Google Ads

Tuesday 10 November 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 152

MENARIK DI DALAM
·        Doa Menjaga Iman
·        Celik
·        Kecil Yang Besar
·        Hutang oh Hutang
·        Gantikan Sahaja Dengan Batu
·        Perkara Ajaib
·        Usaplah kepala mereka
·        Tapi Betul!
·        Sekalipun Mati Syahid




DOA MENJAGA IMAN
‘Ya Allah, tanamkan kecintaan (dalam diri kami ) keimanan dan hiasilah hati kami dengan keimanan’
(Riwayat Ahmad)

Huraian
Iman itu ucapan dan perbuatan. Iman boleh bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat. Mencintai dan membenci kerana Allah adalah daripada bentuk kesempurnaan iman. Beriman kepada hari akhirat antara bukti keimanan yang lahir dari dalam hati.
Dia percaya dengan berita yang disampaikan Rasulullah tentang pelbagai perkara ghaib yang berkaitan dengan akhirat seperti dosa, pahala, azab, syurga dan neraka dan lain-lain. Ini menyebabkan imannya bertambah sekaligus berusaha menjadi hamba Allah yang taat. 


CELIK
            Mata yang celik membuatkan kita boleh melihat dunia. Hati yang celik pula mendorong kita menjadi Mukmin yang sebenar, melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan. Ada golongan manusia yang celik di dunia tetapi buta di akhirat. Ada pula yang buta di dunia tetapi celik di akhirat. Allah mengingatkan ‘Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sungguh baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata ‘Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal dahulu celik?’ (Taha 20: 124—125). Ketika orang lain yang buta di dunia kembali celik, kita yang celik di dunia terkapai-kapai sendirian. Meraba-raba dalam kegelapan. Suasana yang tidak mampu digambarkan akal manusia biasa. Hari akhirat, hari dihitung walau sekecil-kecil amalan. Celikkan mata hati dengan menjadi mukmin sejati. Semoga kita termasuk golongan yang celik di dunia, celik di akhirat.

KECIL YANG BESAR

Benar, dosa ada besar kecilnya. Namun tidak bermakna dosa kecil itu kecil. Rasulullah saw mengingatkan : ‘berwaspadalah kamu dengan remeh temeh dosa kerana perkara itu akan bertompok-tompok pada seseorang sampailah membinasakannya’. (Riwayat Ahmad)

 LEBIH BESAR
Dosa kecil boleh jadi bahayanya lebih besar daripada dosa besar. Mana tidaknya, kita cenderung meremehkan dosa kecil kerana kecilnya dosa itu. Lalu kita ulangi lagi dan lagi. Pada saat itu kita merasakan yang dosa itu biasa-biasa sahaja. Walhal dosa tetap dosa. Akhirnya tiada lagi rasa menyesal atau ralat, apatah lagi terfikir untuk berhenti.

 MEMBESAR TAK SEDAR
Syaitan tidaklah bebal untuk menggoda orang baik-baik dengan dosa-dosa besar. Sebaliknya syaitan akan menggunakan umpan dosa remeh temeh. ‘aku, solat berjemaah tidak pernah lewat, kuliah pengajian tidak tinggal, tidak mengapalah buang sampah merata, parkir kereta ikut suka’.
Dosa kecil akan menjadi dosa besar apabila dilakukan berterusan. Malangnya kita tidak sedar . Kita mudah tertipu dengan nilai satu persatu sesuatu perkara tetapi jarang mengira nilai keseluruhannya.
 
 DOSA SELAMANYA BESAR
Mukmin sebenar seorang yang kritis dengan dirinya. Dia lebih merasakan amal baiknya kurang malah ketelanjurannya lebih banyak. Demikianlah Rasulullah. Tidak kurang 100kali baginda memohon ampun kepada Allah setiap hari.

 KECIL SEBENAR
Sebenarnya kita melakukan dosa kecil bukan kerana kecilnya dosa itu. Sebaliknya dek kecilnya iman dan rasa malu kita terhadap Allah yang Maha Besar. Teringat pesanan lama ‘Jangan melihat pada kecilnya sesuatu dosa, tetapi lihatlah pada besarnya Dia yang kita berdosa’.



HUTANG OH HUTANG...

 

Tulislah hutang anda, walaupun nilainya kecil dan hanya melibatkan ahli keluarga. amalan ini bukan disebabkan ketidakpercayaan kepada penghutang, tetapi kerana mengejar pahala sunat yang digalakkan oleh Allah.

 

 



GANTIKAN SAHAJA DENGAN BATU
            ‘Tolong Tuan Guru, saya tidak boleh tidur!’. ‘kenapa?’ ‘Bongkah emas simpanan saya hilang!’ adu si hartawan. ‘Bertenang. Ceritakan dahulu apa masalah tuan?’ kata Tuan Guru. ’Begini, saya banyak menyimpan bongkah-bongkah emas di dalam rumah saya. Emas-emas itu telah dicuri’. Kata hartawan itu.  Dia kemudiannya memperincikan bagaimana dia menyimpan banyak bongkah emas di dalam peti yang ditanam di dalam rumahnya.
            ‘apa yang kamu buat dengan bongkah-bongkah emas itu?’ ’saya tak buat apa-apa. harta saya sudah banyak. Cuma sebagai kebiasaan, apabila malam saya akan keluarkan bongkah-bongkah emas itu..’ ’kamu buat apa dengannya?kamu sedekahkan atau laburkan?’ ’eh, mana boleh. Saya kira dan kira..seronok. Bongkah emas saya semakin bertambah dan kemudian barulah saya boleh tidur dengan senang hati’.
‘Masalahnya skrg?’ ’Masalahnya, apabila emas itu dicuri, saya tidak dapat mengiranya lagi dan saya tidak boleh tidur!’. ’oh, kalau begitu senang sahaja..’ balas Tuan Guru. ’Apa? Tuan Guru boleh jampi agar pencuri tu memulangkan kembali emas saya? Balas hartawan tidak sabar. ’ bukan, tetapi kamu ambil sahaja ketul-ketul batu masukkan ke dalam peti itu dan anggap sahaja ketul-ketul batu itu sebagai emas. Kiralah dan kemudian tidurlah’. ’ini karut. Takkanlah ketul-ketul batu itu Tuan Guru nak samakan dengan emas?’ ’Hakikatnya sama. Mengumpul harta yang tidak manfaat, yang hanya dikira dan disimpan, samalah seperti mengumpul ketul-ketul batu!’

Pengajaran
Aneh sekali, ramai orang yang mencari harta sehingga tidak sempat memiliki hartanya itu. Mereka leka menjadi pengumpul harta untuk dibangga-banggakan, tanpa sedar jika tidak dimanfaatkan ke jalan kebaikan, harta itu akan sia-sia. harta kita yang sebenar ialah harta yang dimanfaatkan ke jalan Allah iaitu yang kekal menjadi simpanan untuk alam Akhirat yang lebih kekal dan abadi.
Sumber : Angguk Geleng






PERKARA AJAIB
 MUKJIZAT
Keajaiban yang  dikurniakan Allah hanya kepada para Rasul
 KARAMAH
Kelebihan yang diberikan kepada orang yang beriman dan soleh
 SIHIR
Keajaiban yang datangnya daripada kerjasama antara manusia dan jin

           


USAPLAH KEPALA MEREKA
Cabaran dan kesibukan duniawi boleh menyebabkan hati menjadi keras. Sedikit demi sedikit jiwa pengasih dan hati penyayang terhadap orang lain terhakis saban hari. Lalu kita lebih memikirkan tentang diri sendiri sahaja. hendak tolong orang lain? Diri sendiri pun tak larat. Kita tahu bahawa kita hamba Allah. Namun kita hanya sedar status itu apabila masalah hidup menghimpit. Lalu ketika itulah kita mula menagih rahmat Allah. Tetapi bagaimana rahmat Allah akan turun pada hati yang keras? Jom lembutkan hati kita. Amalkan tip nabawi ini kalau engkau mahu hatimu lembut, kasihanilah anak yatim, usaplah kepalanya. (Riwayat Ahmad)



TAPI BETUL!
            Bisikan para jin kepada manusia sebenarnya penuh dengan pembohongan. Sayidatina Aishah berkata: ‘ditanya kepada Rasulullah tentang perdukunan. Baginda menjawab ‘itu semua adalah sia-sia’. Lalu sahabat bertanya kembali kepada Rasulullah ‘Tetapi ya Rasulullah, apa yang mereka lakukan itu ada kalanya benar’. Lalu Rasulullah menjawab ‘ucapan-ucapan kebenaran itu adalah hasil pencurian, iaitu golongan jin mencuri maklumat dari langit lalu dibisikkan ke telinga para pembantunya(dukun, pawang, bomoh), lalu jin mencampuradukkan kebenaran tersebut lebih dari seratus kedustaan’,
(Riwayat al Bukhari dan Muslim)



SEKALIPUN MATI SYAHID
Mati syahid jalan terpantas untuk seseorang masuk ke syurga Allah. Pelbagai ganjaran hebat dan indah dijanjikan dalam al Quran dan hadis-hadis Rasulullah. Walau bagaimanapun Baginda mengingatkan bahawa hutang menjadi penghalang seseorang daripada masuk ke syurga walaupun gugur syahid di medan jihad. Baginda bersabda ‘diampunkan segala dosa seseorang yang mati syahid kecuali hutang’. (Riwayat Muslim)
Imam an Nawawi menyatakan bahawa jihad dan gugur syahid serta segala amal soleh yang lain hanya menggugurkan hak Allah, tetapi tidak menggugurkan hak manusia. Hutang tetap mesti diselesaikan sama ada daripada harta pusakanya atau tunaikan oleh ahli waris yang masih hidup.



No comments:

Post a Comment