Google Ads

Thursday 29 October 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 128

MENARIK DI DALAM
·        simptom-simptom Riyak
·        Ada Juga Yang Tidak Boleh
·        3 jenis Sabar
·        Risiko Riyak



SIMPTOM-SIMPTOM RIYAK

menurut Sayidina Ali. riyak itu ada tanda-tandanya

u Rajin beramal ketika di hadapan orang tetapi  malas jika bersendirian 

Mari muhasabah bagaimana sikap ini. Pakaian yang kita bawa ke solat berjemaah selalunya lebih bersih dan kemas berbanding dengan kita solat bersendirian. Bacaan al fatihah dan surah lebih merdu, panjang dan tartil ketika menjadi Imam berbanding jika kita solat bersendirian. Rasulullah bersabda ‘mahukah kalian aku beritahu kalian apa yang aku takutkan daripada dajal?’ kami katakan ‘tentu’. Rasulullah menyambung lagi ‘riyak, syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakannya kerana mengetahui ada orang memandangnya’. (Riwayat Ibn Majah)

 

u Bersemangat dan menambah amal ketika dipuji dan mengurangkannya atau berhenti beramal apabila dikeji.

Tanda seorang mengharapkan penghargaan orang ialah bertambah amalannya apabila dipuji dan akan berhenti atau setidak-tidaknya mengurangkan amalannya apabila dikeji. ‘bos hanya nampak dia, aku tidak dinampaknya! Apa guna kerja sungguh-sungguh’ keluh seorang pekerja yang riyak. Tegasnya, riyak itu adalah apabila kita melakukannya sesuatu yang diperintah oleh Allah kerana manusia dan meninggalkan sesuatu yang diharamkan Allah juga kerana manusia. Misalnya berderma kerana mengharap pujian manusia adalah riyak. Meninggalkan arak kerana takut dikeji oleh manusia juga riyak. Akibat riyak, bukan sahaja pahala amalan akan terhapus bahkan berdosa. Derma orang yang riyak akan tertolak  dan perbuatannya riyak akn dihukum berdosa. Jadi bukan sahaja pahalanya akan terhapus, malah dosa pula bertambah. Alangkah ruginya. Oleh yang demikian ada ulama yang mengklasifikasikan riyak adalah salah satu ciri khusus orang munafik. Dia melakukan syirik secara tersembunyi seperti munafik hakiki menyembunyikan kekafirannya. Jika syirik dosa yang paling besar dalam akidah, riyak pula adalah dosa yang paling keji dan tersembunyi dalam ibadah.

Sumber : Ustaz Pahrol

 


ASMA UL HUSNA

16. AL WAHHAB
(Maha Pemberi)
Dibaca 300 kali setiap hari atau selesai solat 5 waktu, dengan Izin Allah akan mendapat kekayaan, kehebatan dan kebesaran.

17. AL RAZZAQ 
(Maha Pemberi Rezeki)
Menyebut asma ini berulang kali , dengan Izin Allah segala usaha kita akan berjalan lancar serta dkurniakn rezeki yang mencukupi. 

18. AL FATTAH
(Maha Membukakan)
Dibaca 71 kali selepas solat subuh sambil meletakkan tangan di atas dadanya , dengan Izin Allah akan bersih bercahaya hatinya dan dipermudahkan  segala urusannya.

19. AL ALIM (Maha Mengetahui)
Dibaca 100 kali sesudah solat 5 waktu , dengan Izin Allah akan memperolehi ilmu ma’rifat dan kasyaf  serta iman yang sempurna.

20. AL QABIDH
(Maha Penggenggam)
Dibaca sebanyak-banyaknya, dengan Izin Allah akan terhindar dari ancaman jahat.

Sumber :  Buku Kisah Inspirasi Asma ul Husna   


IBRAH DARIPADA GELAGAT MAKHLUK
Ramai manusia yang tidak bersyukur dengan apa yang ada dan tidak sabar dengan apa yang tiada. Jika miskin, kita merintih inginkan kekayaan. Tetapi apabila kaya, hati terus gelisah kerana hendak lebih kaya lagi. Kadangkala semakin bertambah senang, menyebabkan kita berasa kurang tenang.


ADA JUGA YANG TIDAK BOLEH
            Kalau mereka boleh, aku pun boleh. Begitulah prinsip hidup yang dipegang oleh seorang pemuda. Pantang dicabar, dia akan menyahut apa sahaja cabaran yang dihadapkan kepadanya. Satu hari dia hendak menyeberang sebatang sungai. Malangnya, tiada jambatan atau titi yang boleh digunakan. 
            Dia berlegar-legar disepanjang tebing mencari ikhtiar untuk menyeberang. Tiba-tiba dilihatnya sebatang kayu kecil merintangi sungai itu. ’bolehkan aku menyeberang ke sana dengan menjadikan kayu kecil ini sebag atiti?’dia berfikir. Tiba-tiba dia terpandang sekumpulan semut sedang merayap di atas batang kayu itu. Lantas dia mendapat idea. Jika berpuluh-puluh ekor semut itu boleh meniti di atas batang kayu itu, mengapa aku tidak boleh? Bukankah aku Cuma seorang? mereka boleh, aku pun boleh. Begitulah detik hatinya. 
            Tanpa berlengah lagi, dia pun terus melangkah ke atas batang kayu itu. Debus!! Dia akhirnya jatuh ke dalam sungai.

Pengajaran
Ukur baju di badan sendiri. Meneladani orang lain tidak salah, tetapi perlu diseimbangkn dengan mengenal diri sendiri terlebih dahulu. Hal ini akan mengelakkan kita daripada sikap terlalu yakin pada diri sendiri atau tidak percaya pada diri sendiri.  
Sumber : Angguk Geleng





3 JENIS SABAR
u Sabar di atas ketaatan
u Sabar untuk meninggalkan maksiat
u Sabar dengan Qada’ dan Qadar Allah 


MUHASABAH DIRI
Orang yang mantap akidahnya tidak akan goyah walaupun badai dan taufan datang melanda. Mereka akan tetap mempertahankan agama meski dalam keadaan yang sukar dan susah seumpama menggengam bara api

Dr. Mohd Sukki Othman


RISIKO RIYAK
Orang riyak hakikatnya cuba menipu Allah, percubaan menipu Allah tidak akan berjaya bahkan sangat berbahaya. Malahan  banyak sekali al Quran dan hadis memuatkan ancaman riyak. Riyak bukan dosa kecil, bahkan dosa besar.

 Riyak lebih berbahaya daripada fitnah Dajal
Rasulullah bersabda ‘mahukah aku khabarkan kepada kalian apa yang aku takutkan terhadap kalian daripada kedatangan dajal?’’bahkan kami mahu!’maka Rasulullah menyambung ‘Syirik Khafi iaitu seseorang itu bersolat, lalu menghiasi solatnya kerana ada orang lain yang memerhati solatnya itu’. (Riwayat Ibn Majah)

 Amal tidak akan Berkesan
Allah berfirman ‘maka celakalah bagi orang yang solat (iaitu) orang yang lalai daripada solatnya, orang yang berbuat riyak dan mencegah (menolong dengan) barang yang berguna’. (surah al Ma’un 107:4-7) 

 Riyak akan menghapus dan membatalkan amalan
Allah berfirman ‘wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu  itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadikannya bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun daripada apa-apa yang mereka usahakan, dan Allah tidak memberi  petunjuk kepada orang kafir’ (surah al Baqarah 2 : 264)

 Riyak akan membawa kehinaan
Rasulullah bersabda ‘sesiapa memperdengarkan amalnya kepada orang lain (agar orang tahu amalnya), maka Allah akan menyiarkan aibnya di telinga-telinga hambaNya, Allah rendahkan dia dan menghinakannya’. (Riwayat al Tabarani)

  Tidak mendapat ganjaran di akhirat
Rasulullah bersabda ‘sampaikan khabar gembira kepada umat ini dengan keluhuran, kedudukan yang tinggi (keunggulan), agama, pertolongan dan kekuasaan di muka bumi . Sesiapa dalam kalangan mereka melakukan amal akhirat untuk dunia, maka dia tidak akan mendapatkan bahagian di akhirat’.(Riwayat Ahmad)

Sumber : solusi  



           




No comments:

Post a Comment