Google Ads

Thursday 26 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 164

MENARIK DI DALAM
·        Tanda Sakit Hati
·        Macam-macam Kategori Hutang
·        Berubah-ubah Niat
·        Hiburan oh Hiburan
·        Pengorbanan
·        Hebah


TANDA HATI SAKIT

¤ SIFAT MARAH
Marah diibaratkan sebagai api yang sedang marak menyala yang hanya menunggu masa untuk menyambar apa sahaja yang berada dekat dengannya. Marah akan menimbulkan sifat yang lebih buruk seperti dendam yang meluap-luap.

¤ RIYAK
Riyak bererti memperlihatkan dan menonjolkan diri kepada orang lain dengan niat untuk menunjuk-nunjuk dan bukannya kerana Allah swt. Ia juga dianggap sebagai syirik kecil.

¤ BAKHIL
Keengganan orang bakhil untuk berzakat menyebabkan dia tidak menyucikan hatinya lantaran sifat bakhil dan kedekutnya itu.

¤ KEJAM DAN ZALIM
Antara orang yang pertama yang masuk neraka adalah Raja yang zalim.

¤ FASIK
Rasulullah saw bersabda ‘Sesungguhnya Allah swt membenci orang fasik’.

¤ HASAD DENGKI
Orang yang berhasad dengki tidak akan membiarkan orang lain merasai kesenangan. Sebaliknya dia gembira jika orang lain ditimpa kesusahan.

¤ BERAT MELAKUKAN IBADAT
Tanda hati sakit juga boleh dilihat jika hati sangat malas untuk beribadat. 

¤ SOMBONG
Sifat sombong ini samalah seperti sifat iblis yang bangga dirinya dijadikan daripada api sedangkan manusia itu daripada tanah.




MACAM-MACAM KATEGORI HUTANG

 

 ORANG BERNIAGA

Orang berniaga berhutang kerana memerlukan modal yang tinggi. Peniaga harus bijak mengguruskan kewangan perniagaan dan mesti mempunyai disiplin yang tinggi. Jangan sekali-kali menganggap duit syarikat seperti duit sendiri. Untuk kegunaan peribadi, peniaga mesti mengamalkan sikap berbelanja mengikut kemampuan.

 

 KEPERLUAN PERIBADI

Hutang peribadi selalunya diperlukan untuk menampung perbelanjaan untuk pengajian, perkahwinan dan keperluan keluarga. Tujuannya untuk menaik taraf kemampuan, kecemerlangan, tahap hidup dan maruah diri.

 

 KEPERLUAN ASAS

Hutang untuk membeli keperluan asas selalunya berlaku sekali seumur hidup. Contohnya berhutang untuk membeli kenderaan, tanah tapak rumah dan membina kediaman. Hutang ini bersandarkan asset. Tempoh pembayarannya juga lebih panjang.

 

 IKUT NAFSU

Inilah hutang yang paling berbahaya. Tujuan berhutang untuk memenuhi kehendak dan keinginan nafsu. Kadang-kadang hingga melanggar kemampuan kewangan sendiri. Golongan ini tidak dapat menguasai keinginan diri lantas bertindak tidak rasional. Semata-mata untuk menjaga reputasi, dia sanggup membeli pakaian dan aksesori yang mahal.

 

 KAD KREDIT

Ramai orang moden berhutang menggunakan kad kredit. Kad kredit mengenakan kadar faedah yang tinggi. Hutang jenis ini sangat berisiko tinggi kerana tidak dapat memegang asset sebagai cagaran dan sukar mencari penghutang yang lari.

 

 PELABURAN

Ada yang berhutang untuk membuat pelaburan, dengan harapan untuk mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Untuk melakukan pelaburan mesti ada ilmu, faham pengurusan kewangan peribadi dan berbakat dalam perniagaan secara persendirian. Perkara asas yang mesti difahami ialah kadar faedah yang dikenakan pemberi hutang mestilah lebih rendah daripada untung yang diperoleh daripada pelaburan.

 

 TUNTUTAN KECEMASAN

Pada dasarnya tidak ada hal kecemasan dalam keperluan hidup. Jika perlu membeli sesuatu barang kumpul wang sehingga cukup. Kita Cuma perlu berhutang jika bertembung dengan kecemasan seperti kemalangan dan membaiki kereta yang rosak. Selalunya kad kredit menjadi pilihan menyelesaikan masalah perbelanjaan di luar bajet ini.

 

 

 


BERUBAH –UBAH NIAT
            Seorang pemanjat kelapa berada dalam keadaan yang sangat bahaya. Ketika dia berada di puncak pokok kelapa, ribut melanda berserta angin kencang sehingga kakinya tergelincir, tetapi dia sempat berpaut pada pelepah kelapa yang terjuntai. Keadaanya seperti telur dihujung tanduk. Dalam keadaan yang genting itu dia berseru ‘Ya Allah, selamatkanlah aku daripada terjatuh. Jika selamat, aku akan sedekahkan seekor lembu untuk orang miskin’.
            Sejurus kemudian, tangannya dapat berpaut kembali pada batang pokok. Namun ribut masih bertiup kencang. Keadaannya walaupun agak lebih baik daripada sebelumnya tetapi dia masih lagi belum selamat. Sambil berpaut sekuat-kuatnya pada batang pokok, dia berseru lagi, ‘ya Allah, sekiranya Engkau selamatkan aku daripada jatuh, aku akan sedekahkan seekor kambing untuk orang miskin’. Setelah bersusah payah, dia berjaya turun hingga ke bahagian tengah pokok kelapa. Harapannya untuk selamat kian cerah, walaupun angin ribut masih bertiup kencang. Kali ini dia berseru, ‘Ya Allah, kalau Kau selamatkan aku, aku akan sedekahkan tiga ekor ayam’.
            Akhirnya dia sampai pada kedudukan yang lebih rendah dan doanya berubah lagi ‘Ya Allah, sekiranya aku selamat aku akan sedekahkan seekor ayam. ribut telah berhenti dan dia telah berada di kedudukan yang selamat. Dia pun melepaskan tangannya daripada batang pokok lalu berpura-pura jatuh. ‘ya Allah, rupa-rupanya aku jatuh juga. Maka tidak jadilah aku sedekahkan apa-apa!’.

Pengajaran
Dalam keadaan susah manusia sering ingatkan Allah tetapi apabila dalam keadaan senang manusia mudah melupakannya. Ironinya, adakah kita tidak malu mengharap bantuan Allah ketika susah sedangkan sewaktu kita senang kita melupakanNya?
Sumber : Angguk Geleng


HIBURAN OH HIBURAN
Hiburan itu menenangkan, bukan melalaikan. Hiburan sejati, bukan datang dari luar, sebaliknya datang dari dalam ke luar. Tidak ada kehidupan yang tenang kecuali hidup dalam lingkungan dan naungan akidah, syariat dan akhlak islamiah. Tegasnya, iman itu hiburan yang paling asas dan teras.


PENGORBANAN
Tidak rugi mengikut jalan kebenaran. Tidak akan untung dengan melakukan kemungkaran. Pengorbanan untuk melalui jalan Allah, walaupun susah pada awalnya akan mendapat ganjaran yang besar tidak lama selepas itu.

HEBAH
Umumnya kebaikan, kecantikan dan keelokan peribadi Muslim sejauh mungkin. Allah menjadikan setiap insan berbeza untuk saling belajar. Gunakan kecanggihan teknologi hari ini untuk menyiarkan kebaikan. Biar Islam tersebar sejauh-jauhnya. Semua orang tahu tentang Islam. Setiap Individu peka dengan perkembangan Islam. Lihat sahaja barat menggunakan setiap kemudahan untuk menyebarkan pengaruh mereka. Hingga kita yang melihat tertarik dan teruja. Bukankah Islam lebih indah?




No comments:

Post a Comment