Google Ads

Wednesday 14 October 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 97

MENARIK DI DALAM
·        Sabar
·        Haram Menzalimi
·        Strategi hati Menambah Rezeki
·        Hanzalah Munafik?


Assalamualaikum
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang Menguasai segalanya. Yang menggenggam hati-hati manusia.

Sahabatku
            sesungguhnya ucapan sabar itu amat mudah diucap di mulut, tapi sukar diterima di hati. saya ingin berkongsi petikan ini buat jiwa yang sedang merasa sedikit kesusahan, keperitan, ujian dlm hidupnya

SABAR ITU SUSAH,TAPI AKAN INDAH

Jadikanlah sabar seperti sabarnya ulat yang menanti menjadi kepompong, dan kepompong pun harus bersabar untuk menjadi seekor kupu-kupu yang Indah

Jadikanlah sabar seperti sabarnya kaktus yang bertahan di padang pasir yang panas untuk menanti mekarnya kuncup bunga sebagai penghiburnya

Jadilah sabar seperti sabarnya bumi menanti hujan yang turun dari langit untuk menumbuhkan biji-bijian dalam perutnya

Sabar,bukan bererti lemah, bukan pula bererti kalah

Justeru sabar adalah benteng keselamatan dari keputusan

Bertawakal atas segala ujian

Sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar..

Sahabatku,
Bersabarlah, walau seberat manapun ujian yang datang, hanya dengan sedikit kesabaran akan meredakan kekacauan di dalam jiwa.
Editor , Norazila Khalid

HADIS 24
HARAM MENZALIMI
 Daripada Abi Dzar al—Ghifari, bahawa Rasulullah saw bersabda menurut apa yang difirman oleh Allah‘Wahai Hambaku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diriKu, dan Aku menjadikannya haram atas kamu, maka janganlah kamu bebuat zalim. Wahai orang yang sesat, kecuali orang yang telah aku berikan petunjuk, maka mintalah petunjuk kepadaKu nescaya Aku akan beri. Wahai hambaKu. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang lapar, kecuali orang yang telah Aku berikan makan, maka minta makanlah kepadaKu nescaya Kuberi. Wahai hambaku, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang telanjang, kecuali yang telah Ku berikan pakaian, maka mintalah pakaian kepadaKu, nescaya Aku akan beri. Wahai HambaKu, kamu selalu berbuat salah siang dan malam dan aku mengampuni sekalian dosa , maka mintalah ampun kepadaKu, maka Aku akan beri. Wahai hambaku, kamu tidak dapat menimpakan  kecelakaan kepadaKu, dan tidak juga dapat memberi manfaat. Wahai hambaKu, jika orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang kemudian daripadamu, juga umat manusia dan para jin, semuanya bertaqwa seperti yang paling taqwa antara kamu, maka hal ini tidak menambahkn keagunganKu sedikitpun. Wahai hambaKu, jika yang pertama dan terakhir daripada kamu semua, juga umat manusia dan jin, semuanya berbuat jahat sejahat-jahat orang diantara kamu, maka hal itu tidak mengurangi keagunganKu sedikitpun. Wahai hambaKu, jika orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terakhir antara kamu, serta umat manusia dan jin, semuanya berada di satu tempat untuk meminta kepadaku, dan Aku penuhi permintaan mereka, hal ini tidaklah mengurangi milikKu sedikitpun, kecuali seperti sebatang jarum yang terkena air tatkala dicelupkan di lautan. Wahai hambaKu, sesunggunya semua itu adalah amal perbuatanmu. Aku catat semuanya untukmu kemudian Kubalas ia. Maka barang siapa yang mendapatkan kebaikan, hendaklah memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selainnya , jangan menyalahkan kecuali diri sendiri’.
Sumber : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi



Belajarlah menjaga hati sendiri terlebih dahulu...sebelum anda mengharapkan orang lain menjaga hati anda
Kerana orang lain takkan fikir apa yang anda faham dan orang lain takkan faham apa yang anda fikir.


STRATEGI HATI MENAMBAH REZEKI
‘tuan imam, minta ajarkan saya amalan-amalan untuk menambah rezeki’.
‘anakku, tenang-tenang sahaja. Rezekimu boleh bertambah dengan segera’.
‘bagaimana?’.
‘langkah pertama, luaskan pengetahuanmu tentang rezeki ’
‘maksud imam?’
‘jangan bataskan erti rezeki itu kepada wang ringgit sahaja, tetapi banyak lagi. Kesihatan, ilmu, sahabat, masa lapang, idea dan kemampuan untuk melaksanakan ibadah juga rezeki ’.
 ‘kalau begitu, banyaklah rezeki saya tuan. Saya sihat, saya ada masa lapang, saya mempunyai ramai sahabat dan baru sebentar tadi Allah kurniakan kemampuan kepada saya untuk melaksanakan solat berjemaah’
‘Alhamdulillah, tengok, sekejap sahaja rezekimu telah bertambah’.  .
‘hanya dengan meluaskan pengertian rezeki?’.
‘ya. Langkah yang kedua, sambungkan silaturahim ’
‘saya selalu menziarahi teman-teman dan saudara-saudara’.
‘menyambung silaturahim itu bukan hanya menghubungi orang yang sedia baik hubungannya dengan kita, tetapi menghubungi orang yang memutuskan hubungan dengan kita. Itu lebih utama. Orang tak suka, kita datang. Orang benci, kita merendah diri dan datang meminta maaf’
‘mengapa silaturahim ada kaitan dengan rezeki?’.
‘eh, kalau dah ramai kawan, tentulah peluang untuk menambah rezeki terbuka luas. Ini bukan idea saya, ini telah dinyatakan oleh hadis’.
‘langkah ketiga?’.
‘banyakkan memberi’
‘memberi?’
‘memberi rezeki akan menambahkan rezeki. Bukan mengurangkan’.
‘kalau memberi, pasti mengurang. Contohnya duit ada RM10. kita bagi RM5, jadi kurang kepada RM5’.
‘tidak. Disisi Allah ia telah bertambah. Bertambah 700 kali ganda’.
‘maksudnya 5 x 700 = 3500?’.
‘angka-angka ini pada kiraan manusia. Pada sisi Allah tentulah ia berbeza. Tetapi yang pastinya Allah akan menambahkan keberkatan rezeki bagi mereka yang memberi kerana Allah’.
‘apa maksud rezeki yang berkat?’.
‘sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan. Manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tak cukup, banyaknya tidak puas. Orang yang mendapat rezeki yang tidak berkat umpama orang yang minum air laut, semakin diminum, semakin haus’
‘jadi, itulah yang dimaksudkan 700 kali ganda itu?’.
‘wallahualam. Mungkin balasan pahalanya keberkatan. Ataupun mungkin juga ketenangan. Allah Maha Kaya. Allah mampu membalas lebih banyak dari kadar amalan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya’.
‘langkah keempat?’.
‘Bersyukur. Hanya dengan bersyukur, rezeki akan bertambah. Ini strategi hati namanya’
‘strategi hati? Apa maksudnya?’.
‘ini strategi yang paling mudah. Hanya bersyukur. Syukur dengan lidah, ucapkan alhamdulillah-segala puji bagi Allah. Kemudian syukur dengan hati, rasakan rezeki yang ada adalah kurniaan dari Allah, bukan kerana usaha dan kepandaian kita. Dan akhir sekali, syukur dengan tindakan, gunakan nikmat selaras dengan tujuan Allah kurniakan nikmat tu!’  .
‘bagaimana?’.
‘Allah berikan ilmu untuk kita amalkan dan sampaikan . Allah berikan kekayaan kepada kita untuk menolong orang lain dengan hibah dan zakat. Allah berikan kita masa dan kesihatan supaya kita laksanakan ketaatan. Itulah maksudnya, menggunakan nikmat selaras dengan tujuan Allah memberikan nikmat itu ’
‘maksudnya, jika ilmu dipendam, harta dimonopoli, masa digunakan ke arah kejahatan dan tenaga disia-siakan. itu maknanya kita tidak bersyukur?’
‘ya. Itu akan menyempitkan rezeki. Allah telah berjanji dalam al Quran, rezeki akan bertambah jika kita bersyukur. Dan bagi mereka yang kufur, sesungguhnya azab Allah amat pedih sedia menanti.’.
 ‘diazab dengan rezeki? Maksudnya istidraj? diberikan tetapi disertai azab dan kebencian dari Tuhan. Strategi hati ni susah lah. Bukan mudah hati nak bersyukur’.
‘sebab manusia melihat pada kekurangannya, bukan kelebihannya. Fokusnya kepada apa-apa yang tiada, bukan kepada apa-apa yang ada. Memang sukar untuk bersyukur jika begitu.’
‘macammana dengan bersyukur boleh menambah rezeki?’.
‘orang yang bersyukur hatinya lapang, dia berasa cukup dengan apa yang ada. Rasa yang sebegini akan menarik rezeki. Apabila kita baik, kita akan menarik kebaikan. Syukur itu sesuatu yang baik, dan rezeki juga sesuatu yang baik. Yang baik akan menarik yang baik. Kalau kita bersyukur, Allah akan tambahkan rezeki. Itu janji Allah dalam al Quran ’
Sumber : Beduk di ketuk
HANZALAH MUNAFIK?
Suatu hari Hanzalah bin Abu Bakar mengadu kepada Rasulullah . ‘saya telah menjadi munafik wahai Rasulullah!’
‘Apa yang telah kamu lakukan?’
‘wahai Rasulullah, apabila kami bersamamu, kamu mengingatkan kami tentang syurga dan neraka sehingga seolah-olah kami dapat melihatnya. Kemudian apabila kami meniggalkan majlismu dan berkumpul bersama anak dan isteri  dan harta benda, kami menjadi lupa!’
Rasulullah menjawab ‘Demi Dia yang jiwaku ada ditanganNya. Seandainya kamu tetap dalam keadaan seperti mana semasa bersamaku dan dalam keadaan zikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan denganmu samaada di tempat tidur atau di jalanan. Tetapi hanzalah, ada waktu untuk ini dan waktu untuk itu (bersama keluarga)’
(Riwayat Muslim)





           










No comments:

Post a Comment