Google Ads

Wednesday 25 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 161

MENARIK DI DALAM
·        Ikhlas
·        Mudahnya membuat Allah Kagum
·        7 Pelindung
·        6 Peringkat Ikhlas
·        Di sebalik kokokan itu
·        Aku ialah raja
·        Memaknakan kehidupan
·        Awas hutang!

IKHLAS
‘orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Apabila seorang hamba ikhlas ‘talian hayatnya’ bersambung dengan Allah. Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang ikhlas. Dia sentiasa memberi bantuan apabila hambaNya memohon pertolongan.’


MUDAHNYA MEMBUAT ALLAH KAGUM
‘Tuhan kamu kagum dengan seorang yang mengembala kambing di atas puncak bukit. Di situ dia mengumandangkan azan kemudian bersolat. ‘Lihatlah hambaKu ini. Dia mengumandangkan azan dan solat kerana takut kepadaKu. Sesungguhnya aku telah mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga.
(Riwayat Abu Dawud)


7 PELINDUNG

          ‘7 golongan yang akan dinaungi Allah dalam naunganNya pada hari tiada naungan melainkan naunganNya’. (Riwayat al Bukhari)

 

1. Pemimpin yang adil (kita semua adalah pemimpin dalam wilayah kita sendiri)

2. Orang muda yang membesar dalam beribadah kepada Allah

3. Orang yang hatinya berpaut dengan Masjid

4. Dua Orang yang berkasih sayang kerana Allah, berjumpa dan berpisah kerananNya

5. Seseorang yang digoda wanita yang berkedudukan lagi cantik tetapi dia menolak ‘sesungguhnya aku takut akan Allah’.

6. Orang yang bersedekah senyap-senyap sehinggakan tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.

7. Orang yang mengingati Allah sendirian sehingga mengalir air matanya.

Sumber : Sepintas Nasihat



6 PERINGKAT IKHLAS
1. Mengerjakan setiap amal ibadah semata-mata kerana menjunjung perintah Allah. Inilah peringkat ikhlas yang paling tinggi.
2. Mengerjakan setiap amal ibadah kerana mencari pahala dan untuk melepaskan diri daripada seksaan api Neraka. Ikhlas ini peringkat pertengahan.
3. Mengerjakan setiap amal ibadah adalah supaya Allah memuliakan dirinya di atas dunia atau selamat daripada kebinasaan dunia. Contohnya membaca surah al Waqiah supaya Allah memelihara dirinya daripada waswas oleh syaitan. Ini peringkat ikhlas yang rendah.
4. Bertaqarrub kepada selain daripada Allah dalam ibadahnya dan mengharapkan pujian daripada semua makhluk atas perbuatan tersebut. Maka, ini menggugurkan amalannya. Dalam sebuah hadis qudsi Allah berfirman ‘Aku adalah Zat yang paling tidak perlu kepada persekutuan para sekutu, sesiapa yang melakukan amalan yang di dalamnya ada persekutuanku dengan yang lain, maka Aku aku akan meninggalkannya beserta kesyirikan yang diperbuatnya’. (Riwayat Muslim)
5. Melakukan ibadah untuk meraih matlamat duniawi seperti pangkat, kuasa, penghormatan, harta dan kehormatan bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
6. Beibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi dalam masa yang sama mahu mencapai tujuan duniawi yang pasti terhasil bersama ibadah tersebut. Contohnya di samping niat beribadah kepada Allah , bersuci dapat menyegarkan badan dan menghilangkan kotoran. Semua niat ini akan mengurangi pahala ikhlasnya.


DI SEBALIK KOKOKAN ITU..

Mungkin ada yang menganggap sahutan kokokan ayam yang berderai memecah hening pagi itu sekadar bunyi yang mengganggu tidur insan. Namun ketika melarang umatnya mencela ayam jantan yang berkokok, Rasulullah telah menerangkan bahawa kokokan itu hakikatnya tanda ‘sang Jalak’ melaksanakan tugasnya yang tersendiri. ‘janganlah kamu mencela ayam jantan. Sesungguhnya ayam itu menyeru mausia untuk melaksanakan solat.’

(riwayat Abu Dawud)

 


AKU IALAH RAJA
            Seorang raja telah digulingkan oleh 1 konspirasi dalam kalangan menteri-menteri kanannya. Raja itu kemudiannya diracun semasa ditahan di dalam istana. Anak raja yang masih remaja tidak dibunuh. Jika dibunuh dikhuatiri rakyat akan bangun memberontak. Para menteri bersepakat untuk merosakkan keperibadian anak raja itu agar tidak bercita-cita lagi untuk menggantikan ayahandanya. Anak raja itu pun diasingkan ke kawasan pedalaman kononnya dengan alasan anak raja itu perlu dilatih  untuk menjadi raja pada masa akan datang. Para menteri yang berkonspirasi itu bermesyuarat bagaimana untuk merosakkan anak raja itu. ’kita berikan dia makanan yang sedap-sedap dan lazat-lazat. biar dia makan sahaja. Tubuhnya akan gemuk dan ditimpa pelbagai penyakit. Jika dia sudah menghidap kencing manis, darah tinggi dan obesiti, mana larat dia berfikir. Usahkan jadi raja, entah-entah akan mati muda’. Cadang seorang menteri. Seorang menteri lain memberi cadangan, ’kita biarkan dia tenggelam dengan hiburan dan keseronokan. Kita bekalkan arak, muzik, dan wanita-wanita. bar dia ketagih dan hanyut dalam dunia keseronokan. Justeru, dia tidak akan bercita-cita besar lagi. rakyat tidak akan salahkan kita jika dia sendiri tidak berminat menjadi raja..’
            Program menghancurkan kredibiliti dan reputasi anak raja itu pun dilaksanakan. Selepas beberapa tahun, para menteri melawat si anak raja namun alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat anak raja itu membesar sebagai seorang yang sihat, matang dan berwibawa. Tidak ada tanda-tanda yang dia menghidap penyakit, sugul, ataupun hilang semangat.  ‘kamu tidak makan makanan lazat yang kami berikan? ‘saya makan, tapi sekadarnya’ jawab anak raja. ‘kamu tidak minum arak?’ ‘tidak sekali-kali!’.’kamu tidak terliur dengan wanita-wanita penghibur yang cantik-cantik di sini?’ ‘saya menahan diri’ ‘kamu tidak suka muzik?’ ‘hanya muzik yang membina jiwa dan kesegaran rasa’. ‘kenapa kamu menolak semua itu?’’ semua itu akan merosakkan diri saya’. Jawab anak raja. ‘kenapa kamu begitu berhati-hati dan menjaga diri?’ ‘kerana saya sedar saya bakal menjadi raja! Seorang raja mesti menjadi orang yang sihat, kuat dan baik untuk menjaga kebajikan rakyat-rakyatnya. Saya dilahirkan untuk menjadi seorang raja’. Para menteri sangat terkejut.

Pengajaran
Cita-cita dan wawasan yang tepat serta jelas dalam jiwa atau pemikiran seseorang akan mendorongnya bertindak selaras dengan cita-cita dan wawasannya itu. Dia tidak akan dapat diganggu gugat oleh sebarang elemen negatif. Dia sentiasa fokus dan tahan godaan dalam proses mencapainya.
Sumber : Angguk Geleng






MEMAKNAKAN KEHIDUPAN
         
PAHALA—PIALA
Hidup yang bermakna akan sentiasa mencari pahala dan tidak sibuk mencari piala. Pahala akan membela kita tetapi piala sering membawa bala.

SENYUM
Mengikut kajian psikologi , senyum terpaksa atau yang tidak ikhlas pun akan membawa kesan positif kepada emosi., pemikiran dan kesihatan fizikal. Jadi, apa tunggu lagi, senyumlah kepada orang yang berada di sebelah. Ikhlaskan senyuman agar mendapat pahala dan kesan yang maksimum.

DIAM—CAKAP 
Jika tidak ada perkara baik yang perlu dinyatakan, lebih baik kita diam. Malangnya, ramai yang sering gagal mengawal lidah daripada menyatakan sesuatu yang sia-sia. mari sama-sama berdoa dan berusaha agar segala percakapan diri hanya perkara yang baik-baik sahaja dan tidak terlibat dengan perkara yang Allah benci dan orang sakit hati.

ASET
Allah jadikan kita dengan berbekalkan berbagai-bagai aset dan sifat positif supaya kita dapat menempuhi kehidupan dengan cemerlang dan mendapat keredhaan Allah. Malangnya, ramai yang gagal mengenalpasti aset dan sumber yang ada pada diri. Semoga Allah limpahi kita dengan hidayah dan berjaya menyerlah kehebatan yang dibekalkan Allah ini.

         

AWAS, HUTANG!!!
 Ingat! Hutang tiak semestinya beban, tetapi kewajipan.
 Bayar hutang mengikut tarikh yang ditetapkan.
 Hutang boleh memberi peluang, kemudahan dan keuntungan.
 Hutang perlu diurus dengan teratur dan fokus.
 Jangan membuat hutang baru terutama kad kredit
 Dalami ilmu dan selok belok berhutang, rujuk pakar yang tidak mengenakan caj.
 Buat analisis dan kira jumlah faedah yang anda perlu bayar untuk menjelaskan sesuatu hutang.
 Bayar hutang kad kredit sebanyak mungkin dalam tempoh yang singkat. 








No comments:

Post a Comment