Google Ads

Wednesday 4 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 140

MENARIK DI DALAM
·        Tukar Musibah Jadi Manis
·        Hanya Yang Terpilih
·        Bukti Solat Memberi Kerehatan
·        Malu Kepada Siapa
·        Dunia Ini Masin, Makin Diteguk, makin dahaga

TUKAR MUSIBAH JADI MANIS
Sayidatina Aisyah r.ha meriwayatkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud ‘tidak ada suatu duri dan yang lebih daripadanya menimpa seorang Mukmin melainkan Allah mengangkat darjat baginya atau menghapuskan kesalahan disebabkan (musibah yang menimpanya)’.
(Riwayat Muslim)

setiap orgng pasti pernah melalui pelbagai pengalaman hidup. Manis, pahit, suka dan duka, semua itu asam garam kehidupan. Musafir kita di dunia tidak lengkap tanpa ranjau dan duri di sepanjang jalan.
Allah menjanjikan 2 ganjaran disebalik musibah
diangkat darjat
dihapuskan kesalahan yang telah dilakukan.

Doa menghadapi Musibah  
‘sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepadaNya jualah kami akan kembali’.
insyaAllah, ujian itu akan bertukar menjadi manis dan membuatkan kita tenang menghadapinya. kenapa? kerana kita percaya bahawa Allah tidak sama sekali mensia-siakan hambanya di sebalik ujian yang menimpa.
Sumber : Taman Hadis 

 

 

HANYA YANG TERPILIH    

1. Daripada 25 Rasul, 5 orang sahaja yg dipilih menjadi rasul ululazmi.

2. Daripada 313 org rasul, 25 orang sahaja yang disebut di dalam al Quran.

3. Daripada sekian ramai para sahabat Rasulullah, 10 orang sahaja yang dijamin masuk syurga melalui hadis Rasulullah.

4. Daripada semua umat manusia, hanya 70 000 yang tidak dihisab dan terus masuk syurga.

 


TRIVIA
1. Surah pertama diturunkan
2. Tempoh tidur paling lama manusia
3. Digelar Khalilullah
Jawapan di akhir edisi ini


BUKTI SOLAT MEMBERI KEREHATAN
Apabila Rasulullah saw menyuruh sayidina Bilal r.a mengumandangkan azan, baginda akan berkata: ‘Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat’. (Riwayat Ahmad)

1. Hati Tenang menghadapi Ujian
A) Solat ialah sebesar-besar dan seutama-utama zikrullah. Firman Allah ‘dan dirikanlah solat untuk mengingatiku’. (Surah Taha 20:14)
B) Hati yang mengingati Allah akan mendapat ketenangan. Ini dapat dilihat dalam firman Allah ’ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang’. (Surah al Ra’d 13:28)
Ketenangan itulah kekuatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Kita menghadapi ujian bukan dengan kekuatan otot dan fizikal, tetapi dengan kekuatan hati. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah apabila berdepan dengan kegagalan, kesakitan, kekurangan dan kekalahan dalam hidup.
 
2.      Mendapat Jagaan Allah
A)Dalam solat juga, seseorang akan mendapat penjagaan Allah hasil daripada  menjaga hukum Allah. Rasulullah saw bersabda ‘Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu (Riwayat Ahmad) .
B) Abdullah bin Salam pula pernah berkata ‘sekiranya keluarga Rasulullah saw ditimpa sebarang kesempitan, baginda akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membacakan ayat Allah berikut: ‘dan perintahkan keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun dan sabar mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kami yang memberi rezeki kepadamu. Dan ingatlah kesudahan yang baik bagi orang yang bertakwa’. (Riwayat al Tabrani)


MALU KEPADA SIAPA?
          Malu sering dilihat dari 2 sudut:
1. Malu Kepada Allah : Kita berwaspada agar tidak melakukan maksiat kepadaNya.
2. Malu kepada Manusia: Ia lanjutan daripada malu kepada Allah. Sifat ini akan lahir sendiri apabila  sudah tertanam rasa malu kepada Allah dalam diri.



         
EGO SI KATAK
             Seekor anak katak pulang ke pangkuan ayahnya dengan tercungap-cungap. ’Ayah, saya baru pulang dari bermain di sawah padi. Saya jumpa seekor binatang bernama kerbau’ ’Ah, apa nak dihairankan?’ kata bapa katak walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pernah melihat kerbau. ’kerbau sangat besar ayah’ ’ah, ada sebesar ini?’ Tanya bapa katak sambil mengembungkan perutnya. ’tak ayah, ada besar lagi’. ’ada sebesar ini?’ kata bapa katak membesarkn lagi perutnya. Anak katak menggelengkan kepala. Bapa katak bertambah geram dan marah. Perutnya menjadi sangat besar hingga nafasnya tercungap-cungap. anak katak terus menidakkannya. Perut bapa katak dikembungkan lagi. Begitulah berlaku berulang-ulang kali hingga.. Pop! Perut bapa katak meletup. Bapa katak pun mati. Anaknya kebingungan, mengapa ayahnya sanggup mati hanya kerana hendak menangini ’kebesaran’ seekor kerbau. 
           
Pengajaran
Berlagak kaya menjadikan kita papa. Ada pihak yang begitu beria-ia ingin mempromosi atau menunjuk-nunjukkan kekayaannya, padahal ahli hikmah mengungkapkan, jika seseorang perlu memberitahu orang lain yang dia kaya, dia sebenarnya tidak kaya. Perlukah Bill Gates misalnya, memberitahu dunia yang dia kaya? Ironinya, ramai si kaya ‘jadi-jadian’ yang menanggung hutang secara diam-diam atau hidup menjadi penipu sepanjang zaman atau terpaksa mati sebagai seorang miskin pada akhir hayatnya.

Sumber : Angguk Geleng



DUNIA INI MASIN , MAKIN DITEGUK MAKIN DAHAGA
 Dunia ini memang ‘masin’. Makin diteguk makin bertambah dahaga. Sebab itulah manusia sebenarnya bukan mengejar keperluan, sebaliknya mengejar kehendak hati semata-mata. Rata-rata keperluan asas sudah dipenuhi, namun dek kerana terlalu terpesona dengan dunia, kehendak pula meronta-ronta  untuk dipenuhi. Itulah kehendak hati yang berajakan nafsu. Diberi betis hendak paha. Sabda Rasulullah saw ‘sekiranya anak cucu adam memiliki 2 lembah emas, nescaya dia inginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu adam kecuali tanah (kematian) dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat. (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Hakikat Akhirat
Inilah pesona keduniaan, mampu membutakan mata yang melihat, memperdaya nafsu yang memburu dan menipu akal yang menaksir. Akibatnya manusia terus memburu dunia sehinggalah saat mereka ‘melihat’ akhirat dan habuannya, barulah mereka sedar bahawa selama ini sesuatu yang diburu itu sesuatu yang bakal ditinggalkan.Justeru, Allah telah menitip pesan dan mengajar hambaNya akan hakikat akhirat. ‘Bahkan mereka itu terkesan (terpedaya dengan kehidupan dunia. Sedangkan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal’. (Surah al A’la 87:16-17)

Pesona Akhirat
Allah telah menjelaskan rupa sebenar dunia  melalui firmanNya ‘Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini  hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal ‘ (surah al Ghafir 40:39)
Sekarang mana pilihan kita? Bukan meminggirkan salah satu. Bukan juga mengabaikan kedua-duanya. Malah boleh disepadukan dunia dan akhirat. Mata memandang dunia, namun hati memandang akhirat. Nawaitu, ucapan dan tindak tanduknya untuk  di dunia akan difikirkan manfaatnya untuk akhirat. Jadi, jangan lagi haus kerana masih meneguk dunia, tetapi akhirat juga yang pesona.
Sumber : <Bijak sana Ustaz Ahmad Husni >



JAWAPAN TRIVIA
1. Surah Al ‘Alaq ayat 1-5
2. 309 tahun (Tidur sekumpulan pemuda al Kahfi)
3. Nabi Ibrahim a.s


No comments:

Post a Comment