Google Ads

Friday 18 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 190

MENARIK DI DALAM
·        Kalam Ilahi
·        Teka Teki Fiqah
·        Allah Penghapus Gelisah
·        Arah yang Tak Tentu Arah
·        Tip mengeratkan Silaturahim
·        Cinta Dunia Mematikan Hati



KALAM ILAHI
1. ‘adakah kamu menyangka akan masuk syurga padahal belum Allah ketahui sesiapa yang berjuang antara kamu dan siapa yang sabar?’. (Ali Imran 3:142)
2. ‘boleh jadi kamu membenci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah jualah yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya’. . (Surah Al Baqarah 2:216)
3. ‘jika kamu tidak menyukai mereka, (ingat) maka boleh jadi kamu membenci sesuatu , sedang Allah menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak’. (Al Nisa’ 4:19 ) - khususnya untuk menghadapi kerenah pasangan.



TEKA TEKI FIQAH
1. Sunat melafazkan niat. Ali dan Abu berbeza pendapat tentang hukum melafazkan niat untuk solat. Abu berkata tidak sunat,  Ali berkata sunat. Bagaimanapun mereka bersetuju bahawa dalam satu keadaan sunat menafazkan niat. Bila ya?
2. 4 tahiyat dalam 1 solat. Ada seorang yang solat dengan melakukan 4 tahiyat tetapi tiada sesiapapun yang menegurnya. Kenapa demikian?
3. 2 kali fatihah untuk 1 rakaat. Ada seseorang yang solatnya sengaja dibacakan surah al fatihah sebanyak 2 kali tetapi solatnya sah. Bagaimana?
Jawapan Di Akhir Edisi Ini


ALLAH PENGHAPUS GELISAH
Pada suatu hari Rasulullah saw masuk ke masjid lalu baginda mendapati seorang sahabat Ansar sudah ada di situ. ‘Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihatmu duduk di masjid sedangkan belum waktu solat lagi?’ ‘banyak perkara yang menggusarkanku termasuklah hutang-hutang wahai Rasulullah’. ‘Adakah kamu mahu aku ajarkan suatu ucapan apabila kau mengucapkannya Allah akan melenyapkan kebimbanganmu dan melangsaikan hutangmu’. ‘Silakan wahai Rasulullah ‘. ‘Ucapkan ini setiap pagi dan petang ‘.
‘Ya Allah, aku berlindung kepadaMu, dari kebimbangan dan kesedihan.  Aku juga berlindung denganMu daripada rasa lemah dan malas. Aku juga berlindung denganMu daripada bersifat pengecut dan kedekut, dan aku berlindung denganMu daripada dibelenggu hutang dan dikuasai orang’. Sahabat itu berkata ’Aku amalkan perkara ini. Sungguh kemudiannya Allah lenyapkan kebimbangan dan langsaikan hutangku!’. 

¤ MANUSIA CEPAT RESAH
Manusia secara semulajadinya memang cepat panik, takut dan kalut, mudah resah, gelisah, serta suka berkira, lokek dan kedekut. Sifat-sifat  ini dan seumpamanya dirangkumkan dalam 1 perkataan dalam bahasa arab iaitu halu’. Allah sudah memaklumkan bahawa ‘Sesungguhnya manusia itu bersifat halu’. Apabila dia ditimpa kesusahan, dia bersedih. Apabila mendapat kesenangan dia cepat kedekut’. (Al Ma’arij 70: 19-20).

¤ MANUSIA MUDAH LEMAH
Manusia juga mudah lemah. Pagi-pagi lagi dia berazam hendak buat itu dan ini, tidak sampai petang dia sudah mengalah. Ada ketikanya dia ceria dan bersemangat, tiba-tiba sahaja dia terduduk lemah apabila mendapat khabar menyedihkan.demikian Allah telah mengisytiharkan ‘Dan diciptakan manusia itu bersifat lemah’. (Al Nisa’ 4:28). Mungkin kita merasakan diri kita seorang yang tabah, kuat semangat, dan tidak mudah mengalah seperti orang lain. Sudah banyak pengalaman yang pahit maung yang dilalui selama ini. Lalu, kita merasakan apa sahaja ujian kita dapat melaluinya. Bukan begitu ajaran Nabi. Suatu hari Rasulullah saw mengingatkan ‘Janganlah kamu berharap untuk bertembung musuh. Sebaliknya mintalah pada Allah keselamatan . Bagaimanapun, apabila kamu bertembung dengannya, maka bersabarlah! Ketahuilah bahawa syurga itu di bawah bayangan pedang’. (Riwayat al Bukhari)
Sumber : JOM AMAL 





ARAH YANG TIDAK TENTU ARAH
            Seorang lelaki yang sedang sesat jalan, berada di empat persimpangan. ’mana 1 simpang yang harus saya pilih?’ tanyanya kepada seorang yang kebetulan berada di situ. ’kamu hendak ke mana?ke mana destinasimu?’’saya tidak tahu’. Jawab lelaki itu. ’kalau begitu, apa dikisahkan simpang yang mana. pilih sajalah mana-mana satu jalan’. 

Pengajaran
Tidak ada angin yang memihak kepada kapal yang tiada pelabuhan untuk di tuju.  Sebaliknya, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan dalam hidupnya. Tanpa panduan wahyu, manusia akan sibuk mencari. Namun, mencari sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti, adakah mungkin akan menemui sesuatu?
Sumber : Angguk Geleng






TIP MENGERATKAN SILATURAHIM
1. Sebarkan salam
2. Menjamu makan
3. Menyambung hubungan yang terputus



CINTA DUNIA MEMATIKAN HATI

Allah kurniakan dunia kepada orang yang disayangi dan dibenciNya. Orang yang disayangi Allah seperti Nabi Sulaiman dan Nabi Daud telah diberikan harta dan kuasa. Allah juga memberikan harta dan kuasa kepada Qarun, Firaun dan Namrud, orang yang sangat dibenciNya.

Justeru, di sisi Allah, dunia sangat rendah nilainya. Rasulullah bersabda ‘seandainya dunia ini di sisi Allah senilai dengan sayap nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi minum walau seteguk sekalipun kepada orang kafir’. (Riwayat al Tirmizi).

Sebaliknya, Allah kurniakan iman dan amal hanya kepada orang yang disayangiNya. Itu menunjukkan iman dan amal lebih berharga daripada dunia. Rasulullah bersabda ’Musa berkata ’Ya Rabbku, ajarkanlah aku sesuatu untukku mengingatiMu dan berdoa kepadaMu’. Allah berkata ’Ucapkanlah wahai Musa Lailahaillallah’. Nabi Musa berkata ’Ya Rabb, semua hambaMu mengucapkan itu’.

Allah menjawab ’Wahai Musa seandainya ketujuh-tujuh bumi diletakkan pada satu sisi timbangan, kalimah lailahaillallah lebih berat timbangannya’. (Riwayat Ibn Hibban). Begitu juga amal, nilainya sangat tinggi di sisi Allah. Rasulullah saw bersabda ’solat 2 rakaat (sebelum) solat Subuh lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya’. (Riwayat Muslim). Malangnya, umat Islam kini membesarkan dunia dan meminggirkan akhirat.  Lalu berlakulah apa yang telah dibimbangi oleh Rasulullah ’Demi Allah! Aku tidak bimbang kefakiran yang menimpa kamu tetapi apa yang aku bimbang adalah apabila dibentangkan kepada umat sebelum kamu lalu mereka merebut kemewahan dunia itu maka kamu juga akan berebut sebagaimana mereka maka kamu akan dibinasakan sebagaimana binasanya umat sebelum kamu’. Umat terdahulu umat yang kuat kerana mencintai akhirat. Ketika para pejuang Islam daripada golongan Muhajirin dan Ansar sedang menggali parit di perang Khandak, Rasulullah telah bersabda ’Ya Allah, tidak ada kehidupan yang hakiki selain kehidupan Akhirat, maka ampunilah orang Muhajirin dan Ansar’. (Riwayat al Bukhari). Justeru, untuk menghidupkan kembali jiwa umat ini, penyakit cinta dunia mesti segera diubati. Caranya? Dengan menanam dan menyuburkan cinta akhirat!              


JAWAPAN TEKA-TEKI
1. Semasa hendak memulakan ihram haji atau umrah.
2. Sebenarnya dia mengikut Imam untuk solat magrib bermula ketika Imam duduk tahiyat awal (Tahiyat pertama). Selepas itu apabila Imam pada rakaat terakhir dia baru rakaat pertama. Namun dia tetap mengikuti imam bertahiyat akhir  (tahiyat kedua). Jadi setelah imam memberi salam, dia bangkit untuk rakaat kedua dan melakukan tahiyat kedua (tahiyat ketiga). Terakhir pada rakaat ketiga dia duduk tahiyat akhir dan memberi salam (Tahiyat keempat)
3. Sebenarnya dia solat gerhana matahari atau gerhana bulan. Solat ini menuntut kita melakukan dua kali rukuk dan bacaan al Fatihah dalam setiap rakaat sebelum sujud. 





No comments:

Post a Comment