Google Ads

Tuesday 19 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 221

MENARIK DI DALAM
·        Tutup Aurat Supaya Selamat
·        Cerdik Baik
·        Sejak Malam Itu
·        Waktu mustajab doa


TUTUP AURAT SUPAYA SELAMAT   
Tudung hanyalah kain yang menutup diri, tetapi rasa malu itulah penghalang hati daripada melakukan sesuatu yang dimurkai Ilahi. Apabila Allah swt mengharamkan wanita mendedahkan kecantikan zahirnya, bukan kerana Allah SWT hendak menyekat kebebasan wanita, tetapi kerana Allah menyayangi wanita. hukum Allah yang wajib kita taati boleh diumpamakan seperti peraturan jalan raya. Adanya lampu merah, hijau, kuning, papan tanda dan sebagainya. Dengan mematuhi peraturan jalan raya, tidak akan berlaku kemalangan sekali gus selamatlah perjalanan. Begitulah dengan mematuhi hukum menutup aurat, akan membawa keselamatan dalam kehidupan. Tidak ada wanita yang akan teraniaya dan menderita kerana hukum menutup aurat. Sebaliknya dengan mendedahkan aurat, mereka telah menzalimi diri mereka dan merosakkan orang lain. Begitulah rahsia Allah swt yang Maha Penyayang apabila Dia menyuruh atau melarang sesuatu, manfaatnya pasti ada walaupun kadangkala tidak dapat dijangkau oleh fikiran manusia. Percayalah, Allah lebih kasih akan hambaNya melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Apabila seorang ibu sayangkan anaknya, dia akan mengawal anak-anaknya daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan. Walaupun sesuatu yang membahayakan itu sangat disukai oleh si anak. Begitu juga dengan larangan mendedahkan aurat, pasti ada kebaikannya. Justeru, jika kita mengaku kita beriman, akurlah kepada setiap perintah Allah swt itu. Dia inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat hamba-hambaNya. Namun begitu, mengapa ada wanita terus mendedahkan aurat? Belum tiba masa lagikah untuk mereka merasakan kasih sayng Allah swt dengan perintah menutup aurat?
Sumber : Pesan hati Untuk Hati


CERDIK BAIK 

 BAHAGIA DENGAN MEMBERI

Percaya, hidup lebih bahagia dengan memberi. Kamu berikan senyuman kepada orang lain, kamu yang lebih bahagia. Kamu berikan sesuatu kepada orang lain, bahagia itu spontan akan lahir dalam diri. Pemberian RM1 kepada orang yang sangat memerlukan sangat berharga. RM1 menghadirkan senyuman kepada orang lain sangat bermakna. Bukan harus terlalu melihat besar kecil jumlah pemberian. Penting sekali situasi hati ketika memberi. Ikhlas atau sekadar berlepas diri? keikhlasan yang tidak nampak itu boleh dirasakan oleh hati.

 

 MUDAHKAN, JANGAN SUSAHKAN

Usah terlalu membesarkan hal-hal remeh sampai menyusahkan. Nanti diri yang akan terasa payah. Letakkan sesuatu pada tempatnya, barulah apa yang dilakukan tidak menyusahkan.

 

 KONGSIKAN BUKAN PENDAM

Kongsikan pergelutan yang berlaku dalam diri kepada orang yang dekat denganmu. Terlalu memendam boleh menyakitkan diri sendiri. Paling dekat itu Tuhan. Allah Maha Mendengar setiap aduan dan pengharapan.

 

 UJIAN

Ramai orang yang berubah apabila terhantuk dengan parah. Apabila Allah menguji dengan ujian yang kecil, kita tidak hiraukan dan enggan berubah.kemudian Allah akan timpakan dengan ujian yang lebih berat. Justeru, mari kita sentiasa hisab diri dan segera berubah sebelum Allah turunkan musibah yang berat. 

 

 KEBAIKAN

Jika Allah ingin memberi sesuatu kebaikan kepada kita, maka Dia timpakan musibah kepada kita. Jika kita insaf dan perbaiki diri pasti kebaikan demi kebaikan kita terma selepas ini. Bersyukurlah dengan ujian sebab itu tanda kasih Allah untuk kita. Allah tidak pernah membiarkan hambaNya bersendirian melainkan ada kebaikan untuk semuanya.

 

 KESABARAN

Ingatkan diri untuk sentiasa bersabar dengan setiap ujian. Kekuatan tidak akan terlihat selagi belum menghadapi realiti. Mungkin kita merasakan tidak mampu menghadapi, hakikatnya dengan kekuatan yang Allah pinjamkan dan senjata doa yang menjadi perisai diri, semuanya akan dipermudahkan.  

Sumber : DFMK




SEJAK MALAM ITU
Seperti biasa, Khalifah Umar keluar meronda. Kali ini dengan Abdullah bin Mas’ud. Masa sudah larut malam. Di kejauhan mereka melihat api, lalu mereka segera menuju ke situ.  Kilauan api tersebut ternyata datang dari sebuah rumah. Rupa-rupanya nyalaan api pelita dari dalam rumah. Mereka berdua masuk ke dalam rumah tersebut lalu mendapati seorang lelaki yang sudah tua. Dia sedang menjamu mata dengan tarian seorang wanita. Terdapat arak juga di situ. ‘aku tidak pernah menyaksikan suatu pemandangan yang lebih keji  daripada seorang lelaki yang sedang menunggu ajal sebagaimana yang aku saksikan pada malam ini!’ sayidina Umar menempelak. ‘aku akui’ jawab lelaki tua itu. Namun tindakanmu wahai Amirulmukminin lebih keji. Kau masuk ke rumahku tanpa izin, kau mengintip aku pula. Bukankah mengintip saudara seagama itu haram?’ Umar pun segera mengakui kesilapannya. Beliau meninggalkan lelaki tua itu dengan kesal atas ketelanjurannya. Sejak malam itu, lelaki tua itu tidak menghadiri sebarang majlis yang dihadiri oleh Saidina Umar. Masa berlalu. Dalam satu majlis, saidina Umar cam lelaki tua itu di satu sudut. Beliau memberi isyarat kepadanya agar datang dekat kepada beliau. Lelaki itu tiada pilihan. Dia menurut perintah Amirulmukminin. Berdebar-debar. Akhirnya dia duduk di sebelah khalifah. Umar berkata ‘Demi yang mengutuskan Muhammad dengan kebenaran, aku tidak memaklumkan kejadian malam itu kepada sesiapapun. Aku juga tidak bercakap tentangnya dengan Abdullah bin Mas’ud. Lelaki tua itu membalas. ’wahai Amirulmukminin, demi yang mngutuskan Muhammad dengan kebenaran, aku juga tidak pernah mengulangi kejahatan malam itu lagi sejak engkau memasuki rumahku’. ’Allahuakbar!’ Umar menyahut.
< sumber al Lu’lu’ al Manthur>

Pengajaran
Boleh jadi teguran yang berkesan hanya selepas beberapa lama. Maka, jangan mudah putus asa untuk sentiasa menasihati seseorang biarpun dia membentak.
Sumber : Angguk Geleng






WAKTU MUSTAJAB DOA (2)
 Sujud
‘sehampir-hampir  hamba kepada Tuhannya adalah pada waktu sujud , maka perbanyakkanlah berdoa’. (riwayat Muslim)

 Selepas Berselawat Dalam Tahiyat Akhir
Nabi mendengar seorang sahabat membaca tahiyat akhir dalam solatnya, beliau memuji Allah, kemudan berselawat ke atas baginda, kemudian Baginda bersabda. ’mintalah kepada Allah nescaya akan diberikan dan mohonlah nescaya dipenuhi’. 
(Riwayat al Nasa’i)

 Usai Solat Lima Waktu
Ketika Rasulullah ditanya tentang doa yang paling didengari Allah, Baginda menjawab ’Di pertengahan malam dan selesai solat fardhu’.
(Riwayat al Tirmizi)

 Ketika Iman Meningkat Kerana Ketaatan
‘dan hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan ibadat sunat hingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya , aku akan menjadi pendengarnya yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah. Jika dia meminta akan Aku berikan, jika dia meminta pertolongan nescaya Aku lindungi’.
(Riwayat al Bukhari)

 Ketika Diuji
‘Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya dan yang menghapuskan kesusahan’   .
(surah Al Naml 27:62)

 Bermusafir
‘tiga doa yang tidak akan tertolak, doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa bapa kepada anak’ .
(Riwayat al Tirmizi)

 Ketika Hujan Turun
‘berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikn solat dan ketika hujan turun.’
(Riwayat al Bukhari)

101 Doa Drpd Hadis2 Sahih





           




No comments:

Post a Comment