Google Ads

Sunday 22 November 2015

MENCARI BAHAGIA

Mencari Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim…
Sahabatku,
Orang yang bahagia itu terlihat jelas tenang di wajahnya, tidak semestinya rumahnya bertingkat-tingkat, kereta berkilat besar disertai pemandu, bukan juga dompet penuh dengan helaian wang kertas biru dan ungu serta kad kredit tersusun, orang yang sederhana sahaja kelihatannya boleh jadi bahagia.  Bahagia itu datang dari hati, bukan datang dari kebendaan semata. Banyak harta boleh bawa bahagia, tapi bukan semestinya menjadi syarat bahagia. Lihatlah insan paling bahagia Rasulullah saw yang pernah perutnya diikat batu untuk menahan rasa lapar akibat tiada makanan, namun hatinya tetap merasa bahagia. Mulutnya tetap manis tersenyum dikala didatangkan pelbagai cubaan dan dugaan. Lantas kita katakana,  Siapa yang akrab dengan penciptanya akan menjadi orang yang paling bahagia. Kerana Allah yang menciptakan manusia, sudah pasti Dia jugalah yang mengemudi hati manusia itu.

Sahabatku,
Namun kita silap dalam menilai erti BAHAGIA yang sebenar. Jika ada duit, baru kita bahagia bukan?. Jikatiada sebarang masalah dan dugaan hidup baru kita rasa tenang, apabila tiada orang mencaci dan ramai yang memuji, kita rasa bangga dan sangat terpesona. Penghargaan manusia yang kita kejar lantas terpedaya dengan helah dunia yang sementara. Seorang wanita yang sempurna sifat dan berkerjaya berjumpa dengan seorang ustaz lalu mengadu akan masalah rumahtangganya. Anaknya buat hal dan suaminya juga bukanlah suami yang baik. Wanita itu menyalahkan takdir atas keluarga yang dia dapat.  Lantas Ustaz tersebut teringat akan seorang lelaki di Negara jiran, dia kudung kedua kaki, dia dalam kategori keluarga yang agak miskin, namun dia masih lagi bekerja untuk menyara anaknya yang ramai. Apabila sampai sahaja waktu solat, dia akan menunaikan solat berjemaah di masjid yang berdekatan. Dia sangat rajin membantu ahli Jemaah di masjid. Mulutnya sentiasa senyum dan dia nampaknya begitu bahagia dengan hidupnya, mulutnya tidak lekang mengucapkan ‘Allah baik dengan saya’ apabila ditanya tentang segala kekurangannya. Terkedu mendengar cerita ini. Segala kekurangan yang di alami oleh lelaki tadi tidak dianggap kekurangan malah ditukarnya menjadi syukur dan kelebihan. Itulah kelebihan bagi dirinya untuk dia lebih mengenali Allah. Dia sentiasa bersolat Jemaah di masjid walaupun dia cacat, kita ada?

Sahabatku,
Astagfirullah, jauhnya kita jika ingin dibandingkan dengan lelaki itu. Kita sangat sombong dengan Allah. Kenapa saya boleh berkata begitu? Lihat sahaja solat kita. Bagaimana dengan kualiti solat kita ketika kita dihujani nikmat berbanding dengan didepani dengan dugaan dan cabaran hidup? Adakah ada perbezaannya?. Solat menjadi lebih khusyuk dan tertib ketika mendapat musibah bukan? Doa dan wirid serta merta menjadi lama. Berbeza ketika kita senang tanpa ujian. Nak solat pun begitu malas sekali. Dengan solat di akhir waktu dan begitu pantas sekali kita berdoa tanpa sempat berwirid dan berzikir.  Kadangkala quran berhabuk lama tak bersentuh. Apabila ditimpa masalah, terus istiqamah membaca al Quran, segala macam solat sunat kita laksanakan untuk memohon merayu dengan Tuhan agar diperkenankan doa untuk kesenangan dan kemudahan kita. Apabila hajat kita tertunai dan beban kita langsai, kita seolah-olah telah berubah. Tidak seperti sebelumnya. Mengapa? Yang paling malang adalah, sama sahaja dia di mana-mana keadaan, mendapat nikmat dia jauh dengan Allah, di timpa musibah dia lagi menjauh. Nauzubillah hi min zalik!

Sahabatku,
Sukarnya mendapat bahagia yang hakiki bukan?, kerana ternyata bahagia yang ditonjolkan adalah banyak pura-pura. Lihat sahaja di media sosial, bahagia dipamer dan dipertonton umum, hakikatnya hati sarat dengan dengki dan hasad serta iri hati. Tangannya mudah sekali memberi komen berbaur umpat keji mencaci. Astagfirullah….  Usah menuding jari melihat orang, lihatlah diri sendiri yang sarat dengan kekurangan. Perbaikilah, auditlah sementara masih ada masa lagi. Tukarkan keperitan dan kepayahan kepada kemanisan.  Jadilah orang yang beriman, iaitu setiap keadaan adalah baik dan bahagia bagi mereka, apabila mereka ditimpa kesusahan dengan musibah, mereka sabar dan tabah dalam menjalaninya, apabila mereka mendapt nikmat dan kesenangan, mereka sujud dan bersyukur. Ya Allah, bantulah kami untuk bahagia dengan dekat denganMu.
Editor, Norazila Khalid.  



No comments:

Post a Comment