Google Ads

Thursday 24 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 196

MENARIK DI DALAM
·        Kerja Kecil, Jiwa Besar
·        Hidup Untuk Mati
·        Pesan Hati
·        Marahlah, Tetapi Bukan Kerana Marah
·        Punda-punca bagaimana rezeki menjadi sempit
·        5 Kali Peluang Sahaja






KERJA KECIL, JIWA BESAR
            ‘pergi ke masjid di sana dan belajarlah sesuatu daripada seorang lelaki’. Begitulah pesan pendek gurunya. ‘lelaki yang mana 1?’ Tanya si murid, untuk lebih jelas. ‘kamu akan tahu nanti’. Si murid pun pergi ke masjid yang dimaksudkan. Setelah solat, dia melihat seorang lelaki sedang membaca  al Quran. Lama ditunggunya tetapi lelaki tersebut terus membaca al Quran tanpa mempedulikannya. Dia terpandang pula seorang lelaki berhampiran mihrab, sedang menelaah beberapa buah kitab. Setelah memberi salam, dia menegur, ‘tuan,, bolehkah ajarkan saya sesuatu?’ ‘maaf, saya sibuk ni. Awak datang tidak kena pada masanya’. Jawab lelaki itu tanpa melihat kepadanya. Matanya terus asyik melihat kitab-kitab yang sedang dibacanya. Si murid agak kecewa. Siapakah lelaki yang dimaksdkan gurunya.
            Oleh sebab tiada orang lain lagi di dalam masjid, maka dia pun bercadang untuk pulang. Semasa menyarung kasutnya. Dia terpandang seorang lelaki agak tua, sedang membersihkan longkang masjid. Pak cik itu menegurnya dengan ramah dan mesra. ‘dah berapa lama pakcik kerja di sini?’ tanyanya sekadar memeriahkn perbualan. Tidak ada apa-apa ilmu agama pun yang boleh dipelajari daripada lelaki yang kerjanya membersihkan longkang masjid ini, bisiknya dalam hati.  ‘hampir 15 tahun.’. ‘seronok?’ ‘seronok sekali nak..’. Kata lelaki itu tersenyum. Dilihatnya cara pakcik itu membersihkan longkang masjid begitu halus dan teliti. Celah-celah longkang yang paling kecil dan sempit juga dicucinya. Begitu tekun sekali. ‘pak cik, celah-celah rekahan longkang pun pakcik cuci. Hairan saya’. ‘apa nak dihairankan?’ ‘bukannya ada orang nampak pun benda-benda kecil sebegitu?’ ‘tapi Allah nampak nak’, kata pakcik itu sambil tesenyum. Murid tadi terdiam. Rupa-rupanya pakcik itulah yang dimaksudkan oleh gurunya.
Pengajaran
Kerja yang kecil sekalipun tetapi jika dibuat dengan hati yang besar akan mendapat penilaian yang tinggi daripada Allah. Hati yang ‘besar’ ialah hati yang mengharapkan keredhaan Allah yakni ganjaran yang lebih besar berbanding penilaian daripada manusia.
Sumber : Angguk Geleng



,


HIDUP UNTUK MATI
Sesiapa yang menazarkan dirinya untuk hidup demi agama maka dia akan hidup dalam keletihan, tetapi dia akan hidup sebagai orang yang agung dan mati sebagai orang yang agung.
Sumber : Al Syahid Syeikh Ahmed Yasin



PESAN HATI
Jangan dibiarkan hati itu terus-terusan sepi daripada peringatan. Bawalah hati itu ke majlis pengajian, halakah zikir dan perhimpunan alim ulama.


MARAHLAH TETAPI BUKAN KERANA MARAH
Musuh kebijaksanaan ialah sifat marah. Berapa ramai orang yang bijak, tetapi akhirnya jatuh terhina kerana gagal mengawal kemarahan. Apabila marah, akal akan ditawan oleh emosi. Diri hilang kendali. Pada ketika itulah manusia yang paling bijak sekalipun akan bertukar menjadi dungu. Cakap, tindakan dan raut wajahnya akan menjadi hodoh, tidak sepadan lagi dengan tingkat akal atau kecerdikannya.Mengikut ahli psikologi marah merujuk kepada situasi bergejolaknya darah dalam hati untuk menolak gangguan yang dibimbangi terjadi atau kerana ingin membalas dendam kepada orang yang menimpakan gangguan itu terhadapnya. Menurut kajian psikologi lagi, kemampuan mengawal marah termasuk dalam kecerdasan emosi yang sangat penting dalam kehidupan. Seseorang mesti mampu menahan marahnya, agar marah ’bekerja’ untuknya, bukan sebaliknya. Marah adalah antara perasaan yang paling sukar dikawal. Biasanya orang yang gagal mengawal rasa marah tidak akan dapat mengawal akal fikirannya. Dia menjadi tidak rasional, bertindak kasar, kejam, ganas dan adakalanya sangat kejam. Apabila marah reda, barulah si pemarah menyesali tindakannya. Islam sangat mementingkan sifat keadilan dan kasih sayang. Justeru jika marah tidak terkawal, mana mungkin seseorang akan bersifat adil dan berkasih sayang. Umat Islam dituntut mementingkan keadilan bukan sahaja dalam keadaan aman, malah ketika memerangi musuh. ’Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangimu tetapi janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas’. (Al Baqarah 2:190).
Sumber : solusi


PUNCA-PUNCA BAGAIMANA REZEKI MENJADI SEMPIT
 Tidak peduli tentang zakat dan sedekah
 Terlalu sibuk hingga jauh dari Allah
 Melakukan bisnes dan kerja yang tidak patuh syariah
 Berbuat dosa kerana jahil atau degil
 Percaya usahanya semata-mata yang mendatangkan rezeki

Atasinya dengan
 Buka Al Quran dan semak surah Al Baqarah ayat 261. Mari kita baca, hayati dan amalkan.
 Mencuri gula-gula atau mencuri lembu sama sahaja. Isunya adalah mencuri. Atas apa alasan sekalipun, mencuri adalah berdosa.  Berbisnes dan bekerja juga begitu. Selagi terpalit dengan dosa, walaupun sedikit, hilanglah berkatnya.
 Menceritakan keburukan orang, jika benar sekalipun, namanya mengumpat. Jika tidak benar namanya fitnah. Dua-dua berdosa. Ramai yang ‘rajin’ mengumpat dan mengata. Ada yang rajin mengumpat dan mengata kerana jahil. Dia berasa perbuatan itu tidak berdosa. Manakala ada yang sudah tahu perbuatan begitu berdosa, tapi dia memang degil. Sudah tahu dibuat juga.. Natijahnya rezekinya jadi sempit kerana banyak sangat berbuat dosa.


5 KALI PELUANG SAHAJA

Orang muda punya banyak peluang dan pilihan kalau mereka mahu. Rasulullah bersabda ’Rebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati’. (Riwayat al Hakim)

 

 Peluang 1: SIHAT

Kebanyakan orang  muda sihat kerana kurang terdedah dengan makanan yang tidak sihat. Ditambah pula dengan aktiviti seharian yang mengamalkan gaya hidup sihat. Namun, tidak dinafikan orang muda juga ada yang berpenyakit obesiti atau kencing manis. Sungguhpun begitu, selama masih sihat sepanjang usia muda, apakah yang telah anda lakukan? Adakah anda telah mempertahankan kesihatan dengan menjaga pemakanan dan melakukan aktiviti yang menyihatkan badan?. Demikian tentang diri, tetapi bagaimana hubungan dengan Allah? Adakah pada usia muda ini kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah. Mungkin ramai yang mampu melakukan ibadah wajib, tetapi ramai yang cuai untuk melakukan amalan sunat. Sedangkan pada usia muda inilah yang patut kita rebut untuk melakukan ibadah fardu dan sunat. Mana tahu, sewaktu kita sakit, ibadah sunat semakin berkurang. 

 

 Peluang 2 : KAYA

Islam tidak melarang penganutnya menjadi kaya, malah amat dituntut menjadi kaya dan banyak harta. Lihatlah Abdul Rahman Bin Auf yang kaya di usia muda. Bukankah mengeluarkan zakat adalah itu salah satu rukun Islam. Bagaimana mampu mengeluarkan zakat jika tiada harta? justeru wahai orang muda, bangunlah untuk menjadi kaya. Dengan kaya kita boleh mengeluarkan zakat dan membantu orang susah. Dengan harta yang banyak juga kita boleh berwakaf untuk membangunkan Islam. Semua ini boleh dilakukan sebelum kita jatuh miskin.

 

 Peluang 3 : LAPANG

Masa lapang sangat sinonim dengan orang muda.  Semasa usia  muda kita belum dibelenggu dengan kesibukan.  Waktu lapang lebih banyak berbanding masa sibuk. Jadi sementara lapang, buatlah sesuatu yang bermanfaat untuk diri, masyarakat dan Islam. Waktu lapang boleh dimanfaatkan untuk  menambahkan ilmu pengetahuan, memperbanyakkan ibadah kepada Allah dan bermasyarakat atau memberi khidmat sosial.  


 Peluang 4 : MUDA

Orang muda masih kuat perkasa, tenaganya masih kuat dan fikirannya masih waras. Usia muda memang panjang sebelum tiba tua. Jadi, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk diri, masyarakat dan Islam. Namun hari ini, saya agak terkilan dengan sikap orang muda. Dalam keadaan bertenaga, ramai yang sibuk dengan games dan hiburan.  Mereka lebih banyak masa di depan kaca tv, dan gajet kesukaan. Malah sebahagiannya tidak terfikir  untuk menyembah Allah. Kalau begitu lah cara  hidup pada usia muda, apakah jaminan untuk melakukan kebaikan pada usia muda?


 Peluang 5 : HIDUP

Memang kebiasaannya orang tua akan meninggal dunia tetapi ramai juga orang muda yang meninggalkan dunia lebih awal. Jadi sebelum datangnya mati, perbanyakkanlah beribadah kepada Allah. Peluang hidup ini jika disia-siakan akan membawa penyesalan yang tidak sudah-sudah apabila disoal siasat oleh malaikat di dalam kubur nanti.  

Sumber : Hai Orang Muda





No comments:

Post a Comment