Google Ads

Sunday 20 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 192

MENARIK DI DALAM
·        Doa Penghilang Dukacita
·        Inilah Jalan Yang Lurus
·        4 Tip Gandakan rezeki
·         Tidak ada kebaikan Yang Sia-sia
·        Petua Di Alam Siber




DOA PENGHILANG DUKACITA
Nabi saw mengajarkan beberapa doa bagi menghilangkan kesedihan dan dukacita. Baginda bersabda ‘tidaklah seseorang ditimpa kesedihan atau dukacita, lalu dia mengucapkan:

‘Ya Allah, aku hambaMu
Ubun-ubunku berada di tanganMu,
Aku memohon kepadaMu dengan seluruh nama yang Kau miliki,
Yang Engkau turunkan dalam kitabMu,
Atau yang hanya Engkau ketahui dalam ilmu ghaib milikMu,
Jadikanlah al Quran sebagai penyeri hatiku, cahaya dadaku, hilangnya duka dan lenyapkan kesedihanku’.
Sumber : Fiqah Doa



TEKA TEKI FIQAH
1. Apa nak buat. Ini Bulan Ramadhan. Abu dan Ali tiba di masjid dan Imam sudah mula Solat Terawih. Abu mencadangkan bahawa mereka berdua bersolat Isyak berjemaah dahulu secara berasingan. Ali pula mencadangkan agar solat Isyak dengan mengikuti Imam yang solat Terawih terus sahaja. Kalau anda, apa nak buat?
2. Tak jatuh talak. Seorang wanita mengandung anak kembar. . ‘jatuh talak kalau anak yang lahir nanti kedua-dua lelaki, atau kedua-dua perempuan samaada hidup atau mati!’ Sampai saat dia melahirkan. Talaknya tidak jatuh juga. Bagaimana?
3. Sengaja tidak basuh kencing. Seorang lelaki, pakaiannya terkena air kencing haiwan. Kemudian dia sengaja solat dengan pakaian yang sama tanpa membasuh terlebih dahulu. Bagaimanapun solatnya sah. Kenapa ya?


INILAH  JALAN YANG LURUS
‘Tunjukkanlah kami jalan yang lurus’. Entah berapa ribu kali kita memohon kepada Allah. Bayangkan jika kini berusia 40 tahun dan mula mengerjakan solat pada usia 15 tahun, bermakna kita telah memohon sebanyak 155, 125 kali!. Apakah status permohonan kita itu? Yang pasti Allah tidak akan mensia-sia doa hambaNya. ‘Berdoalah kepadaKu, Nescaya akan Ku perkenankan’. (Surah al Ghafir 40:60). Jika ada seseorang  yang meminta bantuan kita berulang-ulang kali, lambat laun akan kasihan juga kita kepadanya lalu memenuhi hajatnya. Inikan pula Allah yang Maha Pengasih. Bagaimanapun kenapa keadaan kita masih tidak berubah? Masih malas membuat kebaikan, semakin pantas pula mendekati kejahatan. When you ask, listen! Apabila kita meminta sesuatu nasihat, pandangan atau tunjuk ajar, dengar baik-baik. amat tidak wajar sekali apabila nasihat yang dipinta diberikan, kita buat  tidak endah  sahaja.demikian panduan komunikasi sesama manusia. Begitu juga dalam hubungan dengan Allah. Malangnya kita sering meminta kepadaNya, tetapi apabila ditunjukkan kita sendiri yang mensia-siakannya. Jawapan Allah tidak kita dengar. Jalan yang ditunjuki tidak diikuti. Teladan yang ditetapkan telah kita pinggirkan. Mengapa demikian?
Sumber : Solusi Isu 7


4 TIP GANDAKAN REZEKI

 MENJALINKAN HUBUNGAN SILATURAHIM

Sabda Rasulullah ‘Sesiapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dilambatkan ajal maka hendaklah dia menghubungi sanak saudaranya. (Riwayat al Bukhari)

 

 MEMBERI UNTUK MENERIMA

Sikap murah hati dengan sesiapa sahaja boleh menyuburkan rezeki.

 

 MENUNAIKAN HAJAT

Semua manusia berhajat akan sesuatu. Namun tidak semua hajat kita dapat laksanakan bersendirian. Kadangkala kita perlukan bantuan seseorang.

 

 MENOLONG YANG LEMAH

Hulurkan bantuan dengan ikhlas kepada mereka yang memerlukan dengan mengharapkan keredhaan Allah semata.

Sumber : ulfah




TIDAK ADA KEBAIKAN YANG SIA-SIA
            ‘Apa gunanya kalau saya membaca al Quran tetapi tidak memahaminya? ’tanya seorang murid. ’bacalah dahulu, perlahan-lahan nanti Tok akan ajar maknanya’. Jawab guru. Murid itu pun terus membaca. Hari demi hari. Bulan demi bulan. Lama kelamaan dia berasa jemu dan datang menemui gurunya semula. ’tok, saya masih berusaha membaca tanpa memahami makna al Quran, ini sesuatu yang tidak berfaedah’. Katanya. ’baiklah, tok akan menyuruh kamu melakukan 1 pekerjaan yang lebih bermakna’. Kata Tok Guru tersebut. Wajah murid itu kembali ceria.
            Tok guru menyerahkan sebuah raga dan berkata, ’kamu cedok air sungai itu dengan raga ini dan curahkan airnya ke dalam kolah madrasah kita. Si murid kehairanan. Mesti ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku, detik hatinya. Dia ke sungai, mencedok air dan secara tergesa-gesa dia berlari untuk menuangkan air ke dalam kolah. Namun sebaik sampai, air telah habis, menitis keluar dari celah-celah raga yang jarang itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang kali. Air menitis keluar dari celah raga dan kolah masih tidak dapat dipenuhi. ‘tok, perbuatan ini lebih tidak bermakna. Kalau tok gantikan raga ini dengan timba, barulah boleh menampung air dan kolah akan penuh!’
            Tok guru tersenyum ‘setiap yang tok guru suruh pasti ada maknanya’. Katanya perlahan. ‘apa maknanya tok?’ ‘menimba air dalam raga samalah dengan membaca al quran walaupun tidak memahami maknanya’, jawab tok guru. ‘sama-sama tidak ada faedahnya. Begitu?’  ‘tidak, sama-sama ada faedahnya’. Pintas tok guru. Anak muridnya menjadi lebih hairan.  ‘cuba kamu tengok raga yang kamu gunakan sejak tadi. Mulanya kotor, tetapi sekarang bukankah ia telah bersih? Walaupun air dalam kolah tidak penuh tetapi raga yang kamu gunakan sudah bersih. Betul tak?’ ‘betul tok’. Jawab anak murid  mengiakan. ‘Ha, begitulah juga hati kamu ketika membaca al Quran berulang-ulang kali. Walaupun belum memahami maknanya, tetapi paling tidak hati akan dibersihkan daripada kelalaian dan gangguan syaitan. Murid mengangguk. Hebat rupa-rupanya tok gurunya mendidik, bukan sekadar mengajar!.
              
Pengajaran
Jangan memandang remeh sesuatu amalan baik, walaupun sekiranya kita belum nampak manfaat atau hikmahnya. Jangan gopoh untuk ‘meningkat’ dalam perjalanan menjadi hamba Allah yang baik dengan tindakan-tindakan yang melanggar ketertiban amal dan kehalusan adab. Ingat, setiap yang baik pasti ada kebaikannya.
Sumber : Angguk Geleng






PETUA DI ALAM SIBER
Beberapa langkah berikut boleh membantu dalam memandu usaha pencarian ilmu Islam di alam siber.
1. Tanya Kepada Diri Sendiri—Adakah kandungan di laman sesawang tersebut berlainan benar dengan pemahaman tentang Islam yang anda tahu. Ini untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan ajaran-ajaran sesat yang juga menggunakan alam siber untuk menyebarkan dakyah mereka.
2. Tanya Orang Lebih Alim— Rujuk kepada guru yang diyakini ilmunya, terutama dengan mereka yang kita selalu belajar dengannya dimasjid /surau.
3. Peka Dengan Perbezaan Mazhab— tujuannya supaya maklumat daripada internet dapat difahami dalam konteks perbincangan yang lebih luas serta memberikan panduan dalam beramal.  
4. Ambil Tahu Tentang Individu  Atau Orgnisasi Pemilik Laman Web —sangat membantu untuk memahami tujuan kandungan itu dipaparkan di laman sesawang tersebut.
Sumber : Tekno Da’i


JAWAPAN TEKA-TEKI
1. Yang paling baik adalah mengikut Imam yang solat terawih dengan niat solat Isyak. Sudah tentu menyempurnakan 2 rakaat lagi selepas Imam memberi salam. Cara ini mudah-mudahan lebih besar pahala dengan bilangan jemaah yang lebih besar. Tambahan pula tidak mengganggu jemaah lain disebabkan solat berjemaah berasingan.
2. Anak kembar yang dilahirkan seorang perempuan dan seorang lelaki atau Seorang hidup dan seorang mati.
3. Dia bermazhab Hanbali dan Maliki. Air kencing itu pula boleh jadi air kencing unta, kambing dan lembu. Menurut mazhab mereka, air kencing haiwan yang dimakan dagingnya bukannya najis.






No comments:

Post a Comment