Google Ads

Saturday 5 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 177

MENARIK DI DALAM
·        Kerja Yang Itqan (Elok)
·        Strategi Amar Makruf Nahi Mungkar
·        Tidur Ialah Ibadah
·        Baju Dia Kotor
·        Dunia Di Mata Orang Akhirat
·        Istighfar


KERJA YANG ITQAN (ELOK)
Q1 + Q2 + A = C

Q1 : Kualiti Kerja
Q2 : Kuantiti Kerja
A : Adab atau Akhlak semasa melaksanakan kerja
C : Kompensasi (pemberian)

Huraian Hukum
Sekiranya sesuatu kerja itu dilaksanakan dengan berkualiti  (Q1) (lebih baik, lebih cepat, lebih jimat, lebih selamat) dan kuantitinya (Q2) banyak, serta sistem penyampaiannya begitu beradab atau berakhlak (A), maka layaklah si pembuatnya menerima ganjaran (C ) daripada majikannya. hukum ini boleh digunakan juga dalam konsep kerja sebagai satu ibadah. Cuma majikan dalam konteks ini bukannya manusia tetapi Allah. Bukankah God is our CEO? Maka jika seorang hamba bekerja (yakni Ibadah) dengan mempersembahkan hasil yang berkualiti, banyak, serta beradab pula, maka layaklah dia menerima pemberian daripada Allah. insyaAllah, pemberian (C ) itu ialah ikhlas!

Pesan Hati Untuk Hati

STRATEGI AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
J Menggunakan dalil yang jelas, kuat dan tegas.
J Memberikan nasihat terbaik
J Berbincang dengan cara baik
J Memilih masa dan tempat yang sesuai untuk memberi nasihat
J Berdakwah secara diplomasi
J Meninggalkan perkara yang tidak memudaratkan.



 TIDUR IALAH IBADAH

Bagaimana menjadikan Tidur sebagai Ibadah?

Orang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya 5 jam untuk tidur setiap hari.  Ini menunjukkan  bahawa 1/4 daripada keseluruhan hidup kita dihabiskan untuk tidur. Jika umur kita 40 tahun, maka 10 tahun telah dihabiskan untuk tidur sahaja.  Oleh itu amatlah rugi andai tidur tersebut berlalu tanpa sekelumit niat yang ikhlas, yang mampu meningkatkan darjat tidur. Perkara yang meningkatkan darjat tidur meliputi:

 

 Niat—Niatkan untuk berehat dan mendapatkan kembali tenaga untuk beribadah kepada Allah.

 

 Subjek —Tidur adalah harus. Allah berfirman ‘Dan Kami telah menjadikan  malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (Yang melindungi serta untuk berehat)’. (Surah al Naba’ 78:10)

 

 Pelaksanaan —pelaksanaannya mestilah betul. Jangan tidur secara sengaja semasa bekerja, memandu kereta atau semasa mendengar khutbah atau dalam majlis ilmu.

 

 Optimum —Hendaklah tidur di tempat  yang selamat, nyaman dan kondusif. Adab-adab tidur yang telah dianjurkan oleh Rasulullah hendaklah dipatuhi. Tidak meninggalkan ibadah asas. Jangan tertidur sehingga tertinggal waktu solat.

 

 Optimum —tenaga dan kesegaran yang didapati daripada tidur yang cukup digunakan untuk melaksanakan kebaikan bukan sebaliknya, melakukan kemaksiatan.

 

Kesudahannya adat kebiasaan bernilai ibadah. Dengan menggunakan konsep yang sama, maka terjemahkan dalam setiap perbuatan seperti makan, belajar, berpakaian, memasak dan lain-lain.

 

Sumber : Pesan hati Untuk Hati 





 BAJU DIA KOTOR
            Sepasang suami isteri baru sahaja berpindah ke rumah baru. Setelah memindahkan kesemua perabot dan barangan, si isteri memilih satu sudut yang menghadap tingkap bagi meletakkan meja tulis. Di situlah nanti dia akan menghabiskan masanya dengan menulis dan mengemas kini blognya memandangkan dia suri rumah sepenuh masa. Sambil menulis, dia dapat memerhatikan segala gelagat jirannya dari tingkat 2 pangsapuri yang disewa. Apatah lagi kawasan yang didiaminya itu kawasan yang terkenal sebagai kawasan yang berpenduduk padat.
            Pada suatu hari, dia ternampak jirannya menjemur baju. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena. Apabila suaminya pulang, diceritakan kepada suaminya perihal jirannya itu. ‘saya rasa jiran kita tu tidak reti mencuci bajulah abang’. Luahnya kepada suami, satu-satunya teman berbual. ‘kenapa sayang cakap macam tu?’ ‘sebab saya nampak baju-baju yang dia jemur macam kurang bersih. Masih ada lagi kotoran yang melekat ‘. ‘oh’ balas suaminya ringkas sambil mencuri pandang arah ke arah tingkap. Setelah seminggu berlalu, si isteri bercerita lagi kepada suaminya ‘jiran kita tu dah reti cuci baju. Saya tengok baju yang dia jemur tu bersih. Tidak macam biasa’. Suaminya terangguk-angguk. ‘masalahnya bukan jiran kita yang tidak tahu mencuci baju, tetapi masalahnya tingkap kita ini yang kotor. Hari ahad lepas abang dah cuci tingkap tu sampai bersih berkilat’. Jelas suaminya.

Pengajaran
Satu jari telunjuk yang menuding ke arah orang lain, hakikatnya empat lagi menunjuk ke arah diri kita sendiri. Sebelum menyalahkan orang lain atas sesuatu yang kita sendiri belum jelas tentangnya, muhasabahlah diri kerana kita juga ada kesalahan sendiri.

Sumber : Angguk Geleng




DUNIA  DI MATA ORANG AKHIRAT
Hati orang beriman dapat melihat dengan jelas dunia yang dekat dan akhirat yang jauh. Yang dekat (dunia) dimanfaatkan semaksimumnya demi keuntungan pada yang jauh (akhirat). Hati mereka tidak rabun dekat dan juga tidak rabun jauh. Orang rabun jauh hanya nampak kehidupan dunia. Akhirat seolah-olah tidak ada. Orang rabun dekat pula tidak mampu melihat  dunia ini sebagai kebun akhirat. Lalu mereka membenci dunia.




            ISTIGHFAR (1)

; Al Quran ini memberitahu kamu tentang penyakit kamu dan penawarnya. Adapun penyakit kamu ialah dosa-dosa manakala penawarnya ialah istighfar.-Qatadah

; Perbanyakkanlah istighfar ketika di rumah, ketika makan, berjalan, di pasar dan ketika duduk-duduk. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan.—Hassan al basri

; Wahai anakku, biasakan lidahmu dengan ‘Ya Allah ampuni aku, sesungguhnya Allah ada waktu-waktunya yang Dia tidak akan menolak permohonan. –Luqmanul Hakim.

; Beruntunglah orang yang mendapati dalam catatan amalannya istighfar yang banyak—Aisyah r.ha

; Istighfar tanpa meninggalkan dosa ialah taubat pendusta. –Fudhail

; ‘Kalau sebelah kakiku sudah berada di dalam syurga sekalipun, aku tetap belum berasa aman daripada kemurkaan Allah (ini membuatkanku banyak beristighfar)’ -Abu Bakar As Siqqiq

; Kelak di syurga kalau kamu melihat seseorang menangis, adakah kamu akan merasa pelik? Bahkan! Tapi yang lebih pelik daripadanya ialah orang yang ketawa di dunia sedangkan dia tidak tahu ke mana pengakhirannya! -Muhammad Bin Wasi’

; Tawaduk itu janganlah kamu bertemu seseorang melainkan kamu melihatnya lebih baik daripadamu.—Yusuf Bin Asbat
  


JOM AMAL
JOM BERDAKWAH!
‘Sesiapa yang mengajak kepada hidayah, baginya pahala yang sama banyak dengan pahala (amalan) orang yang mengikutinya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka untuknya dosa yang sama banyak dengan dosa-dosa orang yang mengikutinya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun’.
(Riwayat Muslim)














No comments:

Post a Comment