Google Ads

Saturday 14 November 2015

Bukan Sekadar Anugerah

Assalamualaikum..
Sahabatku,
Ramainya ibubapa yang sangat menginginkan anak kan? Yela, mana tidaknya, apa gunanya kahwin jika tidak mahu anak. betul tak? Tetapi adakah kita tahu bahawa anak yang kita lahirkan itu sebenarnya bukan sekadar anugerah daripada Allah, dia adalah sebenarnya amanah. Berapa ramai ibubapa yang masuk Neraka kerana anaknya dan tak kurang ramainya ibubapa yang dapat menikmati syurga kerana anaknya juga. Subhanallah, gara-gara anak kita boleh dihumban ke Neraka dan kerana solehnya anak membolehkan tangan kita dipimpin masuk ke Syurga Allah.   

Sahabatku,
Lihatlah di awal perkahwinan kita, bagaimana baiknya kita dengan Allah. Tatkala kita diuji dengan lewatnya mendapat anak berbanding dengan orang lain, hampir saban malam kita bangun menghadap Allah, memohon padanya, merayu, meminta agar Allah kurniakan kita cahayamata. Kita berjanji dengan Allah yang kita akan mendidiknya sebaik mungkin. Akhirnya, Allah yang Maha Mendengar itu memakbulkan permintaan kita. Kita dikurniakan anak Namun selepas itu, apa yang berlaku, kita menjadi liat untuk bangun solat Taubat dan bertahajjud. Malas lagi untuk solat hajat sebab hajat kita sudah tertunai bukan?

Sahabatku,
Anak dah dapat, lepas tu, apa yang kita buat? Lihatlah sahaja barang dan bahan permainan atau apa didikan yang kita bagi pada anak kita?. Sejak dia bangun tidur, makanan apa yang kita suapkan di mulut anak kita? Adakah makanan berkat dan berkhasiat atau sekadar makanan lazat yang mengandungi banyak serbuk perasa dan tinggi kandungan lemak. Adakah  kita membawa dia ke restoran-restoran makanan segera daban minggu ataukah kita masak dengan air tangan kita sendiri dengan memulakan dengan lafaz kalimah bismillah? Bagi yang ada anak perempuan, setakat mana kita memantau auratnya dan kebebasannya bergaul dengan teman sebaya?.  Bagaimana dia bergaul dengan rakan lelaki, bertepuk bertampar adakah perkara biasa baginya? Dan biasa kita dengar ‘Ala, kesiannya, kecil-kecil dah bertudung, tak payah pakai lagila, nanti dah besar, pandai-pandai dialah cari tudung, tutup aurat. Ni kecil lagi, panas!’. Kata-kata pemusnah yang boleh merosakkan anak. Anak perlu di didik sejak dia rebung, bukan sudah menjadi buluh baru kita cuba bengkokkan, akibatnya, anak akan memberontak dan itulah punca segalanya.

Sahabatku,
Mudahnya bercakap, bukan?. Bagaimana dengan aplikasinya?. Sebab itu ibubapa yang akrab dengan Tuhannya akan merasakan yang anak itu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat. Berapa ramai anak-anak yang gagal solat di usia 10 tahun tapi tidak pernah dirotan. Malah, di rumah tidak pernah diperlihatkan rotan. Malah ada anak yang dimarahi bukan kerana tidak solat, tapi kerana  memperolehi keputusan yang teruk di dalam kelas. Di bidang akademik beria-ia kita tekankan sedangkan pendidikan rohani kita pinggirkan. Anak-anak cuma diam dan mengikut sahaja apa yang diberikan oleh ibubapa, akibatnya dia menjadi ‘Abu Jahal’ secara tidak disangka. Jika dia memberontak suatu hari nanti dan melarikan diri daripada rumah akibat daripada tidak berpuas hati dengan  kedua orang tuanya, waktu itulah baru kedua ibubapanya mula menyalahkan diri kerana tersilap didikan. Namun, sukar untuk diubah kembali. Zaman anaknya kecil sudah berakhir. Apa yang lagi malang seandainya anaknya terus hanyut dan hanyut sehingga berakhirnya dunia ini, namun ada dunia lain yang baru bermula. Itulah dunia yang namanya akhirat yang kekal selama-lamanya. Di saat tangan anaknya mengheretnya ke Neraka, barulah ibu ayah menyesal dengan apa yang telah dilakukannya semasa si dunia. Nauzubillah…

Auditlah diri kita sebagai ibu ayah. Adakah kita benar-benar mengikut acuan Rabbani yang telah digariskan Ilahi, jika sekadar berbangga dengan anak kerana duniawi, kita silap dalam membuat penilaian. Selamat menjadi ibu dan ayah, kepada khalifah yang di utus Tuhan, bukan hanya sebagai tempat bermanja, tetapi sebagai ujian bagi kita yang bergelar ibu ayah.


Norazila Khalid


Doakan Azfar Aqil menjadi anak yang soleh  

No comments:

Post a Comment