Google Ads

Saturday 28 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 167

MENARIK DI DALAM
·        Ghibah Jangan, Apa Lagi Fitnah..
·        Biasa Sangatkah Istighfar?
·        Permudahkanlah sistem
·        Awas! Pandangan Mata
·        Kambing Dan Perigi Buta
·        Zikir itu dimana? Lidah atau hati?
·        Kalaulah Mereka Beriman…


GHIBAH JANGAN, APA LAGI FITNAH….
Suatu hari, Rasulullah bertanya kepada para sahabat: ‘Tahukah kamu apa itu ghibah?’  Mereka menjawab ‘Allah dan rasulNya lebih tahu’. ‘Ghibah itu ialah engkau berkata sesuatu tentang saudaramu yang dia tidak suka.’ Rasulullah menjelaskan. ‘Bagaimana jika ia benar?’ Jawab Rasulullah  ‘jika apa yang engkau katakan tu benar, engkau telah melakukan gibah. Sekiranya tidak benar maka engkau telah melakukan fitnah’.
(Riwayat Muslim)




TRIVIA (SITUASI FIQAH)
1. Memberi salam itu sunat, namun menjawab salam adalah wajib. Tetapi ada seseorang yang diberi salam kepadanya tetapi dia membalasnya dengan isyarat tangan sahaja. Kenapakah begitu sedangkan dia tidak bisu?
2. Ada tiga orang Muslim yang meninggal dunia pada hari yang sama. Jenazah yang pertama tidak dimandikan dan tidak disolatkan langsung. Jenazah kedua pula disolatkan dan tetapi tidak dimandikan. Manakala jenazah yang ketiga pula dimandikan dan disolatkan. Kenapakah mereka berbeza?
3. Sunat berpuasa pada hari ‘putih’ iaitu setiap hari ke 13, 14, dan 15 setip bulan. Sebuah hadis ‘Rasulullah memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke 13, 14 dan 15’. Sabda Nabi ‘Berpuasa pada ketiga-tiga hari tersebut seumpama berpuasa sepanjang masa’. (Riwayat Abu Daud). Namun ada satu bulan yang diharamkan puasa pada salah satu hari tersebut. Bulan mana?
Jawapan di akhir edisi ini


BIASA SANGATKAH ISTIGHFAR

Sedangkan…

 Allah membanggakan zatNya sebagai maha Pengampun.

‘khabarkan kepada sekalian hambaKu bahawa Akulah Yang maha Pengampun Maha Pengasih’. (Surah al Hijr 15:49)

 

 Keampunan barangan tawaran Allah

‘sekiranya kamu terbunuh di jalan Allah atau meninggal dunia , pasti keampunan Allah dan rahmat lebih baik daripada segala yang mereka himpunkan’. (Surah Ali Imran  3:157)

 

 Allah suka kepada orang yang beristighfar kepadaNya

‘demi yang jiwaku di tanganNya, kalaulah kamu tidak pernah melakukan dosa, pasti Allah akan lenyapkan kamu jua lalu diganti dengan mereka yang melakukan dosa. Mereka pun meminta ampun kepada Allah dan Allah mengampunkan mereka.’ (Riwayat Muslim)

 

 Allah sentiasa menolong orang yang suka istighfar

‘Sesiapa yang melazimi Istighfar, Allah akan sediakan untuknya pada setiap kali kesempitan jalan keluarnya, setiap kebimbangan kelegaannya dan merezekikannya dari arah yang tidak pernah disangka-sangka’.(Riwayat Abu Dawud)

 

 Rasulullah beristighfar 70 kali sehari

‘sesungguhnya aku sendiri beristighfar dan bertaubat kepada Allah lebih daripada 70 kali’.  (Riwayat al Bukhari) dalam riwayat lain 100kali.

 

 Rasulullah menyuruh istighfar buat si mati

Menjadi sunnah Rasulullah memohon istighfar kepada sesiapa yang meninggal dunia.

 

 Rasulullah suruh memohon kemaafan semasa lailatulqadar.

Sayidatina Aisyah pernah meminta nasihat Rasulullah saw tentang doa anyg paling penting untuk dipanjatkan pada malam lailatulqadar. Maka Nabi tidak mengajarkan beliau selain meminta keampunan.

 

 

 


PERMUDAHKANLAH SISTEM
Peraturan dibuat untuk memudahkan sistem. Namun, ini tidak menafikan soal budi bicara dan sikap toleransi. Di mana-mana pun sentiasa ada ruang untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit tanpa menggadaikan rasa kemanusiaan yang seharusnya menjadi dasar mana-mana sistem buatan manusia.



AWAS! PANDANGAN MATA
‘tatapan (pandangan mata) ialah salah satu panah beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya, Allah akan menggantikannya dengan keimanan yang manisnya di rasa dalam hati’. (Riwayat al Tabrani)


KAMBING DAN PERIGI BUTA
            Ada seekor kambing yang terjatuh ke dalam sebuah perigi buta. Kambing tersebut mengembek sehingga menarik perhatian orang yang lalu lalang. Orang ramai berfikir bagaimana ingin membantu mengeluarkan kambing tersebut dari perigi buta itu. Perbincangan mengambil masa berhari-hari. malangnya mereka tidak menemui cara untuk mengeluarkan kambing tersebut. Akhirnya mereka bersepakat untuk mengambus perigi tersebut dengan andaian bahawa kambing tersebut tidak dapat diselamatkan lagi dan perlu dikambus bagi mengelak bau busuk bangkai kambing tersebut.
            Penduduk kampung bergotong royong menimbus perigi buta itu. Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib si kambing. Bukan sekadar terjatuh ke dalam perigi buta, malah ingin dikambus hidup-hidup oleh penduduk kampung. Pasti tamat riwayat si kambing. Namun kambing tersebut tidak berputus asa. Setiap kali tanah dan pasir dituang ke dalam perigi, kambing tersebut akan menggoyangkan badannya bagi menyingkirkan tanah daripada terkumpul di atas belakang badannya. Penat kerana tidak makan dan minum selama beberapa hari tidak dipedulikan oleh si kambing, sebaliknya dia makin bersemangat. Makin lama makin tinggi timbunan tanah dan makin cerah jugalah harapannya untuk keluar dari perigi tersebut. Akhirnya si kambing terselamat. Dia melompat keluar dgn girang. 

Pengajaran
Allah berfirman dalam surah al Insyirah (94) ayat 5-6 yang bermaksud ‘kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan’.
Sumber : Angguk Geleng






ZIKIR ITU DI MANA? LIDAH @ HATI?
Orang yang berzikir dengan lidahnya tetapi hatinya tidak, zikir itu tidak akan mengubat hatinya. Impak zikrullah berlaku hanya apabila hati menyedari Allah sentiasa melihat dan mengawasi. Daripada zikir yang seumpama inilah timbul rasa takut dan cinta kepada Allah.

TAFSIR AL QURAN
Kalaulah Mereka Beriman….
Allah berfirman dalam surah al A’raf ayat 96:
            ‘Dan (Tuhan berfirman) sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, Kami akan membukakan untuk mereka pintu kurnia yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan Rasul Kami, lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan’.

Ayat ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan ayat yang sebelumnya. Ayat sebelumnya mengisahkan kaum yang ingkar terhadap seruan para Nabi yang diutus kepada mereka. Lalu sebagai hukuman ke atas mereka, Allah meniadakan keberkatan dalam usaha mereka. Walhal keberkatan itu adalah anugerah dari Ilahi. Manusia mustahil boleh mewujudkannya sendiri-sendiri. maka dalam masa yang sama kita sepatutnya memahami maknanya yang tersirat iaitu menjadi sunnatullah keberkatan hanya buat sesiapa yang beriman dan bertawakal kepadaNya.
Sumber : (Ustaz Zahazan Mohamed)





JAWAPAN TRIVIA
1. Dia sebenarnya sedang solat ketika orang memberi salam kepadanya. Maka dia membalasnya dengan  isyarat tangan sahaja dan solatnya diteruskan. Umar bertanya Bilal ’Bagaimana Nabi menjawab salam sahabat semasa baginda sedang solat? Sayidina Bilal menjawab ‘Baginda mengisyaratkan dengan tangannya’. (Riwayat al Tirmizi)
2. Jenazah pertama adalah syahid perang. Jenazah kedua dalam keadaan yang teruk.  Jika dimandikan tubuhnya akan hancur seperti orang yang rentung mati dalam kebakaran. Jenazah ketiga mati biasa.
3. Bulan Zulhijjah pada hari ke 13.Hari Tasyriq ialah hari ke 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Rasulullah melarang berpuasa pada ketiga-tiga hari tersebut. Sabda Nabi ’sesungguhnya hari itu (Tasyriq) ialah hari makan, minum dan zikrullah. (Riwayat Muslim) Dalam masa yang sama 13 Zulhijjah ialah hari putih kalau mengikut kebiasaan bulan-bulan lain. Maka diharamkan berpuasa sunat  pada ‘hari putih’ pada hari ke 13 setiap Zulhijjah.




No comments:

Post a Comment