Google Ads

Wednesday 27 January 2016

HADIAH UNTUK SAHABAT EDISI 225

MENARIK DI DALAM
·        Piawaian Bertudung
·        Mudahnya Bangun Solat Subuh
·        Ada Hikmah
·        6 Mitos Masa


PIAWAIAN BERTUDUNG
Satu perkara yang menarik tentang hubungan antara topi keledar dan tudung ini ialah sama seperti topi keledar yang bermacam-macam jenisnya, tudung juga begitu. Ada pelbagai jenis fesyen tudung. Yang kontot, labuh, tebal dan jarang. Warnanya juga pelbagai. Seperti topi keledar yang ada piawaiannya, tudung pun begitu juga. Apakah jenis tudung yang mencapai piawaian? Ya, yang mencapai tujuan semestinya yang  menutup aurat!. Seperti topi keledar, tujuannya melindungi kepala. Sayangnya, kadangkala ada topi keledar gayanya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Terhantuk sedikit, berkecai kepala. Yang malangnya, ada pula topi keledar yang sudah baik, tetapi cara pakainya pula tidak tepat, talinya dibiarkan longgar, main disarungkan sahaja. Ini pun satu masalah juga. Kalau berlanggar, padah akibatnya. Maka begitu jugalah wanita yang bertudung, kadangkala hanya sangkut pada jambul rambut manakala leher dan dada dibiarkan terdedah. Ini bertudung, bukan menutup aurat. Justeru, ditegaskan sekali lagi bahawa memakai tudung dan menutup aurat ini dua perkara yang berbeza. Ramai yang bertudung, tetapi tidak menutup aurat. Menutup aurat ada niatnya, ada konsepnya dan ada falsafahnya yang khusus. Bertudung dibuat atas dasar iman, cara dan perlaksanaannya pula mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk menegakkan akhlak. Tetapi jika sekadar memakai tudung sahaja– niat, falsafah dan tujuannya tentulah lain dan kesannya juga tentu lain. Mungkin niatnya hendak glamour, gantik, bergaya atau menutup kekurangan pada muka dan rambut. Justeru tidak hairan jika kini tudung telah dieksplotasi untuk ’mendedahkan’ kecantikan diri sehingga terbabas melepasi batas-batas syariat.  
Sumber : Pesan Hati Untuk Hati


MUDAHNYA BANGUN SOLAT SUBUH

 Tidur Dalam Keadaan Berwuduk

Tidur dalam keadaan berwuduk memudahkan kita bangun qiamullail dan solat subuh. Bahkan, bonusnya, kita akan mendapat doa malaikat.

Rasulullah saw bersabda ‘sesiapa yang tidur dalam keadaan bersuci, dikepalanya terdapat malaikat yang mendoakan ‘Ya Allah, ampunilah hambaMu si polan ini, sesungguhnya dia tidur dalam keadaan bersuci’. (Riwayat Ibn Hibban)

 

 Witir Sebelum Tidur

Atas prinsip kebaikan akan membuahkan kebaikan, biasakan melakukan solat witir sebelum tidur. Satu rakaat pun sudah memadai. Jika untuk berwuduk dan solat satu rakaat sebelum tidur pun kita tidak gagah, apalagi untuk solat selepas tidur. Maknanya azam kita tidak kuat.

 

 Berzikir Sebelum Tidur

Ulitlah diri sendiri dengan bacaan zikir yang disunnahkan sebelum tidur. Semoga kita tidur dalam keadaan mengingati Allah dan bagun pun begitu.

 

 Gunakan Alat Bantu Yang Lain

Setkan jam penggera. Atau pesan pada ibu dikampung untuk menelefon demi mengejutkan kita. Atau apa-apa cara sekalipun. Pendek kata, dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Sesungguhnya Allah amat menghargai kesungguhan hambaNya.

 

 Jauhi Perbuatan Dosa

Perbuatan tidak baik yang kita lakukan bukan sahaja menyebabkan dosa, malah menyebabkan diri semakin berat melakukan ketaatan. Sebaliknya semakin banyak perkara kebaikan, badan terasa ringan melaksanakan perkara baik yang seterusnya.

 

 Rutinkan Istighfar

Mungkin kita merasakan tidak melakukan dosa pada hari itu. Tetapi mana tahu jika ada kesalahan yang kita tidak perasan. Sekalipun jika betul-betul tidak ada, siapalah kita berbanding Rasulullah yang beristighfar 100 kali sehari.

 

 Pasang Niat Sungguh-sungguh Sebelum Tidur

Kebanyakan kita yang bangun lewat sebenarnya tidak berniatpun untuk bangun subuh. Jika berniatpun, tidak bersungguh-sungguh. buktinya, kita boleh sahaja bangun awal jika ingin ke sesuatu tempat atau ke tempat kerja. Masakan untuk memenuhi tuntutan Ilahi tidak boleh? Mungkin sahaja diri kita yang tidak mahu.

Sumber : Ezy-Dakwah

 


ADA HIKMAH
Suatu hari, 4 sekawan bersama-sama menaiki sebuah kereta. Seorang pelajar kejuruteraan elektrik, seorang pelajar kimia, seorang lagi pelajar kimpalan dan seorang jurusan agama. Mereka merancang untuk pergi berkelah. Dalam perjalanan, kereta mereka rosak. Tersadai di tepi jalan. Pelajar elektrik berkata ‘ini mesti masalah wayar. Tadi radio pun tak hidup kan? Biar aku pergi periksa sirkuit dia’.
‘Tak, rasanya minyak tak sampai ni. Tak dengar ke bunyi tersedak-sedak sebelum enjin mati tadi? kene periksa minyak dulu’. Cantas pelajar kimia. ‘bukanlah! Itu bunyi ekzos bocor. Kalau  kita kimpal semula, mesti baik’. Dakwa pelajar kimpalan semula. ‘saya rasa ada hikmah Allah matikan kereta ini. Mungkin kita tidak patut pergi berkelah petang ini’. Ulas ustaz muda. ‘ya lah, semua perkara ada hikmah. Sekarang ini bukan setakat hendak pergi, balik pun tak boleh!’.

Pengajaran
Ramai orang suka mengulas dalam apa-apa sahaja perkara walaupun di luar pengetahuannya. Paling teruk ialah ulasan dangkal yang tidak membina dan tidak mencadangkan penyelesaian.
Sumber : Angguk Geleng






6 MITOS MASA

; MITOS 1: APABILA ANDA SEORANG YANG EFISIEN, SECARA AUTOMATIK ANDA AKAN MENJADI SEORANG YANG EFEKTIF.
Pandangan ini salah. Tidak semestinya kecekapan akan melahirkan keberkesanan. Kecekapan ialah kemampuan melakukan banyak perkara dalam masa yang sedikit. Sedangkan keberkesanan (efektif) pula ialah kemampuan melakukan sesuatu sehingga mencapai matlamat yang ditetapkan. Mungkin anda boleh membuat kerja 3 atau 4 kerja dalam satu jam, tetapi adakah semua kerja itu mencapai matlamat yang diinginkan?.

; MITOS 2: JIKA HENDAK KERJA ITU DIBUAT  DENGAN SEMPURNA, BUATLAH SENDIRI.
Sikap begini kurang tepat. Kebiasaannya seorang yang mementingkan kesempurnaan mempunyai pandangan sebegini. Mereka inginkan semuanya sempurna pada pandangannya. Lalu menyibukkan diri dengan kerja-kerja sampingan yang sepatutnya dibuat oleh orang lain. Akhirnya tugasan utamanya terabai. Belajarlah mengagihkan tugas dan mempercayai orang lain untuk melakukan sesuatu. 

; MITOS 3: HANYA ADA SATU CARA UNTUK MELAKUKAN KERJA.
Tidak benar. Orang sebegini selalunya tidak kreatif. Mereka hanya mengikut rutin dan amalan sebelum ini. Apabila anda berada dalam situasi sebegini, berubahlah sekarang. Berundur seketika dan berfikir sejenak. Adakah ada cara lain yang lebih baik untuk melakukan semua ini?

; MITOS 4: HASIL YANG BAIK TIDAK AKAN DIPEROLEH KECUALI DENGAN KERJA-KERJA YANG BANYAK.
Salah. Pandangan ini berlaku jika seseorang terlalu menumpukan kepada proses, bukan matlamat. Biasanya cara berfikir mereka selalu terkeluar daripada ‘landasan’ berfikir yang sepatutnya. Sebenarnya pencapaian matlamat bergantung kepada kualiti perancangan dan kerja, bukan jumlah kerja yang dilakukan.

; MITOS 5 : ANDA  TIDAK AKAN PRODUKTIF SEHINGGALAH ANDA SIBUK SEPANJANG MASA.
Tidak benar. Saya kenal ramai orang yang berjaya , tetapi masih meluangkan masa kepada keluarga dan diri sendiri. Orang yang berjaya masih ada masa untuk bersantai, berfikir, berjumpa kawan, berziarah, berkumpul bersama-sama keluarga dan banyak lagi. Anda hanya akan menjadi sibuk apabila anda tidak berfikir  dan merancang kerja dan masa anda. Anda hanya membiarkan diri and ‘hanyut’ dibawa oleh gelombang kerja dan rutin harian yang tidak mendatangkan hasil. Jika anda masuk dalam golongan sebegini, anda akan dapati setiap masa anda sibuk dan banyak kerja. Ke sana dan ke sini tidak habis-habis dengan tugasan. Tunggu sekejap. Duduk dan rancanglah kehidupan anda setiap hari  supaya anda tidak lagi tergolong dalam kelompok ini.

; MITOS 6:JIKA TERLALU BERHATI-HATI DALAM MENGURUSKAN MASA, KEHIDUPAN ANDA TIDAK MENCABAR DAN TIDAK MENYERONOKKAN LAGI.
Ini alasan dangkal bagi mereka yang malas merancang masa. Mereka malas untuk berfikir sejenak. Apabila anda mengurus masa, semakin banyak keseronokan yang anda akan alami. Tidak bermakna dengan menguruskan masa, maka tiada cabaran dalam bekerja. Cabaran bekerja sentiasa ada. Keputusan genting mesti dilakukan. Tindakan spontan juga diperlukan apabila perlu. Risiko ada bila-bila masa. Namun, perkara utama yang perlu anda lakukan ialah merancang masa.

Sumber : Fadzli Yusof  



No comments:

Post a Comment