Google Ads

Tuesday 1 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 173

MENARIK DI DALAM
·        Oh! Baru Tahu
·        Teka Teki Rasulullah
·        Ikat Untamu dahulu
·        Dusta Yang Tidak Disedari
·        Batu Besar
·        Ingat Allah, Kerja Senang
·        Intipati Nasihat Luqmanul Hakim



OH! BARU TAHU..
Ubay bin Ka’ab menceritakan bahawa pada suatu hari orang musyrik datang kepada Rasulullah ‘Wahai Muhammad, ceritakan kepada kami keturunan Tuhanmu!’ Maka Allah menurunkan surah ini. (Riwayat Ahmad)
1.  Katakanlah  wahai Muhammad ‘Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa.
2. ‘Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat’
3. ‘(Allah) tiada beranak dan pula tidak diperanakkan’.
4. ‘Dan tiada sesiapa pun yang serupa denganNya’.


           


TEKA TEKI RASULULLAH
Suatu hari, Nabi melontarkan teka teki berikut
‘Beritahu aku tentang sejenis pokok yang seperti seorang Muslim. Daunnya tidak gugur. Tidak itu dan ini. Buahnya dimakan sepanjang masa’. (Riwayat Muslim)
Jawapan: lihat di akhir edisi ini




IKAT UNTAMU DAHULU…..
Suatu hati, Nabi Muhammad melihat seorang Badwi meninggalkan untanya tanpa mengikat talinya. Baginda bertanya Badwi itu ‘Mengapa tidak ikat unta kamu?’ Badwi menjawab ‘aku telah berserah diri kepada Allah’. Nabi Kemudiannya berkata ’ikat unta kamu terlebih dahulu, kemudian bertawakallah kepada Allah’. 
(Riwayat al Tirmizi)


DUSTA YANG TIDAK DISEDARI

Terdapat pelbagai jenis dusta yang kadangkala kita sedari dan kadangkala kita tidak sedari semasa melakukannya. Antaranya adalah:

 

BERDUSTA  KEPADA ALLAH

 Dusta yang paling besar ialah berdusta terhadap Allah dengan menyandarkan sifat kepada Allah dengan sifat yang tidak pernah Allah sifatkan kepadaNya.

 Menyatakan ’yang ini haram’ dan ’yang itu halal’ tanpa petunjuk daripada Allah. Apatah lagi menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.  

 

BERDUSTA ATAS NAMA RASULULLAH

 Berdusta atas nama Rasulullah ialah dengan menyandarkan dengan sengaja sesuatu perkataan kepadanya padahal baginda tidak pernah menyatakannya.

 Menyebarkan ‘hadis’ yang sebenar-benarnya bukan daripada kata-kata baginda sebaliknya direka untuk tujuan dan kepentingan tertentu.penyebaran hadis palsu dengan sengaja juga turut dianggap berdusta atas nama Rasulullah.

 

BERDUSTA AGAR ORANG LAIN TERTAWA

 Kadangkala ada kalangan kita yang berdusta semata-mata untuk dijadikan bahan ketawa bersama rakan-rakan. apa kata Rasulullah tentang isu ini? Rasulullah bersabda ’celakalah bagi orang yang berbicara kemudian berdusta untuk membuat orang tertawa, celaka baginya, celaka baginya!’ (Riwayat Abu Dawud)

 

DUSTA SEORANG KEPADA ANAKNYA

Termasuk dalam perkara dusta adalah apabila seseorang berjanji untuk memberikan sesuatu kepada anaknya tetapi sebenarnya dia tidak akan memberikannya.

 

DUSTA SEORANG PENIAGA

 Kadangkala ada diantara  peniaga yang berkata ’mari sini abang, barang ini dah 100 orang beli, tinggal lagi 2 terakhir. Rugi kalau abang tak beli!’ padahal belum ada seorang pun yang membeli barangannya.  Berbicara tentang golongan ini, Rasulullah bersabda ’ 3 golongan yang mereka pada hari kiamat dan tidak menyucikan mereka dan bagi mereka azab yang pedih iaitu orang yang melabuhkan pakaian sehingga lebih buku lali, orang yang mengungkit kebaikan dan orang yang melariskan barang niaganya dengan sumpah dusta’. (riwayat Muslim)

 

 

 


BATU BESAR
            Seorang petani mempunyai beberapa ekar tanah sawah yang sangat luas di sebuah kampung. Berbekalkan sedikit duit simpanan sebagai pendahuluan, petani tersebut membuat pinjaman dari sebuah bank bagi membeli sebuah traktor pembajak sawah. Kerja membajak tanah sawah kini bertambah mudah berbanding menggunakan kerbau. Namun ada masalah lain pula yang dihadapi. Setiap kali membajak tanah, pasti ada bilah tajak yang dipasang pada traktor itu yang patah. Puncanya hanya satu. Di tengah-tengah tanah sawahnya itu ada sebiji batu yang besar.
            Setelah 2 tahun berlalu, isterinya mencadangkn agar batu tersebut dikorek dan dialihkn dari tanah sawah mereka itu agar tidak lagi berlaku bilah tajak yang patah. Petani tersebut turun kembali ke sawah. Di tenung lama-lama batu tersebut. Akhirnya dia mengambil sebatang kayu. Dia ingin menduga kedalaman batu itu. Dia menuil sedikit pada sisi batu tersebut. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati kedalaman batu itu kelihatan besar, hakikatnya batu itu nipis. Petani itu kembali membawa sebilah kapak. Digunakan belakang kapak dan mengetuk permukaan batu. Selepas 3 kali mencuba, batu tersebut pecah kepada beberapa kepingan kecil. ’oh..rupa-rupanya senang aje nak pecahkan dan alihkan batu ni’. Getus petani itu.  

Pengajaran
Manusia sering memandang masalah kecil sebagai 1 masalah besar. Malah mereka sering berhadapan dengan masalah yang sama berulang kali kerana tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah. Hakikatnya kemampuan dan potensi manusia menyelesaikan masalah itu lebih besar daripada masalah yang wujud. 
Sumber : Angguk Geleng





INGAT ALLAH ,KERJA SENANG,
HATI TENANG
¤ SENTIASA BERGANTUNG KEPADA ALLAH
Bekerjalah dengan penuh ketekunan  agar menjadi pekerja yang sangat komited melaksanakan tugas.  Lakukan bersungguh-sungguh supaya matlamat organisasi  tercapai. Segala ketentuan kita serahkan kepada takdir Allah.

¤ KUASA MANUSIA TERHAD
Walaupun perlu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin berdasarkan kebolehan kita, namun perlu ingat bahawa kita tiada kuasa mengawal semua perkara. Hasilnya, ada yang berjaya,ada yang tidak. Sebaik melakukan tugas, serahkan keputusannya kepada Allah. 





INTIPATI NASIHAT LUQMAN AL HAKIM

Ayat 12-13 Hidup Bebas Syirik.
Luqman mengingatkan anak-anaknya tentang bahaya syirik . Satu-satunya dosa yang Allah tidak sudi ampunkan selepas mati, jika belum bertaubat.

Ayat 14 -15 Motivasi Bakti Ibu Bapa
Luqman menyuntik motivasi berbakti kepada ibu bapa
A) mentatati ibu bapa selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam
B) Tidak membantah dan kasar tutur bicara
C) Ibubapa orang yang paling banyak berkorban demi si anak.

Ayat 16 Setiap Perbuatan Berbalas 
Luqman menanam prinsip bahawa setisp perbuatan baik—buruk sekecil mana pun akan dibalas Allah. Beliau memisalkan satu biji benih sawi di tengah-tengah padang pasir pun diketahui Allah.

Ayat 17 Solat, Amar makruf Nahi Mungkar dan Bersabar
Luqman mengingatkan anak2nya
A) Komited solat, bukti komitmen paling asas seorang hamba terhadap Allah
B) Tidak padan dengan diri sendiri sahaja baik, mesti membimbing orang lain untuk menjadi menjadi baik juga dengan amar makruf nahi mungkar.
C) Tetap bersabar melaksanakan amar makruf nahi mungkar yang sudah pasti banyak ujiannya.

Ayat 18 –19 Akhlak dilupa Jangan
Luqman menegaskan supaya benar-benar menjaga akhlak sesama manusia, hinggakan beliau mengajar seremeh-remeh adab
A) Jangan memalingkan muka daripada orang lain
B) Jangan berjalan dengan lagak sombong, berjalan secara sederhana
C) Bercakap dengan suara rendah. Tidak lantang, menjerit-jerit
D) Ramai yang rajin beribadah dan mengaji, namun tidak baik hubungannya dengan orang lain. 




JAWAPAN TEKA TEKI
Pohon Tamar
(Muslim diibaratkan pohon Tamar kerana sikapnya yang sentiasa memberi manfaat kepada sejagat)





No comments:

Post a Comment