Google Ads

Friday 27 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 166

MENARIK DI DALAM
·        Solat Itu Menghiburkan
·        Amanah
·        Audit Diri
·        Senangnya Sedekah
·        Seketika dan Seketika
·        Kamu Bukan Yang Terbaik
·        Usaha dan Rezeki
·        5 Hiburan Mukmin
·        Memberi Untuk Menerima



SOLAT ITU MENGHIBURKAN
Maka apabila Rasulullah menyuruh Sayidina Bilal untuk mengumandangkan azan, Baginda akan bersabda ‘rehatkan kami dengan solat, wahai Bilal’. (Riwayat Ahmad) solat jika benar-benar difahami, dihayati dan dirasai, maka ia akan memberi kerehatan buat jiwa. Bayangkan dalam solat orang beriman akan dapat merayu, mengadu, merintih dan mengharap kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, Maha Penyayang dan Maha Mendengar. Solat ialah hubungan rasmi antara manusia dengan Allah. Ia menimbulkan rasa di dengari, dibela, dibantu dan disayangi oleh Tuhannya dalam jiwa hamba. 



AMANAH
Memberi dan menerima amanah perlu dibuat atas dasar keikhlasan. Jika kita tidak ikhlas ketika memberi amanah, orang yang menerimanya juga tidak akan ikhlas menjalankan amanah itu.


TRIVIA (SOALAN  FIQAH)
1. Ada 1 ibadah, jika anda sedang melakukannya, maka tidak ada seorang pun atas muka bumi ini yang dapat melakukannya pada masa yang sama. Orang lain hanya dapat lakukan setelah anda selesai. Apakah ibadah itu ?
2. Lelaki ini dengan sengaja ‘bersama’ dengan isterinya pada siang hari bulan Ramadhan, namun demikian, sepatutnya dia dikenakan kafarah, tapi Cuma diwajibkan qada puasa sahaja?
3. Ada seorang Muslim dewasa, berakal dan tidak jahil. Dia sengaja melepaskan kentut dalam solatnya, namun tetap meneruskan solatnya kerana dia yakin solatnya sah. Adakah pendapat anda?
Jawapan di akhir Edisi ini 



AUDIT DIRI!

ANAK-ANAK GEMBIRA APABILA
¤ Ibu dan bapa ada di sisi ketika mereka belajar.
¤ Membimbing mereka menyiapkan kerja sekolah.
¤ Memberikan kata-kata semangat.
¤ Membelai mereka dengan belaian kasih sayang.

BUKANNYA
¤ Menyuruh anak-anak belajar, tapi ibu bapa
—> menonton televisyen
—>Tidur
-->Membuat kerja yang tidak berfaedah




SENANGNYA SEDEKAH
Islam menggalakkan budaya bermurah hati hingga termaktub dalam salah satu daripada rukun islam iaitu zakat. Selain itu sedekah juga menunjukkan kemurahan hati. Ramai yang menganggap sedekah biasanya dalam bentuk material seperti wang, harta dan kebendaan. Sedekah juga dalam bentuk
 Sebentuk senyuman
 Berkhidmat untuk orang lain
 Mengalih objek daripada jalanan
 memberi panduan atau nasihat



SEKETIKA DAN SEKETIKA
Suatu hari Hanzalah dan Abu Bakar, datang mengadu kepada Rasulullah ‘Hanzalah telah menjadi munafik wahai Rasulullah!’. Rasulullah bertanya ‘apa yang telah kamu lakukan wahai Hanzalah?’ ‘wahai Rasulullah, apabila kami bersamamu,kamu mengingatkan kami tentang syurga dan neraka sehingga seolah-olah kami dapat melihatnya. Kemudian, apabila kami meninggalkan majlismu dan berkumpul bersama isteri , anak dan harta, kami lupa!’ Rasulullah membalas ‘demi Dia yang jiwaku berada di tanganNya. Seandainya kamu tetap dalam keadaan sepertimana semasa bersamaku dan dalam zikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan denganmu samaada di tempat tidur mahupun di jalanan (setaraf malaikat). ‘tetapi Hanzalah, ada waktu untuk ini dan ada waktu untuk itu’. Baginda mengulang-ulang kalimah terakhir tersebut sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim).


KAMU BUKAN YANG TERBAIK
            Tiga orang guru diminta masuk ke dalam bilik pengetua. ‘ini ada tugas yang sangat penting dan saya akan berikan tugas ini kepada guru yang terbaik di sekolah ini’. Kata pengetua. ‘kamu bertiga ialah guru terbaik di sekolah ini’. Tambahnya. ‘kamu akan diberikan sekumpulan pelajar terbaik dari sekolah berhampiran daerah kita ini. Saya ingin kamu buktikan bahawa kamu sebagai wakil guru sekolah ini akan mampu melaksanakan misi ini dengan cemerlang’.
            Pada masa yang sama di sekolah yang dimaksudkan tadi, 20 orang pelajar pula dipanggil ke bilik pengetua mereka. ‘selamat datang. Kamu ialah 20 orang pelajar terbaik sekolah ni. Mulai esok kamu memikul misi dan tugas penting’. ‘apakah misi itu tuan pengetua?’ Tanya mereka. ‘kamu akan diajar oleh guru yang terbaik mulai bulan depan. Kamu perlu buktikan bahawa pljr sekolah ini mampu mencapai keputusan yang cemerlang. Selepas majlis penganugerahan kepada guru dan pelajar yang berjaya, mereka sekali lagi dibawa masuk ke bilik pengetua. ‘Hari ini saya akan membuka rahsia kejayaan ini. Sebenarnya, kamu semua bukanlah guru dan pelajar yang terbaik seperti yang saya katakan dulu. Malah, kamulah pelajar dan guru yang disifatkan sebagai paling bermasalah di sekolah. Tetapi saya yakin, sesiapa sahaja boleh melakukan yang terbaik sekiranya diberi penghargaan oleh diri mereka sendiri dan orang yang rapat. Itulah rahsia kejayaan kamu. Keyakinan diri yang kamu bina setelah berasa dihargai!’
Pengajaran
Fitrah manusia yang inginkan penghargaan dan dihormati. Apabila harga diri meningkat, seseorang akan mampu berusaha secara optimum untuk memanfaatkan segala potensi, bakat dan kelebihan yang ada pada dirinya.
Angguk Geleng






KAITAN ANTARA USAHA DAN REZEKI

Kita pernah mendengar seseorang mengatakan ‘benarlah rezeki itu daripada Tuhan, tetapi kita kena usaha’. Kita juga pernah mendengar kata-kata ‘benarlah kita kena usaha, tetapi rezeki itu daripada Tuhan’. Bagaimana kita memahami kedua-dua ayat ini? Apa bezanya? Yang mana satu betul? Ternyata kedua-dua ayat di atas bukanlah untuk memilih betul atau salah. Tindakan dan kata-kata kita cenderung mewakili apa yang kita rasa dan percayai. Ada orang yang memang mempercayai rezeki itu daripada Tuhan. Namun melihat caranya berusaha, Tuhan dijadikannya nombor dua pula. Maksudnya apabila bertembung dengan situasi yang memerlukan dia membuat satu pilihan, keputusannya adalah Tuhan diletakkan nombor dua.   Contohnya apabila dia sedang asyik dengan sesuatu perkara, sedang waktu solat sudah pun tiba, maka, solat dikemudiankan, malah dikerjakan di hujung-hujung waktu. Inilah golongan yang selesa mengucapkan ayat yang pertama itu. Padanya, usaha adalah nombor satu. Perintah Tuhan jatuh nombor dua. ‘benarlah rezeki itu daripada Tuhan, tapi kita kena berusaha’katanya.

 

 

 

 


5 HIBURAN MUKMIN
 Berhubung dengan Allah
 Bergaul dengan Manusia
 Berinteraksi dengan Alam ciptaan Allah
 Menerima takdir dan ujian hidup daripada Allah
 Melaksanakan perintah Allah 


MEMBERI UNTUK MENERIMA

Tuhan menerangkan dalam al Quran bahawa pemberian yang disertai sifat murah hati, dengan niat kerana Allah, Dia akan menggantikannya. Allah mengetahui apa-apa yang ada dalam hati manusia. Yakinlah sifat murah hati akan terbalas. Allah memberi jaminan ‘katakanlah : ‘sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki dan menyempitkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Apa-apa sahaja yang kamu dermakan, Allah akan menggantikannya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki’ (Surah Saba’ 34:39). Sifat kedekut tidak boleh ada dalam sanubari umat Islam kerana Allah telah menjamin bahawa harta kita tidak akan habis atau luak jika kita berikan kepada orang lain. 

 

 


JAWAPAN TRIVIA
1. Ibadah mencium hajarulaswad.
2. Suami isteri itu sebenarnya sedang bermusafir. Orang yang bermusafir dibenarkan tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dengan wajib menggantikannya semula. Jadi mereka tidak berpuasa dan ’bersama’ ketika musafir itu.
3. Solatnya sah. Sebenarnya dia menghidap sejenis penyakit. Angin dalam badan keluar dalam bentuk sendawa dan kentut sepanjang masa tanpa dapat dikawal. Dia dikira uzur dan dimaafkan syarat. Maka, solatnya sah walaupun terkentut. Seorang sahabat Nabi bernama Ubad bin Basyar juga menderita penyakit sebegini dan dia tetap bersolat dalam keadaan tersebut. (Riwayat Abu Daud)




No comments:

Post a Comment