Google Ads

Tuesday 13 October 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 95

MENARIK DI DALAM
·        Ilmu
·        Syarat Masuk Syurga
·        Tujuan
·        Hati Seorang Pemandu Teksi
·        Doa
·        Letih
·        Mahalnya Syurga


Assalamualaikum
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,Yang Maha Mengetahui apa yang ada dalam Dada manusia, samaada sembunyi atau tidak. Tuhan yang mengetahui apa yang telah, sedang dan akan berlaku kepada diri kita.

Sahabatku
Barangsiapa Mengajar Ilmu Niat Mencari Kemasyhuran, Maka Ia Tidak Akan Berkekalan, Kerana Allah Akan menarik Nikmat Itu. Orang Yang Benar-Benar Ikhlas Sahaja Akan Mendapat Kemasyhuran Berpanjangan, Kerana Allah Yang Memberinya Nikmat Itu..

Sahabatku..
saya memetik kata-kata di atas kerana ramai diantara kita yang mengajar ilmu. mengajar tidak hanya fokus kepada guru, seorang ibu mengajar anaknya, seorang kakak mengajar adiknya, seorang sahabat mengajar sahabat yang lain, malah tidak pelik jika saya katakan semua orang adalah guru, walaupun bukan untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri.

Sahabatku
Sandarkan apa sahaja ilmu yang kita curaahkan hanya untuk mencari keredhaan Allah. kerana apa, kerana ilmu itu dari Allah. kita hanya perantara Allah untuk menyampaikan ilmu tersebut. Allah yang mencetuskan idea, Allah yang menganugerahkan mulut untuk kita berkata-kata. jadi dari Allah ilmu itu datang dan kepada Allah kita kembalikannya. dari situ akan terbit sifat IKHLAS dalam diri kita.                                                                        
Editor, Norazila Khalid


HADIS 22
SYARAT MASUK SYURGA
 Daripada Abi Abdullah Jabir bin Abdullah al—ansari r.a bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah ‘Bagaimana pendapatmu jika seseorang itu melakukan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menghalalkan yang halal, dan mengharamkan yang haram, serta tidak menambahkan selain itu sedikit pun, adakah saya akan masuk syurga?’ .Rasulullah saw menjawab: ‘ya’. 

3 KATEGORI ORANG YANG MENINGGALKAN SUNNAH
1. Orang yang meninggalkan yang sunnah dan tidak mahu melakukan sedikit pun. Maka dia tidak memperoleh keuntungan yang besar dan pahala yang banyak.
2. Orang yang terus menerus meninggalkan hal-hal yang sunnah. Maka dia telah berkurang agamanya dan berkurang pula nilai  kesungguhannya dalam beragama.
3. Orang yang meninggalkan sunnah kerana sikap meremehkannya. Maka dia merupakan orang yang fasiq dan patut dicela. 
Sumber : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi

TUJUAN
Tujuan kita hidup di diunia ialah semata-mata untuk beribadah kepada Allah swt. Bukan hanya ibadah khusus tetapi merangkumi ibadah umum iaitu aktiviti kita seharian yang kita niatkan kerana Allah swt. Allah menegaskan di dalam alQuran bahawa ‘Aku tidak menjadikan jin, manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu’ (Surah al Zariyat 51:56). Tujuan hidup yang jelas, menjadikan seseorang itu berusaha keras untuk mencapai kebahagiaan hidup di Dunia dan di Akhirat. Hanya Allah sahaja yang berkuasa memenuhi keperluan hidup manusia . Manusia hanya berusaha untuk melakukannya dengan terbaik. Orang yang tidak tahu tujuan hidupnya tidak akan bersemangat. Dia tidak nampak akan destinasi akhirnya, di mana hendak di tuju. Dia hidup hanya untuk kesenangan hidup di dunia yang sementara , tanpa sedar kematian akan menjemputnya dan segala hartanya akan di soal kelak. Tujuan hidup seseorang muslim hanya akan tercapai jika dia serius dengan kehidupannya. Beribadahlah kamu seolah-olah akan mati esok, dan berkerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Indahnya hidup seorang muslim jika bertujuan.


HATI SEORANG PEMANDU TEKSI
Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat subuh di Masjid yang berhampiran dengan rumahku. Kekadang aku bersama dengannya lewat solat Asar, jika kebetulan pulang kerja awal. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya dalam 65 Tahun.
‘Kenapa masih bekerja pak cik?’.
‘kenapa? Pakcik dah tua ke?’.
‘anak-anak masih kecil? ’
‘ah, pakcik dah bercucu! alhamdulillah , anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga.’
‘kenapa pakcik masih bekerja? ’.
 ‘bukankah bekerja itu satu ibadah. Ibadah mana ada pencen’
‘pakcik gembira dengan kerja ini?’
‘gembira. Pakcik tak ada kepandaian lain. Inilah kepandaian pakcik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja pakcik memberi khidmat kepada manusia lain.’.
‘awal pakcik dah keluar? Lepas subuh terus bekerja? ’
‘pagi-pagi ni murah rezeki. Pakcik suka mula awal tetapi habis awal. malam boleh tumpukan kepada kerja lain’.
‘malam pakcik kerja apa pula?’.
‘bukan kerja, pakcik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula,dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja pakcik yang dah berumur ni’.
‘sekarang ni mudah dapat pelanggan?’
‘ada kala mudah. Ada kala payah. Sekarang ni susah nak jangka’.
‘kalau pelanggan tak ada macammana?’..
‘tu, CD kuliah-kuliah agama. Pakcik habiskan masa dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar, pakcik cubalah zikir sikit-sikit. rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu’.
‘pakcik sihat? Tak ada sakit-sakit’ .
‘sakit tu memang ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tapi yang berat-berat tu tak adalah. alhamdulillah’.
‘pakcik makan makanan tambahan ke? food supplement?.’
‘tak ada. Pakcik Cuma jaga makan dan jogging. Tubuh kita ni bukan kita punya. Kena jaga baik-baik. ‘.
‘eh pakcik. Yang kita punyalah kena jaga baik-baik’ .
‘tak tahulah pakcik. Tapi pakcik anggap tubuh ini amanah Allah. Apabila amanah kita perlu jaga baik-baik,’.
Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati, aku kagum dengan orang macam pakcik. Orang tua yang simple, tenang dan mempunyai prinsip hidup yang tepat dan jelas dalam hidupnya. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia memandu kehidupannya. Individu ini rupanya memiliki hati emas. Isi cakap dan sikapnya semuanya al Quran dan hadis, walaupun mulutnya tidak petah menyebut al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya dia lebih baik daripada para ustaz yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan hadis tetapi tidak mempraktikkannya.
Sumber : Beduk di Ketuk



DOA
‘Yang penting bagiku bukanlah dikabulkan doa, tetapi keinginan untuk terus berdoa. Justeru, setiap kali terdetik untuk berdoa, pasti aku berkeyakinan bahawa bersertanya pasti ada pengabulan doa’.


LETIH
Kita sering mengeluh apabila letih. Orang yang letih akan mudah jemu. Wajarkah kita melayan rasa letih di dunia yang akan menjadikan kita lebih letih di alam akhirat? Jika terlalu dilayan rasa letih, semua kerja tidak dapat dibereskan.
Ramai yang mengadu letih atas kesibukan duniawi yang mengetepikan urusan ukhrawi. Si pekerja letih kerana sibuk bekerja dan bermesyuarat menguruskan perniagaan. Si pelajar pula letih berkejaran ke kelas pengajian untuk mendapat pencapaian tertinggi.
Letih yang bermanfaat hadir apabila setiap perkara yang dilakukan disandarkan kepada Allah. Letih belajar dan bekerja seharusnya berpaksikan kepada mencari keredaan kerana itulah harga letih akan mendapat bayaran di akhirat kelak.
Ubat letih di dunia ialah rehat di akhirat. Biarlah kita berasa letih kerana melakukan kebaikan dan ibadah. Kerana hasilnya sudah pasti kita rehat selenang-lenangnya di akhirat kelak.
 Ingatlah mereka yang merasa letih sebanyak  dua kali iaitu letih di dunia dan letih di akhirat. Selain tidak tenang di dunia ini, mereka akan menerima pembalasan di akhirat kelak. Justeru, hilangkan keletihan dengan latihan yang berterusan.


MAHALNYA SYURGA
Siapapun kita di dunia,
sehebat mana pun kita pada pandangan manusia, sebesar manapun kuasa yang kita ada, setinggi manapun pangkat dan darjat yang kita bangga, seramai manapun peminat dan penyokong kita, ITU SEMUA TIDAK AKAN MENJAMIN SYURGA.
Kerana hanya IMAN dan TAQWA sahaja yang akan menentukan siapa kita di mata sang pencipta.






No comments:

Post a Comment