Google Ads

Thursday 10 September 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 20

MENARIK DI DALAM
ü ujian kesenangan?
ü Nikmat Iman
ü Kenali Penyakit PETACUR
ü Bagaimana keadaan kita?
ü Akhlak Manusia Kepada Allah
ü Panasnya Api Neraka


 Assalamualaikum
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan yg mengetahui tentang hati-hati manusia ...

Sahabatku
Hidup ini adalah medan ujian. Apa saja yang berlaku antara hidup dan mati adalah ujian bagi manusia. bila sebut tentang ujian kita cuba terbayang pada kesusahan semata-mata. sedangkan kenikmatan dan kesenangan juga merupakan ujian daripada Allah. Lihatlah Firaun yang tidak pernah sakit, tetapi merupakan insan yang akan berada di dalam Neraka Allah kelak, Lihat pula akan kekayaan Haman yang melimpah ruah sehinggakan kunci perbendaharaan di pikul oleh lelaki-lelaki yang gagah perkasa, namun dia di tempelak oleh Allah di dalam al Quran dan Lihatlah Jutawan-jutawan yang hidup dalam kemewahan dan kesenangan, tetapi membunuh dirinya sendiri kerana tertekan akibat tidak menemui kebahagiaan yang sebenar kerana lalai dalam menjalankan perintah Allah dan akhirnya terhumban dlm Neraka Allah. Nauzubillah hi minzalik!

Sahabatku..
Bagi sesiapa yg ditimpa ujian kesusahan pula, setakat mana kita mampu menanggungnya dan menganggap itu semua bukti kasih sayang Allah kpd kita? Betapa ramai yang apabila di timpa susah melihatnya sebagai satu kecelakaan dan membawa hatinyajauh dari Allah?. Tidakkah kita dapat mengambil sedikit dari sifat Nabi Ayub yang sabarnya dia menanggung kesakitan bertahun?. Tanyalah diri sendiri.

Editor Norazila Khalid

RENUNGAN
Ingatlah, keimanan dan keislaman adalah nikmat yang begitu mahal, melebihi semua benda yang bernilai di dunia ini. Begitu ramai orang yang sibuk mencari dan mempertahankan harta dan jawatan kerana menganggap kedua-dua perkara itu begitu berharga. Bagi sesiapa yang memahami betapa mahalnya keimanan, keperluan kepada harta dan jawatan tidak akan melalaikannya.
                  

TRIVIA (SOALAN KUIZ AGAMA)
1. Berpandukan kisah dlm al-Quran, namakan suami yang mempunyai isteri yang tidak taat kepada perintah Allah?
2. Apakah nama surah yang disebut dengan nama para nabi dan dirujuk kepada nabi?
3. Makhluk yang paling ringan seksaannya di neraka.


PENAWAR PENYAKIT PETACUR                 

(PENYAKIT PENAT TAK CUKUP REHAT)

 Teknik Pernafasan Perut

Luangkan masa 5 minit untuk bernafas. Apabila berada dalam stres anda akan bernafas dengan tidak sempurna menyebabkan oksigen tidak dapat diserap dengan baik. Jadi, betulkan tulang belakang anda dan kendurkan bahu anda.tarik dan hembus nafas melalui hidung secara konsisten dan tenang.  Kendurkan segala otot-otot tubuh anda.

 

 Teknik Perantauan Antarabangsa (International Roaming)

Tenangkan diri anda terlebih dahulu. Kemudian, bayangkan anda sedang terbang ke satu kawasan yang indah sama ada ia sebuah tasik yang permai, pantai yang memutih, terumbu karang yang memukau, air terjun yang menakjubkan atau apa-apa sahaja yang anda suka.  Dengan kaedah ini seolah-olah anda sedang menikmati ‘pakej pelancongan’ yang mempesonakan. Percuma! Malah ia ‘dibayar’ dengan  kedamaian jiwa semasa sibuk bekerja.

 

 Regangkan Otot Anda

Pusingkan bahu melawan arah jam, kemudian ikut arah jam,lakukan juga regangan pada leher, palingkan muka kanan, kiri,atas dan bawah. Pandang imej jauh dan dekat silih berganti. Lakukan regangan pada otot muka dengan membuka mulut luas-luas, herotkan bibir ke kiri dan kanan. Regangkan otot bibir seperti senyum dan muncungkan bibir sepanjang yang boleh. Anda akan dapat rasakan tenaga mengalir dari otot-otot muka terus ke pusat titik tubuh anda.

 

 Solat Sunat

Leceh? Ketahuilah dengan bersolat dan mengharapkan keredhaan Allah, Allah akan memberikan anda ketenangan.

 

 Baca Quran

Apa salahnya anda menyimpan sebuah al-Quran di tempat kerja anda. Selepas sibuk bekerja, bukalah Al-Quran dan bacalah dalam keadaan sederhana yang anda sendiri dapat mendengarnya. Lebih baik lagi anda memahami dan menghayati isi kandungannya. Sudah tentu dengan izin Tuhan, kerja yang anda buat berada dalam kebaikan.

 

 Berzikir

Berzikir yang dimaksudkan adalah termasuklah menyebut nama Allah, puji-pujian seperti tahmid, tasbih, takbir, tahlil, mengingati mati, menghayati kebesaran alam , merenung kehidupan, qada’ dan qadar serta meneguhkan keyakinan pada kewujudan dan kasih sayang Allah. Mudah bukan? Kesannya pada kehidupan amat hebat, sesuai dengan janji Allah, ‘sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang’.

 

JADI, BEREHATLAH SEKARANG.

Sumber : Dr Buku Sibuk @ penyibuk (Fadzli Yusof)


MUTIARA KATA
 Barangsiapa yang menanam budi nescaya dia memetik kecintaan dan barangsiapa yang menanam kesombongan nescaya dia memetik kemurkaan.

 Tanpa redhaNya kesemuanya tidak beerti, sebab kemurkaanNya akan membawa kepada kesusahan di dunia yang berpanjangan hingga ke Akhirat.

 Kadangkala kita lebih banyak belajar daripada kesalahan yang dilakukan oleh seseorang daripada kebaikannya.

 Orang yang ikhlas adalah orang yang menyembunyikan kebaikannya, sebagaimana dia menyembunyikan kejahatannya.

 Kehidupan ini tidak akan memberi sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan untuk mencuba sesuatu

Sumber :Dr.Hm Tuah Iskandar  al-Haj



           


TERJEMAHAN AL QURAN
BAGAIMANAKAH KEADAAN KITA?

4. Sesungguhnya amal usaha kamu berbagai-bagai keadaannya.
5. Jelasnya : adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan & bertakwa.
6. Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik
7. Maka sesungguhnya Allah akan memberikan kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga)
8. Sebaliknya, orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kemewahan dan kekayaannya
9. serta dia mendustakan perkara yang baik
10. Maka sesungguhnya Allah akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan
11. dan apakah pertolongan yang dapat diberikan kepadanya oleh hartanya apabila dia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat?)
12. Sesungguhnya, tanggungan Allahlah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar atau salah)
13. dan Sesungguhnya, Allahlah yang menguasai hari akhirat dan alam dunia.
14. Maka, Allah juga telah memberi amaran mengingatkan kamu tentang api neraka yang marak menjulang.
15. Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka
16. Yang telah mendustakan kebenaran dan berpaling ingkar
17. dan (sebaliknya), akan dijauhkan (azab neraka )itu daripada orang yang sungguh bertakwa
18. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya
19. Sedang dia tidak menanggung budi sesiapapun yang patut dibalas
20. Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhan Yang Maha Tinggi
21. dan Sesungguhnya, Dia tetap akan berpuas hati (pada Hari Akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkan.)
SURAH AL-LAIL (AYAT 4-21)




AKHLAK MANUSIA TERHADAP ALLAH

¤ BERIMAN KPD ALLAH
Iaitu mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa Allah itu wujud serta beriman dengan rukun-rukunNya dan melaksanakan segala tuntutanNya di samping meninggalkan segala perkara syirik terhadapNya.

¤ BERIBADAH
Iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya dengan ikhlas

¤ SENTIASA BERTAUBAT
dan sentiasa mengharap kepada Allah dalam segala usaha dan amalannya. Segala gerak geri hidupnya hanyalah untuk mencapai keredhaan Allah dan bukannya mengharapkan pujian atau penghargaan manusia.

¤ MELAKSANAKAN SEGALA PERKARA YANG WAJIB, FARDHU,SUNAT
Melakukan dengan penuh ikhlas

¤ REDHA DENGAN QADA’ DAN QADAR
Sabda Rasulullah saw ‘Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur dan apabila ditimpa kesusahan dia bersabar, maka baiklah baginya’
Sumber : SOLUSI ISU 28





PANASNYA API NERAKA
Jika keindahan syurga terlalu tinggi untuk dicapai oleh akal manusia, maka kepedihan seksa neraka juga tidak terjangkau imaginasi manusia. Bagaimana tidak, neraka ialah tempat Allah menuangkan seluruh kemarahan dan laknat Allah .

‘Maka orang kafir(ingkar kepada perintah Allah) akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian daripada api neraka . Disiramkan air mendidih yang sangat panas ke atas kepala mereka. Kerana air itu, hancur luluh segala apa yang ada dalam perut dan kulit mrk’ 
(Surah al-Hajj 22:19-20)

Mudah-mudahan terciptalah rasa takut dalam hati kita setiap kali terdetik untuk melakukan maksiat, malah terdorong untuk segera bertaubat.




JAWAPAN TRIVIA
1. Nabi Lut a.s, Nabi Nuh a.s
2. Yunus, Hud, Yusuf, Ibrahim, Muhammad, Nuh
3. Abu Talib (memakai selipar dari api neraka yang menggelegak otaknya)







No comments:

Post a Comment