. Jika Islam digelapkan oleh Umat Islam itu sendiri, maka untuk menyerlahkan kembali cahaya Islam itu, umat Islamlah yang perlu diproses dan dibangunkan terlebih dahulu. Mukmin professional ialah mereka yang berkemampuan menyejajarkan dan menyepadukan pelaksanaan fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab hamba dan khalifah, kesinambungan ilmu aqli dan naqli, kesucian zikir dan kekuatan fikir dalam kehidupan.  faktor ‘fikir’ inilah yang melayakkan manusia menjadi khalifah di muka bumi. Fikir manusia mesti diiringin oleh zikir. Mukmin professional ialah mereka yang mampu meletakkan ‘fikir’ nya di landasan ‘zikirnya;. Mereka jugalah yang di sebut sebagai ulul alab dalam al quran. Dengan sifat mukmin, mereka mampu memperbaiki keadaan umat yang dilanda pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran , mereka mampu menyelesaikan masalah umat yang ketinggalan dalam bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains. Ilmu fardu ain menjadikan manusia baik, manakala ilmu fardu kifayah menjadikan manusia  cerdik. Dengan kebaikan dan kecerdikan yang di bina oleh kedua-dua ilmu ini manusia akan menjadi hamba Allah dan khalifah yang sempurna

         




Wednesday 27 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 225

MENARIK DI DALAM
·        Piawaian Bertudung
·        Mudahnya Bangun Solat Subuh
·        Ada Hikmah
·        6 Mitos Masa


PIAWAIAN BERTUDUNG
Satu perkara yang menarik tentang hubungan antara topi keledar dan tudung ini ialah sama seperti topi keledar yang bermacam-macam jenisnya, tudung juga begitu. Ada pelbagai jenis fesyen tudung. Yang kontot, labuh, tebal dan jarang. Warnanya juga pelbagai. Seperti topi keledar yang ada piawaiannya, tudung pun begitu juga. Apakah jenis tudung yang mencapai piawaian? Ya, yang mencapai tujuan semestinya yang  menutup aurat!. Seperti topi keledar, tujuannya melindungi kepala. Sayangnya, kadangkala ada topi keledar gayanya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Terhantuk sedikit, berkecai kepala. Yang malangnya, ada pula topi keledar yang sudah baik, tetapi cara pakainya pula tidak tepat, talinya dibiarkan longgar, main disarungkan sahaja. Ini pun satu masalah juga. Kalau berlanggar, padah akibatnya. Maka begitu jugalah wanita yang bertudung, kadangkala hanya sangkut pada jambul rambut manakala leher dan dada dibiarkan terdedah. Ini bertudung, bukan menutup aurat. Justeru, ditegaskan sekali lagi bahawa memakai tudung dan menutup aurat ini dua perkara yang berbeza. Ramai yang bertudung, tetapi tidak menutup aurat. Menutup aurat ada niatnya, ada konsepnya dan ada falsafahnya yang khusus. Bertudung dibuat atas dasar iman, cara dan perlaksanaannya pula mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk menegakkan akhlak. Tetapi jika sekadar memakai tudung sahaja– niat, falsafah dan tujuannya tentulah lain dan kesannya juga tentu lain. Mungkin niatnya hendak glamour, gantik, bergaya atau menutup kekurangan pada muka dan rambut. Justeru tidak hairan jika kini tudung telah dieksplotasi untuk ’mendedahkan’ kecantikan diri sehingga terbabas melepasi batas-batas syariat.  
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


MUDAHNYA BANGUN SOLAT SUBUH

 Tidur Dalam Keadaan Berwuduk

Tidur dalam keadaan berwuduk memudahkan kita bangun qiamullail dan solat subuh. Bahkan, bonusnya, kita akan mendapat doa malaikat.

Rasulullah saw bersabda ‘sesiapa yang tidur dalam keadaan bersuci, dikepalanya terdapat malaikat yang mendoakan ‘Ya Allah, ampunilah hambaMu si polan ini, sesungguhnya dia tidur dalam keadaan bersuci’. (Riwayat Ibn Hibban)

 

 Witir Sebelum Tidur

Atas prinsip kebaikan akan membuahkan kebaikan, biasakan melakukan solat witir sebelum tidur. Satu rakaat pun sudah memadai. Jika untuk berwuduk dan solat satu rakaat sebelum tidur pun kita tidak gagah, apalagi untuk solat selepas tidur. Maknanya azam kita tidak kuat.

 

 Berzikir Sebelum Tidur

Ulitlah diri sendiri dengan bacaan zikir yang disunnahkan sebelum tidur. Semoga kita tidur dalam keadaan mengingati Allah dan bagun pun begitu.

 

 Gunakan Alat Bantu Yang Lain

Setkan jam penggera. Atau pesan pada ibu dikampung untuk menelefon demi mengejutkan kita. Atau apa-apa cara sekalipun. Pendek kata, dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Sesungguhnya Allah amat menghargai kesungguhan hambaNya.

 

 Jauhi Perbuatan Dosa

Perbuatan tidak baik yang kita lakukan bukan sahaja menyebabkan dosa, malah menyebabkan diri semakin berat melakukan ketaatan. Sebaliknya semakin banyak perkara kebaikan, badan terasa ringan melaksanakan perkara baik yang seterusnya.

 

 Rutinkan Istighfar

Mungkin kita merasakan tidak melakukan dosa pada hari itu. Tetapi mana tahu jika ada kesalahan yang kita tidak perasan. Sekalipun jika betul-betul tidak ada, siapalah kita berbanding Rasulullah yang beristighfar 100 kali sehari.

 

 Pasang Niat Sungguh-sungguh Sebelum Tidur

Kebanyakan kita yang bangun lewat sebenarnya tidak berniatpun untuk bangun subuh. Jika berniatpun, tidak bersungguh-sungguh. buktinya, kita boleh sahaja bangun awal jika ingin ke sesuatu tempat atau ke tempat kerja. Masakan untuk memenuhi tuntutan Ilahi tidak boleh? Mungkin sahaja diri kita yang tidak mahu.

Sumber : Ezy-Dakwah

 


ADA HIKMAH
Suatu hari, 4 sekawan bersama-sama menaiki sebuah kereta. Seorang pelajar kejuruteraan elektrik, seorang pelajar kimia, seorang lagi pelajar kimpalan dan seorang jurusan agama. Mereka merancang untuk pergi berkelah. Dalam perjalanan, kereta mereka rosak. Tersadai di tepi jalan. Pelajar elektrik berkata ‘ini mesti masalah wayar. Tadi radio pun tak hidup kan? Biar aku pergi periksa sirkuit dia’.
‘Tak, rasanya minyak tak sampai ni. Tak dengar ke bunyi tersedak-sedak sebelum enjin mati tadi? kene periksa minyak dulu’. Cantas pelajar kimia. ‘bukanlah! Itu bunyi ekzos bocor. Kalau  kita kimpal semula, mesti baik’. Dakwa pelajar kimpalan semula. ‘saya rasa ada hikmah Allah matikan kereta ini. Mungkin kita tidak patut pergi berkelah petang ini’. Ulas ustaz muda. ‘ya lah, semua perkara ada hikmah. Sekarang ini bukan setakat hendak pergi, balik pun tak boleh!’.

Pengajaran
Ramai orang suka mengulas dalam apa-apa sahaja perkara walaupun di luar pengetahuannya. Paling teruk ialah ulasan dangkal yang tidak membina dan tidak mencadangkan penyelesaian.
Sumber : Angguk Geleng






6 MITOS MASA

; MITOS 1: APABILA ANDA SEORANG YANG EFISIEN, SECARA AUTOMATIK ANDA AKAN MENJADI SEORANG YANG EFEKTIF.
Pandangan ini salah. Tidak semestinya kecekapan akan melahirkan keberkesanan. Kecekapan ialah kemampuan melakukan banyak perkara dalam masa yang sedikit. Sedangkan keberkesanan (efektif) pula ialah kemampuan melakukan sesuatu sehingga mencapai matlamat yang ditetapkan. Mungkin anda boleh membuat kerja 3 atau 4 kerja dalam satu jam, tetapi adakah semua kerja itu mencapai matlamat yang diinginkan?.

; MITOS 2: JIKA HENDAK KERJA ITU DIBUAT  DENGAN SEMPURNA, BUATLAH SENDIRI.
Sikap begini kurang tepat. Kebiasaannya seorang yang mementingkan kesempurnaan mempunyai pandangan sebegini. Mereka inginkan semuanya sempurna pada pandangannya. Lalu menyibukkan diri dengan kerja-kerja sampingan yang sepatutnya dibuat oleh orang lain. Akhirnya tugasan utamanya terabai. Belajarlah mengagihkan tugas dan mempercayai orang lain untuk melakukan sesuatu. 

; MITOS 3: HANYA ADA SATU CARA UNTUK MELAKUKAN KERJA.
Tidak benar. Orang sebegini selalunya tidak kreatif. Mereka hanya mengikut rutin dan amalan sebelum ini. Apabila anda berada dalam situasi sebegini, berubahlah sekarang. Berundur seketika dan berfikir sejenak. Adakah ada cara lain yang lebih baik untuk melakukan semua ini?

; MITOS 4: HASIL YANG BAIK TIDAK AKAN DIPEROLEH KECUALI DENGAN KERJA-KERJA YANG BANYAK.
Salah. Pandangan ini berlaku jika seseorang terlalu menumpukan kepada proses, bukan matlamat. Biasanya cara berfikir mereka selalu terkeluar daripada ‘landasan’ berfikir yang sepatutnya. Sebenarnya pencapaian matlamat bergantung kepada kualiti perancangan dan kerja, bukan jumlah kerja yang dilakukan.

; MITOS 5 : ANDA  TIDAK AKAN PRODUKTIF SEHINGGALAH ANDA SIBUK SEPANJANG MASA.
Tidak benar. Saya kenal ramai orang yang berjaya , tetapi masih meluangkan masa kepada keluarga dan diri sendiri. Orang yang berjaya masih ada masa untuk bersantai, berfikir, berjumpa kawan, berziarah, berkumpul bersama-sama keluarga dan banyak lagi. Anda hanya akan menjadi sibuk apabila anda tidak berfikir  dan merancang kerja dan masa anda. Anda hanya membiarkan diri and ‘hanyut’ dibawa oleh gelombang kerja dan rutin harian yang tidak mendatangkan hasil. Jika anda masuk dalam golongan sebegini, anda akan dapati setiap masa anda sibuk dan banyak kerja. Ke sana dan ke sini tidak habis-habis dengan tugasan. Tunggu sekejap. Duduk dan rancanglah kehidupan anda setiap hari  supaya anda tidak lagi tergolong dalam kelompok ini.

; MITOS 6:JIKA TERLALU BERHATI-HATI DALAM MENGURUSKAN MASA, KEHIDUPAN ANDA TIDAK MENCABAR DAN TIDAK MENYERONOKKAN LAGI.
Ini alasan dangkal bagi mereka yang malas merancang masa. Mereka malas untuk berfikir sejenak. Apabila anda mengurus masa, semakin banyak keseronokan yang anda akan alami. Tidak bermakna dengan menguruskan masa, maka tiada cabaran dalam bekerja. Cabaran bekerja sentiasa ada. Keputusan genting mesti dilakukan. Tindakan spontan juga diperlukan apabila perlu. Risiko ada bila-bila masa. Namun, perkara utama yang perlu anda lakukan ialah merancang masa.

Sumber : Fadzli Yusof  



Monday 25 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 224

MENARIK DI DALAM
·        Tudung vs Topi Keledar
·        Nikmat mata, nikmat lagi menjaganya
·        Sunnah ‘Menyambut Hujan’
·        Tip berjimat Cermat
·        Di Mana Selama ini?
·        Apabila Awan Mendung



TUDUNG  VS TOPI KELEDAR
Secara mudahnya, menutup aurat bolehlah diibaratkan seperti memakai topi keledar . Topi keledar sangat berkaitan dengan keselamatan nyawa, manakala menutup aurat berkait dengan keselamatan agama dan maruah. Kedua-duanya ialah soal daruriyyat (perkara-perkara yang penting dalam Islam) kerana melibatkan byawa, agama, dan maruah. Baiklah, jika perbandingan (metafora) ini boleh diterima, cuba renungkan bukankah ada kalanya topi keledar tidak dapat menyelamatkan nyawa si pemakainya? Sebagai contoh, pelumba haram, pemandu laju dan cuai, semuanya memakai topi keledar. Namun seperti yang dikatakan tadi, sekadar bertopi keledar masih belum menjamin keselamatan nyawanya. Sebenarnya, masih ada factor-faktor lain yang lebih penting daripada sekadar memakai topi keledar untuk menyelamatkan nyawa apabila memandu atau membonceng motosikal. Antaranya adalah dengan memandu secara berhati-hati, jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya, tidak mengantuk atau tidak memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya. Sekiranya peraturan ini dilanggar, tidak kira sebesar atau sekeras manapun topi keledar itu, pasti tidak akan menyelamatkan pemakainya. Begitu juga halnya dengan tudung. Hendak menjaga maruah dan akhlak tidak cukup dengan bertudung sahaja. Ada lagi perkara-perkara lain yang lebih penting. Umpamanya menjaga tingkah laku, berhati-hati dalam tutur kata, mengawal pandangan mata dan membatasi pergaulan. Selain itu, masa dan tempat wanita itu berada juga perlu dititikberatkan. Misalnya, jangan keluar seorang diri di tempat-tempat yang sunyi, mengaibkan dan mendedahkan diri kepada pencerobohan.

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


NIKMAT MATA, NIKMAT LAGI MENJAGANYA

 MENGHIDUPKAN MATA HATI
Sesiapa yang menahan pandangan mata zahirnya,Allah membukakan pandangan mata hatinya. Barangkali itulah rahsia ayat perintah menahan pandangan pandangan ditempatkan dalam surah al Nur yakni cahaya.

 MENDAPAT FIRASAT
Istilah yang berkait dengan cahaya hati juga ialah firasat.  Firasat ialah kemampuan melihat yang terembunyi berdasarkan tanda-tanda yang zahir namun tidak dapat dilihat oleh orang lain. Semakin kuat firasat seseorang, semakin kerap dan diyakini dengan gerak hatinya.

 AIR MUKA JERNIH
Cahaya sifatnya memancar. Hati yang bercahaya akan membiaskan sinarnya pada wajah pemiliknya.

 MENINGKATKAN PENGHORMATAN PADA DIRI
Semua orang ingin dihormati. Atau setidak-tidaknya merasakan dirinya terhormat atau mulia. Namun untuk dihormati, kita mesti berusaha untuk mendapatkannya. Kebiasaannya orang akan menghormati kita  kerana status, kekayaan , penampilan dan sebagainya.  Semua itu perlu diusahakan. Bagaimanapun ada caranya untuk mendapat kemuliaan diri sekali gus penghormatan manusia itu kekal. Jawapannya, taatilah Allah kerana Allah sudah mengisytiharkan di dalam surah Fatir 35:10. ketaatan pasti me mbuahkan kemuliaan.

 JIWA MENJADI TENANG
Tenang suatu perasaan kelegaan apabila jjiwa bebas daripada belenggu.

 MUDAH DAPAT ILMU, KUAT INGATAN.
Semakin kita menjaga pandangan semakin mudah mendapat ilmu, terutamanya ilmu akhirat. Kesan langsung yang lain pula ialah menguatkan ingatan. Hal ini kerana orang yang menjaga pandangan jiwanya tidak berkecamuk dek melihat yang macam-macam .

Sumber : isu


SUNNAH ‘MENYAMBUT HUJAN’

u Melafazkan kesyukuran menerima hujan.

u Memohon dijauhi keburukan hujan dan mengharapkan kebaikannya.

u Mengambil kesempatan untuk berdoa dan memohon hajat.

u Merasai Hujan.

u Berdoa apabila mendengar bunyi guruh dan petir.

u Berdoa apabila hujan semakin buruk.

u Tidak mengutuk Hujan, angin dan seumpamanya.

 

 

 


TIP BERJIMAT CERMAT
 Jangan Berbelanja Secara Boros
‘Dan berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir haknya masing-masing. janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan. Sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Tuhannya’. (Al Isra’ 17:26-27)

 Bersederhana Dalam Berbelanja
‘dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan perbelanjaan mereka adalah bersederhana’. (Al Furqan 25:67)

 Cekap menggunakan Sumber Tenaga, Air, dan Bahan Api
Suatu hari Rasulullah menegur Saad yang sedang berwuduk ‘Pembaziran apakah ini wahai Saad?’ Maka Saad berkata ‘Dalam wuduk pun ada pembaziran?’ Rasulullah menjawab ‘Ya, walaupun kamu berwuduk di sungai yang sedang mengalir’. (Riwayat Ibn Majah).

 Elakkan Berhutang
Rasulullah bersabda ‘Ya Tuhanku, aku berlindung diri kepadaMu daripada berbuat dosa dan hutang’. Kemudian baginda ditanya ‘Mengapa tuan banyak meminta perlindungan daripada hutang, ya Rasulullah?’ Baginda menjawab ‘Kerana seseorang kalau berhutang, apabila berbicara dia berdusta dan apabila berjanji dia mungkiri’. (Riwayat al Bukhari)




           


DI MANA SELAMA INI?
Tahniah! Tahniah! Ong Ki Lam baru memeluk Islam. Gegak satu dewan kuliah dengan ucapan tahniah. Hatta pelajar luar pun menerjah masuk ke dewan kuliah.
‘selamat kembali kepada fitrah’.
‘kami sangat gembira kamu masuk Islam’.
‘Alhamdulillah. Allah sayang kamu’.
‘Kamu tahu tak, Islam adalah agama yang sangat Indah!’
‘Semoga menjadi Muslim yang lebih baik daripada kami’.
Aneka rangkap ucapan yang diterima. Sebaik hamburan pujian surut, Ong Ki Lam berkata ‘hamper 3 tahun saya bersama kamu semua. Di mana kamu semua semasa saya sedang mencari Tuhan?

Pengajaran
Islam agama nan indah lagi benar. Sayangnya tidak ramai penganutnya mempromosikannya.
Sumber : Angguk Geleng






ANEKDOT
APABILA AWAN MENDUNG
Ummulmukminin Aisyah menceritakan bahawa semasa Nabi melihat awan mendung di langit, baginda terus berjalan mundar mandir, keluar masuk dengan berubah wajahnya. Bagaimanapun apabila hujan turun baginda terus gembira. Lalu baginda bertanya ‘Wahai Rasulullah, orang  ramai apabila melihat cuaca mendung gembira dan mengharap hujan, tetapi aku melihat tuan apabila melihat mendung seperti tidak suka’. Baginda menjawab ’aku tidak tahu boleh jadi awan itu seperti yang dikatakan oleh Kaum ’Ad ’tatkala melihat awan menuju ke lembah-lembah mereka, mereka berkata ’ini awan yang membawa  hujan kepada kita,’ ‘Tidak!, bahkan itulah azab yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang sangat perit ‘
(surah Al Ahqaf 46:24)
 (Riwayat al Bukhari dan Abu Dawud)