Google Ads

Saturday 12 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 184

MENARIK DI DALAM
·        Etika Suami Isteri Di Laman Sosial
·        Lilitan Syaitan
·        5 Prinsip Penyelamat
·        Tidak Seperti Yang Diharapkan
·        Orang yang Bertakwa
·        Bonus Istighfar
·        Jagalah Lidah
·        Kalau Tidak Pernah Berdosa

ETIKA SUAMI ISTERI DI LAMAN SOSIAL
1. Profesional dalam urusan kerja menggunakan laman sosial
2. Bijak menilai tahap hubungan dengan rakan maya berlainan jantina
3. Menjadi friend atau follower kepada pasangan sendiri
4. Menyelesaikan urusan dan tugasan penting dahulu seperti kerja-kerja rumah atau urusan kerja dahulu sebelum bersosial di alam maya
5. Tetapkan tempoh mengakses laman sosial
6. Berhati-hati memilih kenalan lelaki atau perempuan asing sebagai rakan maya
7. Sentiasa bermuhasabah cinta dengan ‘menyentuh’ sesama suami isteri sebelum menyentuh skrin alat-alat komunikasi seperti Tablet, telefon bimbit dan komputer riba.
8. Tidak terpengaruh dengan janji setia dan kata-kata manis di alam maya.
9. Sentiasa berhasrat untuk tetap setia dan hidup kekal bersama pasangan masing-masing.
10. Membenarkan pasangan mengetahui kata laluan akaun laman sosial.
Sumber : FIQAH WANITA


LILITAN SYAITAN
 ‘syaitan melilit seorang daripada kalian dengan 3 lilitan ketika tidur. Dengan setiap lilitan syaitan syaitan membisikkan ‘nikmatilah malam yang panjang’. Apabila dia bangun dan mengingati Allah maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk maka lepaslah lilitan yang kedua. Dan kemuadian dia bersolat maka lepaslah lilitan yang ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi jika tidak, dia akan terbawa lembab dan malas’ (Riwayat al Bukhari dan Muslim)





5 PRINSIP PENYELAMAT
Ilmu
Ilmu dan amal agama kita mestilah bersumberkan dalil-dalil syariah yang teguh, bukan hanya kata-kata orang dan taklid buta kepada syeikh atau guru, khayalan-khayalan tidak jelas, tafsiran falsafah, andaian sains, tafsir mimpi dan lain-lain. Islam mengajar kita agar melandaskan pengajian agama dengan ilmu-ilmu Syariah yang bersumberkan al Quran, sunnah dan teladan salafussoleh. Allah menegaskan: ’Jangan engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya’.
(Al Isra’ 17:36)

Tauhid
Setiap ayat beriman kepada Allah swt, selalunya merujuk kepadaa makna tauhid. Kerana tidak sah iman tanpa tauhid. Allah menegaskan ‘orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang yang akan mendapat keamanan dan hidayah’. (Al An’am 8:82)

 Sunnah Dan RasulNya
Beriman kepada Rasulullah bukan hanya sekadar percaya. Hal ini mesti dibuktikan dengan menjunjung tinggi sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi perkara yang dilarang. Allah menegaskan ‘dan apa jua perintah yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkanlah, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka janganlah kamu melakukannya, patuhilah larangannya, bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya’. (Al Hashr 59:7) 

Jamaah
Dalam al Quran Allah sering menyeru orang beriman dengan lafaz jamak. Lebih jelas Allah berfirman ‘Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai’. (Ali Imran 3:103) Ibn Kathir menjelaskan maksud ‘tali Allah’ ini ialah al Quran. Kemudian beliau menjelaskan ‘Allah meminta mereka untuk berjamaah dan melarang mereka berpecah belah’.

Jihad
Jika Islam diumpamakan sebagai rumah, maka jihad ialah atap pelindung rumah tersebut. Jihad kedudukannya tinggi dalam Islam. Jihad ialah benteng pertahanan terakhir kaum muslimin untuk mempertahankan kelangsungan agama dan kehidupan umat Islam.
Sumber : SYIAR



TIDAK SEPERTI YANG DIHARAPKAN
            Seekor kuda yang menjadi tunggangan rasmi raja sedang mengamati tubuhnya di hadapan cermin. Tubuhnya nampak gagah dan sasa. Bulu pada badannya putih bersih, ekornya lebat dan mengurai lembut serta boleh memecut laju ketika berlari. Disebabkan tinggal di istana, tubuhnya dijaga rapi. Begitu juga makanannya, lazat dan berkhasiat. Kandangnya begitu bersih dan selesa.
            Suatu hari, atas arahan raja, ahli sihir raja diminta menemui kuda itu untuk memberikan apa jua hajatnya. Maka ahli sihir raja pun datang menemui kuda. Dia memberitahu kuda bahawa apa jua hajatnya akan ditunaikan oleh si ahli sihir. ‘apa yang kau hajatkan wahai kuda?’ tanya ahli sihir. ‘aku mahu menjadi kuda yang hebat.sila ubah suai tubuh badan aku. ’pinta si kuda. ’bukankah kamu sudah menjadi kuda yang hebat?’ Tanya ahli sihir. ’aku tahu. Tp aku mahu menjadi lebih baik dan lebih bagus daripada sekarang ini’.’baiklah, apa yang kamu mahu?’ ’aku rasa leherku pendek dan juga kakiku ini. Aku mahu leher dan kaki lebih panjang. Nanti aku boleh memecut laju lagi’. Begitulah tinggi angan-angan si kuda. Belum pun sempat ahli sihir menjawab, si kuda menambah ;aku juga mahu badan yang berketul-ketul . aku mahu kelihatan gagah dan lebih perkasa’.
            ‘baiklah, kamu pulang dulu. Sebaik sahaja terbit matahari esok pagi, kamu akan berubah mengikut permintaan kamu’. Keesokkan hari, alangkah terkejutnya si kuda putih apabila mendapati dirinya sudah menjadi seekor unta. ‘lain yang aku pinta, lain pula yang dapat!’ lenting si kuda. Kini lehernya makin panjang. Kakinya juga. Disangka kaki panjang boleh berlari lagi laju, namun tidak mampu. Malah, dia juga mempunyai bonggol. Cuma badannya sahaja yang masih kekal putih.

Pengajaran
Setiap makhluk Allah SWT diciptakan ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Tidak semua yang kita inginkan itu sesuai untuk diri kita. Jadilah orang yang mengsyukuri setiap nikmat yang ada pada diri kita.
Sumber : Angguk Geleng





ORANG YANG BERTAKWA
Orang yang bertakwa ialah mereka yang sentiasa berhati-hati dan mencegah dirinya daripada melanggar hukum Allah lahir dan batin. Puasa juga umpama brek kepada ‘kenderaan’ nafsu kita. Dengannya kita boleh melepaskan atau menghentikan perjalanan nafsu kita.



BONUS ISTIGHFAR
 Apabila kita beristighfar , bukan sahaja dosa diampunkan malah Allah mengurniakan sekali bonus istighfar iaitu kesenangan hidup dalam pelbagai rupa menurut keperluan hambaNya:
‘pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah—curah. Dan Dia akan memberi kepada kamu
Dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak, kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai’. (Surah Nuh 71:10-12)




JAGALAH LIDAH
Lidah adalah nikmat pancaindera yang dikurniakan Allah kepada kita. Dengan lidah manusia dapat berbicara, berkomunikasi dan berinteraksi. Manfaat lidah besar, tetapi besar pula bahaya yang ditimbulkan olehnya kalau dipergunakan kepada jalan yang salah. Lazimkan perkara-perkara berikut untuk memelihara lidah;

 SELALU BERKATA-KATA YANG BAIK
Rasulullah bersabda ‘sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia berkata baik atau diam’. (Riwayat al Bukhari dan Muslim) menurut Imam al Syafie apabila seseorang hendak berbicara fikirkanlah sebelumnya, seandainya sudah jelas kemaslahatannya maka ucapkanlah namun apabila ragu dengan perkataannya itu jangan disampaikan.

 TIDAK BERDUSTA
Rasulullah bersabda ‘Empat perkara apabila ada pada diri seseorang, maka dia seorang munafik tulen, dan sesiapa yang ada dalam dirinya salah satunya, maka dia memiliki salah satu sifat kemunafikan sampai dia meninggalkannya, apabila diberi kepercayaan dia berkhianat, apabila berbicara dia berbohong, apabila berjanji di memungkiri,dan apabila bermusuhan dia berbuat fasik’. (Riwayat al Bukhari)

 TIDAK MENGUMPAT
‘Mengumpat ialah engkau menyebut tentang saudaramu dengan apa-apa tidak disenanginya’. (Riwayat Muslim)
Sumber :Ustaz Sukki


KALAU TIDAK PERNAH BERDOSA

Rasulullah saw bersabda ‘Demi nyawaku di tanganNya, kalaulah kamu tidak pernah berbuat dosa lalu kamu tidak beristighfar, maka Allah akan lenyapkan kamu dan menggantikan kaum yang berdosa yang beristighfar. Maka Allah mengampuninya’.

(Riwayat Muslim)

 




No comments:

Post a Comment