Google Ads

Friday 1 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 204

MENARIK DI DALAM
·        Bagaimana Menilai Masa?
·        Lambat
·        Bersangka Baik Damaikan Jiwa
·        Mudahkan Yang Payah
·        Baca Tergagap pun dapat 2 kali Ganda Pahala 
·        Mungkin, Mungkin, Mungkin, Mungkin
·        Jom Jadi Seperti Sayidina Uthman
·        Hati Oh Hati



BAGAIMANA MENILAI MASA?
Menyedari bahawa hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga inilah maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa,malah juga perkara yang sia-sia. bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Tuhan. Apatah lagi, jika banyak masa yang dibuang sia-sia. mereka yang mensia-siakan masa ialah orang yang ’bankrap’ dalam ’perniagaannya’ dengan Tuhan. ’Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, pedang itu akan memancung kamu’. (Sayidina Ali Bin Abi Talib).
Anehnya, masa diukur bukan pada nilai kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau pendeknya tetapi bergantung kepada bagaimana masa diurus dan untuk apa masa digunakan.
Imam al Nawawi rhm. Misalnya, ulama yang tidak panjang usianya tetapi begitu besar jasanya. Malah hingga kini kitab-kitab yang ditulisnya dinilai ’sangat luar biasa’ bukan sahaja dari segi kerelevanan dan signifikannya tetapi juga tempoh masa untuk menghasilkannya berbanding usianya yang relatif singkat!.
Lihat juga masa pemerintahan Umar Ibn Abdul Azizi yang begitu pendek (hanya sekitar 2 tahun) berbanding masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang lain tetapi terus dikenang sebagai pemerintah yang sangat mirip dengan khulafa ar Rasyidin. Bukan kerana kuantiti masa pemerintahannya tetapi kerana kualiti kepimpinannya—Umar Ibn Abdul Aziz mengatasi kredibiliti khalifah-khalifah yang lain. Lihat pula bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat yang begitu ’mencemburui’ tempoh masa berjihad dan beribadat oleh seorang mujahid silam bani Israel bernama Sam’un al Ghazi menerusi turunnya surah al Qadar yang menunjukkan betapa kualiti ibadah malam itu (oleh umat Nabi Muhammad saw) melebihi 1000 malam.
Kuantiti masa tidak boleh ’dipanjangkan’ tetapi kualitinya boleh dipertingkatkan. Justeru dalam Islam banyak hadis yang menjelaskan tentang fadilat sesuatu amalan yang digandakan melebihi tempoh masa dan tenaga yang digunakan. Rasulullah saw pernah menegaskan bahawa sesiapa yang solat jemaah isyak berjemaah, seolah dia telah menghidupkan separuh malamnya, dan siapa yang solat subuh berjemaah seolah dia menghidupkan keseluruhan malamnya. (Riwayat Muslim)

Sumber : Pesan Hati Untuk Hati
                  




LAMBAT
‘mengapa jodoh aku lambat’? ‘Aku dah lama berdoa, lambatnya termakbul’. Awas, mulut jangan sampai menuturkan sebaris ayat ini. Kita akan berang jika janji lambat ditunaikan. Pinjam barang lewat dipulangkan. Sedangkan janji dengan Allah itu yang perlu disegerakan. Kita mahu Allah segera makbulkan doa, sedangkan kita melambat-lambatkan urusan dengan Allah. Lebih-lebih lagi, kita kita tahu rencana Tuhan, Pastinya pada setiap perkara yang dilambatkan itu Allah menyediakan kebaikan. Kebaikan yang mungkin kita tidak tahu melainkan selepas melaluinya. Lambat, pastinya ada kebaikan. Cepat, pastinya terhimpun hikmah. Tinggal sahaja bagaimana kita memanfaatkan setiap pemberian Allah. Hal yang baik mesti dipercepat, perbuatan yang buruk elok diperlambat.
Sumber : viceversa

  

BERBAIK SANGKA DAMAIKAN JIWA
Cara pandang hati dan fikiran mesti baik atau positif, barulah kita akan mendapat kebaikan dan hasil yang positif. Inilah yang selalu dipesankan oleh para ulama dan pakar motivasi ‘Mesti sentiasa berfikiran positif’. Berfikiran positif bukanlah menafikan realiti sehingga hitam dikata putih. Sebaliknya melihat yang hitam dengan hati dan fikiran yang ‘putih’ (bersih). Sehingga dengan itu,  seseorang mampu mendapat yang putih (kebaikan) daripada satu yang hitam (keburukan). Sekiranya masih ada pilihan dan peluang untuk mendapatkan kebaikan, sikap berbaik sangka adalah wajar; itulah harapan untuk mendapat kebaikan walaupun individu, situasi atau keadaan yang sedang dihadapi tidak baik.
Sangka baik, dapat baik. Begitulah prinsip perjuangan yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin besar yang menginginkan kebaikan buat bangsa, rakyat atau umatnya. Rasulullah sendiri, ketika dibaling batu ketika berdakwah di Taif, terus bersangka baik kepada umatnya dengan mendoakan ‘Ya Allah ampunkan kaumku kerana mereka tidak tahu. Aku mengharapkan zuriat mereka kelak akan beriman dengan seruanku’. Harus diingat yang sikap bersangka baik bukan penghalang untuk memberi teguran, nasihat bahkan amaran sekiranya kesalahan dan kemungkaran berlaku secara terang-terangan dan berulang-ulang kali. Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik, didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya.
Sumber : SOLUSI






MUDAHKAN YG PAYAH
            Seorang lelaki mengadu kepada seorang doktor pakar mengenai masalahnya yang tidak dapat tidur malam. Pelbagai usaha dilakukan, namun tidak berhasil.
‘apa yang menggangu fikiran kamu sehingga tidak dapat tidur?’
‘saya rasa ada seekor dinasor bersembunyi di bawah katil saya. Apabila saya memejamkan mata, ia akan membaham saya!’ ‘masalah awak hanya ada pada pemikiran awak. Tidak ada dinasor. Percayalah!’ ‘ada’ jawabnya penuh yakin.  doktor itu mengadakan mesyuarat dalam kalangan doktor-doktor pakar untuk membincangkan masalah ini. ‘jelas, ini masalah psikologi’. ‘ini masalah fobia akibat didikan masa lampau’. Kata doktor yang lain. ‘saya rasa ini masalah saraf’. Kata doktor pakar saraf. ‘baiklah, saya berikan masa untuk kamu semua mencuba kaedah masing untuk mengubatinya’. Rumus doktor tersebut. Selepas seminggu, pesakit itu masih merasakan ada dinasour di bawah katilnya.
            Di rumah doktor iru termenung panjang. ‘kenapa ayah termenung? Ada masalah dengan pesakit ke? Apa boleh saya tolong?’ Tanya anaknya yang berusia 7 tahun. Dalam hati doktor terdetik, kalau doktor-doktor pakar pun tidak dapat menyelesaikannya, inikan pula budak setahun jagung! Namun untuk meraikannya, doktor itu bercerita. ‘kalau begitu potong saja kaki katilnya!’. ‘apa pula kaitan kaki katil dan tidak boleh tidur?’ ‘kalau kita potong kaki katilnya, sudah tentu dinasor itu tak ada tempat untuk bersembunyi!’ ‘ya, tak ya juga’. Bisik doktor itu dalam hati. Esoknya, kaki katil si pesakit dipotong. ‘nah, sekarang dinasour itu tidak ada tempat lagi untuk bersembunyi di bawah katil kamu. Kamu boleh tidur sekarang’. Benarlah, si pesakit itu pun boleh tidur dengan nyenyaknya.

Pengajaran
Betapa banyak masalah besar dapat dirungkaikan apabila kita berfikir dengan santai, bebas dan keluar daripada kotak pemikiran yang biasa.
Sumber : Angguk Geleng




BACA TERGAGAP PUN DAPAT DUA KALI GANDA PAHALA

‘orang yang membaca al Quran dan mahir dengan bacaannya, maka dia akan bersama malaikat. Dan orang yang membaca al Quran dengan tersangkut-sangkut, dia berasa susah sekali untuk membacanya, maka dia akan memperoleh dua pahala. (Riwayat al Bukhari). Pemurahnya Allah. Sekali-kali tidak akan sia-sia apa sahaja perkara baik yang kita buat di dunia. Allah hanya hendak melihat kesungguhan hati hambaNya beramal demiNya biarpun hasilnya tidak seberapa.

 

 



AKTIVITI
MUNGKIN, MUNGKIN, MUNGKIN, MUNGKIN
1. solat berjemaah di masjid. Seorang anak muda berseluar jeans, berbaju T makmun di sebelah kita. Usai sahaja salam, dia terus bangkit keluar.
2. Seorang Muslim memegang anjing.
3. Seorang bercakap dengan kita dengan muka yang masam.

Cuba andaikan 4 kemungkinan positif tentang setiap situasi yang dinyatakan. Jom kita bersangka baik dalam semua keadaan.



           


JOM JADI SEPERTI  SAYIDINA UTHMAN  

Kehebatan Sayidina Uthman bin ‘Affan terletak kepada sifat malunya. Dunia dan segala isinya tidak mungkin menandingi sehinggakan malaikat turut malu kepadanya.  Rasulullah bersabda bahawa Uthman ialah orang daripada  Umat baginda yang paling benar sifat malunya. (Riwayat al Tirmizi) al Munawi dalam karyanya Faidh al Qadir menyebut ‘keistimewaan Uthman ialah sifat malunya. Rasa malu merupakan sifat yang lahir daripada pengagungan kepada sesiapa yang dilihatnya dan dia memang memiliki kedudukan agung disertai kekurangan yang dirasakan pada dirinya. Pengagungan Uthman kepada Allah mendominasi dirinya dan dia melihat dirinya sendiri dengan kekurangan dan keterbatasan. Uthman melonjak kerana itu, sehinggakan makhluk Allah yang khusus pun malu kepadanya. Sepertimana orang yang mencintai Allah maka Allah pun mencintai wali-waliNya dan orang yang takut kepada Allah maka setiap sesuatu akan takut kepadanya’.




HATI OH HATI
Hati ialah raja diri. Maka untuk memperbaiki diri, usaha memperbaiki hati perlu dijalankan. Hati sangat mudah terkesan dengan suasana. Suasana yang baik akan mempengaruhi hati ke arah kebaikan. Suasana yang tidak baik mempengaruhi hati ke jalan sebaliknya. 
                   




No comments:

Post a Comment