Google Ads

Thursday 14 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 217


MENARIK DI DALAM
·        Usia Itu harta
·        2 Jenis Hamba
·        Mengapa Perlu jauhi Dusta
·        Fatwa
·        Hilang
·        3 kata-kata Biasa Yang Berbahaya
·        Jumpa



USIA ITU HARTA
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya ‘Aku tidak pernah menyesali sesuatu seperti penyesalanku ketika matahari telah terbenam, yang saat itu umurku berkurang, namun amalku tidak bertambah’. Ulama-ulama yang terkenal dengan ketakwaannya seperti Imam al Nawawi contohnya, meninggal dalam usia yang muda (45 Tahun) tetapi jasanya amat besar berbanding umurnya yang singkat. Pembebas kota Constantinople Sultan Muhammad al Fateh, umurnya 49 tahun. Imam Hasan al Banna pula syahid ketika usia 48 Tahun. Namun kaedah serta aspirasi perjuangannya melalui Jemaah Ikhwanul Muslimin sehingga sekarang mempunyai pengaruh yang besar dalam mana-mana harakah Islam di seluruh dunia. Ya, Usia umpama harta, bukan banyaknya yang menjadi perhitungan tetapi keberkatannya. Harta yang berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Begitu juga usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpahkan kebaktian. Jangan jadi seperti orang Yahudi, yang mengharapkan umur panjang kerana kerakusannya menikmati dunia. Allah menerangkan sikap mereka ini melalui firmanNya ‘Dan sungguh kamu akan mendapati mereka (Bani Israil) manusia paling tamak kepada kehidupan di dunia bahkan lebih tamak daripada orang musyrik. Masing-masing mereka ingin supaya diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan’. (Surah al Baqarah 2:96). Satu persoalan yang sangat relevan dan signifikan berkenaan umur adalah bagaimana menggunakannya dengan optimum? Walaupun setiap manusia tidak tahu adakah usianya pendek atau panjang tetapi itu persoalan yang kurang utama. Apa yang lebih utama adalah bagaimana menggunakan usia itu untuk membuat sebanyak-banyak kebaikan dan meminimumkan kejahatan. Adakah usia boleh dipanjangkan? Jika  boleh, bagaimana? (fikirkannya)
Sumber : Pesan hati Untuk Hati


2 JENIS HAMBA

Orang Yang Menisbahkan Kejayaan Diri Kepada Diri Sendiri

Dia tidak menisbahkan kepada Allah langsung. Dia tidak nampak langsung bahawa hatta keupayaanya untuk berusaha sehingga berjaya juga sebenarnya daripada Allah. 

 

Orang Yang Menisbahkan Kejayaan Diri Kepada Allah

Walau bagaimanapun dia merasakan memang di berhak mengecap kejayaan tersebut. Allah patut memberikannya kepadanya sebab dia yang berusaha penat lelah.

 

 


MENGAPA PERLU JAUHI DUSTA

¤ Terkeluar Daripada Barisan Orang Yang Beriman
‘sebenarnya yang tergamak berdusta hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang yang bertabiat berdusta’.  (Al nahl 16:105)

¤ Kesudahan Yang Buruk
‘mengembaralah di bumi, kemudian perhatikan akibat buruk orang yang mendustakan?’ (Al An’am 6:11)

¤ Jauh Daripada Hidayah Allah
‘Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta’. (Ghafir 40:28)

¤ Termasuk Golongan Munafik
Tanda orang munafik ada 3, ’apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi kepercayaan, dia khianati’.  
(Hadis RiwayatAl Bukhari dan Muslim)

¤ Tidak Memperoleh Kejayaan 
‘sesungguhnya orang yang mengada-ngadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya’. (Yunus  10:69)
Sumber : Mithali


FATWA
Seorang pelajar menumpang kereta yang dipandu oleh seorang sheikh al Abani. Syeikh Sukadiri  memandu kereta laju.
Pelajar : saya ingat Syeikh Ibn Baz pernh berkata bahawa memandu melebihi had laju termasuk dalam ’mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan’ (Al Baqarah 2 :196)
Syeikh al Abani : Itu fatwa daripada seseorang tidak merasai keseronokan memandu.
Pelajar : Boleh saya beritahu kepada syeikh Ibn Baz?
Syeikh al Albani : Silakan

Sebaik dimaklumkan hal tersebut kepada syeikh Ibn Baz, beliau ketawa. ’Katakan semula kepada syeikh al Albani bahawa fatwa itu daripada orang yang tidak pernah menerima hukuman diat .

<Hukuman Diat adalah denda berupa pampasan yang wajib dibayar sebagai ganti hukuman qisas, contohnya hukuman qisas bagi jenayah bunuh dengan sengaja ialah bunuh balas. Namun jika ditukar kepada diat, maka hukumannya ialah 100 ekor unta. 

Pengajaran
Boleh jadi perbezaan ijtihad ulama disebabkan oleh pengalaman dan latar belakang ulama yang berbeza.
Sumber : Angguk Geleng






HILANG 
Sedih menghadapi kehilangan orang tersayang., lagi sedih hilang iman dan hidayah daripada Yang Maha Penyayang. Allah yang memberikan kita hidayah, dan Allah boleh tarik dengan sekelip mata hidayah yang diberikan. Hilang hidayah kita sesat jalan. Teraba-raba mencarinya semula. Lumrah sedih kerana suatu kehilangan, tetapi jangan sampai kehilangan buat kita hilang iman. Ubati rasa hilang dengan sabar dan solat. Demikian Allah berfirman dalam al Quran. Sebenarnya kehilangan mengajar kita menghargai keberadaan. Apabila hilang sesuatu barulah terasa kepentingannya. Belajarlah menghargai sesuatu yang ada depan mata sebelum semuanya hanya tinggal kenangan. Lumrah kita menangis kerana kehilangan insan, tetapi adakah kita menangis kerana lemahnya iman?  


3 KATA-KATA BIASA YANG BERBAHAYA
  Kata-Kata Khurafat
Merujuk kepada kata-kata karut yang mengaitkan sesuatu dengan sesuatu yang tidak logik lagi tidak menepati sunnatullah. Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman ‘Ada dalam kalangan hamba-Ku yang beriman dengan-Ku dan kafir. Adapun sesiapa yang berkata ’kita dapat hujan atas kurniaan dan rahmat Allah’. Itulah orang yang beriman denganKu dan kafir dengan bintang. Manakala sesiapa yang berkata ’kita mendapat hujan disebabkan jenis bulan sekian dan sekian’. Maka itulah orang yang kafir denganKu dan beriman dengan bintang’. (Riwayat Muslim). Menjadi adat arab jahiliah orang Arab pada zaman Nabi mengaitkan hujan dalam bentuk tertentu bulan.

Bersumpah Dengan Selain Allah
Ucapan lain yang biasa kedengaran : ‘Demi Nabi, demi kemuliaanku, demi ibubapaku..’ Suatu hari Ibn Umar mendengar seorang bersumpah ‘demi kaabah!’. Lantas beliau berkata kepadanya ‘Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda ‘sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah maka dia telah syirik!’. (Riwayat Abu Dawud)

Menyamatarafkan Allah Dengan Makhluk Dalam Ucapan
Ucapan lain yang biasa kedengaran : ‘Kalau tidak kerana Allah dan engkau’ ‘Ini semua berkat Allah dan engkau’. ‘Kalaulah tidak kerana dia dan Allah, ia pasti tidak menjadi’. 



JUMPA
Terasa resah lama tidak berjumpa. Adakah rasa yang sama apabila lama tidak berjumpa. Demikian sesama manusia?apakah reaksi kita saat ditemukan dengan rahmat Allah? Beruntunglah jika kita termasuk dalam kalangan orang yang menerima hidayah. Ingat, hidayah bukan seperti barang hilang yang senang kita jumpa. Allah yang memberikan hidayah kepada hambaNya. Untuk bertemu hidayah, sepenuh usaha harus dikerah. Bukan hanya menyerah. Setelah berjumpa hidayah., gengam dan hargainya. Takut hilang hidayah daripada diri, terkapai-kapai di dunia, menyesal di akhirat.








No comments:

Post a Comment