Google Ads

Saturday 2 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 205

MENARIK DI DALAM
·        Mutiara Dalam Lumpur
·        Jendela Teladan
·        Standard Akhlak Terbaik
·        Sangka Baik Dapat Baik
·        Tempat Terbaik Cuci Hati
·        Belajar Berenang
·        Lidah Anak Yang Berbohong
·        Ancaman Masa



MUTIARA DALAM LUMPUR

Sehingga saat ini kita mungkin menyangka seluruh keluarga Abu Lahab kafir bahkan menjadi penentang kuat Nabi. Tunggu, ada seorang lagi ahli keluarga mereka. Durrah binti Abu Lahab. Demi Islam yg diyakini, beliau sanggup berpisah dengan keluarga. Beliau turut berhijrah ke Madinah. Durrah bermaksud mutiara.

 

 

 


JENDELA TELADAN
Kisah Sahl dididik menghampirkan diri kepada Tuhannya
Sifat  ihsan adalah teras dalam mengukuhkan akidah anak-anak. sifat Ihsan adalah merasakan diri sentiasa diperhatikan Allah.
Sahl bin Abdullah at Tustari berkata: ketika aku berusia 3 tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku Muhammad bin Siwa. Pada suatu hari, dia berkata kepadaku ‘Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikanmu? ‘ Aku menjawab ‘Bagaimana aku berzikir kepadaNya?’ Muhammad bin Siwar menjawab ‘ketika gerak gerimu menukar pakaian, sebutlah dalam hatimu tanpa engkau menggerakkan lidahmu sebanyak 3 kali perkataan ‘Allah ada bersama-samaku, Allah melihatku dan Allah memperhatikanku’.

Sumber :Imam Al Ghazali, Kitab Ihya Ulum ad Din




STANDARD AKHLAK TERBAIK
Adakah kita seorang yang sangat bagus akhlaknya? Menurut Imam al Ghazali seseorang harus melalui ketiga-tiga standard ini untuk menjadikan kita dalam golongan yang sangat elok akhlaknya
 Boleh buat baik dengan orang yang buat jahat dengan kita
 Mendoakan orang yang kita dengki supaya sifat dengki itu akan terhapus dengan doa itu.
 Boleh sabar menahan kesakitan
  




SANGKA BAIK DAPAT BAIK

Apa yang  kita lihat, itulah yang akan kita dapat. Inilah prinsip atau sunnatullah dalam kehidupan. Kita tidak mungkin dapat apa-apa yang tidak dilihat. Maksud lihat di sini bukan dengan pandangan mata, tetapi pandangan fikiran dan hati. Justeru untuk mendapat kebaikan dalam kehidupan, betulkan dahulu ‘cara pandang’ kita, pandangan mata hati dan fikiran. Cara pandang hati dan fikiran mesti baik atau positif, barulah kita akan mendapat kebaikan dan hasil yang positif. Inilah yang selalu dipesankan oleh para ulama dan pakar-pakar motivasi ‘mesti sentiasa berfikiran positif’. Berfikiran positif bukanlah menafikan realiti sehingga hitam pun dikatakan putih. Sebaliknya melihat yang hitam dengan hati dan fikiran yang putih. Sehingga dengan itu, seseorang mampu mendapat yang putih daripada yang hitam. Bukankah penawar patukan ular datang daripada air bisa yang sama?. Lawan sangka baik ialah sangka buruk. Jika sangka baik datang daripada iman dan ilham oleh para malaikat, sangka buruk pula datang daripada nafsu dan waswas syaitan. Orang yang bersangka buruk, bukan sahaja melihat yang jahat itu jahat, malah yang baik pun dilihat jahat. Hasil daripada melihat dengan hati dan fikiran yang jahat, maka dia akan sentiasa mendapat kejahatan dan keburukan dalam hidup. 

Sumber : Solusi

 

 

 


TEMPAT TERBAIK CUCI HATI
Bagi tujuan islah diri, kita perlu memanfaatkan suasana yang boleh menjadikan hati mudah terkesan dengan kebesaran Allah dan kepentingan akhirat. Rasulullah dan sahabat sentiasa memanfaat suasana masjid dengan sebaik-baiknya untuk membentuk hati. Di dalam masjid dilakukan tarbiah dan pengislahan diri oleh Rasulullah kepada para sahabat. Malah sejarah mencatatkan bahawa tawanan perang yang dibawa pulang ke Madinah telah dirantai di tiang-tiang Masjid Nabawi. Setelah beberapa hari, apabila dibebaskan mereka dengan sukarela telah menerima Islam. Suasana masjid ada keajaiban yang tersendiri. Pernah kawan-kawan penulis datang mengadu dengan pelbagai masalah. Selain cadangan lain, selalunya penulis akan mencadangkan mereka beriktikaf di dalam masjid. Niat beriktikaf, melakukan ibadah seperti solat, zikrullah dan tilawah al Quran. Setelah melapangkan masa tertentu, selalunya mereka mula mendapat kekuatan untuk menghadapi masalah dengan penuh keimanan. Cubalah!
Sumber : Ustaz Gunawan  
                  



BELAJAR BERENANG
            Setelah tamat 10 buah buku mengenai berenang dibacanya. Dia sudah mengetahui pelbagai cara berenang. Seperti kuak dada, lentang dan lain-lain. Namun satu perkara yang masih menjadi kemusykilannya, dia masih tidak pandai berenang! ‘kau perlu ada guru. Jangan hanya membaca daripada buku’. Nasihat seorang temannya. ‘baiklah. Mulai esok aku akan berguru’. ‘mula-mula kita belajar mengapungkan diri’. Kata guru yang mengajarnya. ‘baik, kemudian?’ kedudukan kaki bagaimana? Perut, dada dan kepala bagaimana?’ agak berbuih mulut gurunya memberi penerangan tetapi anak murid itu terus bertanya dan bertanya. Akhirnya guru itu mengalah. Murid yang banyak bertanya seperti itu susah di ajar. ‘engkau belajar sajalah dari guru saya’. Katanya. Setibanya di kolam renang yang baru, dia dibawa terus di tepi kolam renang. Sebaik sahaja meletakkan barang-barangnya, gurunya terus menolaknya ke dalam kolam. ‘tolong! Tolong! Saya tidak pandai berenang!’ guru itu cuma melihatnya dengan selamba. Murid itu tenggelam timbul dalam kolam. Dia mula panik dan begitu takut. Tetapi dalam keadaan terdesak itu, dia ingat semula ilmu renang yang dipelajarinya. Tangan, kaki, perut dan dadanya digerakkan mengikut apa yang dia telah pelajari. Dia benar-benar terdesak. Akhirnya, tanpa dia sendiri menduga. Badannya terapung dan dia sudah mula berenang!

Pengajaran
Cara belajar yang paling berkesan adalah dengan cara mempraktikkan apa yang kita pelajari. Untuk mendapat pengalaman, ilmu perlu diamalkan. Setelah diamalkan barulah apa yang dipelajari dapat dialami. Pengalaman adalah guru yang paling baik.
Sumber : Angguk Geleng



,


LIDAH ANAK YANG BERBOHONG
‘jangan menangis, nanti serigala jadian datang’ kata seorang ibu yang cuba memujuk anaknya yang sedang menangis.
‘Anis, kat luar tu ada peminta sedekah, cakap ayah tak ada’. Suruh seorang ayah kepada anaknya.
‘Tak payah ikut, mak nak pergi klinik. Kalau doktor nampak budak-budak dia akan cucuk kat punggung’. Bohong ibu kepada anaknya supaya anaknya tidak mengikutnya.
Ramai ibu bapa yang terkejut dan marah apabila anaknya sudah pandai berbohong. Namun hanya sedikit ibubapa yang menyedari bahawa tabiat itu sebahagiannya adalah hasil dari ‘didikan’ mereka sendiri. Dialog di atas adalah beberapa contoh situasi berlaku pembohongan ibubapa yang menjadi ikutan anak-anak. Tepuk Dada Tanya iman. Bagaimana kita mahu mendidik anak-anak??




ANCAMAN MASA
          Ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada ‘ancaman’ untuk mereka. Antaranya, pesan Imam al Ghazali ‘sesiapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah untuk masuk ke neraka’.
          Kata-kata tersebut bukan bererti ‘menutup pintu taubat sebelum masanya’. Tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa). Seseorang pendosa yang telah melangkau 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat ‘u turn’ dalam hidupnya. Nafsunya begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh ,wisel ‘perlumbaan’ menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.        Pukul rata umat Nabi Muhammad saw ialah sekitar 63 tahun (mengikut suatu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap ’kelelahan’ dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut ahli psikologi barat, ’hidup bermula pada umur 40’(life begins at 40).
          Jadi, kita di mana? Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah ‘dihujung’ atau masih baru bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat sehingga tergamak menyatakan, masa muda tidak mengapa ‘terbuat’ jahat, nanti tua baru bertaubat. Padahal menurut Imam al Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu, yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh mencengkam. Jika hendak ’mencabut’ kejahatan daripada diri seseorang cabutlah pada usia mudanya kerana apabila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk dirungkai!
          Di padang mahsyar  nanti, antara satu soalan daripada 4 soalan yang Allah akan tanya adalah ‘ke mana umur mudamu dihabiskan?’ Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan.

Sumber : Pesan hati Untuk Hati





           





No comments:

Post a Comment