Google Ads

Sunday 29 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 169

MENARIK DI DALAM
·        Ajar Anak Hidup Susah
·        Taubat Tarbiah Diri
·        Pemotong kayu dan sebilah Kapak
·        Cinta Nabi?
·        10 simptom Dosa


AJAR ANAK HIDUP SUSAH

¤ HIDUP BANYAK CUBAANNYA
Samaada kita orang miskin atau kaya, kita tidak akan terlepas daripada menghadapi cabaran hidup. Bagi orang miskin, mereka memang hidup susah. Namun kesusahan itu perlu bagi mendidik mereka erti sabar, meningkatkan diri untuk memperbaik taraf hidup dan melatih diri untuk berjiwa besar.  Bagi orang kaya pula, mereka perlu ingat bahawa langit tidak selalu cerah. Banyak perkara yang datang dalam hidup berlaku di luar jangkaan. Misalnya sakit, terlibat dalam kemalangan jalan raya, bencana alam, kematian, kecurian dan sebagainya. Jadi latihan kesusahan perlu supaya dapat bertindak bijak apabila hadapi ujian hidup. Moga anak-anak menjadi manusia yang ‘alah bisa tegal biasa’ dengan setiap kesusahan dan ujian.

¤ DEMI KETAHANAN DIRI
Sekali sekala latih anak-anak makan tanpa lauk. Mereka harus dididik bahawa lauk bukanlah kemestian. Ada ketika mereka makan lauk pauk yang sedap. Ada ketika makan tanpa lauk. Dengan latihan ini anak-anak diajar supaya tidak merungut. Mereka boleh merima apa-apa sahaja masakan ibu atau ketika bertamu di rumah orang lain. Bahkan mereka tidak merungut jika lauk yang terhidang hanya ikan goreng dan kicap, atau telur goreng dan ikan masin . Kelak, mereka akan bersedia sekiranya tiada bekalan makanan.

¤ BELAJAR BERTANGGUNGJAWAB
Dengan memberi latihan-latihan berbentuk kesusahan , anak-anak akan belajar mengurus diri dan lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Misalnya anak yang berusia 7 tahun, mereka boleh diberi tanggungjawab membasuh kasut sekolah, mengemas bilik, melipat baju, atau apa-apa yang mampu dibuat sekalipun ada pembantu rumah. Hasilnya mereka belajar kemahiran hidup, belajar menyayangi rumah dan diri.





TAUBAT TARBIAH DIRI
  Taubat suatu proses yang mendidik Mukmin mencapai maqam kehambaan kepada Allah. Apabila bertaubat, kita sebenarnya mengasuh diri dan jiwa dalam beberapa perkara:

Mengakui Kesilapan Diri
Mengiktiraf kelemahan dan kedaifan diri yang mudah terjerumus ke lembah maksiat dan dosa. Kita mungkin tergelincir ke kancah maksiat dan dosa dek terdorong oleh nafsu dan syaitan. Inilah permulaan jalan menuju Allah; iaitu mengiktiraf dan mengakui kelemahan diri , berbanding kehebatan dan kebesaran Allah. Inilah sifat kehambaan, merasakan kehinaan diri, yang perlu kepada Allah Yang Maha Pengampun dan Pemaaf.

Menyesali Sungguh-Sungguh
Menyesali kesilapan dan kekhilafan yang telah berlaku dengan penuh kekesalan dan kehibaan. Hibanya hati sang pendosa yang bertaubat, ibarat direntap jantung-hatinya dengan kuat , yang menggugurkan, meluluh-lantakkan keegoaannya. Rasa bersalah, kesal, menyesal, akan menghancurkan keangkuhan, keegoaan dan kesombongan sang hamba demi ampunan Ilahi. 

Berazam Meninggalkan Dosa 
Bertekad dan berazam untuk meninggalkan kesalahan dan dosa tersebut , dan tidak mahu kembali kepada situasi tersebut, sepertimana dia benci dicampakkan ke dalam api atau lembah yang busuk dan jijik. Inilah didikan untuk meninggalkan larangan dan tegahan Allah, demi mentaati dan memurnikan ‘Ubudiyah’ kepada Allah. Jika kita kembali kepada Allah, kita perlu menempuh jalan mujahadah nafsu, melakukan tindakan yang bertentangan dan berlawanan dengan hawa nafsu kita dan syaitan. Apa yang nafsu suka, kita perlu tinggalkan, agar selaras dengan apa-apa yang Allah cinta.

Banyakkan Amalan kebaikan
Firman Allah ‘Sesunguhnya kebaikan yang banyak akan menghapuskan kejahatan yang banyak ‘ (Surah Hud 11:114) orang Mukmin apabila bertaubat terus berubah daripada pelaku maksiat kepada pengamal taat, daripada sang penderhaka kepada hamba yang tunduk patuh kepada Allah.

Membetulkan Kesalahan dan Memohon Maaf
Bertaubat daripada perkara yang merosakkan hubungan dengan manusia dan makhluk lain , perlu disertai dengan mengembalikan hak orang lain tersebut. Mohonlah kemaafan dan perbaiki kesilapan. Langkah ini akan mendidik kita berjiwa besar, kerana sanggup merendahkan diri kita di hadapan mereka yang perlu kita ‘kembalikan haknya’.


         


PEMOTONG KAYU DAN SEBILAH KAPAK 
            Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki yang sangat kuat dan rajin memohon untuk bekerja memotong kayu balak. Melihat susuk badannya yang sasa, ditambah dengan usianya yang masih muda dan keadaan kesihatannya yang baik, lelaki tersebut mendapat pekerjaan itu tanpa banyak halangan. Dia dijanjikan gaji yang lumayan berserta insentif lain seperti kediaman khas pekerja di pinggir hutan. Dia berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh. lelaki tersebut dibekalkan sebilah kapak dan majikannya menunjukkan kawasan yang dia perlu bekerja.
            Pada hari pertama sahaja dia berhasil memotong 18 batang pokok. Majikannya sungguh seronok dan gembira  lantas berkata ’Tahniah, bagus kerja kamu. Esok kamu teruskan memotong banyak lagi pokok di sebelah sana’. Si pemotong kayu sangat gembira dan bersemangat untuk bekerja lebih tekun. Dia menghabiskan kebanyakan masa di dalam hutan memotong pokok termasuk pada hujung minggu. Namun dari hari ke sehari, jumlah pokok yang dapat dipotongnya berkurangan, walaupun jumlah jam bekerjanya bertambah dan dia telah gigih berusaha.
            Akhirnya lelaki tersebut bertemu majikannya dan meminta maaf kerana tidak dapat melakukan yang terbaik. ’Mesti saya dah tak kuat lagi untuk memotong kayu’. Kata pemotong kayu dengan wajah yang sugul. ’kenapa kamu berkata begitu?’ ’sebab jumlah pokok yang saya mampu tebang dari sehari ke sehari semakin berkurang. Saya telah berusaha bekerja lebih masa, keluar awal pagi dan pulang lewat petang tetapi jumlah pokok yang mampu ditebang bukan sekadar tidak bertambah, malah berkurang’. ’Bila kali terakhir kamu asah kapak kamu?’kini giliran majikannya pula bersuara. ’Asah? Maaf tuan, saya tidak ada masa nak asah kapak saya. Saya sangat sibuk memotong pokok’.
   
 Pengajaran
Inilah realiti sebuah kehidupan. Sering kali alasan yang diberikan sebenarnya bukan alasan. Seringkali penyelesaian yang diberikan itu bukan penyelesaian hakiki. Sering kali juga masalah yang disangka masalah sebenarnya bukan masalah utama. Nilailah sesuatu dengan mata hati.
Sumber : Angguk Geleng






CINTA NABI?
Jika benar mencintai Rasulullah, buktikan dengan perbuatan bukan hanya dengan ucapan. Jika benar mencintai Rasulullah, berjuanglah menegakkan sunnah Baginda. Mari letakkan Rasulullah sebagai teladan di semua tempat, keadaan dan masa.



10 SIMPTOM DOSA
         
Ilmu Agama Susah Difahami, Diingat dan Dihayati
Ilmu ialah cahaya yang Allah pancarkan ke dalam hati. Maksiat pula akan memadamkannya. Maksiat merosakkan akal dan intelek.apabila seseorang sudah merasakan enaknya maksiat, mindanya asyik memikirkannya.

Terasa Diri Semakin Liar dan Liat Untuk Mendekati Allah
Imbas sejenak. Adakah solat dirasakan sebagai keperluan atau kewajipan semata-mata? Jika solat, adakah yang wajib-wajib sahaja?. Berpuasa pun tunggu Ramadhan tahun depan. Nauzubillah.

Merasa Diri Tidak Dihormati Dan Dilayan Dengan Sepatutnya
Maksiat hanya menatijahkan kehinaan kerana kemuliaan dan penghormatan hak Allah.

Urusan Peribadi Dirasakan Rumit Dan Sulit
Ada urusan yang sudah biasa kita lakukan. Entah kenapa pada hari itu dirasakan sangat sulit sekali. Firman Allah ‘Dan apa-apa jua musibah yang menimpa kamu, maka ia disebabkan perbuatan kamu, dan (dalam pada itupun) Allah memafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu’. (Surah al Syura 42:30)

Resah Gelisah dan Lemah Semangat
Hari seperti biasa, tetapi hati berasa resah gelisah tanpa ketahuan punca.

Semakin Berani Buat Maksiat Lagi
Maksiat melahirkan maksiat lain. Pertama kali melakukannya, hati memang tidak tenteram, namun setelah beberapa kali melakukannya, maksiat dirasakan biasa-biasa sahaja.

Bertangguh Taubat dan Istighfar
Kita tahu bahawa maksiat yang kita lakukan ini salah dan Allah Maha Pengampun. Tetapi kita berasa sangat berat untuk bertaubat dan menangguh.

Merasa Remeh Perkara Berkaitan Agama
Duit simpanan banyak. Org berbicara tentang Makkah dan Madinan lansung tidak menarik hatinya untuk ke sana.

Tidak Berfikir Tentang Masa Depan Akhirat
Sejak muda, kita merancang kewangan dan masa depan, tetapi langsung tidak sentuh tentang masa depan akhirat.

Tidak Malu Orang Tahu Kita Bermaksiat
Ini simpton yang menunjukkan barah dosa dalam hati kita sudah di peringkat kritikal.



         




No comments:

Post a Comment