Google Ads

Thursday 5 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 142

MENARIK DI DALAM
·        Tip Jadi Matang Pada Usia Muda
·        Kenapa wujud kisah-kisah dalam al Quran?
·        Menggali Harta Karun
·        Sengaja Solat Duduk
·        Usah Bersedih
·        Hukum Memejam Mata Semasa Solat

TIP JADI MATANG PADA USIA MUDA
◊ Pilih  sahabat yang berfikiran positif.
◊ Rajin berbual dengan ahli keluarga, banyak masalah dapat diselesaikan bersama.
◊ Hadiri majlis ilmu. Walaupun kadangkala tidak faham perkara yang dibincangkan, ia mendedahkan diri kepada kematangan.
◊ Kurangkan menonton siaran televisyen dan program remeh temeh. Sebaliknya membaca isu-isu ilmiah dan terlibat dengan aktiviti yang sihat. Sedikit demi sedikit, kita merasai tempias kedewasaan.
◊ Pilih pakaian yang sesuai. Tidak terlalu keanak-anakan dan tidak terlalu tua. Sesuaikan dengan usia dan wawasan anda.
◊ Fikir kesan buruk jika tidak boleh berdikari dan berfikir secara matang. Orang akan memandang rendah, hidup sentiasa cemas dan mudah kecewa kerana diri serba tidak tahu.
◊ Tanamkan keinginan mencari ilmu baru. Pilih kegiatan sosial  yang mendedahkan diri kepada perkembangan sahsiah seperti sukan, rewang sekampung, pameran universiti , karnival keluarga dan sebagainya.
◊ Konsisten solat berjemaah di surau atau masjid. Ia ‘aura’ semula jadi dalam bermasyarakat yang menjurus kepada kematangan .



KENAPA WUJUD KISAH—KISAH DALAM AL QURAN?

¤ BUKTI KERASULAN MUHAMMAD SAW DAN AL QURAN BUKAN CIPTAAN BAGINDA.
Sebagaimana yang kita ketahui, Rasulullah saw seorang yang amni (buta huruf). Mana mungkin baginda pernah membaca kisah-kisah silam, apatah lagi duduk dalam majlis pendeta Yahudi atau Nasrani untuk mendengar tentang peristiwa lampau.

¤  MENERANGKAN BAHAWA AGAMA ISLAM KESELURUHANNYA ADALAH DARIPADA ALLAH.
Berdasarkan beberapa kisah nabi terdahulu, dapat disimpulkan bahawa semua agama yang dibawa oleh 25 orang Rasul yang tercatat nama mereka dalam al Quran ialah agama yang sama. Sama dari segi apa? Sama dari segi mengesakan Allah swt. Oleh sebab itu, ajaran yang dibawa oleh para nabi sebelum Rasulullah saw ialah menyeru kepada penyembahan hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu.

¤ MEMBERI IKTIBAR
Kisah-kisah yang dipaparkan di dalam al Quran bukan semata-mata hiburan atau bedtime stories, tetapi kisah tersebut sarat dengan pengajaran yang mekar sepanjang zaman.

¤ MENETAPKAN HATI RASULULLAH SAW DAN PARA SAHABAT
Lazimnya kisah-kisah para nabi yang disebut dalam al Quran berakhir dengan kesudahan yang baik, yakni pertolongan Allah sentiasa bersama mereka dan kaum-kaum yang ingkar biasanya ditimpakan azab yang pedih.

¤ MENYEBARKAN BEBERAPA MESEJ AGAMA DENGAN JELAS seperti mengingatkan manusia tentang tipu daya syaitan yang tidak pernah penat menyesatkan manusia.





AL QURAN
‘Dan belanjakan (harta bendamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam lembah kebinasaan dan berbuat baiklah kerana Allah menyukai orang yang berbuat baik’.
(Surah al Baqarah 2:195)


MENGGALI HARTA KARUN
             Seorang ayah yang sedang nazak berwasiat kepada anak-anaknya, ’jika ayah meninggal, kamu bertiga bersihkanlah tanah hutan milik kita dibelakang rumah ini. Carilah di dalamnya harta karun yang selama ini ayah simpan untuk kamu. ’
Spontan anak sulung bertanya ’bolehkah ayah bagitahu secara tepat lokasi harta karun itu? Si ayah hanya menggeleng-ngeleng kepala. ’ Bang, tak payahla kita paksa ayah, ayah kan tenat..’ kata anak bongsunya.
            Tak lama kemudian, ayah mereka meninggal dunia. Lalu, kedua-dua anak sulung dan anak kedua tanpa berlengah terus menebas kawasan hutan dan menggali di tempat-tempat yang mereka rasa ada harta karun itu berada. setelah beberapa lama menebas dan menggali, harta karun masih tidak ditemui. ‘ah, mana ada harta karun?’ kata anak sulung
‘kita kenal ayah, kata-kata ayah selalu benar. Tidak ada sebab ayah hendak menipu kita’. ‘baiklah kalau kau percaya sangat, kau seorang sahaja tebas hutan ni dan terus menggali’. Ujar abangnya.
            Si adik bongsu menyambung kerja menebas dan menggali tanah itu. Tak lama kemudian, seluruh hutan dan tanah itu menjadi terang dan gembur. ‘macammana, ada harta karun?’ tanya abang-abangnya mengejek. Namun si adik tetap yakin yang ayahnya tidak akan berbohong. Cuma apakah hakikat sebenarnya yang dimaksudkan oleh ayahnya?
            Lama kelamaan, abang-abangnya keluar mencari kerja di kota dan tanah itu diserahkan sepenuhnya kepada adiknya kerana mereka hampa dengan harta karun yang dikatakan ayahnya. Melihat tanah kosong yang telah diterangi itu, timbul idea dalam benak si anak bongsu. Dia mula bercucuk tanam dan hasilnya itu dijadikan modal untuk menanam pokok buah-buahan. Beberapa waktu kemudian, ladang buah-buahan mengeluarkan hasil lumayan. Di samping menjadi pengeluar buah-buahan dan menjadi pengusaha yang maju dan kaya.
            Kini, barulah dia faham apa yang dimaksudnya oleh ayahnya mengenai harta karun yang terpendam di kawasan hutan di belakang rumah mereka. Ayahnya tahu rahsia kerajinan, ketabahan dan sikap tidak putus asa dalam berusaha. Itulah ‘harta karun’ yang dimaksudkan oleh ayahnya dulu.

Pengajaran
Tiada jalan pintas untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Semuanya perlukan usaha dan kesabaran. Jika kita berusaha dengan seluruh tenaga dan kemampuan diri, kita akan melihat ruang dan peluang sentiasa ada untuk dicapai.

Sumber : Angguk Geleng






SENGAJA SOLAT DUDUK
Seorang lelaki yang sihat tubuh badan dan mampu berdiri tegak tetapi sengaja dia solat secara duduk namun solatnya sah. Bagaimana?
Jawapan: Sebenarnya dia solat sunat. Solat sunat boleh dilakukan secara duduk sekalipun tanpa sebarang keuzuran. Bagaimanapun pahalanya separuh daripada solat berdiri.



USAH BERSEDIH
Allah swt berfirman dalam surah Ali Imran ayat 139 yang bermaksud :
‘dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman’.


HUKUM MEMEJAM MATA KETIKA SOLAT  
Harus. Tetapi ada syaratnya.
Sesetengah ulama mengharuskan dan mengatakan bahawa ia memungkinkan hadirnya khusyuk.. Harus memejam mata jika benar-benar diyakini dapat menambah kekhusyukan serta mengelakkan gangguan pandangan daripada perkara yang pasti mengganggu khusyuk. Justeru , hukumnya adalah berbeza menurut keadaan seseorang. Selain itu, membuka mata semasa solat adalah lebih utama.




No comments:

Post a Comment