Google Ads

Friday 29 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 226

MENARIK DI DALAM
·        Aurat hati
·        Bukankah Kita Mahu?
·        Syaitan Belanja
·        Tip : Proses Pembersihan Hati
·        Apa Yang Hendak Dihairankan
·        Mukmin Profesional


AURAT HATI
Ingatlah ‘aurat di hati’ juga patut ditutup sama seperti menutup aurat pada tubuh badan. Malah, aurat di hati ini jauh lebih penting dijaga daripada aurat di badan. Maksudnya, hati jangan liar, hendaklah dijaga selalu. Jika hati masih liar walaupun sudah bertudung, maka tingkah laku akan menjadi liar juga, pergaulan bebas, pandangan mata tidak dikawal, keluar hingga jauh-jauh malam, berada di tempat-tempat maksiat, maka ketika itu tudung pun tidak akan mampu menjaga maruah dan akhlak diri. Tegasnya, tudung mampu  menjadi perisai pada akhlak dan tingkah laku, jika soal hati, elemen dalaman seperti iman, keyakinan dan yang seumpamanya dijaga. Pelaksanaan syariat mesti dibuat berdasarkan iman, barulah membuahkan akhlak. Maksudnya, menutup aurat (syariat) mestilah dilaksanakan atas dasar takut dan cinta akan Allah. Hanya dengan itu, barulah akhlak yang baik akan terpancar pada diri yang melaksanakannya (Wanita yang menutup aurat). Namun harus diingat, menjaga elemen dalaman bukan alasan untuk membuang tudung. Kononnya, yang penting hati. Bukan begitu maksudnya. Seumpama memakai topi keledar juga, wajib dipakai. Sekalipun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang dan sebagainya, namun kadang-kadang kemalangan berlaku juga. Bukan disebabkan kecuaian kita, tetapi kecuaian orang lain. Pada waktu itu, sesiapa yang memakai topi keledar akan kurang sedikit riskonya menghadapi cedera parah atau maut. Maka begitulah juga dengan seorang wanita. Walau bagaimana baiknya dia menjaga hati, tutur kata, perangai dan tingkah laku, dia tetap diwajibkan bertudung. Syariat lahir (menutup aurat) dan syariat batin (menjaga hati) perlu digabungkan secara bersepadu untuk memberikan keselamatan yang paling optimum kepada seorang wanita.
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


BUKANKAH KITA MAHU?

Tawaran ganjaran daripada Allah cukup banyak. Kerjanya mudah, pulangannya mewah malah tiada risikko kerugian. Satu-satunya kerugian ialah kerugian tidak mengambil tawaran tersebut sebanyak-banyaknya.

 

 Bukankah kita mahu dekat dengan Allah?

saat yang paling hampir seorang hamba dgn Tuhannya, iaitu ketika dia bersujud. Maka perbanyakkan doa (ketika itu)’. (Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu berada dekat dengan Allah?

‘sesiapa yang solat subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah’

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu dosa diampunkan?

‘sesiapa yang mengucapkan ‘subhanallah wa bihamdihi’ setiap hari 100kali, gugurlah segala kesalahannya sekalipun sebanyak buih di lautan’.

(Riwayat al Bukhari)

 

 Bukankah kita mahu doa dikabulkan?

‘Tiada seorang pun Muslim yang berdoa buat saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya, melainkan malaikat turut berdoa ‘dan semoga bagimu yang seumpamanya’.

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu jalan mudah ke syurga?

‘sesiapa yang merentasi jalan demi menuntut ilmu. Maka Allah akan mempermudah untuknya jalan menuju ke syurga’.

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu pahala qiamullail sepanjang malam ?

‘sesiapa yang solat Isyak berjemaah, seolah-olah dia telah berqiamullai separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seolah-olah dia beqiamullai sepanjang malam’

(Riwayat Muslim)

 

 Bukankah kita mahu pahala berpuasa, berqiamullai dan berjihad sekali gus?

‘orang yang menanggung keperluan wanita janda dan orang miskin seperti seorang yang berjihad di jalan Allah, berqiamullai tidak henti-henti dan berpuasa tidak berbuka-buka’. (Riwayat al Bukhari)

 

 Bukankah kita mahu agar tetap mendapat pahala walaupun setelah meninggal dunia?

—> sedekah

—>Ilmu yang bermanfaat

—>Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya

((Riwayat Muslim)

         


SYAITAN BELANJA
Al kisah, seorang wanita tua di sebuah Negara kafir. Dia menjadi Muslimah sejak 20 tahun lalu. Beliau bukan sahaja Istiqamah bahkan berbangga beragama Islam. Kepada sesiapa sahaja rakan dan jiran, dia akan bercakap tentang Allah. Ucapan ‘Alhamdulillah, all praises to Allah’. Tidak lekang disebutnya. Barangkali sudah panas telinga, seorang jiran menengkingnya ‘Mana ada Tuhan!’. Suatu hari si jiran ateis terdengar wanita tua itu berdoa ‘Ya Allah, aku dalam kesempitan. Barangan keperluan harianku sudah kehabisan. Ya Allah , bantulah hambaMu yang lemah ini’. Si ateis mendapat satu akal. Keesokan harinya, sewaktu hendak keluar rumah, wanita tua mendapati satu beg plastik di hadapan pintu rumahnya berisi barangan harian, roti, sayur, biskut, minyak dan sebagainya.  ‘Alhamdulillah, All prasise to Allah !’ kuat sekali sebutannya. Lantas jirannya keluar dari balik pokok. ‘Haha! Kan saya dah kata, mana ada tuhan. Saya yang belikan semua itu. Bukan Tuhan!’ ‘Alhamdulillah. Ya Allah, Engkau bukan setakat penuhi hajatku, malah membuatkan syaitan bayarkan!’

Pengajaran
Apabila hati sentiasa mengagumi kasih sayangNya, tiada apa-apa yang mampu  mengugat keimanan lagi.
Sumber : Angguk Geleng
  



TIP:PROSES PEMBERSIHAN HATI
% TAKHALLI
Peringkat pengosongan. Kosongkan sifat mazmumah (sifat buruk) yang diharapkan. 
Cth: sifat cepat marah

% TAHALLI
Peringkat perhiasan. Ganti dan hiaskan dengan sifat mahmudah yang dikehendaki.
Cth: Sifat mudah memaafkan

% TAJALLI
Peringkat penonjolan. Pada peringkat ini, sifat mahmudah yang diinginkan menjadi sebati dan sinonim dengan diri.




APA YANG HENDAK DIHAIRANKAN
Hairan bukan? RM10 untuk didermakan terasa banyak, namun RM100 untuk baju baru seakan tidak luak.
Hairan bukan,? 2 minit solat Duha terasa mengambil masa, namun 20 minit bersenam seakan tidak cukup masa.
Hairan bukan? Dua mukasurat al Quran lamanya terasa untuk  habis , namun 200 muka surat novel tidak puas-puas.
Hairan bukan? 30 minit mendengar tazkirah sudah memadai, namun 3 jam menonton filem belum cukup lagi.
Hairan bukan? Sehari dalam seminggu membaca al Quran pun jarang-jarang, setiap hari menonton drama jarang berselang.
Hairan bukan? 5 minit berada di masjid sudah terasa lama, 50 minit di kafe tidak terasa. 
Hairan bukan? Menunggu solat sekejap berasa lama, menunggu pancing disambar ikan berjam-jam pun masih teruja.
Hairan bukan? Kita sudah tahu bahawa kita perlu berubah, namun tidak ubah-ubah jua.
Apa yg nak dihairankan. Begitulah keadaannya jika diri semakin dikotori dosa! Sedikit demi sedikit dosa menghilangkan rasa lazat untuk beramal. 

Sumber : KataDua



MUKMIN PROFESIONAL
Umat Islam yang sedang mengalami kemunduran dan kelemahan dari sudut rohani dan material perlukan satu proses ‘rebranding’ dari segi imej dalaman dan luarannya. Usaha penjenamaan semula ini perlu bermula daripada pengupayaan modal insan. Manusia Muslim itulah faktor pemula yang akan mencorakkan imej Islam. Jika Islam digelapkan oleh Umat Islam itu sendiri, maka untuk menyerlahkan kembali cahaya Islam itu, umat Islamlah yang perlu diproses dan dibangunkan terlebih dahulu. Mukmin professional ialah mereka yang berkemampuan menyejajarkan dan menyepadukan pelaksanaan fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab hamba dan khalifah, kesinambungan ilmu aqli dan naqli, kesucian zikir dan kekuatan fikir dalam kehidupan.  faktor ‘fikir’ inilah yang melayakkan manusia menjadi khalifah di muka bumi. Fikir manusia mesti diiringin oleh zikir. Mukmin professional ialah mereka yang mampu meletakkan ‘fikir’ nya di landasan ‘zikirnya;. Mereka jugalah yang di sebut sebagai ulul alab dalam al quran. Dengan sifat mukmin, mereka mampu memperbaiki keadaan umat yang dilanda pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran , mereka mampu menyelesaikan masalah umat yang ketinggalan dalam bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains. Ilmu fardu ain menjadikan manusia baik, manakala ilmu fardu kifayah menjadikan manusia  cerdik. Dengan kebaikan dan kecerdikan yang di bina oleh kedua-dua ilmu ini manusia akan menjadi hamba Allah dan khalifah yang sempurna

         




No comments:

Post a Comment