Google Ads

Friday 2 October 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 74

MENARIK DI DALAM
·        2 rongga penyebab ke Neraka
·        Pesanan dan Arahan Kepada Anak-anak
·        Rahsia Murah Rezeki
·        Titik hitam Hati
·        Orang Soleh vs Syaitan
·        Amalan Yang Tertolak


 Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,Tuhan Yang Esa  dan yang satu-satunya layak disembah dan berdiri dengan sendirinya.

Sahabatku
Penulis pernah mendengar satu hadis bahawa Rasulullah pernah bersabda, 2 sebab yang boleh membawa manusia masuk neraka ialah rongga mulut dan rongga kemaluan. secara jelasnya ialah nafsu makan dan nafsu seks.

Sahabatku
Pernah ketika Israk dan mikraj Rasulullah melihat seorang pemuda di dalam neraka yang memakan daging yang busuk sedangkan dihadapannya terhidang daging masak yang elok lagi sedap. itulah gambaran seseorang yg suka mencari perempuan lain dan berzina dengannya sedangkan isterinya yang halal baginya tersedia di hadapan mata.

Sahabatku
Tentang pemakanan kita. cuba audit diri kita akan apa yang kita makan pada hari ini dan kemudiannya minggu ini. air apa yang banyak kita minum. makanan yang bagaimana yang kita makan? adakah ia makanan yg sedap, berzat, atau yang berkat. Ia kelihatan sama, namun hakikatnya sangat berbeza sekali. Saya terkejut melihat ramai orang melayu Islam yang tidak segan silu makan ‘steamboat’ di kedai makan orang yang bukan Islam. Apabila saya melalui kedai tersebut, tidak pula saya nampak ada tanda halal yang betul-betul dari JAKIM. Malah menjadi viral di laman sosial menyatakan yang kedai itu tidak pernah memohon sijil halal JAKIM. Tukang masaknya pula orang bukan islam dan peralatan yang digunakan adalah syubhah. Namun, ramai yang masih lagi berselera menjamu. Itulah kerja mulut yang sangat mengikut selera yang membuta tuli.   

Sahabatku
jangan terlalu ingin rasa sedapnya akan sesuatu makanan, hingga kita sanggup menggadai agama, dan kita sanggup memakan sesuatu yang meragukan (syubhah) malah ia boleh membawa kepada yang haram. ketahuilah bahawa, Makanan yang haram akan menjadi darah daging kita dan hanya selayaknya bagi menjadi bahan bakaran api Neraka. Nauzubillah.

Sahabatku
Jangan terlalu memandang remeh tentang halal haram. Makanlah yang halal yang sangat banyak di muka bumi ini, kenapa sibuk ingin merasa yang Haram, sedangkan yang haram itu amat sedikit. pelik pelik.
Editor, Norazila Khalid  

PESANAN DAN ARAHAN KEPADA ANAK-ANAK  

 Tentang solat di awal waktu

 Adab dengan orang tua-tua

 Adab dengan guru

 Adab dengan kawan-kawan

 Tugas harian seperti mandi pada waktu yang betul dan lain-lain.

 Mengemas bilik tidur termasuk meja belajar

 Tatacara makan mengikut sunnah Nabi saw

 Cara belajar yang berkesan

 Ingat untuk sentiasa tutup aurat apabila keluar rumah.

 Keselamatan di jalan raya

 Tanggungjawab melindungi adik-adik.

Sumber : Buku kaedah mendidik anak cemerlang

 

 

 

 RAHSIA MURAH REZEKI
 RAHSIA 1  : BERISTIGHFAR DAN BERTAUBAT 
Taubat bermaksud meninggalkan dosa kerana keburukannya. Ia perlu kepada 3 syarat jiks dosa itu berkaitan dengan Allah
1. meninggalkan dosa
2. Menyesal kerana perlakuannya
3. Berazam untuk tidak melakukannya lagi

Jika ia berkaitan dengan hak terhadap manusia pula, ia perlu kepada syarat yang keempat iaitu
Mengembalikan kepada yang mempunyai hak tersebut.
Allah menjamin pertambahan rezeki dan zuriat kepada mereka yang beriltizam dengan bertaubat. Istighfar dan taubat menyebabkan datangnya rezeki yang tidak terputus-putus daripada Allah swt. 





TITIK HITAM DI HATI
Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Maka bayangkanlah kalau 10 dosa? 100 dosa? 1000dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu. Ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah saw bermaksud : siapa melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat  , maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.


ORANG SOLEH VS SYAITAN
Cerita ini sering didengar apabila membicarakan tentang keikhlasan. Ia ditulis oleh Imam Al Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin. Kisah seorang lelaki soleh yang mendapat berita mengenai sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung. Dengan semangat amar ma’ruf nahi mungkar lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut.
Dipertengahan jalan dia bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkn syaitan. Syaitan tidak berpuas hati lalu berlakulah pergelutan demi pergelutan yang tetap dimenangi oleh lelaki soleh itu.
Akhirnya syaitan mengaku kalah, tetapi ia menukar strategi. Ia membuat 1 tawaran kepada lelaki soleh itu. Syaitan akan memberikan 1 dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki tersebut membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan itu. Lelaki soleh itu termakan tawaran syaitan, lalu pulang ke rumah.esok pagi , bangun saja daripada tidur, dia dapati ada sekeping dinar emas di bawah bantal. Benar, syaitan telah menunaikn janjinya. Begitulah seterusnya pada hari kedua. Dinar emas tersedia di bawah bantal. Tetapi, pada hari ke3 dinar emas sudah tidak ada lagi.ternyata syaitan sudah mula menipu. Berang dengan perlakuan syaitan, lelaki soleh itu mencapai kapaknya untuk meneruskn niat awalnya untuk menebang pokok sembahan. Di pertengahan jalan, syaitan yang menyamar itu menghalangnya lagi dan berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh kalah. Dia bangun dan mencubanya sekali lagi. Namun, dia tetap kalah. Malah dicubanya kali ke3, tetapi tetap kalah. Ketika itu dia bertanya kenapa dia kalah dan adakah lawannya sudah semakin gagah? Syaitan menjawab ’Engkau kalah kerana kali ini niatmu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dinar emas’. Ya, lelaki itu mengakui dia menjadi lemah kerana niatnya kali ini sudah tidak ikhlas. Terbukti keikhlasan itu adalah 1 kekuatan dan kehormatan.      
Sumber : Beduk di Ketuk




 HADIS 5
AMALAN YANG TERTOLAK
 Ummu Mukminin, Ummu Abdillah, Aisyah r.ha, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : ’sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru (bidaah) dalam urusan (agama ) kami, amalan yang buksn sebahagian daripadanya, dia tertolak’

HURAIAN DAN INTISARI AYAT
Hadis ini merupakan salah satu pedoman penting dalam agama Islam dan kalimah pendek yang penuh pengertian yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad saw. Hadis ini dengan tegas menolak bidaah dan setiap perkara bidaah yang direka dan diada adakan. Sebahagian ahli usul fiqah menjadikan hadis ini sebaga dasar kaedah bahawa setiap yang terlarang dinyatakan sebagai hal yang merosakkan.

MAKNA BIDAAH
Bidaah  ialah perbuatan-perbuatan yang dinilai ibadah tetapi tidak bersumber daripada ajaran Islam dan tidak memiliki landasan yang jelas. Setiap perbuatan bidaah yang tidak bersandar pada dalil syar’i ditolak darapada pelakunya.

Islam adalah agama yang berdasarkan ittibak (mengikuti berdasarkan dalil) dan bukan ibtidak (mengada-adakan sesuatu tanpa dalil) dan Radulullah saw telah berusaha menjaganya daripada sikap berlebih-lebihan dan mengada-adakan. Agama Islam ialah agama yang sempurna dan tidak ada kurangnya. Hadis ini patut dihafal, disebarluas, dan digunakan sebagai bantahan terhadap kaum yang ingkar, kerana isinya mencakupi segala hal. Adapun hal-hal yang tidak merupakan pokok agama sehingga tidak dilarang dalam sunnah, maka tidak tercakup di dalam larangan ini, seperti menulis al-Quran dalam mushaf walaupun Rasulullah tidak pernah menulis al-Quran. Begitu juga membukukan pendapat para ahli fiqah yang bertaraf mujtahid yang menerangkan alas an-alasan masalah furuk daripada pokoknya, iaitu sabda Rasulullah saw.
Demikian juga mengarang kitab-kitab nahu , ilmu perkiraan faraid, dan sebagainya yang semuanya bersandar kepada  sabda Rasulullah saw dan perintahnya. Kesemua usaha ini tidaklah termasuk dalam ancaman hadis tersebut. Malah sebahagian ulama mengistilahkan ianya sebagai bidaah hasanah (pembaharuan yang baik). Pekerjaan yang berhubungan dengan kehidupan dunia seperti perniagaan, pertanian, ekonomi, perusahaan, teknologi dan sebagainya tidaklah termasuk dalam pengertian hadis ini.  
Sumber : Hadis 40 Imam Nawawi












No comments:

Post a Comment