Google Ads

Thursday 8 October 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 86

MENARIK DI DALAM
·        uji vs puji
·        Wanita oh Wanita
·        Ukhwah Islamiah
·        Toxic people
·        Tapi..
·        Sebab Mengapa Sempit Rezeki
·        Ketika Aku



Assalamualaikum
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan Yang menciptakan sesuatu daripada tiada kepada ADA. Tuhan yang sentiasa mengetahui apa yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh hambaNya, umat manusia.

Sahabatku
            Saya ada terbaca ini dalam laman sosial, katanya, baru diuji sedikit mengeluhnya panjang. baru dipuji sedikit riaknya menjulang. bila susah bertandang, cepat saja berputus asa. bila senang menerpa, kau lupa pemberian siapa. megahnya kau tika berjaya. sehingga terlupa pengorbanan ibubapa. kenanglah jasa mereka. selagi mereka masih bernyawa.

Sahabatku,
            Bagitulah manusia. lupa ketika ada, lupa ketika mendapat segala apa yang dipuja. Percaya atau tidak, kadang-kadang solat kita ketika kita susah adalah lebih kusyuk ketika kita senang dan lapang. kerana ketika kita susah, kita sangat mengharapkan Allah, tetapi bila senang, kita seakan mudah sekali melupakan Allah. Tuhan yang menciptakan kita. Allah pun kita lupa, jadi tidak hairanlah jika ada yang lupakan pengorbanan ibubapa di dunia yang SEMENTARA ini.. Di manakah kedudukan kita?
                                            Editor , Norazila Khalid


WANITA OH WANITA

Tak hairanlah ketika perasaannya sedang sebak, air matanya pun mengalir . Bukan kerana dia lemah, tetapi air mata itulah yang meluahkan segala rasa yang ada di dadanya, beban kehidupannya dan permasalahan yang dihadapinya…
Kenapa Allah menciptakan wanita begitu istimewa? Wanita diberikan sebuah bahu yang begitu kukuh menahan beban dunia dan isinya, dan dia juga jadikan bahu itu begitu nyaman dan menyenangkn  ketika dia menopang kepala bayi yang sedang tertidur. Allah menciptakan wanita dengan kekuatan untuk bertahan, ketika yang lain menyerah dan berputus asa pada keadaan kerana wanita yakin akan sebuah harapan..



HADIS 13
UKHWAH ISLAMIYAH
 Daripada Abu Hamzah Anas Bin Malik r.a, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : ‘tidak beriman dengan sempurna seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai diri sendiri’.

PENGAJARAN HADIS
1. Hubungan seorang mukmin dengan mukmin yang lain seperti jasad yang memiliki satu nyawa. Dia menyintai saudaranya sepertimana dia menyintai dirinya.
2. Jauhilah perasaan hasad dengki kerana ia bertentangn dengan kesempurnaan iman.
3. Iman boleh bertambah atau berkurang. Iman bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.
4. Kita hendaklah bersatu hati sesama umat Islam.
Sumber : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi



TAKKAN TAK MAHU… (2)

 

 Takkan Tak Mahu Dibina Rumah di Dalam Syurga?

Tiada seorang pun hamba yang mengerjakan 12 rakaat solat sunat selain solat fardu setiap hari, melainkan Allah bina untuknya sebuah rumah di dalam Syurga

 (Riwayat Muslim)

 

  Takkan Tak Mahu Pahala Berqiamullail Sepanjang Malam?

Sesiapa yang solat Isya’ berjemaah,seolah-olah dia berqiamullail separuh malam. Dan sesiapa yang solat Subuh Berjemaah, seolah-olah dia berqiamullail sepanjang malam.  (Riwayat Muslim)

 

 Takkan Tak Mahu  Pahala berpuasa , Berqiamullail dan Berjihad?

Orang yang menanggung keperluan wanita janda dan orang miskin seperti seorang yang berjihad fisabilillah, berqiamullail tidak henti-henti dan berpuasa tanpa berbuka’. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

 Takkan Tak Mahu Pahala Berterusan walaupun setelah meninggal dunia?

Wakafkanlah harta untuk membina masjid atau sekolah, didiklah anak menjadi anak soleh, dan sebarkan ilmu walaupun dengan menghadiahkan sebuah buku kecil. Apabila matinya manusia, terputuslah segala amalannya kecuali 3, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dia manfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya’. (Riwayat Muslim)

 

 

 

 


TOXIC PEOPLE
‘Allah sedang mengajar saudara’
‘Allah sedang mengajar saya?’.
‘Allah mengajar saudara melalui mereka’.
‘Apa yang Allah sedang ajar saya melalui perlakuan mereka?’.
‘Allah mengajar saudara tentang ikhlas!’.
‘saya geram dengan pengampu dan pembodek. Saya benci dengan siasah pembelit yang licik dan berstrategik’.
‘saudara, jika kita sibuk membuat kebaikan, kita tidak akan sempat untuk melihat keaiban orang lain. Jika kita masih sempat , itu petanda kebaikan yang kita lakukan masih sedikit. Dan kita masih belum benar-benar baik.
‘oh sukarnya!’
‘saudara patut bersyukur dengan kesukaran itu’.
‘kenapa? Bukankah sepatutnya saya bersabar?’.
‘kita wajar bersyukur kerana Allah hendak menyelamatkn kita daripada riyak dan takbut atas kebaikan yang telah kita lakukan. Tanpa sanjungan, tanpa pujian, bukankah rasa takbur dalam hati kita akan tertekan? rasa riyak juga akan terhenyak?’.
 ‘benar juga kata saudara. Tapi sungguh, sukar betul untuk mendidik hati kita agar rasa begitu’..
‘saudara, dalam setiap perjuangan juga ada golongan yang dinamakan toxic people’.
‘toxic people?’..
‘golongan yang berpura-pura dan menikam dalam diam. Wujudnya golongan ini seiring dengan wujudnya wira yang tidak didendangkn tadi.’
‘Apa maksud awak?’
‘toxic people ini tidak banyak kerja untuk orang lain melainkan bekerja untuk kepentingan diri. Dia mengampu yang di atas , menyiku yang sebaya dan menekan yang di bawah’.
 ‘sy akan lawan mereka!’
‘jangan. Pembelit akan terbelit dengan jeratnya sendiri’. pujuklah hati agar berbahagia dengan keikhlasan bukan dengan harapan agar orang yang tidak sehaluan dimusnahkan. Tidak ada ketenangan jika ada rasa begitu’
‘berapa lama saya harus bersabar, eh bersyukur?’
‘sabarlah dalam bersabar, dan bersyukurlah sehingga tidak dapat diukur..’
‘ini pasrah atau mengalah?’
‘tidak kalah dengan mengalah. Namun begitu, betapa licik sekalipun strategi dan putar belit toxic people ini mereka tidak akan dapat menipu semua orang pada setiap masa. Lebih-lebih lagi mereka tidak dapat menipu diri mereka sendiri’.
‘tenang sikit saya mendengarnya’
‘kita harus ingat, ramai orang yang tidak bahagia dengan jawatan, harta dan namanya yang tersohor tetapi lebih ramai lagi orang yang tidak bahagia kerana dengki akan harta, jawatan, dan nama yang dimiliki oleh orang lain. Yang satu tak dapat apa yang mereka dapat. yang satu lagi tak dapat apa yang mereka memang tak dapat.’
Sumber : Beduk di ketuk



TAPI…...

¤ Cantik solekan tapi sayang jika tak dapat dibasahi wuduk
¤ Tegap tubuh badan tapi sayang jika tak pernah tunduk bersujud
¤ Manis ulas bibir tapi sayang jika tak selalu melafazkan zikir
¤ Mewah kereta tapi sayang jika tak pernah singgah ke masjid
¤ Banyak hartanya tapi sayang jika tak pernah berzakat dan bersedekah
¤ Cantik mulus kulitnya tapi sayang jika tak pernah menutup auratnya
¤ Cerdik fikirannya tapi sayang jika tak boleh bezakan antara dosa dan pahala.


SEBAB MENGAPA SEMPIT REZEKI
1. Gemar mengungkit-ungkit pemberian
2. Asyik mencanang perihal duit yang tidak cukup untuk urusan itu dan ini
3. Berkira untuk bersedekah walaupun seringgit.
4. Berkira untuk membantu memudahkan hal yang baik.
5. Riak bila bersedekah
6. Banyak berbuat maksiat atau kemungkaran.
7. Tidak atau kurang beristighfar
8. Tidak bersyukur atau banyak mengeluh

Rezeki bukan sahaja dalam bentuk wang, tapi kebahagiaan, peluang menyambung belajar, peluang kerja yang baik, anak, jodoh dan lain-lain. belajarlah bersyukur di atas segala setiap pemberian dan anugerah Allah.



KETIKA AKU
u  Ketika aku ingin hidup kaya,aku lupa bahawa hidup adalah kekayaan
u Ketika aku takut memberi, Aku lupa bahawa semua yang aku miliki ini ialah pemberian
u Ketika aku ingin jadi yang terkuat, aku lupa bahawa dalam kelemahan, Allah bagi aku kekuatan
u Ketika aku takut rugi, aku lupa bahawa hidupku adalah sebuah keberuntungan
u Hidup ini sangatlah indah jika mensyukuri apa yang sudah ada. Adakalanya yang terindah bukanlah yang terbaik, yang sempurna bukanlah kebahagiaan, tetapi ketika kita mampu dan mahu menerima semua kekurangan dan kelebihan, itulah kebahagiaan.
Sumber : Tanyalah Ustaz



No comments:

Post a Comment