Google Ads

Sunday 6 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 178

MENARIK DI DALAM
·        Pengorbanan
·        Merdeka Hati
·        Sesat
·        Luas
·        Baca Sebelum Lena
·        Pinjam dan Pulang




ISTIGHFAR (2)

; Penghapus dosa mengumpat ialah kamu memohon istighfar buat orang yang kamu umpati—Hasan al Basri

; Istighfar termasuk doa. Semua benda pergi tak kembali kecuali doa. Doa pergi bersama harapan. Kembali pula dengan pemberian.

; Antara tanda orang yang riyak dengan ilmu ialah ilmunya seperti bukit walhal amalannya sebesar biji benih—Fudhail bin Iyad

; Yang menghalang seseorang daripada bertaubat ialah panjang angan-angan. –Yahya Bin Muaz

; ‘Allah tidak akan mengazab mereka sedangkan mereka memohon ampun’. (Al Anfal 8:33)Maka Allah tidak menggerakkan seseorang untuk beristighfar sedangkam Dia ingin mengazabnya.—Ibrahim bin Adham

; Antara tanda Allah tidak entahkan seseorang hamba, dia akan membuatkan hamba itu sibuk dalam perkara yang tidak memberi manfat padanya.—Hassan

; Semburkan wangian pada dirimu dengan memohon keampunan agar dirimu tidak terdedah dengan busuk dosa-dosa.

; Kelakar sungguh ada orang yang berat memaafi orang lain sehingga dia sendiri yang meminta-minta kemaafan.
  


PENGORBANAN
Berkorban jiwa merupakan kemuncak pengorbanan. Sanggup mati syahid di jalan Allah ialah pengorbanan yang tertinggi kerana nyawa lebih berharga daripada masa, tenaga dan harta.


MERDEKA HATI

Yakinlah dengan janji Allah kepada mereka yang melalui tarbiah Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran. Segala dosa yang terdahulu diampunkan dan dicatatkan sebagai mereka yang dimerdekakan Allah daripada azab neraka.

Saat kita lahir ibarat kain putih. Seterusnya kehidupan yang dilalui mencorakkan kita dengan pelbagai coretan, lukisan, catatan mahupun contengan amal. Peristiwa, dan perbuatan. Ada yang baik dan tidak kurang juga yang buruk. Benarlah ungkapan Rasulullah ‘Apabila anak adam melakukan dosa, maka dicatatkan satu titik hitam pada hatinya’. (Riwayat al Baihaqi). Semakin banyak noda dan dosa yang dilakukan, maka titik-titik hitam itu semakin bertambah hinggalah meliputi hati tersebut hingga hitam gelemat.


 Memerdekakan Hati

Hati yang hitam ialah hati yang tidak merdeka. Selagi tidak dibersihkan maka terbelenggulah hati, jiwa dan peribadi itu dek dosa, noda dan kejahatan. Justeru, bagaimanakah memerdekan hati yang terbelenggu? Ya, jawapannya ada pada bulan Ramadhan. Mereka yang melalui Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap keampunan Allah akan ditawarkan dengan 2 peluang besar :

1. Diampun segala dosa yang lalu

2. Dibebaskan, dimerdekakan daripada azab api Neraka.

Kemerdekaan inilah yang hakiki. Kemerdekaan hati dan jiwa daripada belenggu nafsu, syaitan, dan dosa, lalu dikembalikan kepada keadaan fitrah yang putih, bersih, suci seperti bayi yang baru dilahirkan.

 

 Mengingati Perjanjian Dengan Allah

Kembali kepada fitrah juga bererti kita kembali kepada perjanjian asal kita dengan Allah. Kita itu kita di alam roh.’Bukankah Aku ini Tuhan kamu?’ ‘Betul, kami bersaksi’. (Al A’raf 7: 172)

 

 Kemerdekaan Hakiki

Kemerdekaan hakiki adalah apabila kita kembali memposisikan diri kita sebagai hamba Allah. Buang rasa perhambaan kepada yang lain, dengan memurnikan perhambaan dan ketaatan kita kepada Allah . Tiada yang kita cintai lebih daripada kecintaan kita kepada Allah dan Rasul. Apabila Allah dan Rasul kita lebihkan daripada yang lain, maka tiada tuan dan tuhan yang lain, yang kita serahkan jiwa dan raga kita selain Allah. Bermakna kita berjaya bebas merdeka daripada perhambaan kepada yang lain.

Sumber : Cerna Minda





SESAT
            Seorang pemuda tersesat semasa memandu menelusuri sebuah Bandar metropolitan yang tidak pernah dilaluinya. Dia cuba mencari jalan keluar, namun semakin sesat. Di kiri dan kanannya hanya kelihatan bangunan tinggi puluhan tingkat. Akhirnya dia berhenti di bahu jalan untuk bertanya seorang penjual surat khabar. ’pak cik, jalan lurus di depan ini menuju ke mana?’ ’anak ini nak pergi ke mana? ’soalan berbalas soalan. ’saya tak pasti. Oh ya pak cik. Macammana saya nak keluar dari Bandar ini? Saya orang baru di sini. Saya pening dengan jalan sehala dan saya tak faham jalan untuk berpatah balik’.   
            ‘anak ini nak menuju ke mana?’pak cik itu masih tetap dengan soalannya. pemuda tersebut melilau-lilau menoleh ke kanan dan kiri, seolah memikirkan sesuatu. ’macamana saya hendak menuju ke lebuh raya terdekat?’ Tanya anak muda itu pula. ’anak ini sebenarnya nak ke mana?’ ’sebenarnya, saya tak pasti ke mana destinasi saya..’ ’kalau begitu, kamu ambil mana-mana jalan yang kamu suka’.   

Pengajaran
Tanpa matlamat akhir, kita tidak akan ke mana-mana. tanpa matlamat akhir juga, kita tidak akan menyusun strategi padu untuk menuju matlamat tersebut.

Sumber : Angguk Geleng


 LUAS
Pohonlah dengan Allah agar diluaskan rezeki serta beroleh pengetahuan yang banyak dan pengalaman yang membantu meniti kehidupan. Itulah bekalan sepanjang perjalanan sebelum bertemu Tuhan.  Siapalah yang tidak gembira punya halaman rumah yang luas, lapang, tidak sempit. Semua orang ingin begitu. Barang diingat, luasnya kawasan rumah kita di dunia tidak terbanding keluasan dunia sana kelak. Luaskanlah bukaan tangan dengan membanyakkan bersedekah dan berbuat kebaikan. Kelak semoga syurga nan luas itu kediaman kita dunia di sana. Orang yang meluaskan pergaulan, akan mudah dikenali dan disenangi.  Pengalaman bertambah hari demi hari.  Untuk menghadapi kehidupan, dia makin berani. Demikian yang kita mesti jadi.  Ayuh, kita bukakan hati seluasnya untuk menerima kebaikan dan mencari hidayah Tuhan. 

Sumber : ViceVersa



BACA SEBELUM LENA
          Rasulullah saw bersabda ‘sesiapa yang membaca 2 ayat terakhir  surah al Baqarah pada waktu malam, maka ia (2 ayat ini) telah mencukupkannya (Riwayat al bukhari). Maknanya ayat-ayat ini melindungi pembacanya daripada semua kejahatan manusia, jin dan apa-apa sahaja. Ini disebabkan kandungannya yang berisi keagungan yang terdapat dalam kedua-dua ayat tersebut. Menurut suatu pendapat yang lain, ‘ 2 ayat ini cukup baginya pengganti solat malam waktu itu’.

         


PINJAM DAN PULANG

Ada seorang kaya dan juga pemurah, dia meminjamkan pinggannya yang cantik dan bersih serta berseri kepada 3 orang peminjam. Tidak lama kemudian, masing-masing memulangkan pinggannya kembali.

9 Orang yang pertama, memulangkan pinggannya seperti asal. Bersih dan wangi serta berseri.
Dengan penuh ceria, orang kaya itu terus meletakkan pinggannya kembali di tempat yang baik.

9 Orang yang kedua, memulangkan pinggannya dalam keadaan yang tidak bersih.  Lalu orang kaya itu memberishkannya dulu sebelum disimpan di tempat yang baik.

9 Manakala orang yang ketiga, memulangkan pinggannya yang sudah pecah dan sudah tidak serupa pinggan lagi.  Dengan rasa marahnya dan tiada pilihan, orang kaya itu membuang pinggan yang sudah pecah dan tidak boleh digunakan lagi ke dalam tong sampah.

Moralnya
Bolehlah kita fahami, bahawa diri kita ini dari zahir dan batinnya adalah pinjaman daripada Allah SWT. Maka apabila  kita kembali kepadaNya nanti, sepatutnya kembali dengan cantik semua amalnya, bersih dari sebarang dosa, dan suci nilai-nilai pahalanya.  Janganlah sampai Allah tidak berpuas hati , kerana kita kembali tidak bersih kerana di cemari dengan dosa-dosa yang tidak sempat taubat. Lalu kita dimasukkan dahulu ke Neraka beribu-ribu tahun dan setelah bersih , baru ditempatkan ke syurga yang sepatutnya. Yang terakhir pula, janganlah sampai Allah mencampakkan kita ke Neraka buat selama-lamanya kerana amal kita yang rosak berkecai akibat tidak pandai menjaga iman.  Tidak pandai menjaga diri dari perkara yang mungkar dan maksiat serta syirik.

Sumber : Hitam Putih












No comments:

Post a Comment