Google Ads

Sunday 27 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 199

MENARIK DI DALAM
·        Kecemerlangan Dunia VS Kecemerlangan Akhirat
·        Marah Orang Yang Beriman
·        Melihat Tanpa Bertemu
·        Ruginya amalan kita jika …
·        Beristighfarlah
·        Akhlak-akhlak penting didikan Anak




KECEMERLANGAN DUNIA VS KECEMERLANGAN AKHIRAT
2 kategori kecemerlangan (hasanah Dunia dan Hasanah Akhirat) inilah yang disebut di dalam al Quran dan ia mesti dimiliki oleh umat Islam. Kedua-dua kecemerlangan ini saling berkait rapat dan tidak terpisah. Islam tidak mengajar untuk meminggirkan dunia kerana akhirat dan begitulah sebaliknya. Bagaimanakah kedua-duanya terhubung?
Berdasarkan kata Ulama ‘Dunia adalah tanam-tanaman akhirat’. Sebagai kiasan, ini menunjukkan bahawa tanaman di dunia mestilah subur, lebat dan sihat supaya buah yang lebat dan manis rasanya boleh dipetik di akhirat. Kalau tanaman sudah kering dan bantut, mana mungkin buah yang baik dan sedap boleh dipetik daripadanya? Mana mungkin kita mendapat kecemerlangan di akhirat jika tidak cemerlang di dunia?  Sikap Mengabaikan kecemerlangn di dunia, yang kononnya untuk memberi tumpuan kepada kecemerlangan di akhirat adalah salah. Sebaliknya, umat Islam mesti cemerlang di dunia kerana itulah penyebab untuk mendapat kecemerlangan akhirat. Dunia ini penting bagi orang yang mementingkan akhirat. Percayalah bahawa.. ‘Hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hidup di  akhirat’. Dunia adalah modal dalam perniagaan kita mendapat kebahagiaan di akhirat. Hidup di dunia adalah tempoh yang sangat kritikal bagi meraih kejayaan di akhirat. Kesilapan kita memanfaatkan kehidupan di dunia akan memberi impak yang sangat buruk di akhirat. Jika tempoh masa hidup di dunia ini tidak diisi dengan sebaik-baiknya, maka kekesalan dan kekecewaan akan menimpa kita di akhirat. Ingatlah ‘siapa yang menyemai angin, dia terpaksa menuai badai’. ‘kehinaan di dunia akan menyebabkan kehinaan di akhirat.
Sumber : MUKMIN PROFESIONAL


MARAH ORG YG BERIMAN

Orang yang paling kuat ialah yang mampu mengawal rasa marahnya. Antara sebab perlu mengawal marah:

 

 PERINTAH ALLAH DAN SUNNAH RASULULLAH

Orang yang beriman sentiasa akur dan taat kepada perintah Allah. Melampiaskan marah di luar batas syariat adalah sifat terkeji. Banyak ayat al Quran dan dan hadis yang melarang dan mencela sifat marah. Marah berpunca daripada sifat takbur yang merupakan sifat utama syaitan. Daripada marah juga timbul sifat-sifat lain seperti dendam, hasad dan zalim. Kesannya hilanglah kebahagiaan dan ketenangan dalam diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Orang yang menurut rasa marah dan melanggar syariat dan diancam dengan neraka.

 

  PUNCA PENYAKIT KRONIK 

Marah bukan sahaja memberi kesan batiniah tetapi memberi kesan juga kepada anggota fizikal. Marah akan menghasilkan perubahan kepada psikologi dan biologi. Ketika marah, denyut nadi dan tekanan darah akan menigkat. Begitu juga dengan tahap hormon , adrenalin dan noradrenalin. Oleh itu, marah akan memberi kesan kepada jantung, ginjal, dan paru-paru dan organ dalaman manusia lain-lain. kajian membuktikan pemarah mudah diserang penyakit darah tinggi, lemah jantung, tekanan dan kemurungan.

 

 MALAIKAT MENJAUH

Mukmin sentiasa didampingi malaikat. Sebab itulah setiap perlakuan ada doa dan adab. Tanpa doa dan adab, syaitan akan mengambil alih tempat malaikat untuk berdamping dengan kita. Salah satu sebab malaikat meminggir dan syaitan hampir adalah ketika kita marah.

Sumber : SOLUSI



MELIHAT TANPA BERTEMU
            Seorang pengembala tua sedang mencari-cari kerbaunya yang hilang. Puas dicarinya di merata-rata tempat, namun kerbaunya masih belum ditemui. Dia bertembung dengan seorang budak yang sedang memancing. Pengembala itu pun bertanya ‘ada kamu nampak kerbau pak cik yang hilang?’  ’oh, kerbau pakcik yang buta matanya sebelah kiri ya?’ tanya budak itu.   ‘ya..ya..’ jawab pakcik itu dengan cepat. ‘rasanya kerbau pakcik tu dah tua’. Tambah budak itu.  ‘betul, betul kerbau pakcik memang sudah tua. Kamu ada jumpa?’  ‘kerbau pakcik itu tempang kaki hadapan sebelah kanan bukan?’ ‘betul..betul..tunjukkan kerbau pakcik di mana’.  ‘maaf pakcik, saya tak jumpa kerbau pakcik’. Kata budak itu. ‘kamu jangan main-main. memang itulah kerbau pakcik. Kerbau pakcik dah tua, tempang kakinya dan buta matanya sebelah kanan. Jangan bergurau, pakcik nak cepat ni’. ‘betul saya tak nampak, pakcik ‘. Balas budak itu. ‘kalau kau tak nampak, bagaimana kau tahu sifat kerbau pakcik?’ budak itu tersenyum. ‘macam ini..’ kata budak itu lalu membawa pengembala itu ke tepi belukar.  ‘tengok rumput-rumput ini. Rumput-rumput ini telah diragut oleh kerbau. Ini kesan ragutannya. Cuba pakcik lihat baik-baik. semua rumput yang diragutnya adalah yang di sebelah kiri. Ini menunjukkan kerbau itu buta mata kanannya. Kesan ragutannya pula tidak sekata. Menunjukkan gignya sudah jarang atau ada yang patah. Ertinya kerbau ini sudah tua. Tengok pula kesan tapak kakinya. Kesan tapak kaki hadapan sebelah kanan berbeza dengan tapak-tapak kakinya yang lain. Kesannya kelihatan seperti diseret. Ini menunjukkan kerbau ini tempang..’

Pengajaran
Tidak semestinya kita perlu nampak sesuatu untuk kita menerima kewujudannya. Ada waktunya keyakinan dapat dicapai hanya dengan melihat tanda-tandanya. Begitulah Allah, kita tidak perlu melihatNya dengan mata untuk mengakui keagunganNya. Cukup dengan melihat ciptaanNya.
Sumber : Angguk Geleng



,

RUGINYA AMALAN KITA JIKA…
Antara penentu amal kebaikan kita diterima Allah bergantung kepada sebaik mana hubungan kita sesama manusia. Akhlak dan amalan, ibarat  kuku dengan isi. Andai terkopeknya kuku di atas, meranalah isi dibawahnya. Andai buruknya akhlak, sia-sialah segala amalan yang dilakukan selama ini. Ruginya amalan kita jika...

¤ HASAD
Rasulullah mengingatkan ‘berwaspadalah kamu tentang hasad! Sesungguhnya hasad memakan semua kebaikan, sebagaimana api yang memakan kayu’. (riwayat Abu Dawud)

¤ MENGHINA SAUDARA MUSLIM 
Pesan Nabi ‘cukuplah seseorang dikira melakukan kekejian dengan menghina saudara Muslimnya!’ (Riwayat Muslim)

Perbuatan lahir daripada sikap. Orang yang menghina orang lain ialah orang yang ada sikap mudah memandang hina orang lain. Awas! Bahaya sekali sikap memandang rendah orang lain! Rasulullah mengingatkan hal ini dengan mengisahkan ‘Ada seorang lelaki berkata ’demi Allah, Allah tidak akan mengampunkan si polan!’  (Dia memandang hina saudaranya memandangkan tabiat saudaranya yang sering bermaksiat).
Lalu Allah berkata ‘Siapakah yang berhak menetapkan padaKu untuk tidak mengampunkan si polan? Sesungguhnya Aku telah ampunkan si polan, dan Aku gugurkan segala amalanmu!’
(Riwayat Muslim).



BERISTIGHFARLAH
Seseorang datang dan mengadu kepada Hasan al Basri bahawa hujan tidak pernah turun, jawab Hasan al Basri, ‘Beristighfarlah kepada Allah’. Lalu datang pula orang mengadukan kefakirannya. Jawab Hasan al Basri , ‘Beristighfarlah kepada Allah’. Kemudian datang lagi yang lain, kali ini wanita yang mandul mengadukan kepada Hasan al Basri. Jawab Hasan al Basri , ‘Beristighfarlah kepada Allah’ para Jemaah bertanya ’Apakah setiap orang yang mengadu, engkau hanya mengatakan beristighfarlah kepada Allah? Beliau menjawab ’Tidakkah engkau membaca firman Allah ’Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, dan dia memperbanyak harta dan anak-anakmu.’



AKHLAK-AKHLAK PENTING DIDIKAN ANAK

 BENAR
Anak-anak pertamanya perlu dilatih untuk bersifat jujur dan benar. Mereka perlu memahami bahawa berbohong, tidak memberitahu perkara yang sebenar dan menyembunyikan kesalahan adalah kesalahan-kesalahan besar. Mereka perlu diyakinkan bahawa kesalahan berbohong itu lebih besar daripada kesalahan kecuaian seperti memecahkan pinggan secara tidak sengaja atau seumpamanya. Mereka juga perlu diyakinkan bahawa orang yang berbohong adalah orang yang jahat dan tidak akan selamat.

 RINGAN TULANG
Anak-anak perlu dilatih supaya menjadi seorang yang rajin, bersungguh-sungguh dan cekap melakukan sesuatu. Sejak kecil anak-anak perlu di ajar menjadi seorang yang ringan tulang. Kerja-kerja asasi untuk keperluan sendiri seperti mengemas bilik tidur, menyusun buku sekolah, menyapu rumah dan lain-lain. Kaedah jadual juga boleh dibuat bagi mendisiplinkan anak-anak.

 MENJAGA LIDAH
 Anak-anak juga perlu dididik agar menjaga tutur kata kerana ia merupakan satu manifestasi penting kepada kesempurnaan akhlak. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Cara perbicaraan serta perkataan serta topiknya amat penting diperhatikan oleh ibubapa. Ibubapa berperanan untuk membuat peraturan dan disiplin agar perkataan-perkataan tertentu yang kasar tidak boleh disebut di dalam komunikasi.
Sumber : Anakku Penyejuk mataku










No comments:

Post a Comment