Google Ads

Thursday 10 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 182

MENARIK DI DALAM
·        Allah Mengabulkan Doa Pada Waktu Yang Tepat
·        Mana Lebih Utama?
·        Tanda Orang Bijak
·        Waktu-waktu Istighfar
·         4 Sifat dunia, di mata orang Akhirat
·        Pasaran Kasut



ALLAH MENGABULKAN DOA PADA WAKTU YG TEPAT
‘Jangan berputus asa sekiranya Allah melewatkan penerimaan doa walaupun kamu sudah bersungguh-sungguh berdoa kerana Allah telah menjamin akan menerima semua doa menurut yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukanNya, bukan pada waktu yang engkau tentukan’.

1. Hikmah ini mengajar kita supaya yakin dengan janji Allah yang pasti diperkenankan doa apabila diminta kepadaNya.
2. Allah amat suka kepada seseorang yang berdoa dalam keadaan berulang-ulang dan mendayu-dayu.
3. Doa yang cukup syarat-syaratnya pasti diperkenankan Allah berdasarkan dalil yang dinyatakan dalam al Quran. Cuma ada kalanya waktu termakbulnya doa tersebut dilewatkan atau ditangguhkan penerimaannya berdasarkan kehendak Allah. Rasulullah bersabda ‘orang yang berdoa ada 3 keadaan, sama ada Allah segerakan permintaannya atau Allah tangguhkan pahalanya atau Allah palingkan keburukan daripadanya’. (Riwayat Ahmad)
4. Allah memilih penerimaan doa mengikut kehendak dan waktunya kerana 3 sebab
A) kerana kasih sayang terhadap hambaNya, namun boleh jadi tidak baik dan tidak diberi.
B) Boleh menetapkan hukum-hukum perhambaan pada pandangan hamba dan menzahirkan kekuatan kuasa Tuhan yang bersifat Rububiyyah. Sebaliknya sekiranya sekiranya pasti dapat apa-apa yang dikehendaki oleh hamba, sudah tentu seolah-olah paksaan sudah tidak kepada Tuhan, dan ini adalah mustahil.
C) Kerana doa itu sendiri bersifat  ‘Ubudiyah yang menzahirkan kelemahan hambaNya. Sebaliknya, kalau penerimaan doa berdasarkan kehendak hambaNya sudah tentu tidak sah kelemahan hamba pada perkara yang dicintai dan hilanglah maksud taklif dan makna kebergantungan makhluk.  Sebab itu, sebahagian orang yang arif berkata ‘Apabila Allah hendak memperkenankan doa hamba, dia memberikannya kesusahan atau kemudaratan semasa berdoa’.
Sumber :HIKAM




MANA LEBIH UTAMA?
 SOLAT BERJEMAAH
Rasulullah bersabda  ’Solat berjemaah lebih utama berbanding solat bersendirian dengan ganjaran 27 darjat’. (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

 SEDEKAH
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki hanya mempunyai wang sebanyak 2 dirham. Kemudian dia bersedekah dengan sekeping dirham. Bermakna dia bersedekah dengan setengah harta yang dipunyai, walhal dia sangat berhajat kepada harta itu.

 JIHAD
Dalam keutamaan yang lain, Nabi menyebut ‘Berdiri di medan jihad sehari semalam, lebih utama daripada puasa dan qiamullai sebulan lamanya’. (Riwayat Muslim)       


¤ TANDA ORANG BIJAK
 Apabila menyebut nama Allah, dia berasa bangga.
 Apabila menyebut dirinya, dia merasa hina.
 Apabila memperhatikan ayat-ayat Allah, dia ambil pelajarannya.
 Apabila muncul keinginan untuk bermaksiat, dia segera mencegahnya.
 Apabila disebutkan ampunan Allah, dia merasa gembira.
 Dan apabila mengingat dosanya, dia segera beristighfar.
Sumber : Tanbihul Gafilin

           


WAKTU-WAKTU BERISTIGHFAR
1. Selepas seusai solat
2. Sebelum tidur
3. Pada dinihari
4. Selepas seusai sesuatu acara
5. Sambil menunggu; lampu isyarat, anak pulang sekolah, giliran di kaunter
6. Sambil buat kerja; memandu dan menyapu
7. Sebagai dodoian anak
8. Melatah
9. Setiap kali bersalah atau terlanjur cakap
10. Setiap kali berdosa atau terlanjur buat
11. Setiap kali berdosa atau terlanjur fikiran buruk
12. Apabila diri terasa berat untuk beramal kerana dosa penghalang semangat beribadah
Sumber : Jom Amal


4 SIFAT DUNIA DI MATA ORANG AKHIRAT

 

 DUNIA INI TANAMAN

Imam Syafi’I berkata ‘Dunia adalah tanam-tanaman untuk akhirat’. Di dunia tempat menyemai, akhirat nanti tempat menuai. Jadi , tidak timbul soal meminggirkan dunia untuk mendapat kejayaan akhirat. Bahkan, untuk mendapat kejayaan akhirat perlu bekerja keras di dunia. Ini juga bererti orang yang mencintai akhirat sangat sibuk, aktif dan produktif di dunia. Bayangkan orang yang sedang giat  berkebun, tentu sibuk memugar tanah, menanam, membaja, mengairi dan menjga tanaman daripada serangga perosak.  Dunia tempat berpenat, akhirat tempat berehat.

 

 DUNIA INI PENJARA

Rasulullah bersabda ‘Dunia penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir’. (Riwayat Muslim). Dunia perlu dihadapi dengan mengikut perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Sudah menjadi sunnatullah, apa yang dilarang oleh Allah itulah yang disukai oleh nafsu. Ironinya, dunia dipenuhi perkara-perkara yang sangat disukai hawa nafsu. Ini merupakan  godaan yang sangat mencabar.  Mukmin berjuang agar tidak mengikut hawa nafsu demi mematuhi perintah Allah.  Mereka menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang haram. Ini sangat bertentangan dengan kehendak hawa nafsu mereka. Justeru, kelihatan dunia umpama penjara mukmin, dan menjadi syurga orang kafir. Keimanan kepada Hari Akhirat menyebabkan Mukmin rela menerima kesusahan yang sedikit dan sementara  di dunia demi keselamatan akhirat yang lebih baik dan abadi.  

 

 DUNIA INI BANGKAI

Rasulullah saw pernah menyifatkan dunia bagaikan bangkai anak kambing yang cacat di tepi jalan. Tidak berharga. Tidak diingini walau diberi percuma. Sabda Rasulullah ‘Demi Allah, sesungguhnya dunia lebih hina di sisi Allah daripada bangkai ini’. (Riwayat al Tabarani)

Daripada sinilah timbulnya perkataan ahli sufi yang terkenal, ‘dunia ibarat bangkai, pengejarnya ialah anjing’. Namun, perlu difahami dunia yang sebagaimanakah yang dianggap seperti bangkai? Rasulullah bersabda ‘Dunia Ini terkutuk, dan terkutuk pula segala isinya kecuali yang digunakan untuk apa yang diredai Allah’. (Riwayat al Tabarani)  dunia yang digunakan sebagai ‘alat’ untuk beribadah, tidak menjadi bangkai. Bahkan menjadi baja untuk menyuburkan lagi pohon ibadah yang diharapkan akan dipetik buahnya di akhirat. Dunia yang menjadi bangkai ialah dunia yang haram seperti harta riba, perbuatan haram seperti zina, minum arak, memutuskan silaturahim, penindasan dan penzaliman.

  

 DUNIA TEMPAT PERMAINAN

Allah berfirman ‘ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanya permainan dan hiburan serta perhiasan, juga bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak’. (al Hadid 57:20)

Mengapa dunia dikatakan tempat permainan? Maksudnya,apa yg ada di dunia tidak serius, sifatnya melalaikan, yang menimbulkan hiburan dan kemegahan yang bersifat sementara dan menipu daya. Umpama ilusi atau mimpi sahaja berbanding realiti kehidupan akhirat.

Justeru , sayidina Ali mengingatkan ‘Manusia semua tidur, apabila mati barulah dia terjaga’. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Allah melalui firmanNya ‘Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal melainkan sekadar satu saat, demikianlah mereka sentiasa dipalingkan’. (Al Rum 30: 55)

Sumber :Ustaz Pahrol 

 

 

 

 

PASARAN KASUT
            2 orang kakitangan sebuah syarikat pembuatan kasut dihantar ke sebuah Negara mundur di Afrika untuk meninjau potensi pasaran kasut di sana. Syarikat menghantar mereka dengan segala kemudahan penginapan dan menaiki penerbangan kelas pertama. Sebaik mendarat di lapangan terbang, mata mereka terus sahaja ditumpukan kepada kaki-kaki orang yang lalu lalang di sekitar. Mereka tidak membuang masa dengan banyak berehat. Sebaliknya mereka terus menjalankn tugas yang diamanahkan. Esoknya mereka segera berkunjung di beberapa buah kilang dan kedai-kedai kasut yang ada. Mereka juga melawat kawasan Bandar dan pedalaman.
            Setelah 4 hari berada di sana, tiba masanya untuk pulang dan menyediakan analisis dan laporan. Syarikat meminta laporan disediakan secara berasingan, mengenai potensi pasaran kasut di Negara itu. Laporan dibentangkan. Namun, ada perbezaan besar laporan antara mereka berdua. Kakitangan pertama : ’tiada potensi pasaran kasut di Negara ini kerana kebanyakan penduduk tidak memakai kasut, terutamanya penduduk kawasan pedalaman. Kesimpulan saya, kebanyakan mereka tiada kuasa menbeli yang besar’.
Kakitangan kedua : ’kita ada potensi pasaran yang besar di Negara itu kerana masih ramai yang belum berkasut. Kesimpulan saya, banyak peluang pasaran kasut di sana’.
  
Pengajaran
Disebalik setiap perkata ada potensi untuk sesuatu jika di pandang dari sudut yang positif. Malah yang penting, jangan jadikan faktor luaran sebagai halangan.
Sumber : Angguk Geleng






 

 




No comments:

Post a Comment