Google Ads

Wednesday 9 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 181

MENARIK DI DALAM
·        Apa Itu Dunia?
·        Menjadi Orang Akhirat
·        Melihat Alam Dengan Mata Hati
·        Semewah mana pun dunia tetap penjara
·        Syarat-syarat berdoa

APA ITU DUNIA?
Imam al Ghazali dalam kitab Minhajul ‘Abidin menegaskan ‘Dunia ialah semua yang tidak bermanfaat untuk akhirat’. Dunia ini sifatnya singkat dan dekat. Manakala akhirat itu sangat lama (infiniti) dan jauh. Orang beriman kepada Allah dan hari akhirat akan memilih prinsip hidup: bersakit-sakit dahulu di dunia, bersenang-senang di akhirat. Sebaliknya, orang yang tidak beriman, akan memilih untuk bersenang dahulu di dunia tetapi menderita selamanya di akhirat. Bukankah ini satu kerugian? Dunia selamanya bermanfaat sekiranya digunakan untuk akhirat. Sebaliknya, jika dunia diburu semata-mata kerana dunia , maka akan membinasakan. Pada dunia ada racun , pada dunia juga ada penawar. Orang yang bijaksana mampu menyisihkan racun dunia untuk mengambil penawarnya. Inilah yang dimanksudkan oleh Rasullallah saw ‘orang yang bijak adalah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya’. Orang yang mengingati mati adalah mereka yang cintakan akhirat . Ini kerana kematian itu pintu kepada kehidupan akhirat. Namun mereka tidak sekadar mengingati mati, tetapi mereka juga membuat persediaan untuk menghadapinya. Apakah persediaan itu? Dan di manakah persediaan itu dibuat? Ya, persediaan itu adalah dengan beramal ibadah dan itu semua dibuat ketika hidup di dunia. Oleh itu, semakin banyak seseorang mengingati akhirat, maka semakin produktif dan aktiflah dia beribadah di dunia.

Sahabatku,
Ali bin Abi Talib berkata ‘Manusia di dunia ini bagaikan tidur, Apabila dia mati baru dia terjaga’
Kata-kata ini menunjukkan bahawa sekejapnya masa di dunia ini, diibaratkan seperti mimpi, sangat sekejap dan sementara.
Sumber : Solusi Isu 70




MENJADI ORANG AKHIRAT

 Berperasaan Gembira Bertemu Allah 

Sebagai orang akhirat kita mesti ada perasaan gembira untuk bertemu Allah. Maka didiklah diri dan orang tersayang dengan perasaan ini. Suatu hari Rasulullah bersabda ‘sesiapa yang suka untuk bertemu Allah, Allah suka untuk menemuinya. Sesiapa yang benci untuk bertemu Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya’. Sahabat bertanya’Wahai Nabi Allah, maksudnya takut mati? Kami semua takut mati?’ Baginda menjelaskan ‘Bukan begitu, tetapi orang beriman, apabila dikhabarkan tentang rahmat Allah, keredaan dan syurgaNya, dia lantas suka untuk bertemu dengan Allah. Maka Allah juga suka bertemu dengannya.(Riwayat Muslim). Tiada yang salah takut mati. Demikian fitrah manusia.

 

 Banyakkan Menyebut Syurga

Sebagai orang akhirat, apa hendak disegankan bercakap tentang syurga? Namun ada ibubapa yang malu menyebut Syurga pada anak-anak .  ada suami isteri yang tidak pernah berbincang tentang syurga bersama-sama. sangka mereka, tidak perlu disebut-sebut, yang penting adalah buat.  Walhal sembang-sembang Rasulullah dan para sahabat tidak sunyi daripada menyebut syurga.  Perhatikan sekian banyak hadis Nabi Nabi membudayakan bercakap tentang syurga maka tidak hairanlah para sahabat orang yang berjiwa besar dan berpandangan jauh. Sejauh Akhirat.

 

 Memikirkan Apa Amalan Baik Yang Hendak Diwariskan

Sebagai orang akhirat, minda kita ligat memikirkan apa yang hendak ditinggalkan selepas mati. Perkara yang hendak ditinggalkan itu mestilah menjana pahala buat diri. Sekalipun hidup tidak senang, ilmu tidak ada, tetapi sekurang-kurangnya setiap orang ada perbuatan baik yang menjadi amalan dirinya. Lalu mengapa tidak kita wariskan amalan baik itu? Beruntungnya jika amalan baik itu diingati lalu diteladani orang sesudah kita.

Jarir bin Abdullah menceritakan bahawa pada suatu hati ada beberapa orang arab badwi datang menemui Nabi. Mereka hanya memakai pakaian bulu. Nabi melihat keadaan mereka teruk dan memerlukan bantuan. Lantas Rasulullah menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka berlengah-lengah sehingga kelihatan pada wajah Nabi kecewa.

Selepas itu datang seorang lelaki Ansar membawakan sesuatu dengan bungkusan daun. Kemudian barulah orang lain datang seterusnya tidak  putus-putus sehingga terlihat kegembiraan di wajah Nabi. Kemudian baginda bersabda ‘Sesiapa yang memulakan dengan Islam suatu amalan yang baik kemudian turut diamalkan oleh orang lain selepasnya, dicatatkan untuknya pahala yang semisal orang yang melakukannya tanpa mengurangkan pahala orang lain sedikit pun’. (Riwayat Muslim)

Sumber : Ustaz Pahrol

 


MELIHAT ALAM DENGAN MATA HATI
            2 orang lelaki ditempatkan di dalam sebuah bilik wad hospital. Mereka berdua menunggu rawatan selepas menjalani pembedahan dan rawatan mata. Lelaki pertama, seseorang yang masih muda, katilnya berada di tingkap bilik. Lelaki kedua pula sudah hampir mencecah setengah abad usianya. Katilnya jauh dari tingkap bilik. Sebelah matanya cedera dan masih berbalut, malah kakinya lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kemalangan. Oleh sebab keadaan sedemikian, dia tidak mampu bergerak dan matanya yang sebelah itu hanya mampu memandang syiling wad.
            Oleh yang demikian, dia meminta rakan sebiliknya itu menceritakan suasana di luar wad menerusi tingkap. Maka, setiap hari lelaki muda itu akan menceritakan suasana yang dilihatnya di luar tingkap. Pelbagai gambaran kehidupan kedengaran di telinga lelaki tua rakan sebiliknya itu. Digambarkan ada tasik di luar, bangku kayu di bawah pokok rendang, kehijauan rumput yang terdampar bak permaidani  dan pelbagai lagi. Landskap alam yang indah itu diceritakan saban hari secara terperinci tanpa jemu. Penuh perasaan dan penghayatan.
            Lelaki tua itu tambah teruja hari demi hari. Dia ingin menatap sendiri keindahan alam itu. Dia ingin bangun dan berjalan menuju ke tingkap. alhamdulillah, sebelah lagi matanya masih berfungsi. Kini, dia Cuma perlu berusaha untuk berdiri dan bertatih. Sebelum sempat lelaki tua tersebut bertatih, pemuda itu terlebih dahulu keluar daripada hospital. Maka tinggallah lelaki tua itu dengan segunung harapan untuk melihat landskap alam tersebut. Pada suatu pagi, lelaki tua itu sudah mampu berdiri. Dia maju selangkah demi selangkah ke hadapan lalu menuju ke arah tingkap. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada tasik sebagimana yang digambarkan oleh rakan sebiliknya. Malah yang ada hanyalah tembok batu dan pagar hospital.

Pengajaran
Jika bersedih dan lemah semangat, carilah kembali semangat tersebut di sebalik penciptaan alam ini. Hal ini kerana di sebalik alam ini tersirat kasih sayang Allah terhadap  makhlukNya. Sangupkah kita menjadi insan lemah longlai yang tidak bermaya, sedangkan Allah telah membekalkan segala kemudahan buat hambaNya? Itulah bekal untuk menjadi hamba dan khalifah yang terbaik.
Sumber : Angguk Geleng






SEMEWAH MANA PUN DUNIA TETAP PENJARA
          Ibn Hajar al Asqalani seorang ulama yang terkenal. Antara karya masyurnya ialah kitab Fath al Bari syarahan kepada sahih al Bukhari. Pada suatu hari beliau keluar menaiki gerobak yang ditarik oleh seekor keldai sementara orang berkemurun mengelilinginya. Saat itu beliau melewati seorang Yahudi penjual minyak sapi dan zaitun, dan biasanya penjual minyak samin pakaiannya selalu kotor dan keadaannya teruk. Tiba-tiba si Yahudi tersebut memberhentikan gerobak milik ibn Hajar dan berkata ‘Sesungguhnya Nabi kalian bersabda ‘Dunia ini ibarat neraka bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir’. Lalu bagaimana dengan keadaanku yang sangat teruk ini sementara keadaanmu sangat baik?’
          Maka Ibn Hajar menjawab ‘Aku memang berada dalam penjara yang sempit jika dibandingkan dengan apa yang disiapkan Allah buat hambaNya yang beriman di akhirat kelak. Sebab dunia ini tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan akhirat, sebagaimana Rasulullah bersabda ‘tempat cemeti seseorang di Jannah nanti lebih baik dibandingkan dunia seisinya’.
          ‘dan engkau wahai Yahudi! Engkau seolah-olah berada di syurga jika dibandingkan dengan azab yang kelak akan engkau terima apabila engkau mati kafir!’

Sahabatku,
Semewah manapun nikmat dunia yang dikecapi Mukmin di dunia ini, hanya sedikit sangat berbanding nikmat syurgawi yang menanti. Jadi, usah membazir kehidupan dunia yang singkat ini, pergunakannya seoptimum mungkin untuk mendapat kesenangan yang kekal di akhirat kelak.
Sumber : anekdot



           


SYARAT-SYARAT BERDOA
1. Sumber hidupnya daripada rezeki yang halal. Hal ini berdasarkan hadis ‘Wahai Saad makanlah makanan yang elok kerana ia punca doa mustajab’ (Riwayat al Tabarani)
2. Menunggu penerimaan doa itu adalah ibadat.
3. Mematuhi adab-adab doa.
4. Keikhlasan yang memuncak.
5. Didahulukan dengan taubat nasuha.
6. Jangan putus asa.
7. Mesti memahami pergertian doa.




No comments:

Post a Comment