Google Ads

Friday 4 December 2015

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 176

MENARIK DI DALAM
·        Lesu
·        Hiburan Yang Sebenar
·        Orang Ikhlas
·        Hikayat Ayat
·        Kerana Ikhlas
·        Kekayaan
·        Mimpi Seekor Nyamuk
·        Antara Akhlak dan Itqan
·        Bagaimana kerja menjadi Ibadah?

LESU
Puasa yang dilaksanakan tanpa persediaan hanya menyebabkan kelesuan pada tubuh. Mengantuk pada siang hari. Penat. Tidak larat bersolat Tarawih pada malamnya. Malah badan tiada upaya untuk melakukan tugasan harian. Puncanya, rutin yang berubah secara tiba-tiba memberi kejutan pada tubuh. Demi mengelakkan kelesuanlah persediaan harus bermula sejak awal. Jika tidak memang lemah dan tidak bermayalah jawapannya. Bukan itu sahaja, hati– hati dengan larangan dan perintah semasa berpuasa.  Barulah sebulan berpuasa tidak hanya letih dan dahaga, sebaliknya sebulan yang penuh berpahala. Jika badan segar, hati bersedia, Ramadhan ditempuhi dengan sempurna. Bermulanya Ramadhan dengan kesegaran, berakhirnya Ramadhan dengan keampunan bukan kelesuan. Aduhai, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang puasanya hanya mnyebabkan dahaga dan letih? Begitulah jika berpuasa, tetapi anggota lain melakukan dosa. 


           


HIBURAN YANG SEBENAR
Apabila hati tenang hasil hubungan dengan Allah, maka ketenangan itu akan tersebar dan melebar apabila berhhubung dengan manusia. Pancaran kasih sayang pada wajah, sikap dan tutur kata akan menghiburkan sesiapa sahaja yang berada bersama.  Inilah hiburan yang dirasai oleh para sahabat ketika mereka bersama dengan Rasulullah.



ORANG IKHLAS
Orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Apabila seorang hamba ikhlas ‘talian hayatnya’ bersambung dengan Allah. Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang ikhlas. Dia sentiasa memberi bantuan apabila hambaNya memohon pertolongan.




HIKAYAT AYAT

Yasin, ayat 8 dan 9
‘sesungguhnya Kami jadikan belenggu yang memberkas kedua-dua tangan mereka ke batang leher mereka sampai ke dagu lalu jadilah mereka terdongak’. ‘Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka dan sekatan di belakang mereka. Lalu Kami tutup pandangan mereka justeru mereka tidak dapat melihat’.

Membaca al Quran dengan mengetahui peristiwa yang melatari ayat yang sedang dibaca sungguh mengasyikkan. Peristiwa yang melatari ayat boleh jadi kisah yang berlaku pada zaman Nabi yang menjadi penyebab Allah menurunkan wahyu. Boleh jadi juga perincian peristiwa yang disentuh dalam ayat tersebut.

Maka, kenanglah peristiwa berikut:
Diriwayatkan bahawa Abu Jahal pernah berkata ‘kalau aku jumpa Muhammad, aku akan buat begini dan begini  terhadapnya!’ Maka turunlah ayat tersebut. Pada ketika itu orang lain berkata ‘itu Muhammad!’. Abu Jahal membalas ‘Mana? Mana?’ dia tidak dapat melihatnya.




KERANA IKHLAS...

Ikhlaslah yang menyebabkan Umar al Khattab sering ‘turun padang’ pada waktu malam untuk melihat kesusahan rakyatnya dari dekat. Malah Umar sendiri pernah dikejutkan oleh budak gembala kambing yang berkata ‘Kalau begitu di mana Allah?’ ketika beliau menguji kejujuran budak tersebut dengan menawarkan untuk membeli kambing melalui rundingan ‘under table’ yakni tanpa kehadiran majikannya.

Ikhlas jualah yang menyebabkan Umar Ibn Aziz memadamkan lampu yang minyaknya dibeli dengan wang rakyat  ketika anaknya datang untuk mengadu hal keluarga mereka.

Apa lagi kalau bukan ikhlas yang menyebabkan Khalid Bin Al Walid, yang dipecat daripada General menjadi askar biasa tetapi keesokan harinya tetap berperang dengan hebat sambil berkata ‘Aku berjuang bukan kerana Umar’.

 

 


KEKAYAAN
Orang kaya hakiki ialah orang kaya yang tidak berhajatkan kepada apa-apa pun, malah mampu berkongsi dengan golongan yang memerlukan. Sebaliknya orang yang miskin sentiasa mendambakan harta walaupun hartanya sudah melimpah.



MIMPI SEEKOR NYAMUK
            Seekor nyamuk memberitahu sahabatnya, seekor belalang hijau ‘aku bermimpi semalam’. ‘Kau mimpi apa?’ ‘aku bermimpi menghisap darah segar sekenyang-kenyangnya. Seronok sangat’. ‘wah, itu mimpi yang hebat!’. ‘Ya dan aku sangat gembira’. Belalang melihat perut sang nyamuk, kempis. Keesokan harinya, sang nyamuk bercerita lagi ’aku bermimpi indah lagi semalam. Kali ini lebih hebat. Aku mimpi , WHO telah mengharamkan penggunaan sebarang jenis ubat nyamuk sebab membawa kesan yang tidak baik untuk kesihatan. Wah, seronoknya! Tak perlulah lagi aku terbang lintang pukang menyelamatkn diri setiap kali manusia guna ubat nyamuk’.
            ’hah, hah, hah! Macam-macam mimpi kau. Aku ni tidur mati tiap-tiap malam’. Sang nyamuk tergelak gembira dan menari-nari. hari yang berikutnya, sang belalang hijau pula menegur sang nyamuk, ’Engkau bermimpi indah lagi? tersenyum memanjang’. ’Tepat tekaan kau tu. Semalam aku bermimpi lagi hebat. Aku bermimpi nyamuk diiktiraf sebagai serangga yang dipelihara serangga yang dipeihara dan tidak boleh dibunuh. Wah, indahnya hidup ni!’ sang belalang melihat lagi perut sang nyamuk. Makin kempis. Rupa-rupanya nyamuk masih tenggelam diulit mimpi .

Pengajaran
Ramai manusia hanya bermimpi dan berkhayal, namun hakikatnya tidak pernah melakukan apa-apa. jangan jadi Muslim yang menyangka mereka telah cukup beramal sehingga berangan-angan pasti mendiami Syurga, sebaliknya imbangilah amalan yang dilakukan dengan campuran 2 ramuan iaitu khauf (takut) dan raja’ (harap).
Sumber : Angguk Geleng






ANTARA AKHLAK DAN ITQAN
2 senjata ini telah lama dilupakan. Yang Pertama, akhlak. Yang kedua, itqan. Dengan akhlak kita membina budi pada tamadun kerohanian yang tinggi. Dengan itqan kita membina kekuatan teknologi tamadun kebendaan yang mapan.
Dengan akhlak dan itqan, umat Islam bukan sahaja mampu menyelamatkan diri, malah mampu menyelamatkan dunia daripada dihancurkan oleh arus pembangunan material yang semakin rakus dan kejam.
Sejarah kemenangan Rasulullah SAW, para Sahabat, Muhammad al Fateh, Sultan Salehuddin al Ayubi dan pejuang-pejuang Islam jika diamati, tidak lepas daripada 2 kekuatan ini. 



BAGAIMANA KERJA MENJADI IBADAH?
 SEBELUM MELAKUKAN KERJA
 Niat yang Baik
Apakah niat yang baik? Antaranya, ingin mencari rezeki, membela nasib keluarga, berbakti kepada masyarakat dan lain-lain. ini ialah niat yang baik. Namun jika setakat itu sahaja tahap niat kita apa bezanya dengan orang bukan Islam? Niat orang Islam bekerja mestilah lebih baik daripada itu. Bagaimanakah caranya? Hendaklah niat itu dikaitkan terus dengan Allah swt.

 Kerja yang Dibenarkan (halal) di sisi syariat
Pastikan kerja itu adalah halal dan tiada unsur-unsur haram seperti riba, penipuan, fitnah memfitnah, arak, pendedahan auratnya, pergaulan bebas dan lain-lain. 

 SEMASA MELAKUKAN KERJA
 Melaksanakan Kerja Dengan Betul 
Niat yang baik dan pekerjaan yang halal belum menjamin sesuatu pekerjaan itu jadi ibadah. Langkah seterusnya ialah melaksanakan kerja itu dengan betul. Melaksanakn dengan ‘betul’ di sini bermaksud mematuhi syariat (peraturan Allah) dan segala peraturan yang dicipta manusia tetapi selaras dengan peraturan Allah.

 Bekerja Secara yang Terbaik (Optimum)
‘Bahawasanya Allah suka seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan elok (itqan)’. (Riwayat al Baihaqi)

  Tidak Meninggalkan Perkara-perkara yang Asas Dalam Islam
Perkara yang asas dalam Islam ialah rukun Iman yang 6 dan rukun Islam yang 5. jangan sekali-kali dipinggirkan apalagi ditinggalkan. Ini ialah prasyarat kepada semua perlakuan untuk dinilai sebagai ibadah. Sekiranya perkara-perkara asas ini diabaikan, semua kebaikan yang kita bina sebelumnya tidak akan dinilai sebagai kebaikan.
 
 SELEPAS MELAKUKAN KERJA
 Natijah Yang Baik
Bagaimana sikap kita di akhir pekerjaan kita? Jika ditakdirkan kita berjaya, maka bersyukurlah dengan kejayaan itu. Bukti syukur ialah dengan merasakan nikmat kejayaan itu datang daripada Allah dan bukannya kerana Kebijaksanaan kita. Nafikan segala kelebihan, usaha dan tenaga kita dihadapan Allah, dengan merasakan semua itu tidak memberi kesan tanpa izin dan bantuanNya. 
Sumber : Buku pesan hati utk hati


           




No comments:

Post a Comment