Google Ads

Friday 25 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 197

MENARIK DI DALAM
·        Ilmu
·        Kembali Kepada Allah
·        Keberkatan Rezeki
·        Deny Syndrome
·        10 Cara Kalahkan Marah
·        Orang Perkasa



ILMU
Keghairahan yang tinggi terhadap ilmu akan menjadikan seseorang itu ghairah untuk belajar. Imam as Syafie pernah menyifatkan dirinya dengan ilmu umpama ibu ayam kehilangan anaknya. Begitu cinta dan tinggi sekali keinginannya untuk mendapat ilmu.


KEMBALI KEPADA ALLAH
Pasangan hidup manusia ialah Islam. Tanpanya manusia akan terpisah daripada ketenangan dan kebahagiaan. Kita perlu kembali ke pangkal ’back to basic’. Untuk itu bermulalah dengan diri kita sendiri. Mari kita selami dan kenali siapa kita yang sebenarnya? Kita hayati kata-kata hikmah ini ‘untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya. Masalah manusia bermula dan berpunca  daripada hati!. Oleh kerana hati bersifat dalaman, maka untuk menyelesaikan masalahnya mesti juga dengan kaedah yang dalaman. Back to basic ertinya kembali kepada tauhid.! Kembalilah kepada Allah.
Sumber :  MUKMIN PROFESIONAL 


KEBERKATAN REZEKI
Tanda-tanda rezeki yang berkat adalah, semakin bertambah rezeki semakin dekat kita dengan Allah. Jika sebaliknya? Maka fahamlah bahawa kita dalam bahaya...


BERBEZA BIJAKSANA
            Satu hari seorang professor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pendayung sampan. Di tengah-tengah sungai, professor bertanya ’kau pandai menulis dan membaca?’ ’tidak, saya buta huruf’. Jawab pengajuh sampan. ’kalau macam itu, kamu sudah hilang separuh kehidupan kamu. Orang yang tak pandai membaca dan menulis seolah-olah hilang keupayaan untuk hidup’, tidak lama selepas itu, professor itu bertanya lagi ’kamu ada buat simpanan di bank?’ ’tidak, pendapatan saya cukup-cukup makan sahaja. ’kalau begitu kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tiada wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti’. Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu bocor. Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam. Si pengayuh sempat bertanya kepada professor ’tuan, adakah tuan pandai berenang?’ ’er..er..saya tidak tahu’. Jawab professor itu panik. ’kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!’

Pengajaran
Tuhan tidak mencipta manusia dengan bodoh. Sebaliknya, tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Kita mesti mengenal di mana kebijaksanaan itu dan meningkatkannya ke tahap maksimum. Jangan rasa diri kita hina sebaliknya binalah keyakinan diri. Allah ciptakan setiap setiap manusia untuk berjaya.
Sumber : Angguk Geleng



,


DENY SYNDROME

Kekuatan materialisme dan intelektualisme tidak akan mampu mempertahankan keutuhan bangsa dan Negara. Memburu tahap kehidupan yang lebih tinggi dan kecemerlangan pencapaian ekonomi tanpa menitikberatkan soal akhlak hanya akan meninggikan tempat jatuh. Ironinya, sering ada sikap ‘deny syndrome’ apabila dikatakan kita ada masalah akhlak. Sering terdengar kata-kata ‘itu semua kes terpinggir’, ‘kajian itu tidak tepat’, ‘itu hanya masalah terpencil’ dan pelbagai lagi penafian. ‘loceng penggera kecemasan’ yang sering dilaungkan oleh pakar pendidikan dan para ulama sering dianggap sebagai ancaman yang sengaja menakut-nakutkan dan boleh membantutkan usaha memajukan ekonomi. Jadi, tidak hairan jika pergaulan bebas, pendedahan aurat, budaya hedonisme dan elemen perosak akhlak berleluasa.

Sumber : Pesan hati Untuk Hati


10 CARA KALAHKAN MARAH
 Bagaimana kita menentukan agar kemarahan itu kerana Allah? Atau dengan kata lain, bagaimana hendak mengawal kemarahan? Untuk mengawal marah perlukan ilmu, tindakan dan latihan. Ilmu sebagai panduan, tindakan merealisasikan. Latihan pula membiasakan. Berdasarkan tiga strategi ini, berikut cara-cara mengatasi marah dengan ilmu dan tindakan:

¤ INGAT FADILAT ORANG YANG MENAHAN MARAH
Orang beriman sentiasa berusaha untuk mendapat keredhaan Allah dan balasan yang baik daripadaNya. Mengawal marah antara antara jalan untuk mendapatkannya. Siapa yang mampu mengawal kemarahan akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Allah akan memberkati kehidupannya kerana dia tidak menzalimi insan lain. Allah berfirman ‘hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu. Tidakkah kamu suka Allah mengampunkan dosa kamu? (Al Nur 24:22)

¤ INGAT MURKA ALLAH
Pemarah akan dimurkai Allah. Ketika ditanya kepada Rasulullah ‘Apakah yang menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah?’ Jawab Nabi ‘Janganlah kamu marah’. (Riwayat Ahmad)

¤ UCAPKAN TAAWUZ
Sulaiman bin Shurad menceritakan ‘semasa aku duduk bersama-sama nabi, kelihatan 2 orang saling mencaci. Lalu salah menjadi marah dan merah mukanya. Kemudian Nabi bersabda ‘sesungguhnya aku mengetahui suatu ucapan seandainya dia mengucapkannya pastilah hilang marah itu daripadanya: ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk’. (Riwayat al Bukhari)

¤ BAYANGKAN BETAPA BURUKNYA RUPA DAN PERILAKU KETIKA MARAH.
Orang yang sedang marah tidak ubah seperti anjing yang sedang menyalak. Gigi dan bibirnya bergetap, suaranya berderam, matanya merah dan telinganya kembang. Wajahnya sangat buruk. Jika orang yang marah dapat melihat wajahnya sendiri ketika marah, dia akan berasa malu.

¤ BERDIAM DIRI
‘Apabila seseorang kamu marah hendaklah dia diam’. Nabi mengulangi ucapan Baginda tiga kali. (Riwayat Ahmad)



¤ INGAT BALAS DENDAM PIHAK YANG DIMARAHI.
Setiap aksi mesti ada reaksi. Setiap kemarahan yang dilampiaskan kepada seseorang akan menimbulkan kemarahan pihak yang ‘kena marah’. Akan muncul dendam yang terpendam yang menanti masa dan kesempatan sahaja untuk diledakkan. Keadaan ini sangat merbahaya. Jadi tindakan mengawal marah akan menyelamatkan diri daripada kejahatan orang yang berdendam dan hasad dengki.

¤ INGAT PEMBALASAN DI AKHIRAT.
Bayangkan betapa buruknya nasib pemarah di akhirat kelak. Mereka akan dimurkai dan dihumbankan ke neraka. Rupa-rupanya pembalasan buruk kepada si pemarah di dunia hanya sedikit berbanding pembalasan yang lebh dahsyat di neraka. Menyedari hakikat itu, orang yang bijak lebih rela menahan sifat marahnya di dunia daripada terpaksa menahan bakaran api neraka. Nauzubillah.

¤ BERWUDUK
Rasulullah bersabda ‘sesungguhnya marah daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan diciptakan daripada api, dan api dapat dipadamkan oleh air, maka apabila antara kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk’. (Riwayat Abu Dawud)

¤ UBAH POSISI FIZIKAL
Apabila rasa marah ubahlah kedudukan kita daripada berdiri kepada duduk. Jika masih marah lagi, berbaring. Jika masih juga marah, maka tinggalkanlah tempat dan orang yang menyebabkan kita marah.

¤ TARIK NAFAS DALAM-DALAM DAN PANJANG, BERSELAWAT DAN BERISTIGHFAR
Apabila rasa marah mula terasa sukar dikawal, tarik nafas panjang-panjang, dalam-dalam dan lepaskan. Berselawatlah dan beristighfarlah berulangkali. insyaAllah kemarahan akan beransur reda dan kerasionalan akan kembali. Dengan berhenti sebentar, darjah kemarahan akan menurun.
Sumber : SOLUSI



ORANG  PERKASA
Orang yang perkasa mampu mengawal hati, akal dan nafsunya bagi mencapai misi hidup yang tepat dan jelas.

Ustaz Pahrol



No comments:

Post a Comment