Google Ads

Saturday 28 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 168

MENARIK DI DALAM
·        Rasulullah Pun Bimbang, Masakan Kita Tidak
·        Buruk Siku Minta Balik
·        6 Rawatan hati
·        Kata-kata Itu Doa
·        Apabila ‘Racun’ Dianggap Hiburan, ‘Perosal’ Dijadikan Ikutan
·        Taubat Ibadah, bukannya Adat
·        Miliki Kerendahan Hati



RASULULLAH  PUN BIMBANG, MASAKAN KITA TIDAK
Anas menceritakan bahawa Rasulullah kerap berdoa : ‘Wahai Yang membolak balikkan hati, teguhkan hatiku atas agamaMu’. Anas bertanya ‘Wahai Rasulullah, kami telah beriman denganmu dan segala apa yang engkau bawakan, maka adakah engkau masih bimbang terhadap kami? Sabda baginda ‘Ya! Sesungguhnya hati-hati berada antara 2 jari Allah yang Ia boleh bolak balikkannya mengikut kehendakNya’. (Riwayat al Tirmizi)
 



TRIVIA (SITUASI FIQAH)
1. Ada seseorang yang pakaiannya terkena ‘sesuatu’ yang suci. Walau bagaimanapun dia diwajibkan membersihkan pakaiannya serta merta. Malah, haram baginya jika dia tetap berada dalam keadaan begitu. Kenapa demikian?
2. Dalam wuduk, kita disunatkan mendahulukan anggota kanan sebelum kiri. Walau bagaimanapun ada sepasang anggota wuduk yang tidak di sunatkan hal tersebut. Apakah anggota itu?
3. Ada seorang lelaki , pada asalnya dia berpuasa. Kemudian, dia dikira ‘berbuka’ serta merta biarpun tidak makan, minum, jimak, masuk sesuatu ke dalam rongga dan sebagainya. Dia juga tidak niat berbuka. Kenapa?
Jawapan di akhir edisi ini



BURUK SIKU MINTA BALIK
Sememangnya kita dilarang mengungkit-ungkit pemberian kepada orang lain. Perbuatan meminta kembali pemberian daripada orang lain mengakibatkan
 Merosakkan hubungan dengan si penerima.
 Keadaan menjadi lebih buruk sekiranya. hadiah itu sudah tiada dalam simpanan penerima.
 Memalukan si penerima hadiah.
 



6 RAWATAN HATI

 PASTIKAN MAKAN MINUM HALAL DAN BAIK

Ada keberkatan pada rezeki yang diusahakan dengan cara yang halal. Salah satunya ialah ia membersihkan hati. Rasulullah berpesan kepada Saad Bin Muaz ‘Wahai Saad, makanlah yang baik-baik, pasti doamu akan dimakbulkan’. (Riwayat al Tabrani)

 

 MEMBACA AL QURAN

Al quran penawar kepada hati yang sakit. Dengan membaca al quran hati akan menjadi tenang, walaupun tanpa mengetahui maknanya. Maka apatah lagi mengetahui makna dan menghayatinya. ‘Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan (al Quran) yang saling menyerupai lagi berulang-ulang yang menggeletarkan kulit badan orang yang takut kepada Tuhannya. Kemudiian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah’.

(Surah al Zumar 39:23)

 

 BERZIKIR

Apabila hati dirasakan keras dan kering, berzikirlah. Allah berfirman ‘Bukankah dengan berzikir, hati menjadi tenang’. (Surah al Ra’d 13:28)

 

 SEDIKIT BERBICARA

Banyak berbicara akan mendedahkan kepada banyak kesalahan dan dosa. Dan dosa akan mengotorkan seterusnya menyakkitkan hati. Hubungan lidah dan hati sangat erat sehingga Rasulullah menjelaskan ‘tidak lurus seorang hamba sehingga lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya sehingga lurus lidahnya’. (Riwayat Ahmad)

 

 MENYENDIRI BUAT SEMENTARA DAN BERMUHASABAH DIRI

Ada ketikanya kita perlu memberi masa untuk diri sendiri. Uzlah sangat penting untuk bermuhasabah. Inilah yang sering dikatakan oleh ahli psikologi manusia seperti ‘sharpen the saw’. Pertajamkan gergajimu. Maksudnya, ambil masa untuk menilai, mengkoreksi dan mengaudit diri dalam rangka memperbaikinya.

 

 KURANGKAN MAKAN, BANYAKKAN PUASA

Banyak makan mengeraskan hati dan menguatkan syahwat. Nafsu seks sangat berkait dengan kekenyangan perut. Maka puasa mampu melenturkan hawa nafsu justeru membersihkan hati. Rasulullah mengingatkan ‘wahai orang muda, sesiapa yang mempu bernikah, bernikahlah. Namun, siapa yang belum mampu, berpuasalah kerana kerana puasa menjadi perisai bagimu’. (Riwayat Muslim)

 

 


KATA-KATA ITU DOA
            2 orang sepupu, Azam dan Halim sangat rapat dan selalu menghabiskan masa bersama-sama. mereka pergi ke sekolah bersama-sama , mengaji dan mengkhatam al Quran bersama-sama, keliling kampung berkonvoi dan menghabiskan masa bermain bersama-sama. pada suatu hari, Azam dan Halim bermain-main di halaman rumah mereka . Melihat buah jambu air yang merah ranum di atas pokok, mereka bersepakat ingin memanjat pokok itu. Tujuannya hanya satu iaitu ingin menikmati keenakan jambu yang banyak airnya itu di tengah-tengah terik bahang matahari.
            Memanjat pokok itu merupakan kemahiran semulajadi yang dimiliki mereka berdua. Kurang seminit, masing-masing telah duduk di atas dahan pilihan mereka. Mereka memilih posisi yang memudahkan mereka untuk mencapai buah jambu air yang bergayutan. Kedudukan azam lebih tinggi daripada Halim. Ibu Halim yang kebetulan baru memberi makanan kepada ayam di belakang rumah ternampak anaknya dan Azam yang berada di atas pokok. ‘Halim, buat apa di atas pokok tu. Nanti jatuh. Kan ada banyak kerengga tu!’ jerit ibu Halim. Mendengar jeritan ibunya, Halim hilang keseimbangan dan Gedebuk! Halim tetap jatuh ke tanah walaupun telah cuba mencapai dahan yang terdekat.
            Sewaktu Halim hampir-hampir jatuh, pokok itu bergoyang-goyang. Azam yang berada lebih tinggi daripada Halim turut hilang keseimbangan dan hampir jatuh. ‘Hati-hati Azam! Pegang kuat-kuat’. Jerit bapa Azam dari luar rumahnya. Azam berjaya berpaut kuat dan segera turun dari pokok. Tiada apa-apa yang berlaku kepada Azam.

Pengajaran
Kata-kata mencetuskan doa. Kata-kata yang positif akan mencetuskan situasi, perasaan dan tindakan yang positif juga. Begitulah sebaliknya.
Sumber : Angguk Geleng






APABILA ‘RACUN’ DIANGGAP HIBURAN, ‘PEROSAK’ DIJADIKAN IKUTAN  
Walaupun kecanggihan teknologi semakin memuncak, tetapi tahap hati manusia kian rosak. Tegasnya, apabila kejahatan semakin banyak, ertinya hati manusia semakin sakit. Akibatnya, hidup manusia moden terus dicengkam ketakutan dan kesedihan yang akhirnya meragut kebahagiaan  dan ketenteraman dalam hidup.
 



TAUBAT IBADAH, BUKANNYA ADAT.
Anehnya, hari ini mudah sungguh lafaz taubat dihamburkan. Semasa musim perayaan, maka rangkai kata ‘ selamat hari raya, Maaf Zahir Batin’ menjadi ucapan yang begitu mudah dilafazkan. Apakah semudah itu melafazkan taubat? Taubat bukan sekadar lafaz di bibir, atau ucapan yang hanya bermain di bibir, bahkan taubat ibadah yang diperintahkan, punya rukun dan kaifiat. Apabila lafaz taubat menjadi mainan, kata-kata maaf menjadi pemanis bibir, maka hilanglah nilainya, gersanglah hikmahnya. Inilah fenomena hari ini, taubat dijadikan ‘permainan’, lafaz maaf bukan lagi suatu yang dihargai, sekadar pemanis mulut dan pelengkap pantun dan ucapan. Maka, apakah semudah itu melafazkan taubat?



MILIKI KERENDAHAN HATI
Rendah hati berlainan dengan rendah diri. Rendah hati sifat mahmudah yang baik, tawaduk dan bebas daripada sikap sombong, takabur, dan bangga diri, tidak meremehkan orang lain dan tidak membezakan dalam memberikan layanan terhadap orang  miskin atau kaya. Rasulullah bersabda, ‘tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sebesar darah sifat takabbur ‘. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis Qudsi, Allah berfirman ‘Kemuliaan itu adalah pakaianKu dan membesarkan diri itu selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu, pasti Aku akan menyeksanya’. (Riwayat Muslim)


JAWAPAN TRIVIA
1. Sebenarnya lelaki tersebut dalam ihram dan pakaiannya terkena minyak wangi yang suci. Orang yang berihram adalah haram memakai wangian.
2. Telinga. Yang sunnah telinga dibasuh serentak. Hanya tangan dan kaki sahaja disunatkan mendahulukan kanan sebelum kiri.
3. Orang itu murtad. Nauzubillah.




No comments:

Post a Comment