Google Ads

Friday 6 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 144

MENARIK DI DALAM
·        Adab Bersama Buku
·        10 faedah menjaga pandangan
·        Erti Sebuah Kebaikan
·        Tetamu di Dunia
·        Tip Komunikasi Islami
·        Sujud Yang Bertuah
·        Yang paling baik


ADAB BERSAMA BUKU

¤ Seelok-eloknya tidak menyentuh kitab-kitab ilmu melainkan dalam keadaan berwuduk, terutamanya mashaf atau buku-buku yang mengandungi ayat-ayat al Quran atau hadis.
¤ Hindari mengambil buku dengan tangan kiri, sebaliknya gunakan tangan kanan. Ini kerana tangan kanan selalunya sinonim dengan perbuatan-perbuatan mulia.
¤ Jangan letakkan buku di atas lantai tanpa alas. Sebaik-baiknya gunakan meja, rehal, bantal atau seumpama dengannya sebagai alas kitab tersebut.
¤ Jangan sekali-kali duduk di atas buku atau menjadikannya alas kepala ketika tidur. Menurut Imam al Nawawi dalam kitab al Tobyan, berbaring beralaskan mashaf atau kitab-kitab ilmu hukumnya haram.
¤ Jangan Menjulurkan kaki ke arah kitab-kitab tersebut. Perbuatan itu makruh dan 1 adab buruk yang mesti dijauhi.  Sesiapa yang mengharapkan keberkatan ilmu, mesti menjauhi perbuatan ini.

Adab yang disebutkan ini bukan hanya berkaitan dengan buku-buku agama sahaja. Bahkan kita juga mesti beradab dengan buku-buku yang mengandungi ilmu-ilmu suniawi seperti matematik, biologi, fizik dan lain-lain. Ilmu-ilmu ini juga merupakan sebahagian daripada ilmu yang digalakkan oleh islam untuk mempelajarinya.
Sumber : Ustaz Umar






TRIVIA
1. Nama lain Perang Ahzab.
2. Surah yang diakhiri dengan tasbih dan surah seterusnya dimulai dengan tasbih.
3. Sunat disimpan, makruh dicukur. Apakah ia?
Jawapan di akhir edisi ini



10 FAEDAH MENJAGA PANDANGAN

 Mengelakkan hati daripada menjadi lemah kerana dengan memandang perkara yang haram akan menyebabkan ’penyakit’ mudah bersarang dalam hati.

 Menimbulkan cahaya dalam hati sehingga dapat dilihat pada wajah dan tindakan.

 Menyebabkan tepatnya firasat. Pandangan mata hati akan cepat dapat melihat dan merasakan sesuatu yang tidak difahami oleh orang lain. Shaja’ al Karmanir r.a pernah berkata yang bermaksud: sesiapa yang zahirnya rajin mengamalkan sunnah dan batinnya sentiasa bermuraqabah (merasai Allah sentiasa memantaunya), menundukkan pandangannya daripada perkara-perkara yang haram, mengawal dirinya daripada syahwat yang diharamkan serta memakan makanan yang halal, maka tidak akan tersilap firasatnya’.

 Mudah memahami ilmu disebabkan terangnya hati.

 Menguatkan hati, meneguhkan semangat serta memberanikan diri.

 Menjadikan hati sentiasa gembira dan ceria. Seseorang yang mampu mengawal nafsu kerana Allah pasti Allah swt akan menggantikan baginya kegembiraan dan kelazatan yang lebih baik daripada maksiat yang dilakukan.

 Membebaskan hati daripada dipengaruhi syahwat.

 Menutup pintu dari pintu-pintu neraka kerana pandangan yang berasaskan syahwat membawa kepada maksiat.

 Meningkatkan kreativiti dan kecerdasan akal.

 Membersihkan hati leka dan lalai daripada mengingati Allah swt dan hari akhirat.

 

 


ERTI SUATU KEBAIKAN
             Ombak besar bersama ribut baru melanda sebuah perkampungan nelayan. Di pantai, terdampar ribuan ketam kecil yang dibawa oleh bersama ombak besar itu. Apabila ribut reda dan cuaca tenang semula kelihatan seorang tua sedang mengutip ketam-ketam yang sudah ’nyawa-nyawa ikan’ kerana kekeringan itu lalu dicampakkannya semula ke laut. Seekor demi seekor.
            Perbuatan orang tua itu diperhatikan oleh sekumpulan anak muda yang kebetulan berada di pantai itu. Mereka pelik melihat betapa tekunnya orang tua tersebut mengutip satu demi satu ketam-ketam kecil untuk dicampakkan ke laut. ’atuk buat apa?’ tegur seorang anak muda. ’kutip ketam ni dan buang semula ke laut’. Jawab orang tua itu. ‘Kenapa?’ ’kalau di campakkan ke laut, kan ketam ini akan berpeluang untuk hidup?’  ’atuk nak kutip semua ke?’tanya mereka lagi sambil menunjukkan ribuan ketam yang terdampar di pantai itu. ’begitulah. Tapi mana atuk terdaya… ini pun dah cukup letih’. Akui orang tua itu. Namun tangannya masih sibuk mengutip dan mencampakkan ketam-ketam itu ke laut. Perlahan-lahan.
            Anak muda itu senyum sambil mengeleng-ngeleng kepala. ’sia-sia  sahaja atuk. Ribuan ketam ni akan mati. Atuk takkan sempat dan mampu menyelamatkan semuanya’. ’eh, tidaklah’. ’kenapa?’ ’bagi kita mungkin nampak sia-sia sebab apalah ertinya menyelamatkan seekor dua ketam ni berbanding ribuan lain yang akan mati tetapi bagi seekor ketam yang kita selamatkan itu, ia terlalu besar ertinya’. ‘kenapa tuk?’ ‘kerana ia melibatkn soal hidup atau matinya. Betul tak?’tanya orang tua itu. Anak muda yg memandang sinis sejak tadi terdiam melihat kebijaksanaan dan keprihatinan orang tua itu. 

Pengajaran
Jangan fikir besar atau kecilnya satu kebaikan apabila kita ingin melakukannya. Mungkin apa yang dianggap kecil oleh kita sangat besar pada pihak yang menerimanya. Apatah lagi apabila kita sedar Allah menilai setiap  kebaikan yang kita buat. Mungkin sesuatu yang dianggap kecil oleh kita adalah besar pada pandangan Allah justeru keikhlasan dan kesabaran dalam melaksanakannya.

Sumber : Angguk Geleng






TETAMU DI DUNIA

Kita hanya tetamu di dunia, jadi Tanya Allah apa peranannya kita di sini. Kita hanya hamba, jadi Tanya TUAN apa khidmat kita yang diperlukan di sini. Jadilah manusia yang tidak menang tangan beribadah dan berkhidmat.



TIP KOMUNIKASI ISLAMI

 JELAS DAN MUDAH DIFAHAMI
Sayidatina Aisyah r.ha pernah berkata : ‘Kata-kata Rasulullah saw kata-kata yang jelas dan boleh difahami oleh sesiapa yang mendengarnya’. (Riwayat Abu Daud) .Rasulullah memang petah berbicara. Ayat-ayat yang dituturkan jelas, pendek tetapi kaya makna, berkomunikasi mengikut kadar kecerdasan akal yang berbeza daripada kalangan pendengar, malah baginda mampu mempengaruhi tindakan dan nawaitu audiens. Inilah kehebatan tutur baginda yang jelas dan mudah difahami.

 ULANG 3 KALI
Mengulang sebanyak 3 kali merupakan satu teknik berkomunikasi yan g terkesan supaya mesej yang dihantar mudah diterima dengan baik oleh penerima.Hadis Nabi saw bermaksud ‘apabila Rasulullah saw ingin mengatakan sesuatu, baginda akan mengulangnya sebanyak 3 kali supaya apa yang dikatakannya itu difahami. Dan apabila berjumpa dengan seseorang, baginda akan memberi salam sebanyak tiga kali’. (Riwayat al Bukhari)

 AKHLAK MULIA
Rasulullah diibaratkan seperti al Quran bergerak. Ini kerana akh  lak Baginda menimbulkan rasa senang masyarakat Arab jahiliah untuk mendalami Islam. Itulah antara penyebab ramai yang tertarik untuk memeluk Islam. Untuk menyampaikan mesej, jadilah mesej tersebut. Mudah bukan? Sebaliknya jika mesejnya sudah baik, tetapi akhlak si penyampai mesej yang buruk, sudah pasti komunikasi berkesan dan beriman tidak tercapai.

 DOA NABI MUSA
Nabi Musa membaca doa berikut dalam perjalanan untuk bertemu dengan firaun:
‘Wahai tuhanku, lapangkan bagiku dadaku, dan mudahkan bagiku tugasku dan lepaskan simpulan dari lidahku supaya mereka faham akan perkataanku. (Surah Taha 20: 25-28)



SUJUD YANG BERTUAH
Ketika kita sedang sujud, ingatlah betapa bertuahnya kita kerana Allah telah memilih kita untuk menyembahNya sedangkan pada masa yang sama masih ramai manusia yang melakukan maksiat kepadaNya.
Sumber : Zuhdi Zahid.



 YANG PALNG BAIK
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
‘Sedekah yang paling baik ialah seorang Muslim yang belajar kemudian mengajarkan kepada Muslim yang lain’.
(Riwayat Ibn Majah)
Sedekah yang terbaik apabila seseorang yang menuntut ilmu itu kemudian menyebarkan ilmu yang ada padanya kepada orang lain untuk dimanfaatkan, selagi mana ia dimanfaatkan orang lain selagi itu ia memperoleh pahala.



JAWAPAN TRIVIA
1. Perang Khandak
2. Surah al Waqiah dan surah al Hadid
3. Janggut




No comments:

Post a Comment