Google Ads

Monday 5 October 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 79

MENARIK DI DALAM
·        Buruk itu Baik?
·        Hidup
·        Syarat Diterima Doa
·        Memiliki Pendorong Hidup
·        Orang Ikhlas Tertindas


Assalamualaikum
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan semesta Alam dan Yang Menguasai hari pembalasan.

Sahabatku
kita hanya hamba. kekadang kita rasa sesuatu itu baik bagi kita, tetapi sebenarnya buruk bagi kita dan ada sesuatu yang kita rasa buruk bagi kita, tapi hakikatnya baik bagi diri kita. inilah firman Allah yang saya ingat dan pegang. perancangan manusia sangat baik, tetapi hakikatnya perancangan Allah adalah sangat baik..

Sahabatku..
Oleh sebab itu, jangan minta pada Allah untuk diri kita diserahkan kepada diri kita sendiri walaupun sesaat, Kerana, jika kita mengurus diri kita sendiri, pasti ada kepincangan. kita mesti berpandu kepada Allah Taala. Allah yang mencipta dan tahu apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Setiap yang berlaku pasti ada rahmatnya.
Editor, Norazila Khalid



HIDUP

 Hidup ini memang memerlukan pengorbanan.

Pengorbanan itu memerlukan perjuangan.

Perjuangan pula memerlukan ketabahan.

Ketabahan itu memerlukan keyakinan.

Keyakinan itu membuahkan kejayaan.

Andai kita berjaya, InsyaAllah kejayaan itu akan membawa kebahagiaan.



TRIVIA (SOALAN KUIZ AGAMA)
1. Lelaki pertama yang beriman tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.
2. Namakan 2 sungai yang berpunca dari Syurga?
3. Bilakah masa manusia paling dekat dengan Allah?
Jawapan di akhir edisi ini 


HADIS 9
BAIK DAN HALAL, SYARAT DITERIMA DOA
 Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : ’sesungguhnya Allah itu Maha Baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan orang mukmin sebagaimana yang diperintahkan kepada Rasul. Allah berfirman ‘Hai para Rasul, makanlah sesuatu yang baik dan kerjakanlah amal soleh (Surah Al Mukminun ayat 51).Dia juga berfirman ‘Hai orang yang beriman, makanlah apa-apa yang baik daripada yang telah Kami rezekikan kepadamu  (Surah al Baqarah ayat 172). Kemudian Rasulullah menceritakan perihal seseorang yang menempuh perjalanan yang jauh. Rambutnya kusut masai dan dipenuhi debu. Dia menadah kedua-dua tangannya ’Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan perutnya dikenyangkan dengan benda yang haram, bagaimana akan diterima permohonannya (doanya)’

PENGAJARAN
 Allah tidak akan menerima sedekah orang yang memberi dengan harta yang haram
 Berlarutan dalam melakukan yang haram akan menghalang doanya dari dimakbulkan
 Makanan yang haram merosakkan amal
Sumber : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi



MUKMIN PROFESIONAL
LANGKAH 5: MEMILIKI PENDORONG HIDUP
Hidup di dunia untuk diuji. Ujian ketika senang atau susah. Ketika sihat atau sakit, ketika berjaya atau gagal. Itulah hitam putih kehidupan yang diukur tara antara iman dan kufurnya seseorang. Untuk mencapai ketenangan dalam apa jua keadaan, maka hati perlu sentiasa menyintai Tuhan.
Zikrullah adalah syarat bahagia bila rasa kehambaan dan rasa bertuhan dapat dihayati semasa menimba hikmah tersirat di sebalik ujian.


BEKALAN SEBENAR
Janganlah terlalu memikirkan tentang rezeki kerana ianya telah di jamin oleh Allah. Sebaliknya curahkanlah perhatianmu kepada ibadat kerana itulah yang menjadi bekalan kamu di akhirat kelak. Itulah bekalan yang sebenarnya.



 ORANG IKHLAS TERTINDAS
‘saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini’.
Kata seorang kakak sewaktu saya mengendalikan program latihan.
 ‘Mengapa ?’
‘organisasi dipenuhi dengan kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa untuk bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, fokus saya kepada kerja shj’.
‘kakak punya berapa orang anak?’
‘oh, ramai anak saya encik.’
‘bagaimana dengan anak-anak kakak’
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan kesemua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya menjadi hafiz.
‘kakak boleh saya bertanya?’
‘tanyalah encik’.
‘jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang menjadi dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?’
‘hati ibu, tentulah saya pilih anak-anak yang menjadi, walaupun tidak naik gaji dan pangkat. Anak-anak adalah harta yang paling berharga!
‘kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjarannya’
‘maksud encik?’
‘Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak sukai. Apabila kakak ikhlas bekerja di dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak, anak-anak yang menjadi’
‘tidak pernah saya terfikir begitu encik’.
‘Allah Maha berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatanNya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah, what you give, you get back. Itu hukum sunnatullah dalam perhubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah’.
‘walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?’.
‘Maksud kakak?’.
‘macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tetapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga saya pula. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah?’.
‘itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kadang-kadang terlalu misteri. Tetapi ketetapanNya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa, itu dipanggil golden rule. Metafora atau analoginya begini, katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai 2 atau 3 lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta tersalah lorong di sebelah dan memberi isyarat untuk memasuki lorong kita. Kerana simpati melihatnya terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita. kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian tiba-tiba kita tersalah lorong. Kita pula terkial-kial memberi isyarat. Soalnya, logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita? 
 ‘tak logik . Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya’.
‘tapi ada kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
‘pasti ada! insyaAllah’..
‘ya, begitulah, padahal kereta itu tidak pernah sekalipun kita tolong. Tetapi Allah yabg menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah berasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi. ’
‘subhanallah!’
‘Bagaimana yabg berlaku dalam litar jalan raya begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerapkali bukan A yang  membalas kebaikan kita tetapi B, atau C atau D yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini, kakak , ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih. Siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!’.
‘Selalunya saya dengar orang yang ikhlas akan dibalas di Akhirat!’.
‘itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha Kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hambaNya di dunia’.
‘Maksudnya?’
‘Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting, hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat , gaji dan jawatan’.
‘jadi, orang yang ikhlas akan terus ditindas, tidak mendapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!’
‘tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki bodek dan ampu , pangkat yang mereka dapat akan buat mereka melarat. Gaji naik, tapi hati tiada ketenangan. Kalau kita berikan kejahatan, kita akan dapat kejahatan juga. Kaki ampu akan dapat anak yang bermuka-muka, kaki bodek akan dapat isteri yang berpura-pura.’
‘ jadi apa yang perlu saya lakukan dengan baki perkhidmatan saya yang hanya tinggal beberapa bulan lagi ni?’
‘teruskan bekerja dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, Tetapi Allah itu Maha Melihat. InsyaAllah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana inginkan penghargaan dari manusia .’
Sumber : Beduk di Ketuk






JAWAPAN TRIVIA
1. Abu Bakar As Siddiq.
2. Sungai Nil dan Sungai Furat.
3. Ketika Sujud.





No comments:

Post a Comment