Google Ads

Tuesday 22 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 194

MENARIK DI DALAM
·        Payah
·        Marah
·        Dikasihi Allah Dengan mengasihi Rasulullah
·        Disebalik Pahala
·        Marahlah Kerana Allah Ilmu Ikhlas
·        Alhamdulillah Malaysia Masih Aman Merdeka
·        Isteri, Pelengkap Gaya Suami 
·        Ke mana Roh Selepas Mati?




PAYAH
Siapa rela dirinya dihimpit susah? Terutama rasa rezeki yang diperoleh tidak cukup, gagal dalam pelajaran, pekerjaan yang dikerjakan tidak menjadi. Semuanya terasa serba tidak kena. Aduh, mengapa hidup terasa amat sukar? Astagfirullah. Jangan sampai keluhan yang terbit daripada bibir kerana kepayahan yang dilalui dalam kehidupan. Allah tidak menjadikan setiap sesuatu sia-sia. susah di dunia supaya beroleh kehidupan yang mudah di akhirat. Rasa susah di dunia sebelum bahagia di akhirat. Kesusahan, kepayahan, kegagalan, semua rasa pahit boleh jadi ubat. Kepayahan yang dilalui akan jadi senjata saat rasa putus asa mendatangi diri. Belajarlah daripada ‘guru’ bernama kesukaran dan kepayahan. Sebab hasilnya manis dan menjadi bekal sepanjang kehidupan. Yakinlah pada setiap kesukaran, ada kemanisan dan kebahagiaan di hujung jalan.
Sumber : Viceversa


MARAH  
Jauh bezanya antara tidak ada rasa marah dengan mampu mengawal marah. Yang pertama, tercela. Yang kedua, mulia. Marah diukur pada penyebabnya. Kadang-kadang dipuji. Kadang-kadang dicela. Marah terpuji ialah marah yang datang daripada rasa ingin membela kebenaran dan agama, marah dalam mencegah kemungkaran dan perkara haram.


KASIHI ALLAH DENGAN MENGASIHI RASULULLAH  
‘katakanlah (Wahai Muhammad), ‘jika benar kamu semua mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani).
(Surah Ali ‘Imran 3:31)







DI SEBALIK PAHALA

    Di sebalik pahala ada ‘suka’. Di sebalik syurga ada ‘reda’. Maknanya Allah memberikan pahala kerana Dia suka akan amalan kita. Allah mengurniakan syurga apabila Dia reda dengan kita. Tiada siapa boleh mewajibkan Allah memberi pahala dan syurga. Boleh jadi suatu amalan berpahala sepatutnya, tetapi berdosa kerana Allah tidak suka. Contohnya kita menderma tetapi niat di hati menanti apa orang akan kata. Begitulah, ada amalan yang membawa ke syurga sepatutnya, sebaliknya mengheret kita  ke neraka kerana Allah tidak reda.

Sumber : Kata Dua



MARAHLAH KERANA ALLAH  
Salah satu sifat org bertakwa adalah mampu menahan marah. Mereka bukan sahaja mampu memaafkan kesalahan bahkan mengiringi kemaafan itu dengan berbuat baik. Mereka berebut-rebut  dan bersungguh-sungguh menahan sifat marah demi mencapai darjat takwa. Luqman al Hakim berkata , ‘Wahai anakku, jangan sampai hilang mukamu dengan meminta-minta. Jangan engkau lampiaskan marahmu dengan memburukkan namamu. Kenalilah dirimu, tentu akan berguna untukmu dan hidupmu’. Antara pesanan terpenting Rasulullah ialah jangan marah. Sangat besar implikasinya di sebalik pesanan pendek itu. Sebenarnya, kemampuan mengawal marah ialah kemuncak sifat mahmudah. Maksudnya, sikap ini terhasil daripada sifat pemurah, sabar, pemaaf, reda dan lain-lain. justeru pesanan Baginda agar seseorang jangan marah seperti menyuruh kita untuk membina sifat-sifat mahmudah yang ‘menghasilkannya’ terlebih dahulu. Maksud ‘jangan marah’ seperti yang disabdakan oleh Rasulullah perlulah difahami secara teks dan konteksnya. Tatkala Islam dihina dan umat Islam dalam keadaan lemah, rasa marah perlu diletakkan di tempat yang betul dan dalam kadar yang tepat. Jika tidak, ada yang menjadi beku dan ada pula yang akan bertindak melulu. Orang yang mampu mengawal marah sahaja mampu mengawal dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perkara-perkara buruk. Kemampuan seperti inilah yang tidak ada pada seorang pemarah. Oleh itu pemarah selalu kalah!. Sebagai orang yang beriman, kita mesti tahu membezakan antara berjihad kerana marah dengan berjihad kerana Allah. Ya, berjuang perlu ada rasa marah tetapi bukan berjuang kerana marah! Berjuang mesti kerana Allah! 
Sumber :Solusi  






ILMU IKHLAS
            ‘mari kuajarkan kamu tentang ikhlas’. Kata seorang guru kepada muridnya. ‘nanti saya ambilkan buku dan pena’. ‘tak payah, bawa saja karung guni. Kutip batu-batu dan penuhkan karung guni itu. Kita akan ke pasar’. Sampai di pasar mereka berdua tidak membeli apa-apa. Berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar keluar. ‘tuan guru, kita tidak membeli apa-apa?’ ‘tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?’ ‘ya, ya..’ kata si murid, agak kelelahan. ‘banyak beli barang’. Tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan berat itu. ‘wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! banyak sungguh barang yang mereka beli’. Kata seseorang yang lain. ‘agaknya mereka hendak buat kenduri besar kot’. Kata yang lain pula.
            Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. ‘oh, letih sungguh .. Apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni tuan guru?’ ‘tak buat apa-apa’. ‘eh, kalau begitu letih sahajalah saya’. Balas anak murid. ‘letih memang letih. Tapi kamu dah belajar tentang ikhlas’. ‘‘ikhlas?’ si murid kehairanan. ‘kamu dah belajar apa akibatnya jika tidak ikhlas dalalm beramal’. ‘dengan memikul batu-batu ini?’ ‘Ya, batu-batu ini umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang yang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sndri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu-batu’. ‘amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?’ ‘ya, hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat’. ‘Ya, sekaranag saya faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas’. Ujar si murid.
Pengajaran
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian, padahal kata-kata pujian hakikatnya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.
Sumber : Angguk Geleng

ALHAMDULILLAH, MALAYSIA MASIH AMAN MERDEKA
Di bumi ini, walau tidak sekaya mana, kita masih aman mencari kekayaan. Walau tidak sesenang mana, kita masih senang ke sana ke mari. Walau tidak semewah mana, kita masih mewah dengan kebebasan. ‘sesiapa yang bangun pagi dan merasa aman di hatinya, sihat tubuh badannya, ada pula yang hendak dimakan pada hari itu, maka seolah-olahnya diberikan dunia untuknya’.
(Riwayat al Bukhari)


ISTERI
PELENGKAP GAYA SUAMI

Sebagai ‘Pakaian’
‘Isteri-isteri kamu ialah pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka’.
(Al Baqarah 2:187)

Sebagai ‘perhiasan’ terbaik
‘Sesungguhnya dunia itu ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah’. (Riwayat Muslim)

Sebagai ‘ladang’ yang Subur
Isteri-isteri kamu sebagai ladang bagi kamu. Oleh itu datangilah ladangmu dengan cara yang kamu sukai, dan sediakanlah amal yang baik untuk diri kamu, dan bertakwa kepada Allah serta ketahuilah bahawa kamu akan menemuiNya’.
(Al Baqarah 2:223)

Sebagai Tonggak Kebahagiaan
‘Empat perkara termasuk daripada kebahagiaan; iaitu isteri solehah, tempat tinggal  yang luas, tetangga yang soleh, dan kenderaan yang baik’. (Riwayat Ibn Hibban)

Sebagai ‘harta’ Terbaik
Sayidina Umar al Khattab bertanya Rasulullah ‘Wahai Rasulullah, harta apakah yang sebaiknya kita miliki? Baginda menjawab ‘hendaklah salah seorang daripada kalian memiliki hati yang bersyukur, lisan yang sentiasa berzikir dan isteri mukminah yang akan menolongmu dalam perkara akhirat ‘. (Riwayat Ibn Majah)



KE MANA ROH SELEPAS MATI?
Berbeza-Beza
        Perbezaan pendapat wujud kerana terdapat dalil al Quran dan hadis yang berbeza dan rujukan pelbagai ulama berbeza. Imam Ibn Qayyi membuat ulasan bahawa roh-roh ini akan ditempatkan di tempat dan tingkat yang berbeza-beza di alam berzakh mengikut kedudukan masing-masing di sisi Allah. Bererti roh-roh  tidak berada di satu tempat sahaja. Allah menempatkan roh orang mukmin dan roh orang kafir di tempat yang dikehendakiNya.

Masih Berhubungan?
        Seperti yang diketahui, roh yang ada di dalam diri kita akan sentiasa keluar dan masuk ketika kita tidur.   Jelas, roh masih dihubungkan dengan jasadnya walaupun jasadnya sudah meninggal dunia.
Sumber : ZIKRA




No comments:

Post a Comment