Google Ads

Friday 27 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 165

MENARIK DI DALAM
·        Sejarah Solat Malam
·        Heboh
·        Langkah keluar daripada beban hutang
·        saya Manusia, bukan kambing
·        8 langkah kerja bergaji pun berpahala






SEJARAH SOLAT MALAM

Para ulama berbeza pendapat berkenaan sejarah kewajipan solat malam. Al Hafiz Ibn hajar menukilkan ‘sesetengah Ulama berpendapat bahawa pada mulanya solat malam adalah wajib. Kemudian perintah itu dimansuhkan dengan perintah solat malam sekadar kemampuan. Kemudian perintah itu juga dimansuhkan dengan perintah solat 5 waktu’.  Sebahagian ulama itu berpendapat bahawa kewajipan solat malam kekal atas Nabi sahaja. Sementara Ulama lain mengatakan bahawa solat malam adalah wajib ke atas umat. Cuma kadarnya tidak ditentukan, terserah kepada kemampuan. Tidak kurang juga ahli tafsir berpendapat bahawa qiamullai hukumnya sunat sejak awal-awal lagi.




HEBOH
          ‘berkata yang baik atau diam’. Itu pesanan junjungan nabi Muhammad saw. Yang baik perlu dihebahkan, tetapi segala keburukan tidak perlulah dihebohkan seantero dunia. Kononnya mahu supaya orang lain mengambil pengajaran. Wajarkah membuka aib sendiri? Heboh menghasilkan kekacauan, huru hara dan suasana kelam kabut dalam masyarakat. Masing-masing takut. Khuatir keburukan yang tersebar terkena diri sendiri. Ada kalangan manusia gembira menghebohkan berita, kenyataan hatta rahsia yang dikongsi orang lain kepadanya. Akhirnya, menimbulkan perbalahan apabila rahsia itu sampai kepada pemilik rahsia. Bukankah ia hanya menimbulkan pergaduhan?. Usahlah riuh-riuh bicara itu ini, begitu begini sedangkan ia tidak membawa kepada kebaikan. Kelak binasa badan, hancur perpaduan. Tidak salah ambil berat, jangan sampai melarat.







LANGKAH KELUAR DARIPADA BEBAN HUTANG

 

 HILANGKAN PERASAAN SUSAH DAN SEDIH 

Buang perasaan negatif ini. Jangan menghindari hutang sebaliknya hadapi hutang. Akui diri tersilap langkah kerana berhutang.

 

 TANAMKAN SIFAT RAJIN

Jujur dengan diri. Jadilah insan yang rajin. Jangan duduk diam atau berangan-rangan. cari pendapatan tambahan untuk mewujudkan pendapatan kedua, ketiga dan seterusnya.

 

 BERANI

Berani bertukar kerja jika peluang lain dan sentiasa meningkatkan prestasi kerjaya. Apabila perusahaan pertama gagal, berani untuk ‘tutup kedai’ dan memulakan perusahaan baharu.

 

 BANYAK MEMBERI DAN BERSEDEKAH

Banyakkan bersedekah. Bantulah orang lain walaupun kita belum keluar dari belenggu hutang, jangan bakhil. Sebaliknya jadilah pemurah. Ada pepatah orang Inggeris ’Give first, earn later’. 

 

 SISTEMATIK BAYAR HUTANG

Strukturkan semula hutang supaya kita menyelesaikannya dengan cepat. Buat jadual penstrukturan hutang. Manfaatkan pendapatan sampingan untuk membayar hutang. Adakan hubungan baik dengan pihak penghutang. Berbincanglah dengan baik, pasti akan ada jalan keluar.

 

 BERDOA DAN BERTAWAKKAL 

Setelah berusaha dengan cara yang terbaik , bertawakkallah. Allah akan membantu dengan caraNya dengan caraNya yang tersendiri di luar jangkaan kita. Berdoa pagi dan petang . ‘Ya Allah aku berlindung daripada kesusahan dan kedudukan , daripada lemah kemahuan dan rasa malas, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada belenggu hutang dan daripada tekanan manusia’. Yakin dengan formula :

Usaha + Doa (Tawakkal) = Bebas Hutang. Rasulullah  bersabda ‘sesiapa yang rohnya terpisah dari jasadnya dan dia bebas daripada 3 hal, pertama sombong, kedua ghulul (khianat) dan ketiga hutang, maka dia akan masuk syurga’. (Riwayat Ibn Majah)

 

 

 

 

 

 

SAYA MANUSIA, BUKAN KAMBING
            Ada seorang lelaki yang sudah lama menderita sakit jiwa. Dia asyik berkurung di dalam rumah kerana takut bertemu dengan orang lain. Jangankan bergaul, melihat orang pun dia akan terketar-ketar ketakutan. Apabila ditanya sebab dia berkenaan demikian, dia berkata ‘saya berasa diri saya macam seekor kambing dan orang lain macam harimau. Mereka semua akan membaham saya, saya takut’. Dia dihantar oleh keluarganya ke hospital sakit jiwa untuk dirawat. Di situ, pemuda itu dilatih dan dirawat dengan pelbagai cara untuk meyakinkan bahawa dia seorang manusia, bukan seekor kambing.
            Setelah setahun menerima rawatan, dia pun diuji oleh pakar psikologi yang merawatnya. ‘baiklah. Sekarang saya ingin bertanya, siapa kamu?’ tanya doktor pakar. ‘saya manusia’ ‘bukan kambing?’ ‘bukan, saya manusia’. ‘cuba ulang’. Pinta doktor. ‘saya manusia, saya manusia, saya manusia’. ‘bagus, sekarang kamu boleh pulang. Bergaullah dengan orang ramai, kerana kamu berhak untuk itu. Jangan takut lagi’. Dalam perjalanan pulang dia dibawa singgah di sebuah restoran yang dikunjungi ramai orang. ‘Takut. Takut.. Saya nak pulang’. ‘eh, kenapa masih takut? Kamu kan manusia, bukan kambing?’ ‘ya, ya, saya yakin saya memang manusia. Tetapi bagaimana kalau harimau-harimau itu masih melihat dan menganggap saya sebagai kambing?’

Pengajaran
Orang yang ditimpa penyakit hina diri yang kronik, sentiasa membandingkan dirinya dengan orang lain secara tidak sihat. Dia sentiasa rasa tidak layak, tidak selesa dan tidak seronok (feel good) dengan dirinya
Sumber : Angguk Geleng






8 LANGKAH KERJA BERGAJI PUN BERPAHALA

 BERMOTIVASIKAN GANJARAN ALLAH
Ibn Umar bercerita,pada satu hari Rasulullah saw bersabda ‘siapa yang sanggup menghantar suratku kepada pembesar Rom?’ sehingga 3 kali Rasulullah bertanya. Kemudian baginda berkata ‘sesiapa yang pergi baginya syurga!’ seorang lelaki ansar menyahut ‘saya akan pergi dan adakah untuk saya syurga sekiranya saya meninggal dunia ketika itu?’ ‘Ya, bagimu syurga sekiranya kamu menghantarnya. Sama ada kamu mati dibunuh atau mati selain dibunuh maka telah wajib syurga bagimu!’
(Riwayat al Tabrani)

 KERANA ALLAH DAN RASULNYA SUKA
Contoh : berpakaian kemas dan menjaga penampilan diri dengan niat kerana Allah suka kecantikan. Bersenam dan bersukan kerana Mukmin yang kuat lebih Allah sukai berbanding mukmin yang lemah. 

 DEMI TANGGUNGJAWAB LAIN
Contohnya : berkerja untuk dapat gaji untuk menyara keluarga kerana menyara keluarga itu wajib. Berniaga untuk kaya semoga boleh tolong orang miskin.  

 TEKUN, BERSUNGGUH-SUNGGUH .
‘sesungguhnya Allah suka apabila seseorang melakukan pekerjaan, dia itqan (tekun, teliti dan buat yang terbaik)  (Riwayat al Tabrani)

 MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN
‘Manusia yang paling disukai Allah ialah yang paling banyak memberi manfaat. Amalan yang paling disukai  Allah ialah kegembiraan yang kamu bawakan untuk saudara Muslim atau melenyapkan penderitaanya, atau melangsaikan hutangnya, atau menghilangkan kelaparannya. ‘sesungguhnya dengan aku berjalan bersama saudaraku untuk urusannya lebih aku sukai berbanding beiktikaf di masjid sebulan’. (Riwayat al Tabrani)

 BERAKHLAK MULIA
‘Sesungguhnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah sesiapa yang pada hari kiamat kelak datang dengan pahala solat, puasa dan zakatnya. Sedangkan dia dahulu pernah mencaci orang, menuduh seseorang dan memakan hak orang. ’lalu diagihkan pahala kebaikannya kepada orang itu dan orang ini (yang pernah dianiaya). Sekiranya pahalanya telah habis sebelum langsai hutang kesalahannya, maka diberikan kepadanya bahagian-bahagian dosa mereka yang telah dia aniaya, lalu dia dihumban ke Neraka’. (Riwayat Ahmad)

 YANG HARAM DIHINDARI
Contoh :Menzalimi, menyakiti hati saudara Musim, rasuah, khianat , melaga-lagakan orang dan sebagainya.

 YANG WAJIB TIDAK DIABAI
Contoh : melewat-lewatkan solat tanpa uzur atas alasan sibuk bekerja, mengabaikan masa bersama isteri dan anak-anak dan sebagainya.

Hanya dengan 8 langkah mudah. sayang sekali andai tidak mengambil peluang yang ada untuk menggandakan nilai gaji kepada Pahala.
Sumber : Solusi isu 57




           




No comments:

Post a Comment