Google Ads

Wednesday 23 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 195

MENARIK DI DALAM
·        Keutamaan Dalam Menahan Marah
·        Solat Dhuha Masa Kerja?
·        Apabila Allah Sendiri Ingin Mendekati
·        Menjemput Rezeki Dengan Mengutamakan Solat
·        Miskin Jiwa
·        Bahagia Bersama Keluarga
·        Muslim Bijak Kewangan



KEUTAMAAN MENAHAN MARAH

◊ ORANG KUAT

‘orang kuat itu bukanlah yang menang dalam pergaduhan tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan perasaan marahnya.

 (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

 

◊ ALLAH REDA

‘Tidaklah hamba meneguk tegukan yang lebih utama di sisi Allah, daripada meneguk kemarahan kerana mengharap keredaan Allah’. (Riwayat Ahmad)

 

◊ DAPAT AMAN  DAN IMAN

‘Tidaklah seorang hamba menahan kemarahan kerana Allah kecuali Allah akan memenuhi baginya keamanan dan keimanan’.

(Riwayat Abu Dawud)

 

◊ WASIAT TERBAIK

‘seseorang berkata kepada Nabi ‘berwasiatlah kepadaku. Baginda bersabda ‘Janganlah engkau marah’. Kemudian diulang-ulang beberapa kali. Dan Baginda bersabda: ‘Janganlah engkau marah’.

(Riwayat al Bukhari)

Sumber : Dr Zahazan

 




SOLAT DHUHA WAKTU KERJA?.
Bolehkah Saya Mengambil Masa Untuk Solat Dhuha Pada Waktu Bekerja?
Solat Dhuha adalah amalan sunat yang digalakkan. Jika perlaksanaan solat tersebut tidak menjejaskan tugasan yang diamanahkan, maka tidak salah melaksanakannya. Terutama jika dilakukan tanpa mengambil banyak masa dan pihak majikan tidak menghalang. Namun jika melaksanakan solat dhuha menjejaskan kualiti kerja, apalagi membuat saudara melalaikan tugasan wajib, maka tidak boleh melakukan solat Dhuha pada ketika itu. Perkara wajib tidak boleh ditinggalkan untuk perkara sunat. 


APABILA ALLAH SENDIRI INGIN MENDEKATI
‘Apabila Allah membukakan satu jalan perkenalan bagimu, maka janganlah engkau segan sekalipun amalanmu sedikit, kerana sesungguhnya Dia tidak membukakannya bagimu kecuali Dia hendak berkenalan denganmu. Tidakkah kamu tahu bahawa perkenalan merupakan kedatanganNya kepadamu hasil daripada amalan-amalan yang kamu hadiahkan untukNya, namun bagaimanakah keadaan amalan yang kamu hadiahkan kepadaNya itu berbanding kedatanganNya kepadamu’,
 -Hikmah Kelapan

Dua Jalan Hidayah
1. melaksanakan syariatNya: mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya
2. Allah sendiri memilih hambaNya ke hadratNya.

Pemilihan Dengan Ujian
Apabila Allah memilih hambaNya sudah tentu dia berikan ujian bagi melayakkan dirinya sebagai hamba Allah ‘Apabila Aku uji hambaKu yang beriman, jika dia tidak mengeluh nescaya Aku kuatkannya dengan ikatanKu (Kurnia kesihatan), dan Aku gantikan dagingnya dengan yang lebih baik dan darahnya dengan yang lebih baik dan kemudian Aku berfirman kepadanya ‘Mulakanlah amalan baharu’. (Riwayat al Hakim dan al Baihaqi)
 
Sumber : HIKAM 



MENJEMPUT REZEKI DENGAN MENGUTAMAKAN SOLAT
Sesetengah ulama berkata bahawa sesiapa yang menjaga solatnya maka Allah akan mengurniakan lima keistimewaan:
1. Akan diangkat kesempitan hidup di dunia daripadanya.(Rezekinya bertambah)
2. Akan dihindarkan daripada azab kubur.
3. Akan mendapat buku catatan amalnya melalui tangan kanan.
4. Akan melintas Titian sirat dengan cepat
5. Akan memasuki syurga tanpa hisab.


MISKIN JIWA
            Seorang pemuda menasihati seorang pengemis yang kelihatan sihat dan kuat melakukan kerja yang sangai mengaibkan itu. ’saudaraku, berhentilah daripada menjadi pengemis. Kau masih kuat dan sihat’. ’Apa? Saudara rasa kerja mengemis tidak memerlukan tenaga? Dalam satu hari saya perlu berjalan ke sana, sini selagi mana ada manusia. Kalau saya tak kuat dan sihat, saya tidak akan dapat menahan panas, hujan dan apa jua cuaca’. Jawab pengemis. ’mengemis ini hina. Hilang maruah diri’. ’siapa kata hina? Inilah kerja yang mulia. Sebab saya menjadi pengemis, orang lain mendapat pahala. Saya juga mendapat pahala sabar apabila orang mencaci saya. Pahala syukur apabila orang memberi sedekah. Hinakah itu? Saya juga berdoa untuk orang yang memberi sedekah kepada saya. Hinakah?’pemuda itu terdiam. Rupa-rupanya pengemis ini bukan hanya miskin harta, tetapi miskin jiwanya. alasan untuk malas sentiasa ada. Kreatif betul tipuan syaitan. 

Pengajaran
Malas adalah 1 dosa. Pelbagai alasan diberikan untuk malas termasuk hujah dan dalil agama. Kepalsuan yang bersalut kebenaran bukan sahaja mampu menipu orang lain, tetapi paling malang menipu diri sendiri.
Sumber : Angguk Geleng



,


BAHAGIA BERSAMA KELUARGA
 Tunjukkan perasaan kita kepada anak-anak dan pasangan dengan ucapan dan perbuatan. Jangan kedekut untuk memeluk dan mencium mereka.
 Suami perlu sentiasa menghubungi isteri, begitulah sebaiknya. Jika tidak mampu, kirimkan mesej pesanan ringkas.
 Jika anda sibuk bekerja pada siang hari, jadikan waktu malam masa untuk bersama keluarga. Simpanlah telefon dan seumpamanya jauh-jauh.
 Masa bersama tidak perlu panjang asalkan benar-benar berkualiti. Juga tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak. Cukup walau hanya menonton kartun bersama-sama di rumah.
 Sekali sekala bawalah ahli keluarga melakukan aktiviti luar seperti berjalan-jalan di taman atau membuat kek bersama. Nikmati masa tersebut untuk membina keakraban sesama ahli keluarga.
 Kenang mereka selalu dalam doa-doa kita. Mintalah agar Allah selalu menjaga iman, Islam dan diri mereka.
Sumber : TIP MAHMUDAH



MUSLIM BIJAK KEWANGAN

Pada hari ini sebagai Muslim kita harus bijak mengurus kewangan. Secara asas kita harus maklum akan tujuh perkara dalam perancangan kewangan komprehensif:

 

 PENDAPATAN

Sumber kewangan ialah pendapatan. Sumber pendapatan adalah daripada pekerjaan seharian. Dengan bekerja kita memperoleh gaji atau pendapatan.

 

 PERBELANJAAN

Perbelanjaan harian seperti rumah, makan, minum, kenderaan dan sebagainya.

 

 SIMPANAN

Simpanan  menjadi teras utama pada pengurusan kewangan. Jika seseorang gagal untuk menguruskan simpanan dengan baik, agak sukar untuk dia menguruskan instrument-instrumen kewangan yang lain. Simpanan menjadi faktor utama untuk peringkat pengurusan kewangan seterusnya.

 

 PERLINDUNGAN

Dalam keghairahan bekerja untuk memperoleh pendapatan dan membuat simpanan, kita harus memastikan kedua-duanya dilindungi. Di sinilah fungsi perlindungan, iaitu untuk memberi perlindungan kepada pendapatan dan simpanan apabila berlaku musibah. Dengan adanya perlindungan, kita dapat mengekalkan pendapatan dan simpanan instrumennya ialah takaful.

 

 PELABURAN

Inflasi akan menurunkan nilai simpanan. Jika kita perlu untuk membuat pelaburan sekurang-kurangnya untuk melawan inflasi. Lebih jauh lagi, fungsi pelaburan adalah untuk meningkatkan pendapatan dan simpanan. Bagaimanapun pelaburan sangat berkait rapat dgn risiko.

 

 PENYUCIAN

Dalam mencari harta dan wang, islam mewajibkan zakat untuk memastikan wang dan harta yang kita miliki bersih dan suci. Ada bahagian harta yang kita cari ialah hak dan milik orang yang kurang kemampuan. Jadi fungsi penyucian adalah untuk membersihkan harta.

 

 PEMBAHAGIAN 

Selepas kematian kita, harta yang ditinggalkan akan menjadi milik orang lain. Wasiat dan faraid penting untuk memastikan pembahagian harta kita berjalan lancar.

 

Sumber : semasa

 




No comments:

Post a Comment