Google Ads

Monday 7 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 179

MENARIK DI DALAM
·        Allah Tidak Membebankan HambaNya
·        Istighfar Dalam Al Quran
·        Cinta Syurga Tidak Meminggirkan Dunia
·        Cemburu Positif
·        Sempit



TAFSIR
ALLAH TIDAK MEMBEBANKAN HAMBANYA
‘Rasul beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya. Demikian pula orang-orang yang beriman. Semua beriman kepada Allah, Malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan rasul-rasulNya.  Mereka berkata ‘Kami tidak membeza-bezakan seorang pun daripada rasul-rasulNya. Dan Mereka berkata ‘kami dengar dan kami taat. Ampuni kami wahai Tuhan kami , dan kepadaMu tempat kami kembali’.
‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala daripada kebajikan yang dikerjakannya dan mendapat dosa daripada kejahatan yang dikerjakannya. Mereka berdoa ’Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kami dengan apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkau pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang kafir. 
(Surah al-Baqarah 2:285—286)



TADABBUR AYAT-AYAT INI
1. Sifat Mulia Mukmin termasuklah mendengar, taat, komited terhadap perintah-perintah Allah.
2. Antara keimanan yang penting adalah beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab dan rasul-rasulnya.
3. Wajib beriman kepada semua rasul dan kitab-kitabNya tanpa membeza-bezakan antara semuanya.
4. Allah tidak membebankan hambaNya kecuali dengan perbuatan-perbuatan yang mereka mampu lakukan dan tidak memberikan hukuman atas kelupaan, kelemahan yang tidak di sengajakan.
5. Terdapat hal yang diberi keringanan dalam urusan agama.



ISTIGHFAR DALAM AL QURAN (1)
Erti al Quran pada tadabbur. Kerana al Quran diwahyukan untuk dijadikan pedoman manusia. Lalu bagaimana untuk menjadikannya pedoman diri jika al Quran tidak didalami? Kali ini kita menerokai mesej istighfar dalam al Quran. Kita akan mendapati perkataan istighfar dirakam  dalam beberapa bentuk kata seperti berikut…

 TELAH MEMOHON AMPUN
‘dan kalaulah mereka  ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (Wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka akan mendapati Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani’ (Al Nisa’ 4:64)
 
Cabaran eksplorasi 1
Ayat 24 surah Sad juga mengandungi kalimah ini. Siapakah orang yang memohon ampun dalam ayat di atas?

 MOHONLAH KEAMPUNAN
Surah Yusuf 12:97

Cabaran eksplorasi 2
Dalam ayat di atas siapakah yang bersungguh-sungguh meminta kepada ayahnya supaya memohon keampunan Allah buat diri mereka?

 MOHONLAH KEAMPUNAN KEPADANYA
‘Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah keampunan kepadaNya’
Surah Hud 11:61

Cabaran eksplorasi 4
‘Kamu’ dalam ayat di atas ditujukan kepada siapa?

 MOHONLAH KEAMPUNAN
‘Wahai Yusuf lupakan hal ini. Dan engkau memohon keampunan atas dosamu.’
Surah Yusuf  12:29

Cabaran eksplorasi 5
Dalam ayat ini, siapakah yang diarahkan memohon ampun?


 MOHONLAH KEAMPUNAN
‘Aku akan memohon ampun Tuhanku untukmu. Sesungguhnya Dia amat baik kepadaku’
Surah Maryam 19:47
Jawapan di akhir edisi ini



CINTA SYURGA TIDAK MEMINGGIRKAN DUNIA
          Sikap mengutamakan akhirat bukan bererti meminggirkan dunia. Dr Yusuf Al Qaradawi berkata ‘mencintai Syurga bukan bererti meminggirkan dunia’. Dunia penting kerana adanya hari akhirat. Ini kerana bekalan untuk menuju kejayaan di akhirat dipersiapkan di dunia. Dunia ini ialah ‘modal’, manakala akhirat itu ialah ‘keuntungannya’. Mana mungkin mendapat untung tanpa modal? Maka begitulah, mana mungkin mendapat kejayaan akhirat dapat ditempa dengan meminggirkan dunia?
          Justeru, sekiranya harta, kuasa dan apa sahaja nikmat dunia dimanfaatkan untuk mendapat keuntungan akhirat, ia bukan lagi dunia. Harta yang didermakan ke jalan Allah, kuasa yang digunakan untuk menegakkan hukum Allah dan lain-lain nikmat dunia yang digunakan untuk beribadah (samada ibadah asas/ibadah umum) maka itu bukan lagi dunia sebaliknya telah menjadi ‘saham akhirat’.
          Sebaliknya, amalan akhirat sekalipun jika tidak bermanfaat untuk akhirat hakikatnya  sudah menjadi dunia. Sembahyang kerana riyak, menderma untuk berbangga-bangga, mengerjakan haji kerana berebut gelaran dan pengaruh, semuanya menjadi dunia. Semua itu tidak akan menjadi amalan dan bekalan akhirat.




CEMBURU POSITIF
            Amir cemburu melihat lampu rumah teman sekelasnya Umar sering menyala seawal jam 4 pagi. mesti sahabatnya itu sedang mengulangkaji, fikir Amir. Oleh sebab itu, Amir mengambil keputusan untuk belajar bersungguh-sungguh kerana ingin bersaing dengan Umar. Kini, Amir mula tidur berbantalkan tin susu sederhana besarnya. Jika tin susu itu tergolek, pasti dia akan terjaga dan bigkas bangun untuk mengulangkaji. Begitulah rutinnya saban malam.
            Keputusan peperiksaan baru sahaja diumumkan. Amir dinobatkan sebagai pelajar cemerlang . Namun pada masa yang sama, Amir terkejut kerana keputusan peperiksaan Umar tidak bagus sepertinya. Malah, tiada satu pun gred A yang dia peroleh. ’Engkau belajar hingga berjaga awal pagi, mengapa tiada satu mata pelajaran pun engkau dapat A? tanya Amir jujur inginkan kepastian. ’bila pula aku bangun awal pagi baca buku? Kalau aku rajin macam tu Alhamdulillah. Tapi, masalahnya aku ini pemalas’. Jawab Umar selamba. ’habis tu aku lihat setiap hari jam empat pagi rumah engkau dah terang. Bukan ke kau bangun mengulangkaji?’ ’oh, itu mak aku la. Dia bangun awal hendak masak nasi lemak untuk dijual’. Jelas Umar.  
Pengajaran
Cemburu yang terurus dan kena pada tempatnya akan membawa kebaikan. Malah, cemburu kategori inilah yang membuahkan kejayaan di luar sangkaan.
Angguk Geleng





SEMPIT
Hati yang sempit berasa sakit. Jalan sempit, kereta terhimpit. Pemikiran yang sempit, tersepit. Bila hati sempit, kehidupan jadi sulit. Hari-hari yang dilalui semacam duka yang penuh sakit. Mengapa bumi nan luas terasa sempit ? Adakah dalam diri ada kesumat atau dosa yang tidak beres? Ya, memang kita pendosa, tetapi sebaik-baik pendosa adalah pendosa yang bertaubat. Nescaya kesempitan itu akan hilang. Jika kesempitan itu bersifat material atau kewangan, tidak menjadi masalah. Jalan keluar ada asal kita berusaha. Gandakan usaha untuk memperoleh rezeki yang lebih baik. Asal sahaja kita tidak sempitkan pemikiran atas kehidupan yang dirasakan sempit. Sempitkan jalan-jalan menuju keburukan, sebaliknya luaskan jalan menuju kebaikan.
ViceVersa







            JAWAPAN EKSPLORASI
1. Nabi Daud
2. Adik Beradik Nabi Yusuf
3. Al Muzammil
4. Kaum Thamud
5. Zulaikha
6. Nabi Ibrahim





No comments:

Post a Comment